Tuesday, May 29, 2012

Dihalau keluar dari Burma kerana seni pertunjukan


Aku di Mandalay, bersama empat orang lagi seniman dari Malaysia – meski salah seorang darinya, seniman kelahiran Jerman, warga Amerika hanya berpengkalan di Malaysia. Kami di sini atas kunjungan balas. Pada minggu sebelumnya, lima orang seniman Burma hadir ke Malaysia, melakukan presentasi karya, bengkel dan pertunjukan di tempat awam di Jalan Sultan, Kuala Lumpur. Acara ini dianjurkan oleh Beyond Pressure (organisasi seni pertunjukan di Yangon) bersama Buka Kolektif (penganjur Buka Festival, KL) dan Findars Art Space (Ruangan Kendalian Seniman Visual) serta disokong oleh Sekeping Tenggiri (KL). Melalui Beyond Pressure, program ini mendapat dana Open Society Institute. Kami sedang melakukan sebuah projek seni dengan nama Open Relations in a time of transition, suatu program pertukaran kesenian di antara dua buah negara dalam peralihan ini. (http://www.mmail.com.my/story/show-must-go-1)
Jam, kira-kira 8.30 pagi Khamis, 24 Mei 2012.

Aku sedang melakukan seni pertunjukan berjangka panjang(durational performance), sebuah pertunjukan dengan judul Dedication performance to the four master of Umbrella; 1. Chumpon Apisuk 2. Suu Myint Thein 3. Maung Ni Oo 4. El-Topo  – cerita kewujudan cahaya, kerterkaitannya dengan api, pada lampu pelita. Ia sebuah karya performansku dalam siri Appropriation, Derivation, Detournment and Copycat. Tindakan gerak tubuhku agak statik, aku berdiri, di tebing sungai Irawaddy, di belakangku tembok kota kuno Istana Manadalay. Di tangan kiriku memegang lampu pelita minyak tanah dan di tangan kananku memegang payung yang terbuka, memayungi sebuah kerusi. Aku cuba untuk berada wujud dalam keadaan itu, sepanjang acara pertunjukan ini, yang melibatkan para seniman Malaysia dan Burma. Aku memulakan acara sebagai peserta pertama, diikuti dengan pertunjukan dari Lwin Maung, seniman muda dari Yangon, Burma, yang memberikan wisel atau terompet anak-anak kecil yang dibuat daripada straw plastik yang digunting, bila dihembus, menghasilkan bunyi seakan-akan, “perettt, pettt!”

Kehadiran khalayak yang ramai, menambah kegembiraan suasana apabila khlayak merespon dengan meniup terompet plastik itu. Selanjutnya, Pengetua Alin Dagar Art School, Suu Myint Thein, melakukan pertunjukannya, dengan membawa lampu suluh dan memegang penyapu. Sambil menyuluh dia menyapu permukaan kaki lima di pinggir tebing sungai.

Suu pernah menjadi tenaga pengajar di  State School of Fine Art, Mandalay di antara 1995-2008, sebelum menubuhkan sekolah seninya sendiri. Karya-karya seninya meliputi penciptaan lukisan, arca, instalasi dan seni pertunjukan. Karya-karya arcanya pernah dilarang Junta tentera daripada dipamerkan.
Selanjutnya giliran  Aung Myat Htay berperformans. Aung, seniman visual ternama, yang mana pameran solonya pada 2010, dengan judul The Stories (Lantern), berlangsung di muzium seni berprestij Fukuoka Asian Art Museum, Jepun. Dia memberikan kaca mata berbingkai kertas. Warna bingkainya putih, manakala plastik – bukan kaca – mata itu ada bermacam-macam warna. Khalayak ikut terlibat dalam pertunjukan ini apabila warna pandangan mereka diubah dengan memakai spek mata yang diberikan Aung. Spek mata itu pula tidak seragam, sebaliknya bercitra warna-warninya.
Maung Ni Oo, penyair, penulis seni daripada generasi 88, kemudiannya meletakkan sebuah kerusi kayu, duduk dan mengikat dirinya dengan tali temali yang terikat dengan locing, dia membacakan puisinya dalam bahasa Burma, pendek, kemudian menyumbatkan bulp lampu yang di tampal tape pelekat berwarna merah ke dalam mulutnya. Dia bergerak-gerak menggerakkan badannya yang terikat dengan kerusi, berulang-ulang kali, sehingga ia bergerak dalam jarak kira-kira 7 meter, dan pertunjukannyapun tamat.
Moe Satt, mewakili seniman muda kontemporari Burma hari ini. Lahir 20 Julai 1983, Yangon, Burma.
Dia merupakan seniman visual dan pertunjukan, yang terkenal di seluruh litar festival  performance art dunia, juga bertanggungjawab menubuh dan menganjurkan festival antarabangsa Beyond Pressure secara tahunan di Yangon, Burma.

Malah, untuk tahun ini, Moe merupakan salah seorang kurator undangan di Bhusan Bienalle. Lengkap, berpakaian tradisional, Moe Satt memulakan permainan interaktif dengan khalayak, suatu pertunjukan ucapan lisan dan gerak. Dengan kapur dia menulis di lantai kaki lima jalan huruf M-Y-A-N-M-A-R. Daripada huruf-huruf itu, orang ramai di minta memberikan makna daripada huruf itu, dan Moe Satt akan menulisnya dengan kapur, menyambungkan tulisan awalnya tadi. Misalnya huruf M untuk Mandalay.
Reza Mukmin (seniman muda Malaysia) pula menyarung kain Long YI (ala kain pelikat) ke dalam kepalanya, mengikatnya, kemudian bergelut cuba untuk keluar daripada sarungannya sendiri itu. Pendek durasi masanya, tapi mantap dan cukup padat, sepadat pergelutannya sendiri.
Sementara pertunjukan-pertunjukan ini berlangsung, aku masih tercegat berdiri dalam posisi di tangan kini memegang pelita dan di tangan kanan memegang payung, di hadapanku kerusi yang telah direspon khalayak, mereka bersilih ganti duduk di atas kerusi itu. Sudah hampir sejam rasanya acara berlangsung. Tiba-tiba, seniman dan salah seorang penganjur, Suu Myint Thein datang mendekatiku, “Rahmat, you should stop your performance, the police already came.” Dengan penuh taat, seperti saranan seorang guru, aku menurutinya, memahami keadaan situasi.
Manakala Chelsea Heike pula menggunakan tikar untuk menyelubungi dirinya, kemudian terus berguling-guling sepanjang kaki lima jalan, sehinggalah Moe Satt membawa pesan kedatangan anggota polis. Chelsea Heike, seniman kelahiran Jerman, warga Amerika Syarikat, kini bekesenian di Malaysia, hadir bersama anak kecil perempuannya, Kalillah yang berusia kurang 2 tahun.
Ketiga-tiga penganjur , Moe Satt, Maung Ni Oo, Suu Myint Thein terus ditahan dan dibawa polis ke balai dengan kenderaan polis. Kesemua seniman yang tertinggal, kemudiannya mengambil keputusan berehat. Kami sempat minum jus mangga di warung kaki lima menghadap istana Mandalay. Kemudian datang lagi anggota polis, dengan kenderaan sewa kami sendiri, kami diiringi anggota polis ke balai polis daerah Mandalay. Di sana, kami dibawa masuk ke pejabat ketua balai, kesemua passport kami diminta, kemudian kami ditanya tentang makna seni pertunjukan kami. Mereka bertanya, apa makna pertunjukan aku yang membawa lampu pelita itu.
“Lampu pelita yang hadirnya dalam kegelapan cukup terang menyuluhi penglihatan mata. Manakala di saat kewujudan jutaan lampu-lampu neon elektrik, atau di saat matahari memancar, sinar lampu pelita tidak bermakna apa-apa.” Begitu kujelaskan, dengan dibantu Moe Satt sebagai penterjemah, menjawab soalan pegawai polis yang menyiasat. Malah aku turut menambah rujukanku kepada mereka berkenaan sejarah pelita daripada mitologi Greek, Hermit (Pendita).
Mereka cuba mengaitkan pertunjukan-pertunjukan kami dengan protes cahaya yang mula merebak ke seluruh Burma. (http://www.bbc.co.uk/news/world-asia-18162333)Pada hari pertama kami menjejakkan kaki ke Mandalay, tanggal 21 Mei, di sebelah malamnya berlangsung protes besar-besaran menuntut hak kemudahan asas bekalan elektrik. Bekalan elektrik sering terputus dan tenaga elektrik belum lagi menjadi tenaga dominan menggerakkan teknologi dan penghidupan rakyat Burma hari ini. Selanjutnya, keesokan harinya, protes yang sama mula merebak ke Yangon dan kota-kota lainnya. Waktu itu, beberapa orang aktivis telah ditahan.
Kemudian, kami dibawa ke ibupejabat polis negeri Mandalay pula. Kami ditempatkan di dalam sebuah bilik mesyuarat, bangunan dua tingkat pejabat polis itu. Meski, bertingkap, tetapi bahang cuaca Mandalay yang panas menyebabkan kami cepat kering dan dahaga. Anak kecil Chelsea, mula mendapat ruam dan menangis. Kami dibiarkan menunggu di dalam bilik itu, tanpa diberitahu apa sebabnya kami perlu berada di situ. Sementara itu, 3 penganjur sedang disoal siasat di bilik Ketua Polis Mandalay. Pasukan Imigresen juga telah tiba. Kami kemudiannya diarahkan mengisi borang mengandungi maklumat diri dan dokumen perjalanan, nombor passport, jantina, tempat passport dikeluarkan, alamat dan lain-lain lagi.
Seterusnya, kami dipanggil seorang demi seorang ke dalam bilik Ketua Polis. Moe Satt bertindak sebagai penterjemah. Di dalam kamar. Aku dikelilingi ramai pegawai-pegawai berseragam, polis dan imigresen. Mereka mengambil fotoku, dan bertanyakan sekali lagi makna pertunjukanku.
Setelah beberapa jam ditahan, kamipun dibebaskan pada sebelah petangnya, dan passport kami dipulangkan. Mengikut jadual penerbangan, kami memang akan balik ke Malaysia pada Sabtu 12 tengahari, penerbangan pesawat MAS MH741 ke KLIA. Kami juga telah membeli tiket pulang ke Yangon daripada Mandalay, bertolak jam 9.30 malam.
Pada hari Jumaat, 25 Mei 2012, seharian kami berjalan ke luar kota Mandalay, ke pagoda-pagoda dan kuil-kuil kuno. Sewaktu kami di sebuah binaan kuno bernama Pagoda Tujuh Petala Langit dan Laut, pasukan Imigresen tiba. Kami disuruh pulang segera ke Hotel, diringi pasukan imigresen ini. Setibanya di hotel, anggota imigresen dan polis telah ramai. Para seniman Malaysia, diberitahu bahawa kami dideportasi – dihalau keluar dari Burma! Kami menaiki van yang disewa khas oleh pihak imigresen, meski disewa khas, ia tanpa penghawa dingin.
Perjalanan diantara Mandalay ke Yangon, yang biasanya mengambil masa 8 ke 10 jam menjadi 12 jam, kami bertolak sekitar jam 4 petang. Perlahan dan lama pula berhentinya. Sementara para seniman Burma yang di Mandalay tadi pula, diiringi anggota polis ke stesen bas untuk menaiki bas jam 9.30 malam ke Yangon. Kami dipisahkan. Cuma Moe Satt sahaja yang dibenarkan mengikut kami kerana dia bertindak sebagai penterjemah.
Kami tiba di Yangon, pada kira-kira jam 4 pagi. Permintaan untuk penginapan hotel ditolak para pegawai pengiring. Kemudian kami dibawa bersarapan dekat dengan lapangan terbang Yangon. Seterusnya, selesai bersarapan di warung, kami dibawa ke daerah berdekatan lapangan terbang, ke sebuah kampung, ke sebuah pejabat yang tidak tahu di mana letak duduknya. Kami disuruh menunggu di situ sehinggalah sampai waktu check in, jam 10 pagi nanti. Kami tidak diberikan makan dan minum, tetapi dibenarkan pergi ke warung berseberangan pejabat imigresen tersebut. Kami juga tidak dibenarkan menggunakan tandas untuk mandi. Kalillah, anak Chelsea mula meragam dan badannya meruam. Pihak berkuasa tidak mahu kami seniman Malaysia, menemui para seniman dan wartawan di Yangon. Wong Eng Leong dan Kyl Mohammad, dua orang seniman Malaysia yang hadir tetapi tidak membuat pertunjukan juga turut dideportasi. Malah pihak polis dan imigresen mengarahkan mereka memadamkan gambar-gambar foto/ video yang dirakamkan mereka.
Jam 10 pagi, kami dibawa ke lapangan terbang yang jaraknya kira-kira 15 minit sahaja daripada tempat ‘rehat’ (atau tahanan) kami tadi. Sampai di pintu masuk, kami cuma sempat bersalaman dengan para seniman Burma yang ikut hadir ke lapangan terbang, Ma Ei, Nge Lay, Suu Myint Thein dan Aung Myat Htay.
Moe Satt hanya mengiringi kami sehingga ke gate imigresen. Kamipun berpisah.  Sementara passport kami, masih dipegang pihak berkuasa Myanmar. Masuk ke kapal terbang, kakitangan MAS pula yang memegang passport kami. Sampai di KLIA, passport kami masih dipegang kakitangan MAS di kaunter MAS, KLIA. Setelah bertengkar dan marah-marah, akhirnya passport kami diberikan. Hujah kami, jikalau mahu memegang passport setelah sampai ke KLIA, yang berkuasa melakukannya ialah pegawai imigresen dan polis Malaysia, bukan kakitangan MAS yang berlagak menjadi seperti agen junta Myanmar!
Kami seniman Malaysia, telah selamat. Malah berbangga, kerana seperti pelakon The Lady, Michelle Yeoh, passport kami juga bercop deportee. Besok tanggal 30 Mei 2012, seniman/penganjur Moe Satt, Maung Ni Oo, Suu Myint Thint dan seniman Burma  Aung Myat Htay dan Lwin Maung, akan dihadapkan ke mahkamah kerana menganjurkan acara seni pertunjukan (public performance art) tanpa kebenaran pihak berkuasa menurut undang-undang No. 11, Akta Polis Myanmar. Jika sabit kesalahan ia boleh membawa hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali, maksimum 3 tahun penjara.
Burma merdeka yang demokratik daripada cengkaman kuku besi, masih lagi jauh kelihatannya. Inilah musim peralihan, kering tandus, musim panas kegersangan. Rejim transisi tidak boleh berpatah balik, Aung San Suu Kyii perlu terus maju, generasi kebangkitan mahasiswa tahun 88 mesti menongkah arus musim hujan dan bertahan dalam hembusan angin musim dingin.

1 comment:

  1. pesta haram versi rahmat dan gengnya. kami suka. :)

    ReplyDelete