Selamat datang wahai Nuklear, daya daripada zarah yang
terbelah, engkau berbahaya, tenaga gagah
bergaya, kesan berantai tenaga perkasa meraksasa. Telah kau buktikan kekuatan kuasamu,
kecilnya dua butir bom atom Little Boy dan Fatman
gugur
melenyapkan Nagasaki dan Hiroshima
sekelip mata kota dan kehidupannya bertukar jadi padang
jarak padang tekukur, hangus kemusnahan maha besar, debu-debu kehancuran tinggal bayang-bayang kengerian
perang.
Betapa hebatnya engkau
wahai Nuklear, dalam aman, teknolojimu adalah denyut nadi penghidupan kami
paling terkini, tenagamu menjana elektrik menggerakkan industri, membuka pasar
berjual beli,
segala yang mekanikal dan teknikal, jentera moden,
mesin-mesin dan perkakas letronik,
kenderaan mengangkut kami, roda berputaran, berlegar
dagangan saham, bertukar-tukar barangan, di alam nyata hubungan desa dan kota,
di alam maya talian digital, di udara pesawat berterbangan, di laut berselirat
wayar dan kabel, engkaulah sumber makna dan tanpamu wahai Nuklear, akan
berakhirlah pergerakan, tamatlah pernafasan, habislah peradaban.
Tamadun elektrik ini dahagakan daya tenagamu wahai Nuklear, Malaysia
harus terus bergerak maju dan maju, jauh meninggalkan hulu dan akar
permasalahannya – rakus keinginan memberahikan, serakah kemahuan cuma tamak manusia berkehendak untuk terus guna dan guna
dan jual dan beli dan belanja dan pakai dan buang, lalu hidup mesti diteruskan,
meski pun menimbun sampah yang kita
tinggalkan, sebagai warisan masa depan, bekalan beban buat digalas generasi
mendatang,
tahi mu Nuklear
berbau malang,
siapa menghidunya terkenalah radiasi, terdedahlah badan pada
ancaman keracunan, ya tahi mu degil tak dapat dikitar semula ratusan ribu
tahun, betapa benarlah engkau gagah, tahimu tak mudah dapat dimusnah.
Makanya kini engkau
datang ke sini,
ya, sembah dan salam kami hulurkan,
selamat datang ke tanah tropika rimba belantara yang subur
dan segar ini
tanah yang siap dikangkang, tersipu-sipu sudi untuk
dicemarkan.
Kami tunduk akan kuasamu wahai Nuklear, kami perlu pada
tenagamu untuk terus hidup, engkau pancang peradaban terkini, tamadun eletrik
ini dan segala alatannya mesti terus bergerak, lampu perlu terus menyala, peti
suara mesti terus berbunyi, skrin yang kelihatan dan papan kekunci yang
ditaipkan, urusniaga wajib berlanjutan, pantas dan laju memecut meninggalkan
masa silam zaman purba, kuno dan primitif, waktu yang berlalu tak terkejarkan.
Wahai Nuklear, menjagamu
ternyata susah, engkau terlalu perasa, senang tersentuh , sensitif yang
amat dan daripada halus zarah yang
terbelah itu, engkau punya sejarah yang parah,
seperti drama Greek hidup adalah tragedi – dan Nuklear
engkau bawakan peristiwa ngeri dari Chernobyl, kebocoran radiasi halus
sinaranmu – secepatnya sel dan darah membiak berubah menjadi barah, membunuh
sehinggakan daging-daging luruh, kanser dan leukemia merajalela dan
kecacatanpun tercipta pada bayi-bayi yang lahir herot tak berdosa, berkepala
besar bermata buta, bertangan kudung, berkaki untut, mutasi yang terjadi,
mereka bukan fantasi komik X-Men, mutasi yang menjadikan manusia gagah – watak-watak
super hero berbahagia – angan-angan belaka.
Kanak-kanak Chernobyl adalah ego keangkuhan sains, muslihat
kesombongan akal, terkadang pengetahuan dapat mengundang bencana, lantaran itu
benarlah kesangsian bahawa hidup manusia
bukan untuk kesempurnaan, seumpama pegangan falsafah lama – hidup ini
kehampaan,
wahai Nuklear engkau memberi kami erti akan apa itu sunyi,
senyap seketika kekosongan menyepi,
fikiranku melayang pada kenangan tanah dan pulau yang bukan
milik aku – owh betapa tidak ada yang kekal dalam hidup melainkan perubahan,
keindahan itu hanyalah fana belaka.
Meski kenangan tergamit pada biru air di Kuala Muda, atau
pesisir pantai Lumut dan Pangkor yang sejarah, ke belantara Belum dan Lembah
Lenggong yang purba, berleka di tasik
Temenggor, dan jikalau fikiranku seekor ikan, ia akan merenangi barat daya selat
Melaka, bermain di lumpur paya bakaunya, menguak ke tanjung-tanjung di Pontian,
sebelum menyelam melihat kerang-kerang di lekuk teluk pasir pantai Pengerang,
jauh renangan fikiranku menerawang ke gelora ombak Laut China Selatan,
Terengganu pantai nan cantik, hutan nan kaya, pastilah aku sedar kenyataannya,
nikmat tatapan mata, disimpan dalam ingatan dan tidak sekali-kali
untuk dipunyakan, apatah lagi buat diriku pendatang di dunia sementara.
Aku sedar martabat harta, aku fakir mengharap belas ehsan daripada fikiran-fikiranku yang
kacau – mana tidaknya, setelah Chernobyl kecelakaan terjadi lagi di Fukushima ,
lojimu Nuklear bocor dihempas Tsunami dan kini radiasinya menghancurkan
harapan ratusan ribu jiwa yang tidak
akan dapat kembali ke negerinya,
makanya saat terfikir akan engkau , aku terkenangkan
Fukushima, kehijauannya pasti jadi milik cemar radiasimu untuk hampir
selama-lamanya.
Dan barah dan leukemia dan mutasi menjadi cerita biasa – basi
– Fukushima ulangan Chernobyl – aku pernah membaca kiasan Budiman yang bertanya
tentang kesengsaraan, bukankah hidup manusia itu tidak terhindar daripada
kesakitan dan kematian, siapa yang dapat menongkat keabadian?
Jepun yang robotik, Jepun yang cekap gagal mengawalmu wahai
Nuklear,
aku mendengar khabar Jerman yang maju industri juga telah
menghantar ucapan selamat tinggal padamu,
Aneh sungguh cinta,
di bawah Menara Eiffel, kota Paris, Perancis sedang asyik mencumbuimu.
Dengan penuh kerendahan hati – kehinaan diri yang abdi – aku
hargai kedatanganmu ke sini,
kepadamu wahai Nuklear
dengan linangan air mata terpaksa kuucapkan
selamat datang ke dunia ketiga;
-
selamat datang wahai Nuklear ke tanah yang stadiumnya
baru dibina, kemudian semudahnya runtuh-rantah,
inilah angkara rasuah dan pecah amanah;
-
selamat datang wahai Nuklear ke tanah yang mana jambatan
gantungnya, biarpun baru sahaja siap, namun tiba-tiba roboh, lantas meragut nyawa anak-anak di perkhemahan cuti
sekolah, mereka lemas di bawa deras arus sungai;
-
selamat datang wahai Nuklear ke tanah para doktor
dan jururawat ditimpa kemalangan di bilik kecemasan hospitalnya sendiri, akibat
siling-siling yang runtuh, mutiara kata pendeta dari gua bijaksana berbisik ke telinga, wujud yang baharu itu
memang tidak tetap sifatnya.
Selamat datang wahai Nuklear,tidak ada yang
kekal hidup di bumi, dunia akan berakhir, kiamat itu janji, penamatnya
malapetaka di tangan manusia sendiri
dan kini aku
benar-benar menerima semua ini
adalah ketentuan
Ilahi,
suratan takdir untuk aku belajar apa itu daya, dayamu
Nuklear daripada zarah yang halus terbelah menjadi tenaga maha besar meraksasa
– kuasa perkasa yang menghidup dan mematikan – tenaga yang tak terhingga!
Aku bermenung dalam keterbatasan, kehendak firaun dan yang
maha esa takkanlah sama rodatnya,
aku merenung ketakutan, memeluk keraguan, nuklear dan tuhan takkanlah
setara kudratnya,
aku berdoa sambil menelan pahit kegagalan, suatu perjuangan
yang belum dimulakan,
dan kepada kalian yang sedang mengusahakan,
dengan kesaksian
semangat kuucapkan juga selamat datang. AMAN (Anak Manusia Anti Nuklear)
No comments:
Post a Comment