Monday, September 29, 2014

nuklear nak masuk parlimen: lawan tetap lawan

http://www.malaysiakini.com/columns/276016

Lama saya tidak menulis di ruangan kolum Malaysiakini ini. Kali terakhir saya menulis pada 17 Mac lalu.Malah ada juga yang bertanya apa gerangannya saya berdiam diri: Ketandusan ideakah? Sudah jadi kayakah saya dengan menjual lukisan? Sudah dibayar penguasakah hingga senyap membisu? Telah kecewa dengan perjuangankah?

Sebenarnya, menjadi adat kehidupan seniman “outsider” untuk hidupnya gagal daripada segi kewangan – meski saya tidaklah segagal Vincent Van Gogh.

Roda hidup, putarannya naik dan turun. Lantaran itu saya terputus sambungan Internet, terjerumus ke jurang dalam digital, dan tidak dapat berada dalam talian 24 jam sehari.

Apabila kurang membaca berita-berita semasa, kurang jugalah ulasan yang hendak saya tuliskan. Meski tidak terlalu mengikuti perkembangan berita selama hampir enam bulan ini, saya merasa lega kerana saya sebenarnya tidak banyak ketinggalan.

Cerita-cerita basi kerenah ahli-ahli politik yang menipu rakyat masih sama: berita kepimpinan PAS yang berkecamuk, berita MB Selangor dan PKR, berita penindasan rejim BN terhadap hak-hak demokrasi seperti penggunaan Akta Hasutan.

Saya sebetulnya bosan dengan kerenah kepimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan PAS, yang saya fikir gagal menyedarkan rakyat berkenaan isu yang paling kritikal di Malaysia hari ini, iaitu pembinaan loji nuklear.

Setakat ini belum ada pendirian rasmi kepimpinan Pakatan Rakyat berkenaan rancangan kerajaan BN membina loji nuklear.

Benar saya ada terbacakenyataan Saudara Lim Guan Eng (kiri) yang menyatakan loji nuklear tidak akan dibina di Pulau Pinang, dan rancangan parti pemerintah membina loji nuklear bakal membahayakan kesihatan rakyat.

Saya masih menunggu-nunggu adakah MB Selangor yang baru, Azmin Ali akan membuat kenyataan serupa Ketua Menteri Pulau Pinang?

Benar juga, saya ada membaca kenyataan atau perbahasan di Dewan Negara dari senator PKR yang sangat saya hormati, Dr Syed Husin Ali yang membantah pembinaan loji nuklear.

Mimpi ngeri bulan depan

Tetapi ini semua tidak mencukupi. Terlalu banyak penyimpangan – lencongan – yang membawa kepada pengalihan perhatian rakyat daripada penumpuan terhadap isu nuklear, seperti isu-isu politik Islam, isu kaum dan agama, isu keretakan kepimpinan Pakatan.

Kita telah tiada masa dan kesuntukan cara, begitulah peluang bergerak dipersia-siakan kepimpinan politik.

Jika dibandingkan sisa kilang Lynas dengan tahi lo ji nuklear, radiasi loji nuklear lebih berbahaya.

Kenapa tiada langkah proaktif kepimpinan PR ataupun NGO alam sekitar menggerakkan kesedaran rakyat berhubung rancangan pembinaan loji nuklear ini – meskipun telah didedahkan semenjak pertemuan PM Najib dan Presiden Obama di Bali pada November 2011 lagi?

Kenapa isu nuklear tidak menjadi agenda manifesto Pakatan untuk pilihan raya lalu, dan kenapa sehingga kini – jika adapun penentangan kelihatan seperti melepaskan batuk di tangga?

Malahan pilihan raya kecil Teluk Intan gagal menjadi medan referendum pembinaan loji nuklear – ini kerana negeri Perak, di kawasan pesisir pantainya, merupakan salah satu tapak berpotensi pembinaan loji nuklear tersebut.

Ada aktivis politik yang memberitahu saya, isu pembinaan loji nuklear terlalu sukar difahami orang ramai. Saya tidak mengerti, apakah yang sukar sangat difahami daripada pengalaman ngeri malapetaka nuklear di Chernobyl dan Fukushima?

Ada pula aktivis politik ‘kiri’ yang tidak melayan pertanyaan saya berhubung rancangan pembinaan loji nuklear di Malaysia, dengan memberi jawapan sambil-lewa, “persoalan nuklear hanyalah isu, yang kita kehendaki perubahan sistem.”

Saya tersenyum pahit seorang manusia progresif kiri gagal memahami malapetaka nuklear sebagai masalah sistem.

Persoalan pembinaan loji nuklear merupakan persoalan wujudiah, kelangsungan sebuah penghidupan manusia dan alamnya di bumi Malaysia, malah di Asia Tenggara. Di Malaysia, soalan peperiksaan boleh bocor, apa jaminan loji nuklear tidak bocor? Stadium yang baru dibina runtuh, tanpa pertanggungjawaban.

Saya mendapat khabar ngeri, bulan hadapan ketika sidang Parlimen, suatu rang undang-undang berkaitan pembinaan loji nuklear akan diluluskan.

Kerana penyampainya bernama Rahmat...

Saya kagum dengan kehebatan lobi industri nuklear di Malaysia.

Tidak sampai sebulan lagi undang-undang yang mengabsahkan pembinaan loji nuklear akan diluluskan, tetapi hampir tiada langsung penentangan dilakukan.

Jikalau hari ini, yang dilawan adalah loji nuklear, maka selepas kelulusan parlimen dunia ketiga kita, yang akan dilawan adalah undang-undang Malaysia.

Setelah itu, apabila kontrak telah ditandatangani dengan kontraktor luar negara, maka penentangannya akan lebih sukar lagi. Jikalau berjaya sekalipun, negara Malaysia perlu membayar ganti rugi pampasan kepada kontraktor-kontraktor nuklear ini.

Untuk catitan rekod buat generasi mendatang – yang dibebankan tanggungjawab menjaga tahi beracun nuklear, sepanjang 100,000 tahun lagi – juga risiko malapetaka nuklear seperti di Chernobyl dan Fukushima – saya telah pun mencuba sesuai dengan keupayaan saya untuk menyedarkan masyarakat masa kini, tetapi tidak ramai yang peduli.

Enam bulan yang lalu, saya telahpun menulis dua tulisan berhubung rancangan pembinaan loji nuklear ini: “Selamat datang nukleardan “Pengurusan tahi nuklear.

Saya cuba memahami soalan-soalan yang saya tanyakan tadi tentang mengapa tidak ramai yang peduli berkenaan isu pembinaan loji nuklear ini.

Barangkali juga kerana penyampai khabarnya ialah saya yang bernama Rahmat Haron, seorang orang luar politik, seniman miskin yang dianggap tidak siuman, dipandang hina-dina, manusia tiada moral, pegangan agamanya bersimpang-siur dan sampah masyarakat yang terbuang – malah di kalangan komuniti pinggiran.

Tetapi menjadi tragedi sebuah nasion, jika yang tergila-gila bersuara dalam isu nuklear ini hanya orang-orang yang seumpama saya.

Ke mana perginya suara keramat orang-orang mulia dalam masyarakat; Yang Maha Agung Raja-raja dan bangsawan, para cendekiawan, ahli fikir, ulama, para pemimpin politik, intelektual, ahli akademik, aktivis mahasiswa, aktivis masyarakat madani, aktivis seni, punk rocker, para penulis dan seniman?

Mungkin, isu loji nuklear ini dapat membawa kita, orang-orang biasa kelas bawahan ke suatu era pasca politik politikus – yang mana kepimpinan politik tidak boleh lagi diharap untuk menyelesaikan masalah, apatah lagi mewakili isu dan kepentingan yang paling mendesak dalam masyarakat.

Ia hanya sekadar harapan saya. Mengharapkan yang terbaik itu penyakit jiwa yang berat, jika tiada ikhtiar yang dibuat. Maka, bertindaklah!