Thursday, June 14, 2012
Sunday, June 3, 2012
Hutang negara RM 456 RIBU JUTA (RM 456 bilion), bayar faedah RM 20 RIBU JUTA (RM 20 Bilion) setahun
Kongres PSM ke-14 telah dirasmikan oleh Dr Nasir Hashim, Pengerusi PSM, dan di bawah adalah Ucapan Dasar beliau:
Komrad, perjuangan kita menegakkan ideologi Sosialisme sudah lama bertapak di Tanah Air kita. Kita pernah merempuhi ranjau yang berduri dan mengharungi kekejaman yang tidak terperi. Namun begitu kita tidak mudah berputus asa dan tetap kental dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Begitulah. Apabila kita sudah mengenali dan mengkaji segala ufuk / sudut dunia dan mengenali peranan diri sendiri maka kita benar-benar sudah mengenali erti kebenaran. Kebenaran yang menjunjung keadilan dan mengimbangan hubungan sejagat. Justeru itu kebijaksanaan itu bermula apabila kita dapat meletakkan sesuatu (ide, tindakan dll.) yang sesuai pada tempatnya (Wisdom begins when we can place an entity [ideas, actions etc] in their rightful place).
Hubungan kita dengan Negara-negara Sosialis, parti-parti Sosialis dan pergerakan Sosialis di rantau ini amatlah rapat. Sentiasa bertukar pandangan dan sentiasa bantu membantu kerana kita sedar usaha menumpaskan sistem kapitalis memerlukan kegigihan dan solidariti yang kukuh. Kita turut berbangga apabila Negara Prancis kini ditadbir oleh pimpinan Sosialis. Negara Venezuela juga berkembang pesat mengamalkan kuasa rakyat dari bawah. Ini menggambarkan Sosialisme tetap segar bugar dan tidak pula lapuk ditelan zaman. Kerana sistem Sosialis sajalah yang dapat mendedahkan segala pekung sistem ekonomi kapitalis dan berupaya menelanjangi sejarah dan ragam / mekanisme sistem kapitalisme yang nyata-nyata berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan. Manusia dan kemanusiaan dijadikan bahan dagangan bagi menambahkan lagi keuntungan. Tabiat ini sudah menjadi satu ketagihan yang sungguh menakjubkan (Profit is the opium of the capitalists) dan meracuni dunia sejagat.
Komrad, krisis ekonomi belum reda lagi. Masih melanda negara-negara antarabangsa dan kita pula tetap terikat kepada iklim ekonomi antarabangsa ini. Seperti pepatah kata 'Sekiranya negara-negara besar bersin kita pula mendapat selsema' (When big countries sneeze we get the cold). Seringkali juga konflik, saingan dalaman dan rebutan kuasa berlaku semasa gelombang krisis ekonomi memuncak. Sejarah negara mengesahkan hakikat ini khususnya saingan merebut jawatan Perdana Menteri di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO semasa beberapa krisis ekonomi yang melanda Negara kita.
Tuesday, May 29, 2012
Dihalau keluar dari Burma kerana seni pertunjukan
Aku sedang melakukan seni pertunjukan berjangka panjang(durational performance), sebuah pertunjukan dengan judul Dedication performance to the four master of Umbrella; 1. Chumpon Apisuk 2. Suu Myint Thein 3. Maung Ni Oo 4. El-Topo – cerita kewujudan cahaya, kerterkaitannya dengan api, pada lampu pelita. Ia sebuah karya performansku dalam siri Appropriation, Derivation, Detournment and Copycat. Tindakan gerak tubuhku agak statik, aku berdiri, di tebing sungai Irawaddy, di belakangku tembok kota kuno Istana Manadalay. Di tangan kiriku memegang lampu pelita minyak tanah dan di tangan kananku memegang payung yang terbuka, memayungi sebuah kerusi. Aku cuba untuk berada wujud dalam keadaan itu, sepanjang acara pertunjukan ini, yang melibatkan para seniman Malaysia dan Burma. Aku memulakan acara sebagai peserta pertama, diikuti dengan pertunjukan dari Lwin Maung, seniman muda dari Yangon, Burma, yang memberikan wisel atau terompet anak-anak kecil yang dibuat daripada straw plastik yang digunting, bila dihembus, menghasilkan bunyi seakan-akan, “perettt, pettt!”
Kehadiran khalayak yang ramai, menambah kegembiraan suasana apabila khlayak merespon dengan meniup terompet plastik itu. Selanjutnya, Pengetua Alin Dagar Art School, Suu Myint Thein, melakukan pertunjukannya, dengan membawa lampu suluh dan memegang penyapu. Sambil menyuluh dia menyapu permukaan kaki lima di pinggir tebing sungai.
Suu pernah menjadi tenaga pengajar di State School of Fine Art, Mandalay di antara 1995-2008, sebelum menubuhkan sekolah seninya sendiri. Karya-karya seninya meliputi penciptaan lukisan, arca, instalasi dan seni pertunjukan. Karya-karya arcanya pernah dilarang Junta tentera daripada dipamerkan.
Malah, untuk tahun ini, Moe merupakan salah seorang kurator undangan di Bhusan Bienalle. Lengkap, berpakaian tradisional, Moe Satt memulakan permainan interaktif dengan khalayak, suatu pertunjukan ucapan lisan dan gerak. Dengan kapur dia menulis di lantai kaki lima jalan huruf M-Y-A-N-M-A-R. Daripada huruf-huruf itu, orang ramai di minta memberikan makna daripada huruf itu, dan Moe Satt akan menulisnya dengan kapur, menyambungkan tulisan awalnya tadi. Misalnya huruf M untuk Mandalay.
Friday, May 11, 2012
Wednesday, May 2, 2012
benar hanya engkau yg BERSIH
akhirnya saat cahaya pencerahan itu sampai, ia datang sebagai api yang membakar kegelapan.
teruskan, teruskan lagi, ibarat kisah seorang budak pengembala kambing dengan serigala.
benar, akukan sampah, pastilah kotor.
Friday, April 27, 2012
Monday, April 23, 2012
Pak, kami juga tidak mahu mati sia-sia!
Ia malam syahdu, sebuah keraian, pastilah yang sederhana saja. Selesai Isyak, jemaah Markaz Tarbiyah Madrasah Surau Banda Dalam dijamu dalam kenduri masakan minang yang cukup menyelerakan. Walaupun aku tak dapat makan kali ini, tetapi rasa enak yang telah pernah mendarah daging itu masih tersemat dalam ingatan. Tetamu yang diraikan masih belum tiba, jamuan diteruskan.
Pada penghujung jamuan, kelihatan sosok tubuh yang diraikan itu sampai bersama isterinya. Itulah dia A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara, seorang Sasterawan Rakyat, seorang Datuk, yang sudah punya cucu. 9 April yang lalu usia emasnya menjangkau 77 tahun. Maka malam itu merupakan salah satu sambutan ulang tahun kelahiran Pak Samad yang ke 77 tahun. Sebelumnya, di Kinokuniya, KLCC, Pak Samad juga dirai oleh Institut Terjemahan Negara. Seorang tokoh, sebesar Pak Samad, ibarat sepohon cengal di hutan hujan, tegap cekal, luas dahannya memayungi rimba, berakar memasak ke bumi, hidupnya adalah penghidupan untuk hidupan lain juga dalam sebuah perjalanan fana, suatu jalinan hubungan kitaran alam.
Pada malam cukup berbahagia itu, sekelompok kecil manusia mengadakan acara sastera gaya sekolah lama (old school), dengan para penyair dari sekolah lama juga, membariskan bacaan-bacaan puisi antaranya dari penyair Dinsman, Siti Zainon Ismail, HMS Bakar. Ia anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan Madrasah Kampung Bandar Dalam.
“Kita adalah manusia elit malam ini,” begitu ketar suara pengacara majlis, Ben Ali berseloroh. Gementarnya itu memunculkan kelucuan yang mengundang tawa. Ben Ali, bersama Solleh merupakan antara anak muda yang cergas menggerakkan kegiatan Madrasah Seni, sebuah usaha dan kerja sama Paksi dan Madrasah Kg. Bandar Dalam.
Acara bermula dengan ucapan alu-aluan Pengetua Madrasah, Haji Ishak Surin, bekas pejuang kemerdekaan dan mangsa tahanan ISA. Pak Ishak yang kini bergiat dalam parti PAS, mengimbas perkenalannya dengan “Bung Samad, yang bermula semenjak dekad 50an lagi.” Saat itu, Pak Ishak merupakan anggota jawatankuasa Parti Rakyat Malaya, pimpinan Dr. Burhanudin Al Helmy. Manakala Pak Samad pula bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat, kelolaan Ahmad Boestamam, salah seorang pimpinan PRM. Justeru, atas usaha dua orang kenalan lama ini, maka berbungalah pula Madrasah Seni, dengan kegiatan-kegiatan seninya yang Islami.
Tujuh petala langit dan bumi, luas nikmat kurnia Yang Maha Esa, maka di usia 77 tahun ini, kita merasa bertuah kerana telah menemukan seorang imam demokrasi yang sedang memimpin kita tentang erti keinsanan dalam menghormati hak-hak manusia. Begitulah kira-kiranya intipati ucapan kata-kata Pak Kasim yang berbara jiwanya itu, “Pak Samad orang yang terpenting, paling ke hadapan dalam perjuangan sekarang ini.”
Pak Samad, seorang pendita tua yang menerangi kita dengan cahaya pelita hatinya yang murni dan luhur itu. Kita sedang dipimpinnya menempuh suatu zaman gelap pemerintahan negara yang penuh rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa, kemunafikan. Bilamana budi dihitung dengan duit dan keuntungan undi. Bilamana keadilan, mahkamah dan undang-undang hanya memenangkan yang berharta dan berkuasa. Bilamana senjata, undang-undang dan penjara bukan untuk melindungi tetapi untuk memeras ugut rakyat. Amanah duit zakat, anak-anak yatim, fakir miskin yang pecah. Senarai panjang skandal-skandal rasuah, kerugian, pembaziran berjumlah trliunan ringgit – beribu-ribu-ribu bilion. Hati kita sedang dicerahkan daripada berbagai kezaliman yang berleluasa, termasuklah menipu untuk menang pilihanraya. Hati kita sedang dibersihkan – agar mata cerah melihat kepura-puraan dan kemunafikan, tahu membezakan yang salah dan yang benar. Hati kita sedang cuba membuang kekotoran itu. Kekotoran juga sedang bertahan daripada dibersihkan. Kita sedang dalam Pertarungan. Hukum alam menyatakan tak ada yang kekal. Yang kekal hanyalah perubahan. 54 tahun kekuasaan telah menjadikan mereka sombong dan angkuh. Mereka tamak dan rakus, lautan luas hendak dihirupnya kering, gunung-ganang hendak dimakannya jadi rata. Makan, memang tidak akan pernah kenyang. Rasa haus, lapar dan selera perut menghidupkan kita untuk keluar mencari makan, tetapi bukan itu tujuan hidup kita, sehingga akhirnya makanan memakan diri. Jika rasa ini liar, ia harus dijinakkan, jika gelap ia mesti dicerahkan.
Ya, pada malam yang sederhana itu, Pak Samad mengimbau kehidupan masa lalunya, memberi kami pencerahan. Kami yang ada di sana, rasanya amat bertuah dapat mendengar beberapa anekdot kisah kehidupannya yang cukup peribadi itu. Tentang anekdot tersebut, rasanya agak terlalu peribadi untuk dicatatkan di sini. Kesimpulannya, ia kisah perjalanan seorang Pak Samad sebagai insan mencari keredhaan, memenuhi isi makna kewujudan, menerima, memberi dan saling berkongsi nikmat kehidupannya. Insan yang melalui zaman sebelum Perang Dunia Kedua, zaman penjajahan Jepun, kembali dijajah Inggeris, merdeka. Insan yang menyaksikan peta kebudayaan nusantara terbelah-pecah akibat penjajahan. Insan yang menyaksikan tumbuh pesat dan merosotnya Singapura, sebagai kota cendekiawan serantau. Insan yang menyaksikan tertubuhnya Malaysia. Insan yang bernafas dibawah pemerintahan 5 orang Perdana Menteri.
Sepanjang 77 tahun perjalanan itu, seperti yang diakui sendiri Pak Samad, dirinya pernah “melakukan kecurangan-kecurangan dalam hidup.” Kecurangan yang diusahakan semampu kederat, selagi hayat untuk ditebus kembali, dengan amal kebaikan, menyesali kesalahan masa lalu. Umpama menghirup nafas dalam segar embun pagi, setelah malam panjang yang menyesakkan. Di sini, kita bertemu dengan sosok keinsanan sejati, yang berani melihat dirinya dalam kesempurnaan serta kecacatan kewujudannya, kemanusiaan yang cuba dilahirkannya dengan kesederhanaan tindakan dan amalan yang sebenarnya.
(Pak Syukor Haron membacakan esei)
Unggun api kini telah marak nyalanya, Bapak, gemerlap kemilau cahayamu itu menusuk ke kalbuku, kami siap, berdiri dipimpinmu, pada hari itu, 28 April yang dinanti. “Bapak, kami juga tidak mahu mati sia-sia!”


