Aku sebenarnya baru menonton filem Avatar. Ketinggalan dan tidak mengikuti peredaran terkini zaman. Idea yang bukan baru. Dalam genre animasi fiksyen sains sebegini, aku lebih sukakan suatu karya filem klasik animasi terbitan tahun 1973, Fantastic Planet (French: La Planète Sauvage, lit. The Wild Planet). Ia diarahkan oleh René Laloux, manakala rekaan produksi oleh Roland Topor. Untuk aku filem Hollywood ini tak akan pernah dapat menandingi estetika filem sehebat Fantastic Planet. Tapi itu cerita lain.
Berbalik kepada Avatar, ia cuma kehebatan teknologi tercanggih dan kebesaran pemasaran maha mega industri filem Hollywood. Namun demikian, tidaklah dapat dinafikan ia sebuah filem yang bagus untuk rakyat Malaysia hari ini. Bagus kerana ideanya telah ditanamkan ke dalam pemikiran dan ingatan jutaan penontonnya, disebabkan kejayaan maha mega pemasaran Hollywood. Dari segi ini, bertitik tolak dari realiti filem tersebut, ia mampu untuk mengajak para penonton memikirkan keadaan kenyataan Malaysia hari ini, dengan isu-isu kecintaan terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan warisan alam, tanah dan air yang tidak ternilai harganya itu. Hal ini, meskipun Avatar hanyalah sebuah filem Hollywood yang biasa dengan kualiti keunggulan teknologi tak tercabarnya itu.
Kenapa tamak, rakus, haloba dan sombong? Begitulah sifat kewujudan, wujudiah MODAL, ia tamak, rakus, haloba, sombong, tidak pernah cukup, bertimbun-timbun kekayaan dan terus menimbunkan harta benda dan nilai harga. Kalau tak silap, salah seorang watak dalam filem Avatar berdialog, “tahukah kita harta kekayaan warisan alam yang sebenarnya terletak di atas permukaan tanah, bukan mendapan di dasar tanah.”
Malaysia semenanjung emas, tanah Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat, laluan selat Melaka yang manja, Laut China Selatan, Separuh Pulau Borneo – Kalimantan Utara – Sabah dan Sarawak; kita berada dalam antara kedudukan strategik perdagangan selama turun temurun sejak zaman Langkasuka, Srivijaya kira-kira 2,000 tahun yang lalu. Alam kita berada dalam kurniaan semesta, hutan hujan tropika paling tua di dunia – lebih tua dari hutan hujan Amazon dan Kongo – berusia di antara 140-160 juta tahun, garis khatulistiwa keseimbangan 12 jam siang dan 12 jam malam. Cuaca nyaman dan aman – amat jarang – sesekali dilanda angin monsun, hujan, banjir dan ribut petir. Malaysia ibarat permata dalam cincin lingkaran api – gunung berapi dan gempa bumi wilayah yang mengelilingi lautan Pasifik, ke Filipina pendinding taufan daripada menghala ke Sabah dan Sarawak, ke lautan Hindi, beruntunglah – insaflah pada pengorbanan – kerana adanya pulau Sumatera. Malaysia kaya dengan bahan-bahan mineral dan galian dalam tanah seperti emas, bijih timah, petroleum. Hinggakan dalam peta Claudius Ptolemy, Greek kuno, dicatatkan Semenanjung Melayu sebagai Chersonesus Aurea – Semenanjung Emas.
Hari ini, datang pula Lynas, permata hutan hujan tropika tertua di dunia dalam lingkaran api pasifik ini hanya mahu dijadikan sekadar tong sampah kekal sisa santau racun radioaktif yang bernama thorium, sisa pemprosesan untuk produk-produk nadir bumi. Bayangkan jika gagal, tidak ada lagi jalan kembali. Keadaan tak akan dapat diubah menjadi sediakala. Bayangkan permata hutan hujan tropika tertua di dunia ini akan hanya menjadi sekadar tong sampah ranah radioaktif yang menjahanamkan alam dan manusianya. Kemusnahan dan pencemaran total serta fatal!
Barangkali laluan strategik perdagangan juga bakal tergugat. Perniagaan-perniagaan lain juga. Bayangkan sebuah stadium yang baru siap runtuh di Terengganu, sehingga ke hari ini tidak ada sebarang pendakwaan. Inikan pula kilang nadir bumi. Hari ini Bukit Merah di Perak, setelah 18 tahun, masih lagi sebuah kawasan merah dengan keracunan radioaktif thorium yang membahayakan nyawa dan kesihatan kira-kira 10,000 penduduk sekitarnya.
Bayangkan juga, wang beratus – mungkin juga beribu - billion – ringgit yang dirompak, dibazir dan dikuasai oleh hanya segelintir kecil manusia sahaja. Untuk belanja persenjataan yang sia-sia. Bayangkan membeli kapal selam perang berharga berbilion ringgit tanpa peluru berpandu. Bayangkan juga membeli jet pejuang F-16, tetapi kod pelancar roketnya dipegang Pentagon. Bayangkan rasuah dan ketirisan yang melampau, berjumlah berbilion-bilion ringgit. RM 250 juta untuk keluarga Shahrizat bersuka ria hidup mewah. Kata Abang Mat Sabu, “rakyat hanya dapat 500 ringgit, tapi korporat keparat kroni Umco, Tajudin Ramli, dapat RM589juta. Ini baru dua tiga contoh.
Kenapa kesemua wang ini tidak dibelanja-dilaburkan untuk kesihatan rakyat? Rakyat sehat, fikiran sihat, alam sihat, masyarakat sihat, negara sihat, kerja-kerja dan amalanpun menjadi sihat. Katakanlah RM10 bilion untuk penyelidikan dan kajian ubat-ubatan selama 10 tahun, dengan para penyelidik dan ilmuan serta sainstis dunia datang mengkaji sumber-sumber alami tumbuhan iaitu hutan, apalagi ini hutan hujan tropika paling tua di dunia, berusia ratusan juta tahun. Bahan-bahan daripada tumbuhan-tumbuhan dan haiwan-haiwan merupakan antara sumber terbesar pembuatan ubat dan produk farmasi di dunia.
Kenapa apabila disebut hutan, yang terpandang hanya pohon-pohon balak yang hendak ditebang, yang terkenang hanyalah bukit yang hendak digondol ditarah - batu, simen, kerikil pasir dari gunung dan bukit ditukar menjadi tugu-tugu batu tinggi mencakar langir – sementara gunung-ganang semulajadi hendak ditebuk diratakan, tanah hendak digali, dikorek, digerudi, air dalam bumi disedut dihisap, alam yang dibunuh.
Kesemua ini, untung yang berjangka pendek, kerana setelah alamnya hancur, tercemar, penuh racun, kita manusianya juga pastilah akan ikut hancur juga. Fikirkan, laburkan wang untuk pengubatan, perubatan, penawar, farmasi, kesihatan, hospital. Ia memang agak berjangka panjang, dengan pulangan yang sering difitnah tidak menguntungkan, siapa kata. Ia lebih menguntungkan, lebih mapan, lebih stabil, lebih adil kepada alam dan kita manusianya untuk hidup bersama.
No comments:
Post a Comment