Showing posts with label A. Samad Said. Show all posts
Showing posts with label A. Samad Said. Show all posts

Monday, April 23, 2012

Pak, kami juga tidak mahu mati sia-sia!

(gambar: Pak Ishak Surin berucap)
Ia malam syahdu, sebuah keraian, pastilah yang sederhana saja. Selesai Isyak, jemaah Markaz Tarbiyah Madrasah Surau Banda Dalam dijamu dalam kenduri masakan minang yang cukup menyelerakan. Walaupun aku tak dapat makan kali ini, tetapi rasa enak yang telah pernah mendarah daging itu masih tersemat dalam ingatan. Tetamu yang diraikan masih belum tiba, jamuan diteruskan.

Pada penghujung jamuan, kelihatan sosok tubuh yang diraikan itu sampai bersama isterinya. Itulah dia A. Samad Said, seorang Sasterawan Negara, seorang Sasterawan Rakyat, seorang Datuk, yang sudah punya cucu. 9 April yang lalu usia emasnya menjangkau 77 tahun. Maka malam itu merupakan salah satu sambutan ulang tahun kelahiran Pak Samad yang ke 77 tahun. Sebelumnya, di Kinokuniya, KLCC, Pak Samad juga dirai oleh Institut Terjemahan Negara. Seorang tokoh, sebesar Pak Samad, ibarat sepohon cengal di hutan hujan, tegap cekal, luas dahannya memayungi rimba, berakar memasak ke bumi, hidupnya adalah penghidupan untuk hidupan lain juga dalam sebuah perjalanan fana, suatu jalinan hubungan kitaran alam.

Pada malam cukup berbahagia itu, sekelompok kecil manusia mengadakan acara sastera gaya sekolah lama (old school), dengan para penyair dari sekolah lama juga, membariskan bacaan-bacaan puisi antaranya dari penyair Dinsman, Siti Zainon Ismail, HMS Bakar. Ia anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) dan Madrasah Kampung Bandar Dalam.

(Prof Siti Zainon berpuisi)

“Kita adalah manusia elit malam ini,” begitu ketar suara pengacara majlis, Ben Ali berseloroh. Gementarnya itu memunculkan kelucuan yang mengundang tawa. Ben Ali, bersama Solleh merupakan antara anak muda yang cergas menggerakkan kegiatan Madrasah Seni, sebuah usaha dan kerja sama Paksi dan Madrasah Kg. Bandar Dalam.

Acara bermula dengan ucapan alu-aluan Pengetua Madrasah, Haji Ishak Surin, bekas pejuang kemerdekaan dan mangsa tahanan ISA. Pak Ishak yang kini bergiat dalam parti PAS, mengimbas perkenalannya dengan “Bung Samad, yang bermula semenjak dekad 50an lagi.” Saat itu, Pak Ishak merupakan anggota jawatankuasa Parti Rakyat Malaya, pimpinan Dr. Burhanudin Al Helmy. Manakala Pak Samad pula bekerja dengan akhbar Fikiran Rakyat, kelolaan Ahmad Boestamam, salah seorang pimpinan PRM. Justeru, atas usaha dua orang kenalan lama ini, maka berbungalah pula Madrasah Seni, dengan kegiatan-kegiatan seninya yang Islami.

Tujuh petala langit dan bumi, luas nikmat kurnia Yang Maha Esa, maka di usia 77 tahun ini, kita merasa bertuah kerana telah menemukan seorang imam demokrasi yang sedang memimpin kita tentang erti keinsanan dalam menghormati hak-hak manusia. Begitulah kira-kiranya intipati ucapan kata-kata Pak Kasim yang berbara jiwanya itu, “Pak Samad orang yang terpenting, paling ke hadapan dalam perjuangan sekarang ini.”

Pak Samad, seorang pendita tua yang menerangi kita dengan cahaya pelita hatinya yang murni dan luhur itu. Kita sedang dipimpinnya menempuh suatu zaman gelap pemerintahan negara yang penuh rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa, kemunafikan. Bilamana budi dihitung dengan duit dan keuntungan undi. Bilamana keadilan, mahkamah dan undang-undang hanya memenangkan yang berharta dan berkuasa. Bilamana senjata, undang-undang dan penjara bukan untuk melindungi tetapi untuk memeras ugut rakyat. Amanah duit zakat, anak-anak yatim, fakir miskin yang pecah. Senarai panjang skandal-skandal rasuah, kerugian, pembaziran berjumlah trliunan ringgit – beribu-ribu-ribu bilion. Hati kita sedang dicerahkan daripada berbagai kezaliman yang berleluasa, termasuklah menipu untuk menang pilihanraya. Hati kita sedang dibersihkan – agar mata cerah melihat kepura-puraan dan kemunafikan, tahu membezakan yang salah dan yang benar. Hati kita sedang cuba membuang kekotoran itu. Kekotoran juga sedang bertahan daripada dibersihkan. Kita sedang dalam Pertarungan. Hukum alam menyatakan tak ada yang kekal. Yang kekal hanyalah perubahan. 54 tahun kekuasaan telah menjadikan mereka sombong dan angkuh. Mereka tamak dan rakus, lautan luas hendak dihirupnya kering, gunung-ganang hendak dimakannya jadi rata. Makan, memang tidak akan pernah kenyang. Rasa haus, lapar dan selera perut menghidupkan kita untuk keluar mencari makan, tetapi bukan itu tujuan hidup kita, sehingga akhirnya makanan memakan diri. Jika rasa ini liar, ia harus dijinakkan, jika gelap ia mesti dicerahkan.

Ya, pada malam yang sederhana itu, Pak Samad mengimbau kehidupan masa lalunya, memberi kami pencerahan. Kami yang ada di sana, rasanya amat bertuah dapat mendengar beberapa anekdot kisah kehidupannya yang cukup peribadi itu. Tentang anekdot tersebut, rasanya agak terlalu peribadi untuk dicatatkan di sini. Kesimpulannya, ia kisah perjalanan seorang Pak Samad sebagai insan mencari keredhaan, memenuhi isi makna kewujudan, menerima, memberi dan saling berkongsi nikmat kehidupannya. Insan yang melalui zaman sebelum Perang Dunia Kedua, zaman penjajahan Jepun, kembali dijajah Inggeris, merdeka. Insan yang menyaksikan peta kebudayaan nusantara terbelah-pecah akibat penjajahan. Insan yang menyaksikan tumbuh pesat dan merosotnya Singapura, sebagai kota cendekiawan serantau. Insan yang menyaksikan tertubuhnya Malaysia. Insan yang bernafas dibawah pemerintahan 5 orang Perdana Menteri.

Sepanjang 77 tahun perjalanan itu, seperti yang diakui sendiri Pak Samad, dirinya pernah “melakukan kecurangan-kecurangan dalam hidup.” Kecurangan yang diusahakan semampu kederat, selagi hayat untuk ditebus kembali, dengan amal kebaikan, menyesali kesalahan masa lalu. Umpama menghirup nafas dalam segar embun pagi, setelah malam panjang yang menyesakkan. Di sini, kita bertemu dengan sosok keinsanan sejati, yang berani melihat dirinya dalam kesempurnaan serta kecacatan kewujudannya, kemanusiaan yang cuba dilahirkannya dengan kesederhanaan tindakan dan amalan yang sebenarnya.

(Pak Syukor Haron membacakan esei)

Unggun api kini telah marak nyalanya, Bapak, gemerlap kemilau cahayamu itu menusuk ke kalbuku, kami siap, berdiri dipimpinmu, pada hari itu, 28 April yang dinanti. “Bapak, kami juga tidak mahu mati sia-sia!”

Wednesday, April 28, 2010

Pak Samad Said memblog di http://samadsaid.wordpress.com/

Sasterawan/ Seniman A. Samad Said mula memblog di

http://samadsaid.wordpress.com/

petikan:

"Bermenung Tentang Erti Kekalahan

MINGGU lalu hari kekalahan saya yang sangat memilukan.Calon matang dukungan Pakatan yang saya sokong di Hulu Selangor dikalahkan oleh calon muda dukungan Barisan."

segera kita semua ke blog Pak Samad. terima kasih

Tuesday, April 6, 2010

Undangan ke pameran lukisan Pak Samad, Jumaat ini

Anda semua diundang ke majlis perasmian pameran solo lukisan kedua A.Samad Said bertajuk "Kata Luhur" -- 9 April 2010 (Jumaat), 8 malam, Balai Seni Lukis Negara oleh Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal-- Sempena hari lahir ke 75 Pak Samad, majlis akan turut diserikan dengan persembahan lagu, video seni dan bacaan puisi oleh Rahmat Haron, Meor Yusuf Aziddin, Rahimidin Zahari, Siti Zainon Ismail, Space Gambus Experiment, Dewangga Sakti, Taheera Rosheena . Datang jangan tak datang! Rugi weh..

Sunday, October 18, 2009

Teks ucapan Pak Samad Said meluncurkan album Meor



BERNYANYILAH DARI HATINURANI

Malam ini saya rasa seniman coba mengimbangi kuasawan. Kita lebih melakukannya dengan kata-kata berbeda dengan kuasawan yang selalu melakukannya melalui dana.

Kata-kata selalunya “mengkhayalkan” sementara dana “memungkinkan”. Biar apapun peranannya, malam ini, peranan seniman mungkin lebih untuk sekedar “menyedarkan.” Terlalu ramai kuasawan yang terlupa, khususnya kuasawan yang sedang benar-benar berkuasa.

Tema utama kita tampaknya ialah “Dari Rakyat ke Rakyat”. Tapi, sebenarnya kita ingin berdialog dengan pemimpin—kita bercakap saja sesama sendiri, sesama rakyat.
Sebenarnya, kita menyanyi.

Dipercayai atau tidak sebuah lagu biasanya sebuah suara batin—suara dari batin—kejujuran dari batin. Dan malam ini, kejujuran dari batin coba menghantar reslitas masakini melalui lagu atau melodi yang lama terganggu. Ia penuh dengan rintih dan jerit; bisik dan raong. Tapi, isinya berlegar seputar ketidakadilan yang sedang berterusan—kepincangan masalalu (Fatehah Memali) dan ketimpangan masakini (Ikut Suka Aku—ISA).

Lagu-lagu sebondong ini terkadang tidak begitu melodius—lirik lebih nyaring daripada musik. Tapi, itulah kehidupan sebenar—real dan kasar—realitas yang sentiasa tidak melodius; yang melodius selalunya adalah khayalan.
Sebanyak 10 lagu terhimpun dalam album pedih ini, tapi kelahirannya memang petanda jujur bahawa masih terus ada duri siksa dalam masyarakat kita. Seniman membantah kepincangan ini.

Tentu saja akan ada setengah kuasawan yang menganggap bahawa album ini adalah serpihan propaganda. Benar juga—ia propaganda, tapi suara yang tulen. Ada propaganda melalui cogankata yang mendadak—cogankata (tahu-tahulah sendiri) yang sangat nyaring (atau memang dinyaringkan) kerana semua media utama (yang citak, yang letronik)—patuh (terkadang melampau) menjeritkan propaganda itu.
Ada bedanya antara propaganda institusi gergasi dengan propaganda jerit insan kecil. Yang pertama sangat berazam diguruhkan; yang kedua sekedar berharap suaranya terdengar.

Di sinilah terletaknya album “Dari Rakyat ke Rakyat” oleh Meor Yusof Azidin (pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron). Lagu-lagu dalam album ini adalah pesanan jujur (atau setingginya jeritan jujur) dari batin seniman yang sedang terdera—tersiksa oleh realitas hidup yang mendendangkan suara-suara bombas yang terlalu berat sebelah. Dan ingat, “pelampau” memang perlu diwaraskan. Keras yang buas perlu dilembuti tangan yang berhemah.

Lagu “Ikut Suka Aku—ISA” ini memang dengan mudah diselar sebagai propaganda politik kontemporer; sebaliknya, ia sebenarnya adalah jeritan masakini yang memang masih terus mendera.

Begitu juga lagu “Fatehah Memali” mudah diselar sebagai propaganda berhasrat. Padahal ia adalah jeritan semula masalalu yang tertimbus—atau ditimbus oleh kuasa lalu yang sangat gamam. Pemangsaan tidak pernah tidur nyenak; ia terpaksa bangun mewaraskan pemangsaannya. Makanya, lagu “Fatehah Memali” membangunkan yang tidur supaya dapat sama-sama mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Sangat lama, malah sedang terus, kita didesak percaya bahawa insan Memali “gila”, kerajaannya yang waras ketika tercetusnya peristiwa. Jentera propaganda Kerajaan terlalu menekan dan menghukum ketika itu. Tapi, sekarang ini, generasi mudanya mula berupaya melahirkan iklim baru—yang salah wajar diperiksa. Mereka mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Memangpun pada malam ini secara berdikit dan jujur, generasi muda ini ingin meluhurkan semula perjuangan. Masakini bukan lagi sepenuhnya hak generasi lalu; masakini adalah lebih hak generasi kini.

Sokonglah “Dari Rakyat ke Rakyat.” Bernyanyilah dari hatinurani; bukan dari keangkuhan diri.—A. SAMAD SAID.

17 Oktober 2009.

catatan SS:
-Fatehah Memali dalam teks ini merujuk kepada lagu Syuhada Memali, lirik Amin Iskandar.
-Dari Rakyat Ke Rakyat merujuk kepada album Dari Rakyat Untuk Rakyat

Thursday, October 1, 2009

Di Tanah Za'ba Ini: Puisi Khas Pak Samad Said utk Bagan Pinang

Di tanah Za’ba ini badut tak wajar jadi Aduna;
peludah bahasa dan pemboros dana tak wajar juga.
Di kamar Za’ba ini Lembaga kata qalbu Ibunda—
murni daripada sebarang cercaan Akta Bahasa.

Di pentas Za’ba ini budi hiasan batin yang jujur,
menghantar getar pepatah pusaka memoyang terluhur.
Di dewan Za’ba ini pendetalah wira utamanya.
Bukan penghirup kuasa, bukan juga penggogok harta.

9—13, Sept., 2009. A. SAMAD SAID.

catatan SampahSeni:
Negeri Sembilan adalah tanah kelahiran tokoh bahasa Za'ba, makanya ia cukup bersesuaian dengan pertarungan kuasa pada pilihanraya Bagan Pinang. Kita boleh perhatikan, ke mana adatnya orang Nogori, jika Za'ba nya tidak dihargai. mungkin haloba ekonomi harta dan rakus politik kuasa telah lama membenam Za'ba, untuk nanti ditemui kembali generasi mendatang sebagai adat yang telah mati.

puisi ini juga bakal dilagukan Meor Yusuf Aziddin yang bakal menyambut kelahiran album barunya D.R.U.R (Dari Rakyat Untuk Rakyat-klik sini).

pasti juga pilihanraya kecil Bagan Pinang ini akan lebih menarik, menjadi pesta demokrasi, bukan hanya kemeriahan kegiatan undi politik dan ekonomi niaga, tetapi kenyaringan suara-suara budaya, seni dan sastera menyanggah kesombongan kuasa.

Friday, September 18, 2009

MEMBAKAR BAHTERA - puisi terbaru A. Samad Said



(imej Parti Perikatan, nama lama Barisan Nasional ini hanyalah hiasan sampahseni semata-mata)

Maaf, bangkitlah. Janganlah tidur, Dayang Fina!
Bangsaku sedang terhumban dalam kawah dosa.
Bubur liur muntah kata penguncup bahasa
kini berterusan tercurah ke tekak bangsa.

Kita dihulurkan panji bergelumang nanah,
digesa agar ghairah menjulang setingginya.
Di bawahnya, kita disihir menjadi angka
bertandak serancak mengejek Akta Bahasa.


(gambar hiasan SS)

Tangan kuasawan yang berlinang billiona
melupuskan ekuiti bangsa seenaknya—
menyuburkan taman budaya wangsa penjajah,
membakar bahtera khazanah Dato Hang Tuah.

Usah lena lagi—usah, usah—Dayang Fina!
Wira harta terus mencemar istana kata,
menyihir murbawan jadi sekedar boneka
untuk lanjut angkuh meludah Akta Bahasa.


(gambar hiasan SS)

Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan,
dalam senyap, menajisi benih kebenaran.
Hikayat hemah wajar bangat diulang baca
sebelum bangsawan sedar hikmahnya aksara.

Maaf, jangan lena, jangan lena, Dayang Fina!
Bangsa sedang gelupur dalam cekau kuasa.
Pendeta perlu cepat ganti gigi ke taring,
meraung senyilu nasib bahasa yang gering.

Maaf, kini tidur selenanya, Dayang Fina!
Cuma, jangan dilupai penakek bahasa.

30, 31 Ogos—3, Sept, 09. A. SAMAD SAID.
(kunjungi http://wirabukit.com/)

Friday, August 7, 2009

Undangan dari Pak Samad Said:besok malam DBP

Sasterawan pejuang bahasa, pemuka gerakan membantah PPSMI, A. Samad Said mengundang semua yang mahu hadir, ke:

Acara Menjelang 75 Tahun A. Samad Said, pelancaran buku Fansuri's Love dan Ballad of the lost map, terjemahan naskhah Cinta Fansuri dan Balada Hilang Peta, karya Pak Samad.

jam 8 malam
di auditorium Dewan Bahasa dan Petaka (DBP) Kuala Lumpur.

jemputan terbuka untuk semua.