Friday, January 13, 2012

Memorandum warga Felda kepada Angkasa

Memorandum warga Felda kepada Angkasa

Mazlan Aliman, Anak, 13 Januari 2012
Apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan dalam Bajet 2012 pada 7hb Oktober 2011 bahawa Felda Global Ventures Holding(FGVH) akan disenaraikan di Bursa Malaysia selewat-lewatnya Jun 2012; bermula suatu episod hitam yang mengganggu ketenteraman Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad.

Kehadapan

Prof. Dr Hj Ali Baharom,
Yang DiPertua Angkatan Koperasi Kebangsaan
Malaysia Berhad (ANGKASA)

PERTAHANKAN HAK DAN KEPENTINGAN KOPERASI PERMODALAN FELDA MALAYSIA BERHAD

MUQADDIMAH


Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad(KPF) telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1980 di bawah Akta Koperasi 1993(pindaan 2007). Sehingga tahun 2010 mempunyai keahlian seramai 207,913 dengan modal syer anggota sebanyak RM1.46 bilion. 87.81 peratus keahlian datangnya daripada anggota kumpulan peneroka.

Mengikut Undang-Undang Kecil KPF, keanggotaan koperasi ini terbuka kepada:-

a. Peneroka-peneroka Felda, isteri dan anak-anak,
b. Koperasi-koperasi peneroka Felda yang didaftarkan di bawah Akta sebagai koperasi asas atau koperasi menengah,
c. Kakitangan Felda, isteri dan anak-anak,
d. Koperasi kakitangan Felda yang berdaftar di bawah Akta.

Apabila YAB Perdana Menteri mengumumkan dalam Bajet 2012 pada 7hb Oktober 2011 bahawa Felda Global Ventures Holding(FGVH) akan disenaraikan di Bursa Malaysia selewat-lewatnya Jun 2012; bermula suatu episod hitam yang mengganggu ketenteraman Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad.

KRONOLOGI

1. Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah KPF pada 22 hb Jun 2011 telah meluluskan permohonan keahlian Tan Sri Isa Samad untuk menjadi anggota KPF. Mengikut Undang-Undang Kecil KPF beliau tidak layak memperolehi status demikian. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Felda secara kontrak sahaja.

2. Mesyuarat Agung KPF pada 23 hb Jun 2011 memilih Pengarah Besar Felda, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab sebagai Pengerusi KPF.

3. Ketua Setiausaha Sulit Kanan YAB Perdana Menteri telah menghantar surat bertarikh 15 hb Ogos 2011 kepada Tan Sri Isa Samad bahawa beliau telah dilantik sebagai Pengerusi KPF.

4. Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Felda bertarikh 25 hb Ogos 2011 telah bersetuju melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF yang baru. Semasa perbincangan perlantikan Tan Sri Isa Samad; beliau yang merupakan orang yang berkepentingan dan menjadi subjek perbincangan telah tidak keluar meninggalkan mesyuarat; bahkan terus mempengerusikan mesyuarat dalam keadaan mesyuarat itu membincangkan kedudukan peribadinya.

5. Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah Felda tersebut di atas dibuat tanpa kehadiran Pengarah Besar Felda, Dato’ Dzulkifli Abd Wahab yang juga Pengerusi KPF. Beliau sedang mengerjakan umrah pada tarikh tersebut.

6. Pada bulan September 2011, Ketua Audit Suruhanjaya Koperasi Malaysia(SKM) menjalankan siasatan audit ke atas Koperasi-koperasi termasuklah KPF. Di dalam hasil siasatannya, audit SKM mendapati KPF telah melanggar peruntukan-peruntukan di dalam Undang-Undang Kecil KPF kerana menerima keahlian beberapa individu yang hanya berjawatan kontrak di dalam Felda. Antaranya Tan Sri Isa Samad, Tan Sri Yusof Nor, Dato’ Bakkie Salleh dan Dato’ Sabri Ahmad.

7. Pada 18 hb Oktober 2011; En Abd Rahman Ramli, peneroka Felda Raja Alias 4, Jempol, Negeri Sembilan telah membuat aduan ke SKM berhubung pertikaian status Tan Sri Isa Samad sebagai anggota dan Pengerusi KPF.

8. Pada 28 hb Oktober 2011, mesyuarat Lembaga Pengarah KPF telah membincangkan laporan audit SKM tersebut dan telah membuat keputusan untuk membatalkan kelulusan keahlian mereka yang dimaksudkan di atas.

9. Tuan Hj Mat Deris Jusoh, Ketua Sektor Operasi dan Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia melalui surat bertarikh 10 hb November 2011 kepada En Abd Rahman Ramli; menjelaskan bahawa Tan Sri Isa Samad belum dilantik sebagai Pengerusi KPF.


10. Pada 16 hb November 2011, Tan Sri Isa Samad melalui peguam Dato’ Hafarizam Harun telah membuat aduan dan bantahan bertulis kepada SKM bagi membantah keputusan Lembaga Pengarah KPF menggugurkan keahlian beliau.

11. Pada 23 hb November 2011, dalam tempoh seminggu sahaja selepas aduan dibuat oleh Tan Sri Isa Samad; SKM telah memanggil beberapa orang ahli Lembaga Pengarah KPF untuk hadir ke perbicaraan rujukan pertikaian pada 24 hb November 2011. Surat panggilan perbicaraan hanya diberikan kepada KPF pada petang 23 hb November 2011 tanpa memberikan sebarang butiran lengkap tentang bantahan yang dibangkitkan Tan Sri Isa Samad.

12. Perbicaraan pertikaian status Tan Sri Isa Samad telah diadakan di SKM pada pagi 24 November 2011. Hanya beberapa jam kemudian SKM telah membuat keputusan bahawa tindakan Lembaga Pengarah KPF membatalkan keahlian Tan Sri Isa Samad adalah tidak sah dan KPF hendaklah menerima semula Tan Sri Isa Samad sebagai ahli KPF.

13. Pada 8 hb Disember 2011, Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad(KPF) telah mengeluarkan notis Mesyuarat Agung Khas kepada Anggota Lembaga, Jawatankuasa Audit Dalaman, Anggota Perwakilan Individu dan Perwakilan Koperasi Anggota menurut subseksyen 40(1) Akta dan Undang-Undang Kecil 29 Fasal(1) bertarikh 5 hb Januari 2012 bertempat di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur.

14. Agenda mesyuarat Agung tersebut adalah seperti berikut;-

a. Cadangan pelupusan ekuiti milik KPF di dalam Felda Holding Bhd dan 10 anak Syarikat milik Felda Holding Bhd kepada Felda Global Ventures Holdings;

b. Cadangan pelaburan KPF di dalam Felda Global Ventures semasa peringkat Pra-Penyenaraian

c. Cadangan melupuskan sebahagian Ekuiti KPF dalam Felda Global Ventures pada tahun 2012 melalui proses penyenaraian Felda Global Ventures dan penjualan ekuiti kepada pelabur;

d. Hal-hal lain.

15. Pada 23 hb Disember 2011, empat orang pemegang saham dalam KPF telah memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Temerloh terhadap KPF dan Felda Global Ventures Holding. Saman tersebut dikemukakan untuk menghalang Mesyuarat Agung Khas KPF pada 5 hb Januari 2012.

16. Pada 28 hb Disember 2011, aduan kali kedua telah dibuat oleh En Abd Rahman Ramli, peneroka Felda Raja Alias 4 mengenai status Tan Sri Isa Samad.

17. Setiausaha KPF, Abidin bin Abd Rahman telah mengeluarkan surat bertarikh 30 hb Disember 2011 kepada perwakilan Mesyuarat Agung Khas KPF, membatalkan mesyuarat agung tersebut tanpa dinyatakan sebarang sebab.

18. Pada 4 hb Januari 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Dato’ Mariana Yahya; telah memperakukan pembatalan Mesyuarat Agung Khas KPF dihadapan peguam Peneroka(pemegang saham-plaintif) dan peguam KPF serta Felda Global Ventures(defendan).



ADUAN


1. Mengapa mesyuarat Ahli Lembaga KPF pada 22 hb Jun 2011 meluluskan permohonan keahlian Tan Sri Isa Samad sebagai ahli KPF?
Tidakkah ianya bertentangan dengan Undang-Undang Kecil KPF fasal 2 dan fasal 11; di mana hanya peneroka, isteri dan anak peneroka, kakitangan tetap Felda serta Koperasi gabungan KPF sahaja yang layak sebagai ahli KPF?

2. Apa tujuan YAB Perdana Menteri menulis surat bertarikh 15 hb Ogos 2011 kepada Tan Sri Isa Samad memaklumkan perlantikan beliau sebagai Pengerusi KPF?

3. Apa kuasa Perdana Menteri untuk mencampuri hal ehwal dalaman sebuah koperasi yang mempunyai undang-undangnya sendiri dan tertakluk kepada Akta Koperasi dan juga Suruhanjaya Koperasi Malaysia?
Kenapa undang-undang dilanggar dengan tidak mempedulikan suara lebih 200,000 ahli-ahli KPF untuk menentukan kepimpinan KPF yang mereka anggotai?

4. Mengikut peruntukan di dalam seksyen 43 Akta Koperasi 1993 dan juga Undang-undang Kecil KPF sendiri di mana disyaratkan mana-mana ahli sesebuah koperasi yang hendak dilantik atau dipilih sebagai anggota Lembaga sesebuah koperasi itu hendaklah telah genap dua tahun menjadi ahli bagi koperasi itu.
Macamana Tan Sri Isa Samad boleh dilantik sebagai Pengerusi KPF sedangkan beliau baru dua bulan menjadi ahli KPF?

5. Bagaimana Perdana Menteri boleh memberi persetujuan terhadap perlantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi KPF yang baru dengan mengenepikan begitu sahaja Dato’ Dzulkifli Abd Wahab yang baru beberapa bulan disahkan perlantikannya sebagai Pengerusi KPF di dalam Mesyuarat Agung KPF 23 hb Jun 2011?

6. Meskipun kuasa Menteri yang berkaitan halehwal Koperasi boleh mengecualikan penggunaan seksyen 87 Akta Koperasi 1993 mengenai syarat keahlian dua tahun untuk membolehkan seseorang itu dilantik Ahli Lembaga Koperasi(contohnya Tan Sri Isa); namun, adakah kuasa itu mutlak untuk berbuat demikian?
Menteri atau pihak yang berkuasa mengenainya mesti memberikan alasan kukuh kenapa bertindak memberi pengecualian tersebut.

7. Kenapa hanya selepas seminggu sahaja Tan Sri Isa Samad membuat aduan dan bantahan di SKM, pihak SKM terus sahaja memanggil perbicaraan sedangkan aduan pemegang saham KPF lambat di jawab?
Itupun jawaban kepada pemegang saham begitu kabur.

8. Mengapa SKM membuat keputusan memaksa KPF menerima keahlian Tan Sri Isa Samad sebagai ahli KPF sedangkan laporan Ketua Audit SKM sendiri menyatakan keahlian Tan Sri Isa Samad dalam KPF adalah tidak sah?

9. Adakah SKM selaku sebuah Suruhanjaya yang sepatutnya tertakluk kepada undang-undang dan mengamalkan tahap profesionalisme serta intergriti yang tinggi telah menjadi pekakas yang tunduk kepada kepentingan politik pihak tertentu?

10. Apakah ada ugutan dan tekanan dikenakan keatas Pengerusi Eksekutif SKM untuk membuat keputusan yang menyebelahi Tan Sri Isa Samad?

Sebagai sebuah badan induk yang ditubuhkan pada 12 hb Mei 1971, objektif penubuhan ANGKASA dalam menyatukan 3840 buah koperasi di Malaysia tidak dapat disangkal keberkesanannya.

Justeru kemelut yang melanda KPF ketika ini sesungguhnya menguji kewibawaan ANGKASA dalam menjaga dan memperjuangkan kepentingan koperasi-koperasi seluruh Negara.

Pihak ANGKASA tentu maklum tentang kejayaan KPF sebagai Koperasi Terbaik Negara 2010(kategori Kluster Besar) yang merekodkan perolehan sebanyak RM15 bilion pada tahun 2010. Daripada tahun 1997-2010 purata dividen yang dibayar kepada pemegang saham adalah dalam lingkungan 10-16 peratus. Ini menggambarkan kejayaan besar KPF.

Namun, kebimbangan yang teramat sangat pemegang saham KPF ekoran usaha-usaha berikut yang boleh menjejaskan kepentingan KPF di masa hadapan. Antaranya:-

1. Cadangan Pelupusan ekuiti milik KPF dalam Felda Holding Bhd dan 10 Anak Syarikat milik Felda Holdings Bhd kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad. Ekuiti milik KPF dalam Felda Holdings adalah 51 peratus dan aset 10 anak syarikat berkenaan yang menjadi kekuatan pelaburan KPF dianggarkan RM3.13 bilion.

2. Cadangan Pelaburan KPF di dalam Felda Global Ventures Holdings semasa peringkat Pra-Penyenaraian. Felda Global Ventures adalah Syarikat pelaburan Felda yang baru wujud beberapa tahun dan sangat diragui keupayaannya. Pelaburannya di luar Negara seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Twin Rivers Technologies US, Felda Global Ventures Middle East dan Felda Global Ventures Arabia mencatat kerugian RM500 juta sehingga tahun 2010.

3. Memperjudikan masadepan KPF kepada Felda Global Ventures yang latar belakangnya begitu buruk sangat berisiko tinggi. Bagaimana mungkin KPF boleh menyandarkan harapan kepada Felda Global Ventures?
Semasa penyenaraian, Felda Global Ventures menerbitkan saham baru sebanyak 20-25 peratus dan ini menyebabkan kepentingan KPF menguncup sehingga 40 peratus. KPF akan menjual 6 peratus daripada pegangan saham yang dimiliki dan pendapatan yang diperolehi dari jualan saham ini diagihkan kepada peneroka sebagai ‘ durian runtuh ‘. Pegangan KPF berkurangan lagi ke paras 35 peratus. Adakah ini percaturan yang betul?


4. Cadangan melupuskan sebahagian ekuiti KPF dalam Felda Global Ventures pada tahun 2012 melalui proses penyenaraian Felda Global Ventures dan penjualan ekuiti kepada pelabur.

Adakah bijak untuk dipindahkan ekuiti bernilai RM3.13 bilion daripada 10 anak syarikat yang mempunyai entiti berbeza dan di longgokkannya dalam satu entiti dan saham-saham diapungkan di pasaran terbuka?
Kepentingan KPF dalam Felda Global selepas di senaraikan di Bursa Malaysia hanya tinggal sekitar 35 peratus sahaja dan milikan Bumiputera semakin terhakis.

5. Sehingga kini, Lembaga Pengarah KPF belum menerima kertas lengkap mengenai cadangan Felda Global Ventures ke Bursa Malaysia daripada pihak pengurusan Felda Global Ventures.

Apakah implikasi kewangan keatas KPF dan Felda belum dibincangkan secara konkrit. Persoalan berkaitan struktur ekuiti selepas penyenaraian mengenai pegangan ekuiti peneroka dan kakitangan Felda melalui KPF adakah dapat di kekalkan pun belum dimuktamadkan. Semuanya masih terlalu kabur dan penuh tanda tanya.

6. Sangat mengejutkan, pegangan saham KPF di dalam Felda Global Ventures sebanyak 35 peratus selepas penyenaraian dipindahkan ke dalam sebuah syarikat pegangan pelaburan baru ( Fund Co) yang ditubuhkan oleh Felda melalui pegangan Saham Keutamaan Boleh Tebus(Redeemable Preference Share). Felda memiliki 100 peratus pegangan saham biasa tertangguh(deffered ordinary shares) di mana semua dividen yang diisytiharkan oleh Fund Co akan disalurkan terus kepada KPF. Felda hanya mempunyai hak mengundi tetapi tidak mempunyai hak ekonomi ke atas dividen yang diisytiharkan oleh Fund Co.

Mengapa Fund Co harus ditubuhkan, siapa yang bakal terlibat dalam syarikat tersebut dan tujuan sebenar organisasi itu di wujudkan dalam konteks proses penyenaraian Felda Global Ventures?

PENUTUP


Memorandum ini di sediakan sebagai suatu ikhtiar yang menuntut komitmen ANGKASA selaku payung kepada koperasi-koperasi seluruh Negara. Felda adalah institusi pembangunan tanah yang terbesar di dunia. KPF adalah sebahagian keluarga besar Felda yang menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi Felda. Pertanggungjawaban ANGKASA dalam mempertahankan situasi ini sangat diperlukan.
Sepertimana SKM, Angkasa juga jangan tunduk kepada kemahuan pihak berkepentingan yang di terajui Tan Sri Isa Samad. Mesti di junjung prinsip ketelusan dan bertindak berani mempertahankan yang hak.

Masa kian suntuk. Meskipun Mesyuarat Agung Khas KPF telah dibatalkan pada 5 hb Januari 2012 yang lalu; ada usaha untuk membawa YAB Perdana Menteri merasmikan Mesyuarat Agung Khas KPF pada tanggal 8 hb Februari 2012.

Agendanya sama. Kempen kotor dan jijik sedang digerakkan. Adalah dipercayai sogokan dan imbuhan istimewa sedang ditawarkan kepada perwakilan. Ini tidak mustahil. ANGKASA mesti bertindak dan memantau perkembangan ini.

Semoga konspirasi jahat yang mahu memfaraidkan aset warga Felda sesama ‘penyamun’ di gagalkan dengan pertolongan Allah SWT, Amin.


MAZLAN ALIMAN

Presiden
Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK)

Monday, January 9, 2012

1001 T.T.R 901, solidariti buat 3 kenalan seniman grafiti

Aku mengenali 3 orang anak muda yang bakal dibawa ke mahkamah Jalan Duta pada besok pagi, tanggal 10.01 tahun 2012 ini. Mereka bakal didakwa dengan tuduhan vandalisme atas contengan seni stensil bertulis T.T.R. 901. Namun perkenalan aku dan mereka tidaklah secara dekat. Yang paling lama aku kenal ialah Kecik, anak muda bekas kaos punk di jalanan bukit bintang, kemudian sukarelawan Food Not Bomb, sekarang seniman muda gerakan reformasi yang aktif. Kecik giat terlibat bersama dengan anak-anak muda Kg. Berembang dan teman seniman lainnya seperti Yeoh Lian Heng dari LostGen Space bergerak dalam kegiatan perjuangan melalui seni. Kg. Berembang pada waktu itu berdepan dengan perobohan paksa. Kecik juga pernah ikut serta dalam Freedom Film Festival dalam penghasilan karya kolaborasi Mari Beraktivisme, BestLah Punk:

http://www.engagemedia.org/Members/Komas/mari-kita-beraktivism/Bestlah.mp4/view

Keduanya Dikin Omar, bekas pelukis draftman di salah satu majlis bandaran di Johor, juga di sebuah firma arkitek, sekarang wartawan di Suara Keadilan. Aku antara pembaca laporan-laporan berita atau penulisan rencana tulisannya. Aku tahu dia juga merupakan seorang anak muda yang sangat aktif dalam menggerakkan kegiatan-kegiatan reformasi sekarang ini.

Manakala yang ketiga Bonai, baru kukenal, tapi pernah bertemu, bermain drum untuk pelancaran Bersih 2.0. tahun lalu. Tapi aku tidaklah terlalu mengikuti perkembangan kehidupan ketiga-tiga mereka yang bakal didakwa besok ini. Simpati aku buat mereka, bukan kerana aku kawan rapat atau mengenal mereka secara dekat dan peribadi. Kerana yang aku lihat adalah keterlibatan mereka dalam kegiatan membuka ruang demokrasi di Malaysia. Hinggakan mereka terlibat dengan cara-cara yang sangat kreatif dalam meluahkan ungkapan atau pesan-pesan mereka.

Cara-cara ini pada kaca mata undang-undang sekarang ia dilihat sebagai vandalisme. Atau kalau menurut pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka , seperti yg dilaporkan Malaysiakini, seksyen 506 –gangguan jenayah - dan seksyen 509 – menghina kehormatan perempuan. Hanya kerana mereka menulis menspray T.T.R 901.

Sehari-hari pandangan mata kita diserang iklan-iklan dari bilbod, membawa pesan2 budaya konsumer. Ingatan pandangan visual kita selalu diasak segala rupa dan gaya yang menjengkelkan, terutamanya ikonografi gambar foto/video kuasawan rakus. Kita belum pernah mendengar atau membaca pendakwaan terhadap stensilan jerung ahlong, urut batin atau massage parlaour, meski sangat mudah mengesan mereka dengan no tel yang tertulis. Ada pula seni grafiti/ stensilan yang temboknya diperdagangkan , diangkat nilai seninya ,sehingga ke harga lelongan bernilai jutaan ringgit, seperti seniman Bansky:

http://www.metro.co.uk/news/82315-1m-for-a-banksy-including-the-wall

http://news.bbc.co.uk/2/hi/entertainment/7188387.stm

Dan ada juga stensilan yang sangat berguna seperti stensilan TukarTiub, di saat-saat terdesak, tiub bocor, mekanik tukar tiub akan hadir membawakan pertolongan, meski di lebuhraya, jalan gelap waktu malam. Tapi tak ada yang percuma.Pautan

Buat 3 kenalan ini. Dalam perjuangan ada harga yang perlu dibayar. Alangkah baiknya harga itu dibayar seperti banksy.kahkahkah.sehat2, selamat2 dan tetap semangat!!!