Sunday, June 3, 2012

Hutang negara RM 456 RIBU JUTA (RM 456 bilion), bayar faedah RM 20 RIBU JUTA (RM 20 Bilion) setahun


Kongres PSM ke-14 telah dirasmikan oleh Dr Nasir Hashim, Pengerusi PSM, dan di bawah adalah Ucapan Dasar beliau:


UCAPAN DASAR PENGERUSI NASIONAL KONGRES PSM 2012

1. PENGENALAN

Komrad, perjuangan kita menegakkan ideologi Sosialisme sudah lama bertapak di Tanah Air kita. Kita pernah merempuhi ranjau yang berduri dan mengharungi kekejaman yang tidak terperi. Namun begitu kita tidak mudah berputus asa dan tetap kental dalam perjuangan menegakkan kebenaran. Begitulah. Apabila kita sudah mengenali dan mengkaji segala ufuk / sudut dunia dan mengenali peranan diri sendiri maka kita benar-benar sudah mengenali erti kebenaran. Kebenaran yang menjunjung keadilan dan mengimbangan hubungan sejagat. Justeru itu kebijaksanaan itu bermula apabila kita dapat meletakkan sesuatu (ide, tindakan dll.) yang sesuai pada tempatnya (Wisdom begins when we can place an entity [ideas, actions etc] in their rightful place). 

Hubungan kita dengan Negara-negara Sosialis, parti-parti Sosialis dan pergerakan Sosialis di rantau ini amatlah rapat. Sentiasa bertukar pandangan dan sentiasa bantu membantu kerana kita sedar usaha menumpaskan sistem kapitalis memerlukan kegigihan dan solidariti yang kukuh. Kita turut berbangga apabila Negara Prancis kini ditadbir oleh pimpinan Sosialis. Negara Venezuela juga berkembang pesat mengamalkan kuasa rakyat dari bawah. Ini menggambarkan Sosialisme tetap segar bugar dan tidak pula lapuk ditelan zaman. Kerana sistem Sosialis sajalah yang dapat mendedahkan segala pekung sistem ekonomi kapitalis dan berupaya menelanjangi sejarah dan ragam / mekanisme sistem kapitalisme yang nyata-nyata berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan. Manusia dan kemanusiaan dijadikan bahan dagangan bagi menambahkan lagi keuntungan. Tabiat ini sudah menjadi satu ketagihan yang sungguh menakjubkan (Profit is the opium of the capitalists) dan meracuni dunia sejagat.

Komrad, negara kita sedang dalam krisis. Krisis ekonomi, krisis kepimpinan, krisis politik, krisis sosial, krisis keagamaan, krisis minda dan pelbagai krisis lagi, yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat yang merupakan golongan pekerja dan pengguna. Kita perlihatkan bagaimana Kerajaan yang sepatutnya menjaga kebajikan dan membela nasib rakyat, sudah berpaling tadah. Sanggup bersubahat dengan golongan kapitalis, bertujuan untuk menghancurkan tuntutan dan hak rakyat. 

Lantas golongan kapitalis tetap bermaharalela dan halal menindas golongan pekerja demi meraih keuntungan yang besar. Kita juga perlihatkan bagaimana golongan profesional dan cerdik pandai melacurkan kemahiran masing-masing demi melonjakkan kedudukan / kerjaya, lantas meraih ganjaran yang lumayan. Tujuan mereka adalah jelas iaitu, mematahkan semangat perjuangan rakyat dan menggantikannya dengan budaya pautan (culture of dependency) dan budaya ketakutan (siege mentality).

Maka mereka memutarbelitkan agama dengan fatwa-fatwa yang berat sebelah; melaga-lagakan kaum dan melancarkan badan-badan samseng untuk melaksanakan agenda jijik mereka. Apabila usaha-usaha ini tidak berkesan maka mereka mengatur fitnah dan memutarbelitkan pilihanraya. Demi memancing undi, pucuk pimpinan BN dan UMNO sanggup menawarkan kerakyatan kepada orang asing lantas mengorbankan kedaulatan negara dan mengkhianati hak rakyat untuk memilih pemimpin yang sah.


2. KRISIS YANG BERTERUSAN
Cuba bayangkan. Wang Simpanan Negara semakin merosot. Negara berhutang dalam jumlah RM456,000 miliun (RM 456 biliun) dan terpaksa membayar faedah hutang RM 20,000 miliun (RM 20 biliun) setahun. Tetap mengharapkan kepada pelaburan asing dan pengekspotan barangan. Pelaburan  besar pula tertumpu kepada Negeri PR seperti Pulau Pinang dan Selangor. 

Komrad, krisis ekonomi belum reda lagi. Masih melanda negara-negara antarabangsa dan kita pula tetap terikat kepada iklim ekonomi antarabangsa ini. Seperti pepatah kata 'Sekiranya  negara-negara besar bersin kita pula mendapat selsema' (When big countries sneeze we get the cold). Seringkali juga konflik, saingan dalaman dan rebutan kuasa berlaku semasa gelombang krisis ekonomi memuncak. Sejarah negara mengesahkan hakikat ini khususnya saingan merebut jawatan Perdana Menteri di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO semasa beberapa krisis ekonomi yang melanda Negara kita.

Nampaknya isu rasuah dan salah gunakuasa memang tidak ada penamatnya. Sekiranya pemimpin politik atau pegawai tinggi didakwa, mereka ini tidak segan silu mengugut, mendedah dan mengheret semua pegawai tinggi dan menteri-menteri dalam perbicaraan mahkamah nanti. Ini sungguh menggerunkan pucuk pimpinan yang korup yang masih memegang jawatan yang tinggi. Maka sebab itulah orang-orang yang menyeleweng dan berpangkat besar tetap terlepas dari dakwaan. Namun begitu sekiranya mereka didakwa, maka perbicaraan akan memakan masa yang panjang. Akibatnya adalah segala tuduhan diketepikan dan mereka ini dibebaskan begitu saja.

Justeru itu, isu rasuah dan salah gunakuasa tetap berkembang luas. Kita pula tidak hairan lagi sekiranya rekod senarai pengundi (dari segi alamat, kawasan mengundi, kewarganegaraan baru, undi pos dan sebagainya) diputar belitkan bagi memihak kepada BN. Tindakan yang jelek seperti ini dihalalkan oleh media perdana dan pihak kehakiman yang memang dimiliki dan atau dikuasai oleh BN. Maka mereka yang menentang ketidakadilan dan penyelewengan sentiasa difitnah dan didakwa, sekalipun cerita-cerita yang ditonjolkan itu sudah basi dan tidak benar. Pendek kata profesyen kewartawanan telah dilacurkan demi mengejar kedudukan dan imbuhan. Menabur fitnah adalah usaha yang tidak beretika dan dikecam oleh semua agama.

Senarai penyelewengan dalam kerajaan pusat menjela panjang termasuklah isu-isu lembu, kapal selam yang berkaitan dengan pembunuhan Altantuya dan komisyen yang beratus juta; tuduhan salagunakuasa terhadap bekas ketua polis negara dan AG; kronisme; nepotisme; persubahatan; penswastaan sektor-sektor asas; ketirisan; wang peneroka Felda disonglap dengan pembelian hasil kelapa sawit dengan harga yang murah; pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihanraya adalah ahli UMNO dan sebagainya. Kesemuanya ini akan menghantui BN sepanjang pentadbirannya dan semasa pilihanraya nanti.

3. KEBANGKITAN RAKYAT

Peristiwa dan pergerakan rakyat yang silam telah menemui kemuncaknya dengan Perhimpunan Bersih 3. Peristiwa Bersih telah mendapat perhatian orang ramai dan juga pada peringkat antarabangsa.
   
        i. Bersih 1
Empat bulan selepas Bersih 1, PR meraih 4 Negeri dan Wilayah Persekutuan dalam Pilihanraya 2008

       ii. Bersih 2
Lima puluh ribu rakyat berhimpun di Kuala Lumpur dan di siram dengan air kimia dan gas pemedih mata yang juga membakar tekak dan tubuh badan. Sebelum itu ahli-ahli PSM telah ditahan bawah EO (Ordinan Darurat ala ISA) dan dituduh cuba menghidupkan komunisme; menderhaka / memerangi Agong; dan menjadi penganjur Bersih  Kesemua tuduhan tidak lekat dan PSM mendapat sokongan dari semua pihak. Namun begitu tuntutan rakyat untuk mengadakan pilihanraya yang adil tidak kesampaian dan tidak mendapat layanan yang sewajarnya. Maka wujudlah Bersih 3.

     iii. Bersih 3 - 
Himpunan yang terbesar yang disertai lebih kurang  250,000 rakyat Malaysia. Keganasan lebih hebat kali ini dan wartawan juga telah dikasari kerana disyaki mengambil gambar dan video terhadap keganasan polis. Yang sungguh merangsangkan adalah Himpunan ini  melibatkan rakyat dari berbilang kaum, golongan muda dan wanita. usaha BN memburukkan Perhimpunan ini tidak berkesan kerana video rakyat terhadap peristiwa  tersebut menunjukkan sebaliknya. Peristiwa ini lebih kejam dari Bersih 2.

Kebelakangan ini penggubalan undang-undang Isa dan Buruh di Parlimen merupakan amalan boneka yang mengkhianati hasrat dan harapan rakyat. Pemerintah BN telah memihak kepada majikan / kapitalis termasuklah pengistiharkan gaji minima yang rendah. Pendapatan minima sepatutnya berkisar kepada RM 1500 dan bukan RM 800 - 900. Segala tindakan ini bersifat alah kadar, memang berbau politik dan bersifat oportunis kerana BN ingin memancing undi menjelang Pilihanraya 13 ini. Pada hemat kami BN dan UMNO memang terlalu angkuh, merasa dirinya kebal dan tidak akan menggubal Undang Isa, Undang-undang Buruh dan gaji minimum sekiranya masa pilihanraya terlalu jauh lagi.

Isu menentang bahan radioaktif yang dikelolakan oleh Lynus juga mendapat perhatian dan sokongan ramai. Namun begitu keresahan rakyat cuba dilunakkan dengan alasan dan penjelasan yang tidak rasional. Hari Pekerja pada Mei 1 berjalan lancar dan mendapat sokongan kesatuan khususnya NUBE. Mereka berhimpun dan berpidato di dataran Maybank. Keberanian kesatuan turun ke padang amat membanggakan. Pemimpin-pemimpin berpeluang mendedahkan tindakan kerajaan pusat dan majikan menghancurkan kesatuan (union busting); mengasak pekerja untuk berhenti sendiri (constructive dismissal); bersubahat dengan kapitalis; menghalalkan penindaan dan membelakangkan hakikat sebenarnya iaitu, golongan pekerja adalah tulang belakang kepada ekonomi dan pembangunan Negara.


4. KEBANGKITAN RAKYAT SEBAGAI KUASA POLITIK (POLITICAL FORCE) ?

Soalan yang perlu mendapat jawapan adalah

    a. Adakah Himpunan ini dan himpunan yang sebelumnya merupakan suatu reaksi terhadap isu-isu tertentu sahaja (issue oriented).
    b. Bagaimana dengan kematangan berorganisasi dan berkomunikasi sebelum, semasa dan  sesudah Himpunan tersebut.
    c. Tidakkah pucuk pimpinan Bersih mengambil kira tindakan dan risiko yang bakal menimpa pemimpin dan rakyat.  Apa pula persediaan / taktik bagi mengatasinya.
    d. Adakah Himpunan ini mempunyai matlamat jangka panjang yang membolehkan rakyat terus berjuang dalam pelbagai isu.
    e. Adakah Himpunan ini berkisar kepada ideology tertentu ataupun bergerak secara spontan mengikut emosi iaitu:
i. Lebih mempertikaikan agensi kerajaan tertentu dan tidak menghiraukan peranan 
kapitalis  dan  konco-konco yang mendalanginya.
ii. Minda rakyat yang masih terperangkap dalam kancah sistem kapitalisme yang            
bernafaskan pada penindasan, budaya pautan (culture of dependency) dan kemusnahan.
iii. Benarkah golongan aktivis mengharap sangat agar Perhimpunan ini berkembang pesat sepertimana yang berlaku pada Negara-negara Arab (Arab Spring)

    f.  Apakah pengajaran atau iktibar dari kesemuanya ini dan bagaimana kita dapat menggemblengkan dan mengekalkan kuasa / tenaga rakyat bagi melaksanakan perjuangan jangka panjang.


 5. MENGKAJI KEADAAN (SOUL SEARCHING)

Kita memang berharap sangat agar penyertaan kita dalam pilihanraya merupakan sebahagian dari pelbagai percubaan / ikhtiar dalam usaha kita mendekati diri dengan rakyat. Namun dalam keghairahan ini kita mudah mengubahkan pilihanraya itu sebagai matlamat utama (election oriented) bagi memperkasakan rakyat.

Di samping itu pula, kita terpaksa berdepan dengan budaya keangkuhan dan pembolotan / monopoli dari pihak-pihak tertentu seolah-olah semua kawasan pilihanraya dalam negara sudah diagihkan dan menjadi hak mutlak masing-masing. Ini menyukarkan parti-parti baru untuk bertapak dan terpaksa mengemis untuk mendapatkan kerusi undi. Walaupun demikian kita secara sedar, terpaksa menghadapi cabaran ini dan perlu mengkaji kekuatan dan kelemahan kita berbanding dengan pihak-pihak yang lain. Dengan hasil kajian ini maka kita dapat bertindak secara teratur, berkesan dan akan berunding dalam kekuatan.

Kekuatan kita berkisar kepada usaha kita mendampingi rakyat dalam pelbagai aktiviti dan bagaimana kita dapat memperkasakan mereka dengan ilmu, analisis, tindakan dan pengalaman. Namun kita haruslah bersedia menggerakkan sesuatu yang baru / anjakan paradigma (paradigm shift) agar pihak musuh terpaksa mengikuti rentak yang baru ini (we change the ground rules)  Untuk menghadapi taktik politik kotor kita haruslah mewujudkan atau menggerakkan suatu keadaan / senario di mana musuh tidak dapat memutarbelitkan isu yang timbul dan tidak pula dapat memfitnahkan kita.

Kita pula perlu berusaha memulihkan minda rakyat supaya tidak berpaut ketat pada pemimpin tertentu. Sekiranya kita tidak wujudkan amalan tegur menegur sesama sendiri (criticism and self criticism; check and balance) maka lambat laun pemimpin yang disanjung tinggi itu akan menjadi diktator dan tindakannya itu mampu melemahkan parti / persatuan dan mengorbankan kepentingan rakyat. BN, UMNO dan Dr Mahathir adalah contoh yang sahih. Kita juga ingin mengkaji sokongan yang diterima selama ini, samada ianya berbentuk sokongan belas kesihan atau sokongan protes. Ataupun mereka benar-benar ingin menyertai dalam perjuangan menegakkan Sosialisme.

        
6. PERANAN PSM

Peranan kita adalah bukan hanya menunggu atau mengharapkan peluang bergolek-golek ke kaki tetapi mewujudkan atau mencetuskan peluang yang memihak kepada kita (we must not wait for the opportunity but we must create the opportunity). Ini bermakna kita perlu membuktikan bahawa kita mempunyai ideologi yang mantap, mampu memimpin dan berupaya mencorak langkah yang lebih berkesan dan perjuangan yang berterusan. Bekalan kita untuk masa depan adalah mengukuhkan semangat perjuangan pada golongan muda PSM. Adakalanya cadangan-cadangan mereka menjangkau kemampuan semasa, namun kita cuba mengesani atau menceduk intisari idealisme tersebut dan membelainya dengan penuh pengertian supaya tidak melemah atau membatalkan semangat perjuangan mereka. Dorongan yang bersifat Kiri, Tengah dan Kanan dalam perjuangan kiri mempunyai hikmahnya yang tersendiri kerana setiap satu itu menegur kita supaya bergerak cermat. Yang Kiri-atas-Kiri membayangkan tindakan yang lebih keras harus diambilkira. Yang Tengah-atas-Kiri membayangkan imbangan terhadap keadaan yang bercanggah. Yang Kanan-atas-Kiri menegur kita untuk berwaspada dan mengambil kira segala taktik dan strategi musuh. Pendek kata kita mesti mengkaji, menceduk dan mengimbangkan keadaan yang bercanggah ini supaya tindakan kita itu lebih mantap, selaras dengan keperluan semasa dan kehendak rakyat.

Adakalanya pengalaman yang menggunung tinggi tidak semestinya menjaminkan kejayaan kerana sudah terperangkap dalam acuan lama yang mendewa-dewakan birokrasi, 'realiti kehidupan' (yang berbau oportunisme !!) dan sudah ketinggalan masa hingga mampu membekukan semangat perjuangan.  Sepatutnya perjuangan ini bersifat dinamik, bercanggah dan sentiasa membuka jalan baru. Tugas kita adalah sentiasa mencari pendekatan baru yang memudahkan kita menangani masalah semasa.

Justeru itu kesinambungan dalam kepimpinan dan pejuangan perlu dikukuhkan dengan ideologi dan pengalaman yang mantap jika parti ingin berkembang maju ke tahap yang lebih tinggi lagi. Dengan cara ini kita bukan sahaja mudah mengambil alih tugas pucuk pimpinan tetapi juga berpeluang menambahkan mutu pengalaman mengikut keadaan dan cabaran semasa.

Memperkasakan rakyat bukanlah suatu perkara yang mudah. Terlebih dulu, kita mestilah memikat hati mereka dengan pelbagai aktiviti dan tuntutan yang menyentuh jiwa mereka dan menguntungkan diri dan masyarakat mereka. Kepercayaan ini akan membuka pintu minda mereka untuk menerima dan memahami cadangan, analisis dan seterusnya bertindak mempertahankan hak. Kita sedar bahawa tidak sesiapa pun yang terlebih tinggi dan terlalu penting. Penggantinya tetap ada apabila kita telah menanamkan semangat kesinambungan terhadap kepimpinan dan perjuangan. Seperti pepatah lama ' patah tumbuh hilang beganti'


7. PENUTUP

Komrad, kita berada di dalam keadaan yang berpancaroba, dinamik dan sentiasa menagihkan pendekatan baru yang sejajar dengan kemampuan dan hasrat rakyat. Kita kukuhkan kekuatan dan kedudukan kita apabila kita dapat bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan kita mempunyai agenda (walaupun bersifat program minimum) yang agak sama. Soalnya bagaimana kita dapat mencelah (seeking entry point) agar usaha kita tidak terlalu janggal dan mudah pula diterima masyarakat. Kerana segala yang kita lakukan itu memang berkaitan rapat dengan masalah kehidupan harian. Usaha ini membuka ruang dan peluang agar rakyat dapat berdikari dan memperjuangkan ketulenan demokrasi, kebebasan dan keadilan. Setakat ini pejuangan Sosialisme adalah satu satunya yang dapat mempertikai dan menunduk amalan penindasan dan kezaliman yang menjadi darah daging pada sistem kapitalisme. Kita ingin memperkenankan alternatif  baru di mana segala kegiatan masyarakat berkisar kepada manusia dan kemanusiaan dan bukan lagi kepada keuntungan. Salam perjuangan.
   

DR. NASIR HASHIM
PENGERUSI NASIONAL PSM