Sunday, January 17, 2010
SS no.20: Catatan karut si hati herot
(i)
Petang, segelas susu panas,
[Harapnya] aku dan engkau,
[Lemas dalam cungap dengus asmara
Ahh, hanya aku seorang diri bermimpi]
roti canai banjir kari.
Kita berbaring, berpeluk dan bergolek di bawah pohon-pohon tua. Tiup angin mendesir dan daun-daun coklat yang gugur, dingin cemas menggigil, meretak kulitnya kayu, takut-takut memanggil rentak gergaji datang merabak retak, menghentak belah dan menebangnya jatuh tersungkur tersembam menyembah kaki, tinggal seram tunggul mereput, tinggal muram sugul senggugut.
Rehat kita di bawah rendang dahan pohon tua, di tebing simen longkang,
sungai Gombak, deras air melambai,
dan damai burung-burung gagak berteriak, masjid India selepas hujan – permai.
Berat kepalaku mamai, tersadai basah dengan resah;
modal menimbun, berkecah dan lecah, tireh membonyer bertambah kental,
ketat, likat, liat dan liar kertas-kertas bercetak nota nilai, duit merabit, wang bergewang, menyabit kepala, mengelar-ngelar leher lapar.
Tandus, kering kegersangan. Haus, dahaga keinginan bersarang dan membiakkan asap tebal dari gagal industri kimia
menyental dan membebal
barang dan orang bergerak
khidmat dan maklumat mengasak
arus kewangan berkhianat
laju menyerang
perusahaanlah yang membelah sempadan
berteman senjata, jentolak dagang menolak denai
meroboh tembok-tembok batu dan ceracak kayu
membodoh imigresen, passport dan visa
mencemuh hasrat dan cita-cita menjadi manusia
Perusahaan kongsi gelap bertopeng terang
samseng menyonglap meragut mengugut dengan saman,
memeras menyundal membedal dengan denda,
membebal merentas kota dan pekan
menghempas pelabuhan dan perhentian
sauh-sauh besi, dan minyak tanah kapal terbang, kontena, pengangkut
· bukan kita yang ditumpang
· bukan engkau yang dijulang
· bukan aku yang ditambang
Perusahaan tajam mencantas badan
merampas peta
pulau Temasik di seberang tambak
selat Tebrau jambatan bengkok pemimpin bongkak
kuala Danga mulut ternganga
sungai Melayu rayu merapu
hikayat lara rakyat murba dibongokkan, nenek bongkok Tanjung Puteri,
bumi tua ini sebal dadanya
saham membaham segalanya dari masa berlari, dari usia bergari, dari belakang tertikam dan dari cucuk jiwa berduri.
Engkau di tengah kota berlumpur hitam, di puncak menara hukum membukit duit, di atas pencawang maju, di dalam gelombang moden, di pusat kitaran roda, di depan gerak jentera, menggelegak minyak hitam, senak tenaga mencanak, menggaung enjin bingit menjerit, nyawa si jantung hati berdenyut di sini.
· aku purba tercicir dijinjit semut, di bawah sakit terduduk, di belakang hulu tertinggal, di kuala disauk terhempuk, di laut dihempas badai, di pantai terbantai teruk,
sebu di ladang tebu, resah di estet getah, menjerit di felda sawit, badi di kampong padi, rentan di sungai ikan, bentan di bukit haiwan,
hanyir di pinggir bandar hamis, tersudut di pekan tertekan,
sebal di hutan tebal
· aku hanya jadi bahan kontan –
jiwa luka disuap ke mulut naga niaga.
Perutku ternganga, melopong kosong
· eeee, bunyinya E, teknologi ngeri, ku tak mengerti pantun apa ini:
Engkau bermimpi engkau berlari
terbangnya tinggi logam dan besi
banyaknya bunyi batu dan IT
budinya badi serinya duri
mahunya hati serunya iri
tanaman padi semadi mati
gali perigi gerudi bumi
tolak bahagi mengira hari
campur dan kali ukuran kaki
bom biologi bank bankrupsi
saiz posisi digital beli
gelombang basi nuklear berloji
cukai industri perang mengisi
bon memaki skala melidi
kerja kronie tabung hierarki
syarikat baki berkarat janji
hutang mencari langgan korupsi
untung bersemi berkarung rugi
sains dan seni, sain cap jari
sakan berjoli sakit terapi
monumen todi minuman gergaji
mesin yang ngeri kilang gergasi
enjin mengundi jenteranya caci
sumpahnya kuli seranah berkunci
alat membuli bermodal tinggi
mabuk berjudi mantul kuantiti
daki kembiri kantul kualiti
berkonspirasi memonopoli
hub pornografi saudagar titi
mendadah dengki perkakasnya benci
lapar berkati tentera tangki
manusia gaji angan-angannya tivi
bukan, bukan bukan-bukan, kita bukan produk fantasi,
diriku
dirimu
diri kita
aku dan engkau punya diri, punya inti, jati dan pati. Iya, tapi aku tak bekerja. Dan engkau punya kerjaya kini. Aku bahalul mantul dan poyo kantul. Engkau tersohor, betul-betul tak tolol.
(ii)
Malam semabal di lembah tengah, seharusnya kita telah lemas
dalam lurah dengus nafas
di celah serakah kencang asmara.
Halal sial menjadah, terjal banal menerjah. Kelamayar, kutahu harapan haramku makin kelam.
Mataku,
matamu,
matakita berdepan,
kejam, cukup cepat kau pejam
sunggoh cepat kau padam
dan aku
aku terpaksa memendam,
menelan rasa kecewa
hitam dan berdarah
aku tertanya-tanya
kenapa perlu engkau mengalih pandang
pada skrin wayang,
pada kejahatan kamera meradang,
fikiranku melayang jauh dari sandiwara filem, jauh dari projector, jauh dari cd, vcd, dvd dan jauh dari layar digital
luluh,
aku menyelam ke dalam keruh Sungai Kelang
dari rasa rinsa runsing merusuh
dari rindu paya tertimbus
dari bimbang bangun mega mall
membungkus limau kasturi dalam karung plastik, mencabut akarnya, mematah-matahkan dahan dan daun-daun hijau lumat, tunas dan pucuk yang hancur. Syurga beli-belah mengunyah halaman kampung, akta telah mengharamkan tanah, membaham rumah, memindahkan tubuh ke dalam sarang kotak-kotak batu dan membenam ruh-ruh lusuh ke dalam lemau hawa dingin “air con”
dan almari ketul-ketul ais
kesegaran disejukbekukan,
menghantar pergi wangi dan setanggi
menguncinya
dalam peti keranda harga,
dalam reban kuburan jual,
dalam kandang bernesan beli,
pasar-pasar berantai beraya dengan seribu pesta gaya.
(iii)
Malam sangap kuntum-kuntum cempaka, melur dan kenanga, seharusnya kita telah menguap lelah setelah senggama panjang siang dan petang,
kejangmu,
kejangku,
kejang kita dalam nafas yang harum.
Kau tahu, saat-saat dulu itu cukup kurindu, kucup cium bibir aku dan engkau, bibir kita mengaum ranum. Maung tengik bau mulutmu berbasuh hancing buruk lidah keringku. Kita sama-sama pahing membusuk.
Raba ramas, kita saling meriba dan meraba dalam ribuan bara kasih, sayang dan cinta. Hangat cumbu matahari pagi, ingatan berkeringat. Berahi yang tak akan kudapat lagi.
Tapi bukan ini, bukan cinta itu sayang,
Tapi bukan ini, bukan bunga itu sayang.
Ini bunga duri warnanya haru-biru dari huru-hara berburu, bunga janji yang dipinjamkan:
Arteleri jantung, patung-patung perang dan mesin perbelanjaan, kira-kira yang menghamburkan debu kuning bakteria, kuman-kuman kering kuasa yang mencakar,
bom satu demi satu gugur – meledak – meleburkan satu demi satu peta, nuklear satu demi satu meletup menghancurkan satu demi satu degup dan telah tak ada lagi yang lari dari cukai. Menyeringai rangka dan tengkorak,
urusniagapun menggigit-gigit tulang-tulang, sengit meneka-neka sumber yang tersisa.
Judi megabank bertaruh, satu demi satu peluru berlumba, bersaing dan bertarung berpandukan pelaburan kilang-kilang teknologi meninggi keuntungan.
Mataku letih dengan tanda harga, broker-broker pengugut rasa ralit merekabentuk belanja, memasang iklan, mengguna gambar dan kata-kata menjalar masuk ke mata, telinga mendengar, hati digaruk-garuk api, keluk tawar dan minta mengetuk-ngetuk kepala, dan aku cepat terlelap dalam gelap terlupa pada mentari petang, disulap silap, disuluh lampu letrik gedung beli-belah.
Silau mataku dengan angau.
Arghh aku tak mampu,
engkau tungau merah nyala,
tak nampak engkau mencuri,
engkau kerambit, buku lima,
tercampak aku mencari,
botol kaca pecah, serpih bersepah
lara marah, luka ku garuk berdarah.
Tak larat kederat menyumbat kehendak.
Hanya khayal sebenarnya.
26 februari 2006 engkau tahu,
“dalam dagingku duri tertanam,
dalam lipatan gunting menikam,”
dalam kocekku hapak, hanya ada gumpalan kertas-kertas tiket wayang yang koyak, buku tiga lima yang renyuk, hanya ada habuk, debu abu dan candu rokok.
(iv)
Petang, segelas susu panas,
akar wali, hempedu bumi,
jadam masih lagi ku idam pahitnya
kacau jiwaku melepaskan engkau lemak manis gula racau - “enau dalam belukar” -
gila larau mengejar cahaya lampu picit dalam terowong yang runtuh.
Biarlah, nak buat macammana kalau engkau nyawanya bateri, sumbing sel kering melenting, mengharung ludah tawa sembur air liur.
Aku sel hidup, tubuh kurus terhoyong-hayang, kering melading goyah berpusing, bertakung air mata dan pekat hijau hingus.
Engkau telahpun tenggelam dalam banjir kilat warna-warna emas,
ubi jaga tongkat ali, tegak mencanak gagah berdiri, mengilai menyalak terbahak-bahak,
nonok dalam tin perak, seronok kau mengangguk,
“puah”,
puas hati kau berak
sambil
“menangguk – bayang-bayang benda – di air yang keruh.”
Roti canai kuah kari, aku tukang cuci, ini kali aku memang mahu sendiri.
Sapu sampah, hanya satu pesanku,
tanggalkanlah rambut palsumu,
tunjukkanlah kepala layu engkau itu, bukankah botak itu indah?
Disember 2005– 15 Mac 2006
Saturday, January 9, 2010
Lagu aman lagu damai, berikan cinta pada sesama
berikan cinta pada sesama. poster cetakan ukiran kayu, karya Kolektif Taring Padi, Jogjakarta.
seharusnya aku ke bukit bintang tengahari tadi. untuk memberikan bunga tanda cinta yang semuanya akan selamat, suatu acara, "Everything gonna be allrite," dan aku gagal. kesiangan, berjaga hingga ke pagi tadi.
jadi hanya kata haruman ranum mekar untuk semua. tak dapat aku memberi kuntuman bunga dari jambangan rimbun dan warna-warna mendamaikan. di manapun, kita sedang menikmati irama bahasa ria yg cukup indah, seperti alunan kata Ubi Lepih dari lagu nyanyinya Meor Yusof Azidin,
"aku si pengembara berkelana di lembah kehidupan meniupkan seruling lagu aman lagu damai
keluarlah kalian turunlah ke padang saujana putuskan belenggu mari bersamaku
nyanyikan alunkan lagu aman lagu damai
bebaskan suara dalam rentak merdeka jiwa
kita bukan orang derhaka bukan pula abdi yang boleh di jual beli
lebarkan sayap sejahtera buangkan nestapa jiwa kita anak manusia menyatu dalam bahasa ria
bahasa ria (10x ha ha ha)
dengarkan tiupan serulingku bersama kita menyapa awan keadilan buang malang lucutkan rawan nyanyikan alunkan lagu aman lagu damaiLagu Aman Lagu Damai terdapat dalam album Dari Rakyat Untuk Rakyat oleh Meor Yusof Azidin.
Friday, January 8, 2010
Gereja diserang:Astaghfirullah (استغفر الله )
terlalu banyak bangkai busuk, berat dan besar (barangkali aku salah satu daripadanya, tapi untuk kiasan pada makna yg lain). bangkai yg membusuk ini merosakkan hidup bersiasah dan bermasyarakat di tanah air ini. bangkai2 rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa. semua org tahu - biarpun media2 milik penguasa menutupnya, cuba mengalihkan pandangan umum. semua org tahu kerana ramai yg merasainya:
-kenaikan harga barang (dgn gaji yg tidak naik2, malah ramai juga yg kehilangan kerja)
-kes-kes penyelewengan duit/harta negara dan tabung awam, spt PKFZ, enjin jet hilang
-perseteruan dan perebutan kuasa/harta di kalangan pimpinan Umno, MCA, MIC dan parti2 BN lainnya.
dan pastilah banyak lagi, semua org sekarang ini boleh menyebut dan memperjelas dgn panjang lebar hal2 ini.
maka, ALLAH pun dipergunakanlah, tapi bukankah ALLAH itu sebaik-baik perancang?
sebuah gereja telahpun terbakar, apakah nanti ada masjid yang terbakar? di mana-manapun aku tetap akan bersedih, jika agama menjadi alat hasrat rakus politikus. di mana-manapun aku akan meratapi kehancuran rumah-rumah ibadat, baik itu masjid atau surau atau kuil atau tokong atau gereja atau gudwara yg diroboh penguasa atau dihancurkan para penganutnya yg bersengketa.
perang antara agama dalam sejarahnya hanya menguntungkan org tengah pihak peniaga senjata. permusuhan antara agama atau antara mazhab2 dlm agama yg sama, kebiasaannya juga terjadi kerana percaturan penguasa atau elit pemerintah yg terdesak - bodoh, jahat, banyak bangkai tak dapat ditutup - lalu cuba mengekalkan kekuasaannya dengan cara mengadu domba rakyat jelata, menjadi batu api membakar dan akhirnya mempertahankan kekuasaan (sementara) mereka atas hangus kesengsaraan org lain. inilah warisan khianat terhadap mandat rakyat; suatu dasar pecah dan perintah yg diamalkan penjajah Inggeris selama ratusan tahun dan difotokopi byk rejim2 dunia hari ini. seperti misalnya sengketa sunni dan syiah di Iraq dan Pakistan? atau Islam dan Kristian di Ambon? siapa untung? org2 Sunni kah yg untung - jawabnya bukan. org2 Syiah kah yg untung - jawabnya bukan. org2 Islam kah yg untung - juga bukan. org2 Kristian kah yg untung - juga bukan.
bertenang dan bersabarlah. berfikirlah dalam-dalam sebelum bertindak. tamak kesombongan harta dan serakah keangkuhan kuasa tidak akan membawa kita semua ke mana-mana. akhirnya, siapakah yang untung???
BERITA:
gereja hangus dibaling bom petrol
http://malaysiakini.com/news/121443
Pakatan: Umno perlu bertanggungjawab atas serangan terhadap gereja
Monday, January 4, 2010
...Eksperimen Space Gambus&TAF

album ini terbitan kuratis (kurator artis) Puan Nur Hanim, garapan Zul (pemuzik gambus Dewangga Sakti) dan seniman kontemporer Kamal Sabran. harganya RM 20 (setiap RM5 akan disumbangkan untuk Tabung Amirul Fakir). Amirul Fakir, penyair/penulis dari Ipoh. sekarang dia sedang menderita penyakit barah yg sudah mencecah tahap keempat. Amirul seorang kenalan yang cukup aku hormati, tak sempat utk aku bersahabat baik dengannya.
. . .
maaf aku menggunakan kata kenalan berbanding kawan. kerana sebenarnya tak banyak yang aku ketahui tentang kehidupannya, apatah lagi dia seorang yang suka berahsia. pengalamanku yg tidak mutlak - tidak juga muktamad paling benar - ini memberitahuku bahawa semakin lama, kata kawan dalam hidupku makin kehilangan makna yg aku fahami atau cita-cita/khayal hasratkan, seperti juga kata keluarga, kumpulan, kolektif, komuniti, parti, kerajaan, masyarakat, negara.
tapi aku faham. dunia bukanlah sebuah syurga dengan segala impian indah menjadi kenyataan.kesempurnaan bukanlah hak diriku. aku juga mengerti manusia tak dapat mengawal, menentukan apatah lagi meletakkan - lebih teruk memaksa - impian/khayalan kita kepada diri org lain untuk dilaksanakan. manusia juga dalam kesementaraannya tak akan dapat memilik punyakan apa saja - termasuk Allah (tapi Allah memilik punyakan segalanya). cuma negara dengan kekuasaan senjata/undang2/wang boleh saja cuba memaksa memilikpunyakan apa2 saja.
kerana dalam banyak perkara, hidup ini memang masing2, hinggakan terkadang aku sering merasa seperti orang asing (yg terlalu mementingkan diri sendiri). deja vu semakin mengabur, betapa kununnya aku seakan kenal dan tahu, namun sebenarnya aku tidak tahu. yg aku tahu, aku seorang narsisus kagum melihat bayang2ku sendiri di air, menafi wujudnya org lain, mengangankan aku dan orang lain itu sama, hinggakan terlupa ada sempadan antara diri kita semua.
kadang-kadang secara sedar atau tidak sedar mungkin dlm byk hal aku (atau mungkin korang semua) hanya menipu saja. aku suka untuk menjadi seorang individu, biarpun terlupa (atau buat2 lupa) yg hidup aku setakat ini didanai masyarakat atau aku suka ungkapan inggerisnya, 'sponsored by society'. aku hanya mencuba sebenarnya untuk menjadi individu yg kununnya mengambil tahu, prihatin atau sedar.
begitulah kontradiksi, pertentangan2nya. aku relaks2 saja kerana hidup beginilah. baik buruk, tesis dan anti tesis akan tetap meneruskan kehidupan 'alam' ini. dan aku hanyalah satu titik di antara bilionan nyawa2 manusia (tak termasuk tumbuhan, haiwan, hidupan lain) di dunia. dan usiaku juga hanyalah satu titik halus perjalanan jutaan tahun sejarah alam. jadi memang masalah besar kalau-kalau aku merasa macam bagus atau penting. aku biasa2 ajer.
. . .
berbalik kpd Amirul. sudah agak lama sebenarnya aku meneliti antologi puisi Amirul Fakir yang berjudul Fossil dan kumpulan cerpennya Mea Culpa. cuma aku belum dapat lagi menyiapkan ulasan/tulisan yg aku hasratkan itu. kerana untuk seorang Amirul Fakir, kununnya aku ingin mencatatkan tulisan yg lebih serius, dan kurang bermain-main - atau kalau boleh dapat menghasilkan misalnya suatu ungkapan yg disebut Abg. Syed tentang Amirul Fakir adalah 'seorang kafka timur'.
(Untuk info lanjut mengenai SGE, hubungi Kamal Sabran 016 5533391)

Thursday, December 31, 2009
selamat-selam-at-sela-mat-selam-mat-se-lamat-selamat
disemberpun berakhir tahun baru tiba membawa janji dan harapan - mimpi yang datang dengan pengulangan, baru itu mungkin hanya pada kejadiannya. perubahan - ke arah baik atau buruk - kita semua akan melaluinya, kita semua sedang melakukannya, keputusan masih belum didapatkan, belum untuk tahun ini dan tahun2 yg berlalu. tahun depan, kadangkala waktu telah menjadi tidak penting lagi. atau waktu telah menjadi bahan benda yang diarcakan sebagai objek siap. bersiap. siapkah kita. atau seperti selalu, kita tidak pernah siap. arca waktu yang diperangkap ruang kesementaraan.
kehilangan, pemergian, perpisahan, kematian, kehancuran, keruntuhan, kemusnahan - ketiadaanlah akhirnya yang memberikan ia siap.tamat.perbuatan yang telah berakhir.seperti barangkali kerja tukang bina bangunan yang telah selesai setelah dapat tiap tingkat sub2 kontrak atas sub kon, bila ia tidak dikerjakan lagi.sehinggalah datang misal kata kecelakaan - runtuh bumbung - retak tembok - kemalangan, masih lagi cerita kehilangan. tapi ia belum selesai lagi kerana pertanggungjawaban belum diambil, perlu ada keadilan. benar, saat ini ia dekat dan jauh sekaligus menyatu pada hasrat, niat dan barangkali buat yang belum betul2 buat atau tekadnya lonjong belum benar2 bulat, atau kepenatan membulat, berhenti sejenak mengempis.
apapun sehingga kini belum kiamat lagi, jangan takut kita semua akan melaluinya. dalam sedih siksa kita masih dapat hidup riang meneruskan perjuangan, dalam duka lara kita tetap bernafas ria terus bergembira. disebalik kebangsaTan, ber"bahasa ria," aku istirehat menikmati suatu rahmat.
Tuesday, December 22, 2009
Beyond Pressure 2: suatu laporan tak lengkap
apapun aku telah kembali dari yangon. festival seni performans telah lama berakhir. Festival seni performans Beyond Pressure berjaya dianjurkan buat kali keduanya di kota Yangon, Burma. aku antara salah seorang daripada para pesertanya.
(gambar di bawah, aku sepertimana semua peserta lainnya sedang melalui proses penapisan oleh Myanmar National Censorship Board)

(gambar dibawah performans publik yg menarik, karya seniman dari Thailand, Chakkrit Chimnok - What is real n unreal?)

Thursday, December 3, 2009
melangkaui tekanan
di sini, aku menikmati cahaya matahari dan dingin angin Disember. mungkin benar, seperti yg pernah disebut kawanku, Nazri tentang liriknya Counting Crows, "a long December and the reason to believe, maybe this year is better than the last."
www.beyondpressure.org







