Tuesday, March 18, 2014

Mkini: Pengurusan tahi nuklear

http://www.malaysiakini.com/columns/257361

[Sebelum saya menyampaikan isi tulisan kali ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan simpati terutamanya kepada ahli keluarga, teman-teman dekat para penumpang dan kakitangan pesawat MH370. Hanya doa yang mampu saya kirimkan.]

Baik, pada 11 Mac yang lalu, genaplah tiga tahun malapetaka nuklear di Fukushima, Jepun. Ia juga ulang tahun bencana alam gempa bumi dan tsunami.

Gempa bumi tersebut berskala 9.0 skala richter yang kemudiannya bertukar menjadi ombak ganas tsunami yang mengorbankan kira-kira 18,000 orang mangsa.

Tsunami itulah yang mencetuskan kemalangan di loji nuklear Fukushima. Menurut laporan Al Jazeera, meskipun tidak ada yang meninggal dunia sebagai kesan langsung kebocoran loji nuklear di Fukushima, kira-kira 1,650 orang penduduk di kawasan tersebut meninggal dunia akibat tekanan jiwa dan masalah-masalah lain selepas kejadian kebocoran loji nuklear tersebut.

Malapetaka nuklear Fukushima menunjukkan kepada kita bahawa reaktor nuklear sangat-sangat berbahaya. Ia membawa bahana terhadap alam sekitar, kesihatan para penduduk dan juga ekonomi negara.

Di Fukushima beban kos kewangan akibat kebocoran loji nuklearnya terpaksa ditanggung pihak awam (orang ramai). Syarikat yang mereka bentuk, membina dan mengoperasikan loji tersebut lepas tangan dengan senang hati.

Kehidupan ratusan ribu manusia terjejas teruk akibat malapetaka nuklear Fukushima. Khususnya 160,000 orang yang meninggalkan tanah dan kediaman mereka kerana pencemaran radioaktif dan terus hidup dalam ketidaktentuan.



Menurut laporan NGO alam sekitar Greenpeace, 160,000 orang ini
hidup terawang-awang tanpa pampasan yang adil, saksama dan tepat pada masanya. Mereka diberikan harapan palsu bahawa suatu hari nanti mereka akan dapat pulang ke rumah dan tanah masing-masing.

Jerman tutup 2022

Anehnya kerajaan Jepun bersungguh-sungguh mahu memulakan semula operasi loji-loji nuklearnya.

Meskipun ia bertentangan dengan hasrat rakyat Jepun, namun tindakan kerajaan Jepun itu menunjukkan pengalaman malapetaka Fukushima tidak mengajar apa-apa.

Baru-baru ini ribuan warga Jepun telah turun ke jalan raya membantah rancangan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk memulakan semula program nuklear mereka.

Sebenarnya, tidak ada satupun dari 436 loji reaktor nuklear di seluruh dunia yang kebal daripada kesilapan manusia, bencana alam mahupun kejadian-kejadian yang boleh mencetuskan kecelakaan.

Bayangkan jika ada kapal terbang yang dirampas pengganas lalu merempuh loji nuklear. Justeru itu jutaan manusia yang hidup dan tinggal berdekatan dengan loji nuklear terdedah kepada risiko kemudaratan.

Ya, Jerman, sebuah negara maju dan industri paling besar di dunia yang terkenal dengan kecekapan serta ketepatannya itu mahu menutup operasi loji-loji nuklearnya.

Canselornya, Angela Merkel mengumumkanpenutupan kesemua loji-lojinya menjelang tahun 2022.

Aneh sungguh, kerajaan Malaysia sedang merancang mahu membina loji-loji nuklear di sini.

Menurut World Nuclear Association, pada bulan Jun 2009 kerajaan Malaysia telah memutuskan secara rasminya untuk mengambil kira tenaga nuklear bagi menjana elektrik negara.

'Fikir Nuklear, Fikir Hijau'

Pada awal tahun 2010 pula, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan belanjawan sebanyak RM7 bilion bagi membina loji nuklear dan pada bulan Mei tahun yang sama, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah ditugaskan untuk mencari tapak bersesuaian bagi membina loji nuklear. Ia agar unit pertama loji nuklear dapat beroperasi menjelang tahun 2021.

Dilaporkan tapak-tapak yang sesuai itu terletak di satu tempat di Kedah, dua di Perak, dua di Johor dan dua di Terengganu.

Seterusnya pada bulan 11 Januari 2011, tertubuhlah MalaysiaNuclear Power Corporation (MNPC).

Penubuhan MNPC ini di bawah Program Transformasi Ekonomi. MNPC ditugaskan untuk menjadi pelopor yang mengatur rancangan pembinaan loji nuklear dalam jangka waktu selama 12 tahun.

Tahun 2014 ini dianggap sangat penting sehingga disebut point of no return kerana kontrak akan dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor antarabangsa bagi membina loji nuklear.

Jikalau kontrak sudah dianugerahkan, maka sangat susah untuk ditarik balik.

Seterusnya, Tenaga Nasional Berhad juga sedang giat berkempen “Fikir Nuklear, Fikir Hijau. Sebetulnya, slogan kempen ini tidak benar. Teknologi nuklear bukanlah teknologi hijau.

Pada November 2000, persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan cuaca dunia di The Hague, Belanda telah mengenal pasti tenaga nuklear sebagai kotor, berbahaya dan teknologi yang tidak diperlukan.

Selanjutnya, Sidang Pembangunan Mapan PBB turut enggan memberi label nuklear sebagai teknologi mapan pada April 2001.

Surat pemenang Nobel

Menjelang ulang tahun ke 25 tragedi Chernobyl, di Ukraine, juga 6 minggu selepas malapetaka Fukushima di Jepun, seramai sembilan orang pemenang Hadiah Nobel menulis surat mendesak para pemimpin dunia agar melabur dalam bentuk-bentuk tenaga yang boleh diperbaharui.

Mereka telah menghantar surat terbuka kepada 31 orang ketua kerajaan, yang mana negaranya sedang melabur dengan banyaknya dalam pengeluaran tenaga nuklear, atau sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam tenaga nuklear.

Para pemenang Hadiah Nobel ini menegaskan:

“Terdapat lebih 400 loji nuklear di seluruh dunia – banyak loji tersebut berada di tempat yang berisiko tinggi bencana alam atau pergolakan politik. Loji-loji ini hanya menyediakan kurang daripada 7 peratus bekalan tenaga dunia. Selaku para pemimpin dunia, anda boleh bekerjasama untuk menggantikan jumlah tenaga kecil ini dengan sumber tenaga yang sedia ada, sangat selamat dan murah ke arah masa depan bebas karbon serta bebas nuklear.”

Surat tersebut bertarikh 26 April 2011. Antara yang menandatangani surat tersebut ialah pemenang Hadiah Nobel Ketua Biskop Desmond Tutu, Afrika Selatan (1986), Presiden Jose Ramos Horta, Timor Timur (1996) dan Wangari Maathai, Kenya (2004).

Tahun demi tahun, loji demi loji, pastilah tahinya yang beracun itu akan menimbun banyaknya kerana ia tidak boleh dikitar semula.

Sisa atau tahi nuklear saja kekal selama ratusan ribu tahun. Adakah ini yang mahu kita wariskan kepada generasi mendatang? Pengurusan tahi nuklear?

Dalam keadaan rasuah, pecah amanah, penyelewengan kuasa, tanpa ketelusan dan sifar pertanggungjawaban yang berleluasa, bolehkah Malaysia menguruskan loji nuklear?


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.
 

No comments:

Post a Comment