Sunday, June 30, 2013

TPPA: Apa martabat kita di laut itu?



 
Membaca wacana tentang TPP (Perjanjian Kerjasama Rentas Pasifik) akan menemukan kita kepada istilah penjajahan bentuk baru Amerika Syarikat (AS). Sebenarnya, apa yang disebut penjajahan bentuk baru itu, hanyalah pengulangan pergerakan sejarah lampau politik tanah air.

Ke tahap tertentu penjajahan bentuk baru menjadi jargon yang dislogankan para politikus - sebahagian besar dengan kemunafikan atau kepura-puraan, mahupun penyamaran - demi meraih sokongan kuasa politik.

Seperti yang telah dilakukan Dr. Mahathir Mohamad sehingga kini. Meski, Dr. Mahathir saat menjadi Perdana Menteri telah pun menandatangani perjanjian rahsia dengan AS, Bilateral Training and Consultative Group (BITACG) Agreement pada tahun 1984.

Malah inilah perjanjian, yang membolehkan kapal-kapal perang AS berlabuh di pelabuhan kita. Pada tahun 2011 sahaja, dilaporkan sebanyak lebih 30 kali. Adakah ahli-ahli parlimen yang berani bersuara menuntut ketelusan tentang isi perjanjian ini?

Sebenarnya, sejak kita merdeka pada 31 Ogos 1957 dan pembentukan Malaysia pada 1963, maka penjajahan bentuk baru telah pun bermula. 

Bukankah penolakan kepada gagasan penjajahan bentuk baru inilah yang telah menghumban ribuan para pejuang ‘kiri' ke penjara tanpa bicara ISA, sesetengahnya di penjara selama belasan dan puluhan tahun?

Misalnya, tokoh pimpinan Said Zahari dan Lim Chin Siong di Singapura ataupun Dr. Burhanudin Al Helmy di Malaya pada waktu itu. Hal inilah yang telah pun dijelaskan Presiden Sukarno Indonesia dalam pidato-pidatonya itu. Retorika yang akhirnya membawa konfrontasi Malaysia-Indonesia, yang berkesudahan dengan tokoh sehebat Sukarno itu sendiri dilucutkan kuasanya dalam rampasan kuasa tentera tahun 1965.

Hal inilah juga yang telah disebutkan oleh para penteori ekonomi politik pembangunan sepanjang dekad 50-an, 60-an dan 70-an dengan Teori Pergantungan oleh ahli ekonomi seperti Hans Singer,Raúl PrebischPaul A. BaranPaul Sweezy, dan Andre Gunder Frank.

Tapi itulah ertinya demokrasi berperlembagaan dan ekonomi pasaran. Kemerdekaan hakiki masih menjadi suatu pencarian, suatu proses yang amat sukar ditemukan pengakhirannya, di era keserabutanpolitics of misinformations ini.

Pada September 1998 yang direbut jalan-jalan di pelusok kota, jalan TAR dan pastinya Dataran Merdeka. Kini di tahun 2014, Dataran Merdeka telah tidak lagi menawan, maka kita lebih terpikat ke Padang Merbok. Tapi inilah reformasi. Ini bukan revolusi.

Apa yang saya tulis ini suatu kenyataan yang teramat pahit untuk saya sendiri telan. Tetapi, kata orang kampung, ubat yang paling pahit itulah yang mujarab.

Rakyat Malaysia, umat Melayu Islam terutamanya perlu keluar daripada angan-angan keselesaaan bahawa kita adalah bangsa yang paling gagah di dunia. Kita perlu memecahkan mimpi Mahathirisme dan segala keindahan buatan tivi itu. Bercermin diri dan melihat kenyataan hidup - hodoh atau cantik - lantas menerimanya.

Hakikatnya hari ini, laut timur Malaysia yang kaya sumber alam petroleum dan gas itu sedang direbut dua kuasa besar dunia - AS dan China. Nah sekarang, di mana kedudukan kita?

Apakah cukup dengan membuat logo terbesar universiti menggunakan donat?

Apakah cukup dengan hanya memecahkan rekod-rekod aneh, pelik, membazir dalam Guiness Book Of Record cawangan Malaysia semata?

AS melalui TPP, seolah memaksa Malaysia - yang kononnya wira dunia ketiga, khalifah dunia Islam, jaguh negara-negara berkecuali, johan Melayu seNusantara - untuk bertegas berada di pihaknya. Membina blok ekonomi yang secara terangan mengasingkan China.

Bagaimana akibatnya pada perhubungan strategi Malaysia-China, dan bagaimana pula hubungan strategi AS-Malaysia?

Saya tidak tahu kenapa berita kedatangan kapal-kapal perang China, berserta kelengkapan gempurnya pada 26 Mac 2013 yang lalu, ke hujung paling selatan lautnya, kira-kira 1800km dari tanah besar China itu tenggelam, tanpa sebarang laporan, liputan atau ulasan media-media utama Malaysia. Barangkali bahang PRU dan peristiwa Lahad Datu menenggelamkan isu ini.

Agensi berita Xinhua melaporkan kapal-kapal perang China itu berlayar ke Zhengmu Reef. Nama dalam bahasa Melayunya, Beting Serupai dan bahasa Inggeris dikenali dengan nama James Shoal, kira-kira 80km dari Malaysia dan 200 km dari Brunei. Di Beting Serupai, Tentera Laut China melakukan upacara angkat sumpah mempertahankan kedaulatan wilayah mereka.

Beting Serupai ini menjadi kawasan rebutan, wilayah pertikaian di antara China dan Malaysia.

Malaysia dilaporkan telah mendirikan pelantar minyak di kawasan yang menjadi pertikaian itu.

Kita juga tidak mendengar sebarang kenyataan dari Perdana Menteri dan Menteri Luar. Dilaporkan kapal peronda Tentera Laut DiRaja Malaysia, KD Perak hanya mampu memberi amaran dan mengeluarkan perintah yang tidak dihiraukan Tentera Laut Negara China.

Makanya saya terima ini sebagai sebahagian daripada dialektika yang meneruskan penghidupan. Namun yang lebih mustahak lagi, pendidikan kesedaran terutamanya buat umat Melayu Islam untuk bangun daripada mimpi lena keperkasaannya.

Barangkali seperti PRU tipu, TPP atau segala apapun bentuk kezaliman, dalam sistem sekarang, sebarang perlawanan tidak akan mendatangkan hasil perubahan yang cepat, drastik dan heroik. Kita melawan sistem di dalam sistem.

Jawapannya, selain pilihan raya atau pilihan jalan raya ialah Masyarakat Raya. Negara tidak dapat menjaga kita, kapitalis tidak akan menjaga kita. Kita perlu menjaga diri sendiri. 

Menjaga diri sendiri berseorangan memanglah menyukarkan. Tetapi jika sesama masyarakat, kita saling menjaga kebajikan, saling bantu-membantu, tolong-menolong dan bergotong-royong ia akan lebih mudah.

Masyarakat raya merupakan asas politik kewarganegaraan, yang mana setiap individu dapat celik ilmu pengetahuan, sedar akan hak-haknya dan berjuang untuk menuntutnya - dengan waspada bahawa apa yang diperjuangkan itu berkemungkinan tidak akan menjadi kenyataan semasa hayat hidupnya.

Perubahan dapat dilakukan sekarang melalui cara membangun dan menjaga kepentingan komuniti, dengan jalan damai dan bahagia.
Kita perlu memperluas ruang kewujudan masyarakat sivil. 

Ruang di antara individu dan kekuasaan negara. Ruang yang bukan hanya wujud di alam maya. Ruang yang bukan milik monopoli parti-parti politik, mahupun NGO-NGO. Ruang yang dimaksudkan itu merupakan suatu tempat yang wujud nyata. Kita sendirilah yang perlu membinanya.

Selain itu juga, menjadi tugas masyarakat raya untuk mendidik diri sendiri, orang kelilingnya lantas mendesak wakil-wakil rakyat di parlimen agar menandatangani konvensyen-konvensyen antarabangsa yang dinaungi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Misalnya, Konvensyen Menentang Penyeksaan serta Konvensyen Hak-hak Sivil dan Politik. Hal ini amat penting, kerana sekarang kita dijajah Umno, esok jika dijajah syarikat raksasa korporat Multi National Corporation (MNC) bagaimana pula?

Rakyat Malaysia amat memerlukan mekanisme perlindungan hak-hak antara bangsa seperti yang termaktub dalam Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat PBB tahun 1948, yang sehingga tahun 2013 ini belum lagi diratifikasi sepenuhnya oleh Malaysia.

Begitu juga Konvensyen-konvensyen dan Perjanjian Antarabangsa berkenaan pemeliharaan, penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar mestilah dimeterai. 

Misalnya perjanjian Protokol Kyoto oleh Konvensyen Rangka Kerja Berkenaan Perubahan Cuaca Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Framework Convention on Climate Change - UNFCCC). 

Protokol Kyoto mempertanggungjawabkan negara-negara industri untuk mengurangkan pengeluaran gas-gas kesan rumah hijau, seperti gas beracun karbon monoksida.

Perjanjian perdagangan bebas antarabangsa, seperti TPP, tanpa keadilan hak asasi manusia dan demokrasi adalah pemerkosaan kapitalis secara terang-terangan!

Saya tidak tahu kedudukan orang lain. Tetapi pada tahap ini, saya tahu kedudukan saya sebagai insan yang lemah, daif, hina-dina penuh kekurangan. 

Saya tahu martabat seorang hamba sahaya dalam sistem kekuasaan maha besar yang merangkumi langit dan bumi ini. Benar, kail saya panjangnya tak sampai 1cm, takkanlah lautan seluas dan sedalam itu mahu saya duga. :)



RAHMAT HARON seorang seniman ‘outsider'.

Saturday, June 1, 2013

TPP terus lenyap dari wacana umum

memanglah kita tak banyak pilihan. tapi masing2 punya hak memilihnya dengan pertangguangjawaban akan akibat2nya. ingin melawan? atau sanggupkah terasing-diasing - mahu ke pyongyangkah? tapi sebenarnya awal wahid kita mahukan rundingan yang telus dan demokratik - penyampaian maklumat kepada semua rakyat akan isi kandungan perjanjian yg barangkali akan mengikat kita selama2nya atau dalam jangka waktu yg sgt pjg ini:

http://www.malaysiakini.com/columns/231568

Rakyat Malaysia yang budiman bakal dianugerahkan hadiah paling besar daripada kerajaan Umno-BN yang merajai kita hari ini. Ia lebih besar daripada bencana barang naik; kamera AES, cukai GST, harga minyak, gula, jalan tol dan lain-lain.

Namanya Trans Pacific Partnership Agreement (TPP). Baru-baru ini di Lima, Peru pada 15-24 Mei yang lalu, telah berlangsung rundingan TPP pusingan yang ke 17.

TPP dijangka dapat diselesaikan menjelang sidang APEC di Indonesia, Oktober 2013 ini.
Inilah perjanjian paling rahsia pada abad ke 21.

Rundingan bermula 2010 melibatkan Amerika Syarikat dan sembilan buah negara rantau pasifik iaitu, Canada, Chile, Peru, Mexico, Australia, New Zealand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Malaysia. Jepun baru-baru ini ikut serta dalam rundingan, manakala kelibat China tidak kelihatan.

Ia bertujuan mewujudkan blok ekonomi yang akan menyeimbangkan kekuatan ekonomi, dan nantinya kedudukan strategik geo politik China di Asia Timur.

TPP membolehkan 600 buah syarikat gergasi dunia (Multi National Corporations-MNCs) menilai atau memantau rundingan perjanjian ini dengan hanya satu klik - dan mendapat aksesnya dalam talian internet. Para pelobi MNCs ini, boleh mendapatkan akses terhadap dokumen, membuat ulasan serta mempengaruhi isi perjanjiannya.

Manakala wakil-wakil Kongres AS pula tidak punya akses terhadap isi perjanjian ini. Waima Senator Ron Wyden sendiri yang menjawat Pengerusi Senate Subcommittee on Trade.

Senator Ron Wyden dan para senator lainnya telah menuntut ketelusan dalam proses rundingan perjanjian. Pada Jun 2012, seramai 132 orang perwakilan Kongres AS (1/3 jumlah ahli Kongres) telah menulis, menandatangani dan mengedarkan surat bantahan menuntut ketelusan dalam proses rundingan. Mereka mencatat dalam surat itu:

"Jika Kongres dan orang awam tidak dimaklumkan mengenai terma-terma syarat sebenar perjanjian itu sehingga berakhirnya proses tersebut, maka ia bermakna, apa-apa peluang untuk memberi masukan input telah hilang. Suatu perjanjian perdagangan yang tidak boleh berdiri untuk penelitian awam tidak boleh dirundingkan atas nama warganegara Amerika Syarikat. "

Salah satu kemenangan tenaga bantahan terhadap pensejagatan kuasa korporat-MNCs adalah kekalahan Free Trade Area of The Americas (FTAA). Selepas lulusnya Perjanjian Wilayah Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) pada 1995, FTAA seharusnya diperluas ke seluruh wilayah Barat.
Bantahan meluas
Namun demikian, cadangan perjanjian tersebut secara telus telah didedahkan kepada umum. Bantahan meluas disusun dan rundingan dibatalkan sebelum tarikh tamat pada 2005. Salah satu sebab tewasnya rundingan FTAA tersebut kerana teks dokumen perjanjian dibenar untuk didedahkan ke pengetahuan umum.

Itu di AS yang punya demokrasi, hak asasi manusia, pilihanraya adil, media bebas dan Akta Kebebasan Maklumat. Di Malaysia, apatah lagi dengan Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan lain-lain lagi perundangan tidak demokratik, TPP terus lenyap daripada wacana umum.

Peliknya, cerita bodoh Red Bean Army yang menjadi kepala berita akhbar arus perdana, bukannya TPP.

Kalau ia dibincangkan, ia dibicarakan secara sempit, di ruangan pinggiran tanpa rujukan luas, kritikal dan ilmiah. Konon, TPP hanya melibatkan kepentingan ekonomi orang Melayu. Begitulah ceteknya hujah yang diberikan. Masih menusuk jarum perkauman.

Tidak pasti hujah ini untuk menarik lebih ramai orang lagi bagi membantah TPP. Ataupun ianya sekadar melepaskan batuk di tangga agar agenda membodohkan orang Melayu terus bergerak lancar. Seterusnya menenggelamkan isu TPP ini.

Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia yang akan mendapat bala bahana TPP, antaranya:
  • Menghakis hak-hak pekerja di seluruh dunia (pekerja Malaysia akan ditambah aniaya lagi)
  • Menukar atau membuang peraturan-peraturan institusi kewangan negara, termasuk di Wall Street (apatah lagi Malaysia dengan pecah amanah dan rasuahnya)
  • Mengutamakan keuntungan korporat keparat MNC daripada hak rakyat (Malaysia telah lama dirundung sistem kapitalis monopoli oleh segelintir kroni Umno-BN, akan ditambah lagi)
  • Menghapuskan pekebun, peladang, penternak, petani dan nelayan kecil, memaksa perpindahan dan memusatkan bekalan makanan dunia ke tangan 1% penguasa kekayaan dunia
  • Membataskan kebebasan dan daya cipta inovasi terhadap Internet.
Kempen melawan TPP
NGO Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) telahpun berkempen melawan TPP ini atas sebab ia menyekat penggunaan ubatan generik yang lebih murah. Ia akan mengakibatkan rawatan penyakit kronik seperti tuberculosis, malaria, HIV/AIDS, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi menjadi sangat mahal.

Pada rundingan ke 15 di Auckland, New Zealand, Disember tahun lalu, pihak perunding Malaysia yang diwakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengesyorkan untuk menyekat jumlah maklumat berkenaan isi kandungan dan formula makanan yang diproses.
Walhal undang-undang hak kepenggunaan hampir di negara-negara maju memerlukan syarikat-syarikat pengeluar makanan memberikanmaklumat tepat formula dan bahan-bahan kandungan produk makanan keluaran mereka.
Pastilah cadangan ‘bernas' Malaysia ini disokong kuat oleh AS. Ataupun barangkali Malaysia telah menjadi sarana MNCs untuk menyuarakan kepentingan mereka. Kita tertanya-tanya, pada waktu itu antara peneraju MITI ialah anak Dr. Mahathir sendiri.

Masalahnya TPP dirundingkan kerajaan Malaysia tanpa ketelusan, dengan kebanyakan syarat-syarat perjanjian dipaksakan tanpa pembuatan keputusan yang demokratik.

Bagaimana kerajaan yang hanya mendapat mandat 46 % undi popular ini, berhak untuk merundingi dan menandatangani perjanjian yang akan memberi kesan buruk untuk seluruh penghidupan di tanah air ini - alam, manusia dan segala harta milikan awam yang masih tersisa?

Jikalau kita membaca dongengan atau kisah mitos Melayu kuno, seperti kisah Sultan Mahmud dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu berkenaan kejatuhan Melaka, atau kisah Raja Bersiong dan kerajaan Langkasuka, kita akan mendapati kemusnahan empayar-empayar Melayu kuno (Hindu-Budha dan Islam) ini berpunca daripada serangan dan penguasaan asing.

Melaka jatuh akibat serangan Portugis pada 1511. Manakala Langkasuka dan Srivijaya di rantau Nusantara melemah akibat serangan Raja Rajendra Chola (negara moden Tamil dan Lanka) pada 1025.
Tetapi kita tidak boleh menolak hakikatnya dengki khianat, tamak haloba, kezaliman, rasuah dan pecah amanah di kalangan pemerintah tempatan menjadi punca utama faktor dalaman yang merobohkan tembok pertahanan daripada ancaman luar.

Inilah akibatnya, serakah dasar penswastaan serta rakus pemerintahan zalim, rasuah, pecah amanah pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun (dirujuk sebagai Mahathirisme). Inilah kesannya hegemoni United Malays National Organization selama lebih 55 tahun.

Bagi penyokong tegar Umno-BN, pada hari ini dan mendatang, sehingga termeterainya Perjanjian TPP ini, teruskanlah sokongan anda kepada Umno-BN. Nanti rasailah nikmat kehancuran dan kehilangan itu.

Bagi mereka yang telah lama hancur penghidupan dan harapannya, kehilangan telah sebati menjadi zat yang menyihatkan - itulah hikmat kekosongan!