Menjelang
Ramadhan Al-Mubarak, kita sekali lagi cuba disajikan dengan propaganda usang
dan lapuk, momokan hantu komunis dan pengganas Islam (dirujuk pihak berkuasa
sebagai JI). Bulan puasa, seiring dengan
sambutan hari kemerdekaan – seperti selalu – dapat dimanfaatkan parti
pemerintah untuk menyerang parti-parti Pakatan Rakyat. Masyarakat mahu
diingatkan bahawa Mat Sabu bertanggungjawab membawa wacana sejarah yang
menamakan Mat Indera sebagai tokoh kemerdekaan.
Disebalik
propaganda anti komunis ini, yang cuba diterapkan adalah tanggapan orang-orang
komunis itu tidak beragama, atheis, malah memerangi agama. Tanggapan (persepsi)
pastilah ada benar dan ada salahnya. Tetapi tanggapan bukanlah fakta kebenaran.
Makanya seorang pimpinan tertinggi parti Islam yang membela tokoh komunis
Malaya, cuba untuk diputar serang-pesongkan tanggapan umum terhadapnya agar
menjadi hodoh buruk pemerian serta gambarannya.
Seraya pembelaan perjuangan
berdarah patriotisme merebut kemerdekaan tanah air daripada penjajahan Inggeris
telah diserong pesong menjadi membela fahaman anti agama, khususnya anti-Islam
dan pro kepada rakyat berketurunan Cina di Malaysia.
Komunisme adalah ideologi.
Sistem aturan fikiran ideologi ini, sebagaimana salasilah agama-agama juga
turut memiliki cabang-cabang mazhab berupa pecahan –– percambahan – penokok
tambahan – penyesatan – atau perkembangannya. Komunisme, juga memiliki
keragaman versi-versinya. Tidak sama Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, dengan
Parti Komunis China sekarang. Meskipun kedua-duanya adalah parti komunis.
Ia
sebuah lagu lama dakyah perang dingin yang dinyanyikan semula dengan nafas mutakhir
yang kurang segar. Lagu ini tetap didendangkan, walaupun fakta-fakta sejarah,
penulisan biografi dan kesaksian bekas-bekas anggota PKM, khususnya mereka yang
beragama Islam, menunjukkan hal yang sebaliknya. Malahan fakta menunjukkan Mat
Indera juga seorang guru agama.
Sejarah boleh ditaksir baca bahawa sebenarnya
bukan PKM yang menyusupi golongan kiri dan agamawan Melayu progresif. Pada
tahun 2012 ini, melalui blog Mat Amin (http://matamin02.blogspot.com/) misalannya,
kita dapat melihat hal yang sebaliknya berlaku. Apatah lagi dakwah serta perkahwinan
campur Melayu-keturunan Cina telah mengIslamkan ramai ahli-ahli PKM yang bukan
Islam.
Kita
mesti senantiasa beringat akan hal-hal berkait sentimen keagamaan, perkauman
atau kebudayaan sesuatu etnik seringkali menjadi alat untuk dieksploitasi atau dimanipulasi
sebagai kempen bagi mendapat sokongan politik. Baru-baru ini pula, saya membaca
tentang tindakan Pemuda Pas dan terbaru pemuda parti Umno terhadap nasib
orang-orang Rohingya.
Saya tidak bertujuan mempersoal hasrat atau niat tersirat
di dalam hati masing-masing. Sekecil atau sebesar apapun, ia usaha mulia –
kalau betul hajatnya. Cuma rasanya, Khairy dilihat sebagai peniru atau cuba
menutup kelemahan pihak berkuasa, lalu ikut menuruti jejak Ketua Pemuda Pas, Nasrudin
Hasan. Dewan Pemuda Pas telahpun terlebih dahulu mengumumkan demonstrasi
Munajat, sebagai setiakawan untuk rakyat Rohingya itu.
Masalah
Rohingya bukan baru. Seperti Palestin, telah puluhan tahun wujud, sepertimana
banyak lagi masalah-masalah perpindahan/ pengusiran paksa di dunia hari ini.
Kita tahu ramai pelarian Rohingya di Malaysia, yang pernah ditahan, tidak
diiktiraf sebagai pelarian, dihantar ‘pulang’ hanya ke sempadan Thailand.
Seterusnya para pelarian di sempadan ini perlu untuk sekali lagi melalui denai
berliku jaringan sindiket pemerdagangan manusia yang penuh jerangkap itu, agar
dapat sekali lagi sampai ke sini.
Lantas kebarangkalian mereka untuk melalui lingkaran setan – perhambaan
moden –pemerdagangan manusia – rasuah dan salah guna pihak berkuasa – itu berkali-kali lagi, setelah berada di tanah
Malaysia yang selamat ini, amat cukup besar sekali.
Perkara ini pernah dikupas
dan diungkap dengan teliti serta penuh menyayat hati oleh para pelarian Rohingya
sendiri di dalam buku The Revolving Door,
terbitan Tenaganita, pada tahun 2008.
Bukan
ahli politik Malaysia saja yang menggunakan puasa sebagai modal buat dijual di
pasar politik untuk dibeli (disokong) orang ramai. Presiden Amerika Syarikat
(AS), Obama juga turut memanfaatkan Ramadhan dengan memberikan ucapan selamat
serta merayakan acara berbuka puasa di Rumah Putih.
Apakah ucapan ini
benar-benar ditujukan kepada umat Islam AS atau ke seluruh dunia, ataupun
khusus dihalakan kepada pihak-pihak tertentu sahaja? Polisi luar negara Amerika
Syarikat sejak berdekad-dekad lamanya seringkali dilihat tidak mesra, malah
memusuhi umat Islam dan negara-negara Islam.
Barangkali ucapan Obama tersebut
berkait rapat dengan dasar luar AS terhadap China dengan menghubungkannya
kepada keadaan dan nasib umat Islam, di China.
Rumah
Putih cuba menunjukkan kepada dunia bahawa AS yang ‘demokratik’ lebih peka
terhadap ajaran Islam berbanding China yang ‘komunis’ kerana melarang rakyat
minoritinya yang beragama Islam daripada berpuasa.
Meskipun hakikatnya, di luar
konteks ucapan sambutan puasa Obama itu – seperti yang terjadi di Timur Tengah,
Afghanistan, Iraq, Palestin atau penganiayaan di kem Abu Gharib – Islam dicemari
dan tidak dihormati.
Uighur
(disebut Wee-gerz) merupakan kumpulan etnik yang berbahasa Turki, beragama
Islam di kawasan Xinjiang. Dulu ia dikenali dengan nama Turkistan Timur. Secara
sejarahnya, wilayah ini merupakan laluan
perdagangan ‘jalan sutera’ Asia Tengah yang penting.
Interaksi para penduduk di
wilayah ini dengan para pedagang serta pendakwah Arab, Farsi dan Turki, sejak
tersebarnya hadis, “tuntutlah ilmu sampai ke negeri China,” telah membawa syiar
Islam ke Xinjiang. Wilayah Barat Laut China tersebut kaya dengan hasil galian
bumi, minyak, gas dan arang batu.
Awal
minggu ini, Radio Free Asia melaporkan pihak berkuasa melarang sebarang bentuk kegiatan
ibadat awam pada sepanjang bulan Ramadhan. Menurut Dilxat Raxit, jurucakap World Uyghur Congress, kumpulan
pelarian yang berpengkalan di Munich, “para anggota Parti Komunis China (CPC),
kakitangan kerajaan di Xinjiang dilarang daripada berpuasa sepanjang bulan
Ramadhan.”
Umat Islam di sana sentiasa dalam pemerhatian, kawalan dan
pemantauan pihak berkuasa. Bagi para pekerja swasta dan para pelajar sekolah
dan universiti pula, mereka disediakan makan tengahari.
Perlakuan
kerajaan komunis terhadap rakyatnya yang beragama Islam di China, pastilah
membawa bermacam-macam tanggapan, atau barangkali tindakan. Di sini ingin saya
cadangkan Khairy Jamaluddin yang berhubungan rapat dengan Sekretariat Pemuda CPC,
usulan agar parti Umno yang telahpun menandatangani perjanjian hubungan rasmi
(MOU) pada tahun 2010 dengan CPC untuk melakukan sesuatu.
Inilah masanya untuk
Umno membuktikan keperkasaan serta kejaguhannya di mata orang-orang Melayu,
umat Islam, rakyat Malaysia dan umat manusia sejagat! Moga umat Islam Uighur
dapat diselamatkan, tetapi janji ditepati kepada CPC.
Kini,
bagaimana pula jika orang bertanyakan tentang keterkaitan rasmi parti United
Malay National Organization dengan CPC, yang menindas Wilayah Autonomi Xinjiang
dan mendiskriminasi minoriti umat Islam yang ‘hanyalah’ berjumlah kira-kira 8 juta
orang itu? (sila baca diskriminasi ke atas umat Islam China: http://factsanddetails.com/china.php?itemid=82&catid=3&subcatid=8 )
Kita juga tahu, ada pelarian politik Islam Uighur yang dihantar
pulang pihak berkuasa Malaysia ke China, untuk berdepan pemenjaraan dan
hukuman. Entahkan hidup, entahkan mati.
Menjadi amalan di China, anggota
keluarga yang bertanyakan atau menghantar petisyen kepada pihak berkuasa China,
berdepan ancaman, gangguan, ugutan, malah tangkapan ataupun ayat hambar kepada
isteri tahanan, “baliklah jaga anak-anak di rumah.”
Rasa
peri kemanusiaan bagi saya lebih besar merentas perbezaan mazhab-mazhab,
kerasmian protokol agama-agama, sistem-sistem idea, etika, adat atau moral apapun
di dunia.
Kerana jika kita benar-benar tersentuh terhadap nasib golongan
minoriti Islam di negara manapun. Kita juga mesti tersentuh dengan nasib
kezaliman tindakan diskriminasi terhadap golongan minoriti apapun dan di
manapun, tanpa mengenal batas agama, kaum, gender atau latar budaya, mahupun
asal negara seseorang itu.
Lebih-lebih lagi kepekaan kita terhadap cara, dasar
dan perundangan negara Malaysia sendiri dalam memperlakukan golongan minoriti. [Kita
yang saya maksudkan – cukup sekadar yang membaca tulisan ini :)]
Suka
saya kutip kembali, ucapan penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi
baru-baru ini, moga-moga dengan semangat bulan puasa, kita dapat belajar,
paling kurangpun tentang jiwa dan akal budi diri kita sendiri.
Meski konteks
ucapan Suu Kyi merujuk kepada kesusahan para pelarian rakyat Burma, tetapi
kesejagatan ungkapannya yang cuba diangkat:
“The French say
that to part is to die a little. To be forgotten too is to die a little. It is
to lose some of the links that anchor us to the rest of humanity. When I met
Burmese migrant workers and refugees during my recent visit to Thailand, many
cried out: “Don’t forget us!” They meant: “don’t
forget our plight, don’t forget to do what you can to help us, don’t forget we
also belong to your world.”
[“Ungkapan
Perancis menyatakan berpisah itu untuk mati sebahagian daripada diri. Untuk
dilupakan juga adalah untuk mati sebahagian daripada diri. Ia menghilangkan
beberapa pautan yang menambat kita dengan seluruh umat manusia. Apabila saya
bertemu para pelarian dan pekerja migran Burma dalam lawatan ke Thailand, ramai
yang menyuarakan: “Jangan lupakan kami!” Maksud mereka: “jangan lupakan penderitaan kami, jangan lupa untuk berbuat apa yang
kamu boleh buat untuk membantu kami, jangan lupa kami juga kepunyaan duniamu.” ]
hari ini aku mula menulis kolum utk Mkini, klik http://www.malaysiakini.com/news/204841 harap dapat dibuat secara mingguan, atau 2 minggu sekali. bacalah kalau tak ada apa yg nak dibaca:)
Buka Jalan Post-event Publication launch + Tea Party + Screening + Discussion
Tempat: Annexe Gallery Central Market, KL Tarikh: Thurs, 12 July 2012
Masa: 7.30 - 10PM (Perbincangan bermula tepat pada 8.15PM)
MASIHKAH ANDA INGAT? Buka Jalan International Performance Art Festival
pernah berlangsung untuk pertama kalinya di Balai Seni Lukis Negara
(sekarang Balai Seni Visual Negara) pada 25 - 28 Februari 2011.
Lebih dari setahun kemudian, kami telah menghimpunkan kesemua proses,
hasil dan isu berkenaan festival tersebut di dalam satu BUKU, dalam dua
bahasa (Inggeris dan Melayu). Ini termasuklah penulisan-penulisan,
temuramah yang komprehensif dan pernyataan peribadi dari semua seniman
yang terlibat mengenai pengalaman dan pertunjukan mereka.
Buka Kolektif menjemput anda semua untuk bersama kami menyambut
pelancaran buku ini. Makanan dan miuman ringan akan disediakan bermula
dari jam 7.30 pm. Beberapa video-video pertunjukan daripada festival
akan ditayangkan dalam majlis ini.
Bermula jam 8.15pm, akan diadakan perbincangan dimana anda boleh
mengutarakan pandangan dan bertanya soalan. Ia akan dikelolakan oleh Yap
Sau Bin. Perbincangan difokuskan kepada apa yang kita semua ingat
mengenai Buka Jalan Festival 2011 dan apa yang kita semua mahu dan ingin
buat dimasa yang terkehadapan.
Kami juga memperingati dan mengenang rakan seperjuangan kami Avroco Nasir, yang meninggal dunia setahun yang lepas.
BUKA KOLEKTIF adalah satu kumpulan kolektif seniman muda
Malaysia yang berminat dalam SENI TAMPAK PERSEMBAHAN sebagai medium
pengungkapan seni yang berkesan serta amat mudah didekati oleh setiap
warga masyarakat. Kami percaya kepada gagasan budaya yang mengangkat
KETERLIBATAN, KETERBUKAAN dan penyertaan ‘SENI UNTUK SEMUA ORANG’.
BUKA KOLEKTIF memiliki jaringan kerja yang mantap di Malaysia, ASEAN
dan antarabangsa. Dengan kerjasama ini, kami berharap dapat berkongsi
kesedaran dan wacana tentang seni tampak persembahan, lebih-lebih lagi
di kalangan komuniti seni.
Kami juga meletakkan keutamaan terhadap keterlibatan dan
pembangunan
khalayak seni di kalangan orang ramai. Dengan mengambill nama BUKA,
kami beriltizam mengangkat semangat keterbukaan dalam setiap kegiatan
kami.
----
DO YOU REMEMBER? Buka Jalan Post-event Publication launch + Tea Party + Screening + Discussion
Venue: Annexe Gallery Central Market, KL Date: Thurs, 12 July 2012
Time: 7.30 - 10PM (Discussion starts at 8.15PM sharp)
DO YOU
REMEMBER? Buka Jalan International Performance Art Festival was held for
the first time at the National Art Gallery of Malaysia (now National
Visual Art Gallery) from 25 - 28 February 2011. More than a year later,
we have compiled a book documenting the process, outcomes and issues
surrounding the festival. This includes essays, a comprehensive
interview and candid statements from participating artists about their
experience, in both Bahasa Malaysia and English.
Buka Kolektif cordially invites you to join us in celebrating the
launch of this book. There will be light food and drink starting at
7.30pm. Selected videos of the performances will be screened in the
background.
Starting 8.15pm, there will be a discussion where you can air your
views and ask questions. It will be moderated by Yap Sau Bin. The
discussion will focus loosely on what we remember about the 2011 Buka
Jalan festival and what we would like to do in the future.
We also remember and celebrate our dear friend and comrade Avroco Nasir, who passed away a year ago.
BUKA KOLEKTIF is a collective of young Malaysian artists
founded in 2010. We are interested in performance art as a powerful
form of expression that can be appreciated by all members of society.
Buka
Kolektif has strong networks with artists in Malaysia, ASEAN and
internationally. Through mutual collaboration, we aim to create more
discourse and awareness about performance art within the art community.
We also place equal importance on audience development and
participation. Going by the name BUKA , we keep the spirit of openness
at the heart of our activities.
Dalam ekologi kehidupan ini, kita akan melihat kitaran makanan dan bahan buangan. Begitu juga dalam kehidupan berkesenian. Akan ada pengguna/pemakan. Akan ada makanan. Dan akan ada bahan buangan - yang disebut sampah, taik ataupun kotoran. Jadi, Sampah Seni adalah rahmat haron. Malah, rahmat haron juga disamping menjadi sampah/kotoran/bahan buangan dalam masa yang sama adalah pelahap pemakan sampah/kotoran/bahan buangan atau dalam bahasa Inggerisnya disebut, "scaRVenger." (ha,ha,ha, tak reti eja)
Tak kisah, ini hakikat seburuk apapun perlu diakui. dah memang buruk takkan nak jadi cantik pula. Yang cantik molek adalah para pemakan yang melahirkan bahan buangan/sampah/kotoran seperti aku. sampahseni@gmail.com
RM 20.00 termasuk kos penghantaran (Malaysia). Tempah di terataknuromar@gmail.com atau beli di Koperasi Kedai Buku DBP KL. Edisi Terhad.
majalah sentAp kontemporer - seni tanpa prejudis
sebuah penerbitan seniman visual kontemporer Malaysia.rm15.klik pada gambar, jika mahu membelinya.
TAK NAK US-FTA!!!!
mari bersama melawan perjanjian perdagangan -kunun- bebas Malaysia dan Amerika Syarikat. free trade agreement-FTA-ini merupakan penjajahan atau perompakan yg cukup nyata sekali.demi masa depan tanah air dan kelangsungan hidup generasi akan datang, kita semua perlu menentangnya