http://www.malaysiakini.com/columns/278144
Tanah air – begitulah gagasan asas kita bernegara. Kata tanah air dalam bahasa Inggeris merujuk kepada country yang bermaksud sebuah nasion berkerajaan sendiri, yang menduduki suatu wilayah khusus.
Konsep tanah air cukup menggambarkan pemerian orang-orang Melayu kuno terhadap tata cara bernegara yang sangat dekat – malah memelihara, menyayangi dan bercinta - dengan alamnya.
Kata patriotisme pula bermaksud mencintai tanah air. Mencintai tanah air bermaksud mencintai asas segala penghidupannya iaitu alam sekitar, kerana tanpa tanah air (alam sekitar) tidak wujudlah negara itu.
"Kami menetapkan sasaran untuk memastikan agar 50 peratus daripada hutan kekal Malaysia terpelihara untuk melindungi bio-kepelbagaian negara yang begitu penting," begitu kata PM Najib Razak pada sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun lalu.
Menjanjikan penjagaan hutan sehingga lima puluh peratus bukanlah sikap yang patriotik. Ditambah pula dengan tahap kemusnahan hutan kita yang melampau. Hutan Malaysia tergolong hujan hujan tertua di dunia – melebihi Amazon dan Kongo – berusia sekitar 130 juta tahun.
Di Sarawak, sepanjang pemerintahan Taib Mahmud selama 30 tahun, ia menyisakan hutan Sarawak menjadi cuma lima peratus sahaja. Bayangkan lima peratus yang tersisa itu mahu dibaham separuh daripadanya. Menjadikan hutannya nanti tinggal kurang lebih 2.5 peratus.
Hutan amat penting sebagai paru-paru dunia. Pohon-pohon dan tumbuhan melepaskan oksigen untuk kita hidup dan menyedut gas karbon dioksida yang kita lepaskan.
Saya ulangi hutan teramat penting, lebih-lebih lagi di saat kita berhadapan dengan kesan serta risiko pemanasan global – akibat ketamakan manusia dalam mengkonsumsi bahan bakar yang melepaskan karbon dioksida. Kita tidak boleh lagi kehilangan hutan yang tersisa ini.
Analisa kelas
Sebetulnya, saya melihat hubungan kemasyarakatan berdasarkan analisa kelas (darjat dan martabat kuasa serta harta). Saya tidak suka mentakrifkan manusia menurut kategori kaum, agama atau kepercayaan. Orang ‘baik’ dan orang ‘jahat’ ada di mana-mana.
Tetapi, apabila ada pihak-pihak munafik – golongan perosak alam – yang menganggap diri mereka mulia, mempersoalkan kecintaan golongan bukan Islam terhadap tanah air, saya menjadi mual.
Tambahan pula golongan ‘bukan Islam’ yang dituding itu telah membuktikan komitmen kecintaan mereka terhadap tanah air, contohnya seputar isu-isu politik hijau.
Politik hijau – kesedaran berkenaan kesan perhubungan manusia dan alam sekitar – boleh dikatakan masih menghijau di Malaysia.
Isu-isu berkenaan penghapusan hutan; pembalakan dan pembinaan empangan besar; kehilangan penghidupan buat warga pribumi Orang Asal; kemusnahan ekosistem tumbuhan dan haiwan; seterusnya pemanasan global – soal kelangsungan peradaban manusia – secara umumnya tidak mendapat tempat dalam perbincangan masyarakat, khususnya di kalangan masyarakat ‘Melayu Islam’.
Sebaliknya, masyarakat bukan ‘Melayu Islam’ cukup giat dan gigih atau lebih terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan alam sekitar. Hal ini dapat kita lihat dalam gerakan Himpunan Hijau, kumpulan anti-Lynas misalnya atau gerakan-gerakan anti penghapusan hutan atau gerakan anti-nuklear atau bantahan terhadap pencemaran atau gerakan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.
Meskipun dalam kes minum bir di Oktoberfest, ramai orang ‘Melayu Islam’ menuduh para pemimpin Pakatan bukan Islam, khususnya para pemimpin DAP sebagai golongan pembuat kerosakan – tetapi ia kalau adapun hanyalah kerosakan moral yang relatif sifatnya.
Orang-orang yang ditakrifkan Perlembagaan sebagai ‘Melayu Islam’ mesti mengakui mereka ketinggalan dalam berjuang untuk alam sekitar ini, tidak terkecuali diri saya juga.
Bukan suara ulama
Suara golongan agamawan agak sunyi dalam hal ini. Kalau adapun, lama dahulu sewaktu Muktamar PAS 2013, Abang Mat Sabu berucap:
"Kita lihat siapa yang ke depan dalam isu seperti Lynas dan Bukit Merah. Sepatutnya PAS yang menjuarai isu tersebut kerana menjaga alam dari dirosakkan merupakan kewajipan dalam Islam."
Sayangnya suara Abang Mat bukanlah suara ulama. Barangkali, atas sebab itu kekeramatan kalimat Abang Mat dinilai rendah, ia tidak sampai ke tahap menjadi fatwa. Hasilnya umat ‘Melayu Islam’ tidak ambil peduli.
Lebih teruk lagi terdapat golongan ‘Melayu Islam’ yang bersekongkol dengan golongan ‘bukan Islam’ dalam membuat kerosakan terhadap alam sekitar.
Di sinilah analisa kelas ekonomi dan politik sebagai pembeza darjat dan pemisah martabat manusia amat berguna untuk kita pakai.
Dalam pada itu, DAP yang majoritinya bukan Islam, sangat terkehadapan dalam pembelaan dan kecintaan mereka terhadap alam sekitar di Malaysia.
Sebagai rekod, DAP merupakan parti politik pertama yang membuat pendirian tegas berhubung masalah jerebu.
Ahli Parlimen Teo Nie Ching telah mendesak usul khas di parlimen supaya tindakan diambil terhadap para pemilik ladang yang melakukan pembakaran terbuka.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula dengan pantas bertemu Duta Besar Indonesia menyampaikan amaran keras.
Kita perlu belajar daripada pengalaman empangan Bakun, yang mana kontrak pembinaannya diberikan kepada saudagar balak.
Hilang hutan sebesar S'pura
Saya masih ingat lagi kejadian bekalan elektrik terputus di seluruh Malaysia pada tahun 1996. Digembar-gemburkan Malaysia punya masalah bekalan tenaga elektrik. Lantaran itu, dicadangkan pembinaan empangan Bakun.
Kita ditipu, apabila kononnya empangan Bakun bakal menyelesaikan masalah tenaga elektrik di Malaysia, termasuk keperluan semenanjung dengan kononnya kabel bawah laut terpanjang di dunia.
Malaysia boleh. Hasilnya, empangan Bakun gagal membekalkan elektrik ke semenanjung. Bukan itu sahaja, sebagaimana yang dilaporkan, empangan Bakun juga gagal memenuhi permintaan tenaga bagi wilayah koridor industri di Sarawak.
Empangan Bakun telah menyebabkan kita kehilangan hutan hujan tertua di dunia, seluas Pulau Singapura itu. Bio-kepelbagaian musnah kerana kerakusan, ingin cepat kaya dengan menebang balak.
Empangan Bakun telah menyebabkan lebih sepuluh ribu orang asal dipaksa pindahkan dari tanah adat mereka. Jikalau ini bukan kezaliman, apa lagi namanya.
Makanya saya tidak akan percaya apabila hari ini dikatakan pembinaan loji nuklear bakal menyelesaikan masalah masa hadapan tenaga elektrik di Malaysia.
Saya tidak boleh memaksa dan tidak punya daya untuk menguatkuasakan apa yang saya sampaikan ini. Renungkanlah siri keruntuhan binaan di Malaysia, yang terbaru struktur jejantas di Johor. Saya ulangi tidak ada jaminannya loji nuklear yang akan dibina itu tidak runtuh dan bocor!