Monday, April 23, 2012

Pak, kami juga tidak mahu mati sia-sia!

(gambar: Pak Ishak Surin berucap)
Ia malam syahdu, sebuah keraian, pastilah yang sederhana saja. Selesai Isyak, jemaah Markaz Tarbiyah Madrasah Surau Banda Dalam dijamu dalam kenduri masakan minang yang cukup menyelerakan. Walaupun aku tak dapat makan kali ini, tetapi rasa enak yang telah pernah mendarah daging itu masih tersemat dalam ingatan. Tetamu yang diraikan masih belum tiba, jamuan diteruskan.

Pada penghujung jamuan, kelihatan sosok tubuh yang diraikan itu sampai bersama isterinya. Itulah dia A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara, seorang Sasterawan Rakyat, seorang Datuk, yang sudah punya cucu. 9 April yang lalu usia emasnya menjangkau 77 tahun. Maka malam itu merupakan salah satu sambutan ulang tahun kelahiran Pak Samad yang ke 77 tahun. Sebelumnya, di Kinokuniya, KLCC, Pak Samad juga dirai oleh Institut Terjemahan Negara. Seorang tokoh, sebesar Pak Samad, ibarat sepohon cengal di hutan hujan, tegap cekal, luas dahannya memayungi rimba, berakar memasak ke bumi, hidupnya adalah penghidupan untuk hidupan lain juga dalam sebuah perjalanan fana, suatu jalinan hubungan kitaran alam.

Pada malam cukup berbahagia itu, sekelompok kecil manusia mengadakan acara sastera gaya sekolah lama (old school), dengan para penyair dari sekolah lama juga, membariskan bacaan-bacaan puisi antaranya dari penyair Dinsman, Siti Zainon Ismail, HMS Bakar. Ia anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan Madrasah Kampung Bandar Dalam.

(Prof Siti Zainon berpuisi)

“Kita adalah manusia elit malam ini,” begitu ketar suara pengacara majlis, Ben Ali berseloroh. Gementarnya itu memunculkan kelucuan yang mengundang tawa. Ben Ali, bersama Solleh merupakan antara anak muda yang cergas menggerakkan kegiatan Madrasah Seni, sebuah usaha dan kerja sama Paksi dan Madrasah Kg. Bandar Dalam.

Acara bermula dengan ucapan alu-aluan Pengetua Madrasah, Haji Ishak Surin, bekas pejuang kemerdekaan dan mangsa tahanan ISA. Pak Ishak yang kini bergiat dalam parti PAS, mengimbas perkenalannya dengan “Bung Samad, yang bermula semenjak dekad 50an lagi.” Saat itu, Pak Ishak merupakan anggota jawatankuasa Parti Rakyat Malaya, pimpinan Dr. Burhanudin Al Helmy. Manakala Pak Samad pula bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat, kelolaan Ahmad Boestamam, salah seorang pimpinan PRM. Justeru, atas usaha dua orang kenalan lama ini, maka berbungalah pula Madrasah Seni, dengan kegiatan-kegiatan seninya yang Islami.

Tujuh petala langit dan bumi, luas nikmat kurnia Yang Maha Esa, maka di usia 77 tahun ini, kita merasa bertuah kerana telah menemukan seorang imam demokrasi yang sedang memimpin kita tentang erti keinsanan dalam menghormati hak-hak manusia. Begitulah kira-kiranya intipati ucapan kata-kata Pak Kasim yang berbara jiwanya itu, “Pak Samad orang yang terpenting, paling ke hadapan dalam perjuangan sekarang ini.”

Pak Samad, seorang pendita tua yang menerangi kita dengan cahaya pelita hatinya yang murni dan luhur itu. Kita sedang dipimpinnya menempuh suatu zaman gelap pemerintahan negara yang penuh rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa, kemunafikan. Bilamana budi dihitung dengan duit dan keuntungan undi. Bilamana keadilan, mahkamah dan undang-undang hanya memenangkan yang berharta dan berkuasa. Bilamana senjata, undang-undang dan penjara bukan untuk melindungi tetapi untuk memeras ugut rakyat. Amanah duit zakat, anak-anak yatim, fakir miskin yang pecah. Senarai panjang skandal-skandal rasuah, kerugian, pembaziran berjumlah trliunan ringgit – beribu-ribu-ribu bilion. Hati kita sedang dicerahkan daripada berbagai kezaliman yang berleluasa, termasuklah menipu untuk menang pilihanraya. Hati kita sedang dibersihkan – agar mata cerah melihat kepura-puraan dan kemunafikan, tahu membezakan yang salah dan yang benar. Hati kita sedang cuba membuang kekotoran itu. Kekotoran juga sedang bertahan daripada dibersihkan. Kita sedang dalam Pertarungan. Hukum alam menyatakan tak ada yang kekal. Yang kekal hanyalah perubahan. 54 tahun kekuasaan telah menjadikan mereka sombong dan angkuh. Mereka tamak dan rakus, lautan luas hendak dihirupnya kering, gunung-ganang hendak dimakannya jadi rata. Makan, memang tidak akan pernah kenyang. Rasa haus, lapar dan selera perut menghidupkan kita untuk keluar mencari makan, tetapi bukan itu tujuan hidup kita, sehingga akhirnya makanan memakan diri. Jika rasa ini liar, ia harus dijinakkan, jika gelap ia mesti dicerahkan.

Ya, pada malam yang sederhana itu, Pak Samad mengimbau kehidupan masa lalunya, memberi kami pencerahan. Kami yang ada di sana, rasanya amat bertuah dapat mendengar beberapa anekdot kisah kehidupannya yang cukup peribadi itu. Tentang anekdot tersebut, rasanya agak terlalu peribadi untuk dicatatkan di sini. Kesimpulannya, ia kisah perjalanan seorang Pak Samad sebagai insan mencari keredhaan, memenuhi isi makna kewujudan, menerima, memberi dan saling berkongsi nikmat kehidupannya. Insan yang melalui zaman sebelum Perang Dunia Kedua, zaman penjajahan Jepun, kembali dijajah Inggeris, merdeka. Insan yang menyaksikan peta kebudayaan nusantara terbelah-pecah akibat penjajahan. Insan yang menyaksikan tumbuh pesat dan merosotnya Singapura, sebagai kota cendekiawan serantau. Insan yang menyaksikan tertubuhnya Malaysia. Insan yang bernafas dibawah pemerintahan 5 orang Perdana Menteri.

Sepanjang 77 tahun perjalanan itu, seperti yang diakui sendiri Pak Samad, dirinya pernah “melakukan kecurangan-kecurangan dalam hidup.” Kecurangan yang diusahakan semampu kederat, selagi hayat untuk ditebus kembali, dengan amal kebaikan, menyesali kesalahan masa lalu. Umpama menghirup nafas dalam segar embun pagi, setelah malam panjang yang menyesakkan. Di sini, kita bertemu dengan sosok keinsanan sejati, yang berani melihat dirinya dalam kesempurnaan serta kecacatan kewujudannya, kemanusiaan yang cuba dilahirkannya dengan kesederhanaan tindakan dan amalan yang sebenarnya.

(Pak Syukor Haron membacakan esei)

Unggun api kini telah marak nyalanya, Bapak, gemerlap kemilau cahayamu itu menusuk ke kalbuku, kami siap, berdiri dipimpinmu, pada hari itu, 28 April yang dinanti. “Bapak, kami juga tidak mahu mati sia-sia!”