KEDUDUKAN ISLAM POLITIK DALAM PERTENTANGAN KELAS: DR. NASIR HASHIM
A. Pengenalan Tajuk Forum ini menimbulkan beberapa persoalan tentang konsep kelas (dan pertentangan kelas) di dalam dunia Islam. Kalaulah kita berpendirian bahawa konsep Sosialisma memang wujud di dalam dunia Islam maka bagaimanakah kita hendak membuktikannya. Memandangkan masyarakat Islam merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis bagi mengatur kehidupan mereka, maka tidak salahlah sekiranya kita merujuk kepada ayat-ayat di dalam Surah-Surah Al-Quran. Al-Hadis pula merupakan kata-kata Nabi Muhammad SAW yang memperjelaskan lagi isi-isi yang terkandung di dalam Al-Quran. Malangnya ramai yang tidak tahu atau menghalusi intisari (‘essence’) Al-Quran yang bersabit dengan perjuangan kelas.
1. Wujudkah konsep Pertentangan Kelas di dalam Islam ?
Mengikut ayat dalam Surah Al-Qasas 28:5 :-
“Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)”
“And We wish to give blessings to those who have been exploited on earth and wish to make them leaders, also make them the inheritors (of this earth).”
Kalaulah kita tidak tahu latar belakang pada ayat di atas ini, kita pasti mengatakan bahawa ayat ini dilafazkan oleh seorang Sosialis kerana intisari pada ayat ini membayangkan bahawa rakyat (golongan pekerja) yang tertindas akan bangkit dan membebaskan diri dari belenggu penindasan. Maklumat, ilmu dan pengalaman yang diperolehi di dalam hidup ini dapat merangsangkan mereka untuk bersatu, memimpin lantas mewarisi dunia ini. Pandangan seperti ini menjadi idaman pada semua Sosialis.
2. Justeru itu adakah ini bermakna Al-Quran merestui konsep Sosialisma yang mementingkan rakyat biasa ? .
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Yang baik di antara kamu adalah yang terbaik kepada keluarga Tuhan, iaitu manusia sejagat”
"The best of you is he who is best to God's family, i.e., mankind."
Selain dari “Tugas terhadap Tuhan”, “Tugas terhadap diri sendiri” dan “Tugas terhadap kejadian alam”, maka terdapat juga penekanan yang amat luas tentang “Tugas terhadap orang lain” (individu atau kelompok manusia) di dalam Hukum Moral Islam.
Al-Quran sering menyebut nama Allah secara sinonim/bersama dengan masyarakat/insan (an-nas). Justeru itu masyarakat/insan menjadi wakil Tuhan di dunia ini. Pernyataan bahawa “Pemerintahan adalah milikan Tuhan” bermakna kuasa politik adalah milikan rakyat; “Harta benda adalah milikan Tuhan” bermakna segala jenis modal (‘capital’) adalah milikan rakyat; dan “Agama adalah milikan Tuhan” bermakna agama itu adalah milikan rakyat – dan bukanlah semata-mata milikan atau monopoli ulama-ulama.
Justeru itu Islam adalah agama yang menitikberatkan pada Keadilan, Perimbangan, Pengagihan dan Kesejahteraan pada rakyat biasa. Seperti tertera di dalam Al-Quran:-
Surah Ar-Rahman 55: 7-8
“Dia mewujudkan perimbangan (keadilan) agar kau tidak mencerubuhi perimbangan ini”
“He has set-up the balance (justice) in order that ye may not transgress (due) balance”
Surah Al-Alaa 87:1-3
“Sucikan nama Tuhan mu yang Mahatinggi, yang menciptakan (semua alam) lalu menyempurnakan kejadiannya, dan yang menentukan dan memberi petunjuk.”
"Glorify the name of thy Lord Most High, Who hath created (everything) and then proportioned it; Who hath ordained laws and granted guidance".
Surah An-Nisa 4: 135
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan”
“O ye who believe !. Stand out firmly (to fight) for justice”
Untuk mencapai hasrat menegakkan keadilan dan menentang penindasan kita memerlukan ilmu pengetahuan (ilm). Seorang mukmin haruslah berusaha mencapai tahap ilmu yang tertinggi sekali dan sentiasa menggunakan kuasa logika dan intelek sepenuhnya. Kerana melalui kuasa-kuasa inilah maka kita memahami hubungan dialektika yang memancarkan realiti kehidupan. Hanya yang lemah sahaja yang takut kepada kuasa logika, ilmu dan pengalaman. Justeru itu ayat-ayat Al-Quran yang menyebutkan perkara-perkara yang berkaitan dengan ‘pengetahuan’ adalah jumlah yang terbanyak sekali iaitu 856 kali jika dibandingkan dengan ayat-ayat yang berkaitan dengan ‘jihad’ yang timbul sebanyak 41 kali sahaja. Ini juga bermakna Al-Quran tidak memusuhi apa jua jenis ilmu asalkan ianya menafaatkan rakyat. Al-Quran juga menyebutkan bahawa mereka yang mantap dan berilmu tinggi memang rapat kepada Tuhannya.
3. Apabila disebut tentang mereka yang tertindas adakah ini bermakna sudah ada penjelasan Kelas dalam Al-Quran ?
Al-Quran menyebut dua jenis kumpulan manusia iaitu:-
i. Mereka yang Beriman/Tidak-Beriman yang dikelompokkan mengikut kepercayaan agama.
ii. Mereka yang Kaya/Miskin yang dikelompokkan mengikut kedudukan ekonomi.
Yang kaya dianggap sebagai kelompok yang Tidak-Beriman kerana mencabuli dasar-dasar keadilan dan kemanusiaan semata-mata untuk meraih kuasa dan keuntungan.
Lagipun apabila Al-Quran membenarkan seseorang itu memiliki harta perseorangan (‘private property’) maka ini sudah membayangkan bahawa masyarakat telah dipisahkan dalam dua kelompok.
- Yang satu adalah kelas kapitalis (mustakbirun) yang berharta dan memerintah, menguasai dan menindas rakyat secara angkuh dan kejam.
- Yang satu lagi adalah kelas pekerja (mustadafin) yang tidak berharta dan diperintah, ditindas dan dikongkongi sepanjang hayat.
4. Adakah keterangan lanjut tentang Kelas yang Tertindas (Mustadafin) ini ?
Ada ahli-ahli ilmuan mengatakan bahawa Al-Quran menyebutkan bahawa kelas yang tertindas itu bersifat tulus, mengampuni, jujur, sanggup khidmat, berwawasan, pengasih, penyayang, kesihani, murah hati, rendah diri, sanggup berkorban, takut kepada Tuhan dll.
Mereka juga mengatakan bahawa kesemua nabi-nabi (anbiya); pesuruh-pesuruh Allah (mursalun); pemimpin-pemimpin (a’immah); pejuang-pejuang kebenaran (siddiqun); yang mati syahid (shuhada); panglima-panglima (mujahidun); yang berhijrah (muhajirun) dan mereka yang beriman (muminun) berasal dari kelas yang tertindas dan bukan dari keluarga bangsawan.
5. Bagaimana dengan Kelas yang Menindas (Mustakbirun) ?
Al-Quran menyebutkan bahawa kelas atau golongan yang menindas itu berkiblat kepada kuasa dan keuntungan dan dibanjiri dengan kepalsuan, pengkhianatan, pelampau, hipokrasi, keghairahan, tidak berperikemanusiaan, ketamakan, kegelojohan, tidak beriman, tidak bermoral serta berasal dari kumpulan yang mewah (mutraf), berbelanja kasar dan membazir (musrif), kumpulan yang memerintah (mala), raja-raja (muluk), arrogant (mustakbir) dll.
Kewujudan kezaliman dan keangkuhan (istihbar) dan dengan kehadiran mereka dalam keadaan tertindas (istid’af) inilah maka lahirlah keinsafan dan kesedaran sosial di kalangan masyarakat umum. Justeru itu penawanan dan penindasan menjuruskan kepada sifat kepercayaan diri (iman), tindakan pemindahan (hijrah), semangat perjuangan (jihad), menegakkan kebaikan (soleh) dan penyusunan semula/reformasi (islah).
6. Dialektika (jadal kalami) wujud dalam ketegangan kelas. Wujudkah Dialektika dalam Islam ?
Lazimnya dialektika mempunyai sifat-sifat tertentu seperti:-
i. Sifat yang bercanggah tetapi saling memerlu/membantu (‘contradictory and complementary’)
ii. Apabila kita melakukan perubahan terhadap sesuatu perhubungan / proses/ kegiatan maka diri kita juga turut berubah.
iii. Pada hakikatnya, apabila sesuatu (kegiatan/idea/tindakan dll.) itu diwujudkan, maka secara otomatik lahirlah/terjalinlah dalam dirinya sifat yang bercanggah atau bertentangan dengannya.
iv. Pergolakan dialektika berkembang menuju kecanggihan iaitu dari umum (‘relative’) menuju ke mutlak (‘absolute’); teori umum menjadi teori/kebenaran hakiki.
v. Dialektika boleh digunakan untuk menghidup atau memusnahkan sesuatu. Terpulanglah kepada matlamat masing-masing. Lazimnya, kebaikan (cahaya) mengatasi kejahatan (kegelapan); kebenaran mengatasi kepalsuan; penentangan mengatasi penindasan dll.
vi. Tugas kita adalah untuk mengimbangkan sifat-sifat yang bercanggah ini (‘Unity of Opposites’) menuju kesempurnaan.
7. Dialektika jenis apakah yang digunakan oleh Islam ?
Sebenarnya sudah wujud tiga jenis hubungan dialektika di dalam masyarakt iaitu:-
a. Dalam hubungan di antara Kebendaan (‘material/secular’) dengan Kerohanian (‘spiritual/moral’);
b. Dalam dunia Kerohanian/Spiritual sendiri (misalnya antara roh dengan jiwa);
c. Dalam dunia Kebendaan/’material’ sendiri (misalnya antara system feudal dengan system kapitalis).
Maka itu tingkahlaku dan falsafah kehidupan seseorang itu bergantung sepenuhnya kepada bagaimana beliau memiliki dan mengolahkan hubungan ini. Manusia yang sempurna adalah mereka yang mampu menggemblingkan ketiga-tiga jenis hubungan dialektika ini untuk kepentingan umum. Setakat ini tidak jelas lagi dialektika manakah yang digunakan oleh pemikir-pemikir Islam.
8. Wujudkah pejuang-pejuang Sosialis Islam ?
Ali Shariati Pejuang Marxis Islam
Ali Shariati adalah seorang yang dikenali sebagai Marxis Islam. Pendirian beliau tentang dialektika berkisar kepada ideologi Tauhid iaitu pandangan duniawi di mana alam sejagat (‘whole universe’) merangkumi semua kejadian, ibarat satu organisma yang bernyawa (‘living organism’) yang mengatur, mengimbang dan menyempurnakan alam ini. Ia mempunyai dinamika, kesedaran, ketegasan dan haluan yang tersendiri. Organisma atau alam sejagat ini mempunyai jaringan dalam hubungan dialektika yang kembang berperingkat-peringkat menuju ke arah alam/kemasyarakatan yang berimbang dan sempurna. Seolah-olah sudah ada hukum alam yang harus kita patuhi. Maka ideologi Tauhid Shariati melibatkan penyatuan dalam tiga penjuru (‘unity of trinity’) iaitu Tuhan, Alam dan Manusia.
Justeru itu, alam sejagat ini bergolak sebagai satu badan yang berharmoni dan menyeluruh. Tugas manusia adalah untuk memahami model/acuan realiti kehidupan ini dan bergerak mengikut rentak dialektikanya.
Pada beliau, secara simboliknya, kewujudan diri manusia berkisar pada satu realiti dialektika yang berasal dari tanah liat (‘clay’) dan kerohanian (‘spirit’). Suatu percanggahan dan penyatuan yang bukan saja merangsangkan pergolakan dalam diri tetapi juga mencetuskan pergerakan dan kegiatan yang dinamik di dalam masyarakat. Tanah liat itu melambangkan kebuntuan dan kelembapan walhal kerohanian itu melambangkan pergerakan yang dinamik. Interaksi ini menuju kepada kesempurnaan. Maka itu kedudukan manusia yang hakiki (fitra) telah diapit (barzah/’intermediary’) oleh sifat-sifat yang bercanggah (iaitu di antara sifat lembab dan sifat dinamik). Pergelutan di antara sifat-sifat yang bercanggah inilah yang membentuk dan menyusun evolusi pergerakan manusia ke arah kesempurnaan (revolusi).
Pada Shariati manusia yang mempunyai dua unsur yang bertentangan ini memerlukan perantaraan agama bagi mengimbangi / mengatasi (‘synthesize’) kecenderungan, yang kalau dibiarkan begitu, akan menjurus kepada sifat-sifat yang ekstrim iaitu terlalu mengagungkan nafsu material/kebendaan ataupun terlalu dikongkongi oleh kerohanian hingga mengabaikan duniawi ini. Pada beliau Islam sentiasa mengambilkira dwi-sifat manusia (kebendaan dan kerohanian) kerana ianya merupakan ideologi dua dimensi yang membolehkan manusia mengimbangkan kedua-dua sifat yang bercanggah ini.
Beliau berpendirian bahawa Islam adalah ideologi yang mampu merevolusikan rakyat kerana semenjak kewujudannya, Islam telah menyebelahi rakyat yang tertindaas. Nabi Muhammmad SAW telah berjuang untuk mewujudkan kesaksamaan sosial dan mendampingi masyarakat yang terpinggir. Pada beliau, Islam memihak kepada mereka yang miskin: “Tuhan adalah Tuhan pada mereka yang terpinggir” dan “Tuhan adalah Tuhan pada mereka yang tertindas”.
Shariati telah menggunakan kiasan dialektika dengan membezakan anak-anak Nabi Adam as iaitu Habil dan Qabil (Surah Al-Ma’idah 5: 27-30). Qabil melambangkan segelintir kelas yang memperhamba dan menindas jumlah besar rakyat yang miskin (yang dilambangkan oleh Habil) di mana harta persendirian (‘private property’) menjadi punca yang menjahanam dan memisah-misahkan rakyat.
Ahli Sufi, Muhyiddin Al-Arabi (meninggal dunia 1165 AD), adalah pemikir Islam yang terunggul dalam dunia Islam (Shaikh Al-Akbar –‘the greatest muslim thinker’) menggunakan dialektika untuk membicarakan tentang pergolakan dalam jiwa manusia. Dalam bukunya Futuhat Al-Makkiyah, beliau juga merujuk kata-kata Abu Said Kharraz (meninggal dunia 899 AD):-
“Tuhan dapat dikenali melalui pengolahan/perimbangan sifat-sifat yang bercanggah”
“God is known through the synthesis of antimonic affirmations” (unity of opposites).
Maka terdapatlah nama-mana Tuhan yang mempunyai hubungan dialektika (sifat yang bercanggah dan saling memerlukan) dalam Al-Quran seperti:
Al-Jamal (Beauty); Al-Jalal (Majesty)
Al-Mu’izz (The Giver of Honour); Al-Mudhill (The Giver of Disgrace)
Al-Muhiyy (The Giver of Life); Al-Mumit (The Giver of Death)
Ar-Rafi’ (The Exalter); Al-Khafiz (The Abaser)
Al-Zahir (Manifest/Immanence); Al- Batin (Hidden/Transcendence)
Al-Awwal (The First); Al-Akhir (The Last)
Al-Basit, The Expander; Al-Qabiz, the Seizer.
Al-Mu’ti, The Giver; Al-Mani’, The Withholder dsb.
Seperti dalam Surah Al- Hadid 57:3
“Dia yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir dan yang Batin”
“He is the First and the Last, the outwardly Manifest and the inwardly Hidden”
Namun begitu ada juga sifat-sifat keTuhanan yang tidak mempunyai kebalikanya seperti:- Yang Hidup (Haiyyun), Berilmu (Alimun), Mendengar (Samiun), Melihat (Basirun), Berkuasa (Kadirun), Memerlu (Muridun) dan Berbicara (Mutakalimun)
Walaubagaimana pun pemimpin-pemimpin Islam yang terulung, yang bekerja keras sebagai aktivis-aktivis (menyatukan hubungan ‘material dan spiritual’) bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang adil adalah Nabi Muhammad SAW, Saidina Ali, Hussein dan Abu Dzarr Al-Ghifari. Mereka berjaya menyatukan hubungan dialektika di antara “Tindakan dengan Pertimbangan Akal” (‘action with thought’); “Kesolehan dengan Kekuasaan” (‘piety with power’); dan “Pembelajaran dengan Perjuangan” (‘learning with fighting’).
9. Mana yang harus didahulukan kesedaran intelek (‘consciousness’) atau rangsangan pengalaman pancaindera (‘material relations’)?
Mengikut Surah Az-Zariyat 51: 20–21
“Di bumi ada beberapa dalil bagi orang-orang yang yakin. (Begitu pula) pada diri mu sendiri. Apa tiadakah kamu memperhatikannya ?”
“On earth are signs of men (mankind) of firm belief. And also in your own selves. Will ye then not notice them ?”
Juga, “Perlihatlah pada seluruh ufuk dunia dan pada diri sendiri maka kau akan mengenali Kebenaran”
“Look upon the horizons and upon yourself and you will know the Truth”
Mengikut Surah-Surah ini, kita haruslah terlebih dahulu, meneliti hubungan dialektika dalam dunia kebendaan/materialis ini dan seterusnya mengkaji hubungan dialektika di dalam dunia kesedaran/jiwa, lantas mengaitkan hubungan dialektika di antara kedua-duanya (Kebendaan-Kerohanian).
10. Adakah Islam bersifat kapitalis kerana membenarkan Harta Persendirian ?
Pada mereka Islam bukanlah Kapitalisma. Walaupun Islam membenarkan milikan harta persendirian (‘private property’) dan memberi kelonggaran terhadap inisiatif peribadi namun Islam menentang pembolotan kekayaan (‘hoarding of wealth’).
Surah Al-Hashr 59: 7
“Jangan harta itu beredar antara orang-orang kaya saja di antara mu”.
“Wealth should not be permitted to circulate among the wealthy only”.
Maka itu walaupun Islam menggunakan pendekatan yang berlainan bagi mencegah pembolotan harta namun Sistem Economi Islam ini amat rapat dengan Sistem Ekonomi Sosialis:-
a. Islam menentang pemusatan kekayaan/harta benda dan mempertahankan miliknegaraan semua sumber asal pengeluaran khususnya sumber logam supaya dapat menghapuskan kapitalis-kapitalis keluli dan minyak.
b. Islam melarang riba dan semua jenis faedah (bunga) keuntungan. Tidak membenarkan kadar faedah melebihi sifar (‘zero’) menganggapkan bahawa peranan utama sistem kebankan (‘banking system’) adalah sebagai perantara dalam transaksi/urusniaga perdagangan belaka. Di dalam dunia pertanian, Islam tidak membenarkan tuan tanah memungut faedah tanpa dia mengerjakan tanah tersebut (‘feudal absentee landlordism’). Paling afdal sekali, Islam ingin mewujudkan masyarakat di mana rakyat biasa memiliki dan sendiri mengerjakan tanah mereka.
c. Sistem undang-undang Islam terhadap harta pesaka adalah bersifat anti-kapitalis. Islam berusaha mengagihkan kekayaan yang diwarisi itu kepada lebih ramai lagi individu berdasarkan kepada hubungan mereka dengan si mati.
d. Islam mengutuk habis-habisan terhadap mereka yang membolot modal. Islam akan mengenakan cukai yang tinggi pada semua modal yang melebihi piawai yang ditetapkan. Cukai ini akan digemblingkan untuk membantu mereka yang malang, miskin dan terpinggir dalam arus pembangunan.
e. Pada perhitungan yang terakhir, Islam menekankan kepentingan masyarakat umum melebihi kepentingan individu.
f. Menjadi tanggungjawab Negara Islam untuk membekalkan segala kemudahan asas termasuklah perkhidmatan kesihatan dan pendidikan percuma untuk semua wanganya. Maka cukai insuren sosial seperti zakat dikenakan kepada mereka yang memiliki harta kekayaan yang melebihi piawai minima. Perintah Islam adalah untuk membasmikan riba (‘ie usury, a positive rate of interest’). ini menonjolkan falsafah sosio-ekonomi yang membencikan segala jenis penindasan termasuklah urusniaga kewangan yang tidak imbang dan kejam.
Menurut Surah Al-Imran 3: 130
“Hai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu memakan riba yang berlipat-lipat ganda..”
“O Believers ! Do not consume riba, doubling and redoubling..”
Justeru itu Al-Quran dengan jelas telah mendedahkan bahawa mengamalkan riba … adalah satu ketidakadilan, satu kekejaman ekonomi, satu tindakan yang menghalangi pertumbuhan spiritual dan satu ancaman besar terhadap kebajikan masyarakat.
g. Islam merestui perdagangan bebas. Tetapi menentang monopoli dan menggalak penyertaan lebih ramai orang dalam dunia perdagangan. Mewujudkan lebih banyak Persatuan Penyatuan Bersama (‘Mutual Alliance Societies’) bagi menggantikan pembankan yang bersifat kapitalisitik.
h. Mewujudkan Kesatuan Sekerja (‘Co-operative Guilds of Workers’) di mana segala jenis penindasan, ketegangan dan dendaman dapat dihapuskan.
i. Islam tidak menggalakkan perusahaan persendirian yang bersifat monopoli dalam dunia perindustrian (‘private monopolistic enterprise in industry’) tetapi membenarkan perdangangan persendirian (‘private trade’). Akan tetapi Islam mengutamakan penerimaan gaji yang berasaskan pada prinsip Sosialis. Maka dalam hubungan ini:-
i. Islam memberi kebebasan pada pekerja untuk menentukan gajinya mengikut kadar yang sesuai baginya. Lantas hak ini dapat melindungi pekerja dari pelbagai jenis penindasan yang boleh dilakukan oleh kapitalis untuk menutup pintu rezeki mereka. Maka itu Islam mewujudkan tabung untuk dikelolakan oleh kerajaan bagi membantu mereka yang menganggur.
ii. Islam mengarahkan piawai gaji itu haruslah dipatuhi oleh semua majikan Islam di mana pekerja mendapat ‘makanan yang sama’ sepertimana yang dimakan oleh majikan dan ‘memakai yang sama’ sepertimana yang dipakai oleh majikan. Ini bermakna kesaksamaan dari segi status ekonomi di antara majikan dan pekerja menjadi keperluan asas kehidupan harian.
iii. Islam bukan saja membezakan bagaimana dan caramana sumber pendapatan yang sah (kebaikan umum) dan tidak sah (memudaratkan umum) diperolehi tetapi juga menyekat perbelanjaan berlebihan terhadap barangan yang sah hingga tidak mungkin wujud ketidaksamarataan yang mendadak dalam melaksanakan kehidupan harian (keadaan ini pernah menjadi realiti pada zaman kegemilangan sejarah Islam).
iv. Islam menggalakkan masyarakatnya membelanjakan barangan yang mendatangkan faedah terhadap pembangunan manusia dan diberikan panduan agar wang lebihan digunakan untuk membaiki kesihatan dan kebajikan sosial.
v. Islam menetapkan ‘demokrasi spiritual’, ‘demokrasi sosial’ dan ‘demokrasi politik’ pada tahap yang sempurna. Sekiranya ketiga-tiga ini dikombinasikan dengan pendidikan ekonomi dan dilaksanakan sepenuhnya maka sudah pasti keadaan ini menjaminkan penubuhan masyarakat tanpa kelas dan konflik sosial diselesaikan dengan penuh tanggungjawab.
Kedua-duanya mempunyai kesamaan khususnya dalam mengimbangkan sifat-sifat yang bercanggah (‘thesis and anti-thesis’) menuju penyatuan (‘Synthesis, Tao, Tauhid, Samsara’) seperti:-
i. Dari Syariat (duniawi) ke Makrifat (kerohanian) menuju Tauhid (penyatuan)
ii. Dari menajamkan lagi teori umum (belum sempurna) menuju ke teori khusus/muktamat (sempurna)
iii. Dari sistem ekonomi yang kuno menuju ke system ekonomi yang canggih dan produktiviti yang tinggi (iaitu dari sistem pengabdian, feudalisma, kapitalisma dan sosialisma)
iv. Dari ketidaksamarataan (saingan berat sebelah dan monopoli) menuju kesaksamaan.
v. Dari menguasaan/hegemoni golongan feudalists and capitalists menuju ke hegemoni yang dipimpin oleh golongan pekerja.
vi. Dari perancangan yang terasing (isolated) menuju ke perancangan yang dipusatkan dan menyeluruh (centralized planning)
vii. Dari kehancuran kemanusiaan (neraka di dunia) menuju kemanusiaan yang mulia (syurga di dunia)
viii. Dari sifat materialis (profit oriented) menuju ke sifat yang mengutamakan kemanusiaan (human oriented) yang mempunyai nilai moral/spiritual yang tinggi.
ix. Dari saingan yang bertentangan (antagonistic relations) menuju saingan yang tidak bertentangan (non-antagonistic relations) kerana kerja yang dilakukan adalah untuk kepentingan bersama.
11. Kalaulah begitu mengapakah pejuang Sosialis tidak terus berganding bahu dengan pejuang Islam ?
Golongan cerdik pandai mungkin tidak berapa tahu bahawa konsep dialektika wujud di dalam Al-Quran; tidak selesa dengan hubungan yang sungguh dinamik dan sentiasa berubah-ubah; ataupun memusuhinya kerana dikira konsep ini mementingkan hubungan duniawi belaka. Mudah lupa bahawa manusia adalah khalifah Tuhan dan berkemampuan mengendalikan ilmu dan perubahan.
12. Apa pula perbezaan di antara Islam dan Sosialisma ?
Perbezaan umum di antara kedua-duanya adalah:-
a. Sumber ideologi, kekuatan dan titik permulaan Islam berkisar kepada hubungan spiritual dengan Tuhan, Allah. Walhal sumber kekuatan Sosialisma bertitik tolak pada hubungan manusia di dalam dunia kebendaan menuju kepada pembentukan Negara dan moral yang sempurna.
b. Islam menegaskan bahawa berbuat baik dan berkebajikan di dunia ini menjadi bekalan untuk kemudian (akhirat) hari nanti. Sosialis pula menitikberatkan pada hubungan kebendaan/materialis, logika pancaindera dan menceduk kefahaman moral dari hubungan materialis tersebut. Sosialis menghormati semua Agama. Tetapi menumpukan segala kegiatannya menyelamatkan mereka yang tertindas di dalam dunia ini. Meraih pahala atau ganjaran bukanlah matlamat kegiatannya.
c. Pada masyarakat Islam, manusia dilahirkan bersih dan dilengkapi (sebagai khalifah/wakil Tuhan) dengan segala-galanya. Apabila beliau menjelang dewasa, pengalaman dan kehendak nafsu telah mencemari kesempurnaan diri hingga menggelapkan potensi. Tugasnya adalah untuk mensucikan diri dengan perjuangan dan berkebajikan hingga dirinya menjadi sempurna kembali (sempurna àtidak sempurna à sempurna). Seperti dalam Surah Al-Quran yang menyebutkan, “Tuhan membantu mereka yang membantu diri sendiri” (‘God helps those who help themselves’). Sosialis pula berpendirian bahawa alam ini sentiasa berubah-ubah/evolusi dari sesuatu yang mudah kepada keadaan yang lebih kompleks lagi. Pengalaman dapat menentu dan membersihkan tabiat seseorang itu.
Namun titik tolak pada kedua-duanya adalah untuk berusaha memperkasakan rakyat agar mereka dapat mempertahankan hak, memimpin dan menghargai nilai-nilai keadilan, demokrasi dan kebebasan.
Mohd Nasir Hashim
Pengerusi Parti Sosialis Malaysia
3hb. April 2010
Kertas ini dibentang oleh Dr. Nasir Hashim semasa Sekolah Idelogi PSM pada 3 dan 4hb. April 2010 di Port Dickson, Negeri Sembilan
--
laman web Parti Sosialis Malaysia
http://parti-sosialis.org