Sunday, January 17, 2010

SS no.20: Catatan karut si hati herot

(Buatmu ratu adil pemilik hati emas, sang hakim maha agong di mahkamah keadilan, moga kau kurniakan aku penjenayah rentung lagi durjana ini sebuah pengampunan suci)
(i)
Petang, segelas susu panas,
[Harapnya] aku dan engkau,
[Lemas dalam cungap dengus asmara
Ahh, hanya aku seorang diri bermimpi]
roti canai banjir kari.
Kita berbaring, berpeluk dan bergolek di bawah pohon-pohon tua. Tiup angin mendesir dan daun-daun coklat yang gugur, dingin cemas menggigil, meretak kulitnya kayu, takut-takut memanggil rentak gergaji datang merabak retak, menghentak belah dan menebangnya jatuh tersungkur tersembam menyembah kaki, tinggal seram tunggul mereput, tinggal muram sugul senggugut.
Rehat kita di bawah rendang dahan pohon tua, di tebing simen longkang,
sungai Gombak, deras air melambai,
dan damai burung-burung gagak berteriak, masjid India selepas hujan – permai.
Berat kepalaku mamai, tersadai basah dengan resah;
modal menimbun, berkecah dan lecah, tireh membonyer bertambah kental,
ketat, likat, liat dan liar kertas-kertas bercetak nota nilai, duit merabit, wang bergewang, menyabit kepala, mengelar-ngelar leher lapar.
Tandus, kering kegersangan. Haus, dahaga keinginan bersarang dan membiakkan asap tebal dari gagal industri kimia
menyental dan membebal
barang dan orang bergerak
khidmat dan maklumat mengasak
arus kewangan berkhianat
laju menyerang
perusahaanlah yang membelah sempadan
berteman senjata, jentolak dagang menolak denai
meroboh tembok-tembok batu dan ceracak kayu
membodoh imigresen, passport dan visa
mencemuh hasrat dan cita-cita menjadi manusia
Perusahaan kongsi gelap bertopeng terang
samseng menyonglap meragut mengugut dengan saman,
memeras menyundal membedal dengan denda,
membebal merentas kota dan pekan
menghempas pelabuhan dan perhentian
sauh-sauh besi, dan minyak tanah kapal terbang, kontena, pengangkut
· bukan kita yang ditumpang
· bukan engkau yang dijulang
· bukan aku yang ditambang
Perusahaan tajam mencantas badan
merampas peta
pulau Temasik di seberang tambak
selat Tebrau jambatan bengkok pemimpin bongkak
kuala Danga mulut ternganga
sungai Melayu rayu merapu
hikayat lara rakyat murba dibongokkan, nenek bongkok Tanjung Puteri,
bumi tua ini sebal dadanya
saham membaham segalanya dari masa berlari, dari usia bergari, dari belakang tertikam dan dari cucuk jiwa berduri.
Engkau di tengah kota berlumpur hitam, di puncak menara hukum membukit duit, di atas pencawang maju, di dalam gelombang moden, di pusat kitaran roda, di depan gerak jentera, menggelegak minyak hitam, senak tenaga mencanak, menggaung enjin bingit menjerit, nyawa si jantung hati berdenyut di sini.
· aku purba tercicir dijinjit semut, di bawah sakit terduduk, di belakang hulu tertinggal, di kuala disauk terhempuk, di laut dihempas badai, di pantai terbantai teruk,
sebu di ladang tebu, resah di estet getah, menjerit di felda sawit, badi di kampong padi, rentan di sungai ikan, bentan di bukit haiwan,
hanyir di pinggir bandar hamis, tersudut di pekan tertekan,
sebal di hutan tebal
· aku hanya jadi bahan kontan –
jiwa luka disuap ke mulut naga niaga.
Perutku ternganga, melopong kosong
· eeee, bunyinya E, teknologi ngeri, ku tak mengerti pantun apa ini:
Engkau bermimpi engkau berlari
terbangnya tinggi logam dan besi
banyaknya bunyi batu dan IT
budinya badi serinya duri
mahunya hati serunya iri
tanaman padi semadi mati
gali perigi gerudi bumi
tolak bahagi mengira hari
campur dan kali ukuran kaki
bom biologi bank bankrupsi
saiz posisi digital beli
gelombang basi nuklear berloji
cukai industri perang mengisi
bon memaki skala melidi
kerja kronie tabung hierarki
syarikat baki berkarat janji
hutang mencari langgan korupsi
untung bersemi berkarung rugi
sains dan seni, sain cap jari
sakan berjoli sakit terapi
monumen todi minuman gergaji
mesin yang ngeri kilang gergasi
enjin mengundi jenteranya caci
sumpahnya kuli seranah berkunci
alat membuli bermodal tinggi
mabuk berjudi mantul kuantiti
daki kembiri kantul kualiti
berkonspirasi memonopoli
hub pornografi saudagar titi
mendadah dengki perkakasnya benci
lapar berkati tentera tangki
manusia gaji angan-angannya tivi
bukan, bukan bukan-bukan, kita bukan produk fantasi,
diriku
dirimu
diri kita
aku dan engkau punya diri, punya inti, jati dan pati. Iya, tapi aku tak bekerja. Dan engkau punya kerjaya kini. Aku bahalul mantul dan poyo kantul. Engkau tersohor, betul-betul tak tolol.
(ii)
Malam semabal di lembah tengah, seharusnya kita telah lemas
dalam lurah dengus nafas
di celah serakah kencang asmara.
Halal sial menjadah, terjal banal menerjah. Kelamayar, kutahu harapan haramku makin kelam.
Mataku,
matamu,
matakita berdepan,
kejam, cukup cepat kau pejam
sunggoh cepat kau padam
dan aku
aku terpaksa memendam,
menelan rasa kecewa
hitam dan berdarah
aku tertanya-tanya
kenapa perlu engkau mengalih pandang
pada skrin wayang,
pada kejahatan kamera meradang,
fikiranku melayang jauh dari sandiwara filem, jauh dari projector, jauh dari cd, vcd, dvd dan jauh dari layar digital
luluh,
aku menyelam ke dalam keruh Sungai Kelang
dari rasa rinsa runsing merusuh
dari rindu paya tertimbus
dari bimbang bangun mega mall
membungkus limau kasturi dalam karung plastik, mencabut akarnya, mematah-matahkan dahan dan daun-daun hijau lumat, tunas dan pucuk yang hancur. Syurga beli-belah mengunyah halaman kampung, akta telah mengharamkan tanah, membaham rumah, memindahkan tubuh ke dalam sarang kotak-kotak batu dan membenam ruh-ruh lusuh ke dalam lemau hawa dingin “air con”
dan almari ketul-ketul ais
kesegaran disejukbekukan,
menghantar pergi wangi dan setanggi
menguncinya
dalam peti keranda harga,
dalam reban kuburan jual,
dalam kandang bernesan beli,
pasar-pasar berantai beraya dengan seribu pesta gaya.
(iii)
Malam sangap kuntum-kuntum cempaka, melur dan kenanga, seharusnya kita telah menguap lelah setelah senggama panjang siang dan petang,
kejangmu,
kejangku,
kejang kita dalam nafas yang harum.
Kau tahu, saat-saat dulu itu cukup kurindu, kucup cium bibir aku dan engkau, bibir kita mengaum ranum. Maung tengik bau mulutmu berbasuh hancing buruk lidah keringku. Kita sama-sama pahing membusuk.
Raba ramas, kita saling meriba dan meraba dalam ribuan bara kasih, sayang dan cinta. Hangat cumbu matahari pagi, ingatan berkeringat. Berahi yang tak akan kudapat lagi.
Tapi bukan ini, bukan cinta itu sayang,
Tapi bukan ini, bukan bunga itu sayang.
Ini bunga duri warnanya haru-biru dari huru-hara berburu, bunga janji yang dipinjamkan:
Arteleri jantung, patung-patung perang dan mesin perbelanjaan, kira-kira yang menghamburkan debu kuning bakteria, kuman-kuman kering kuasa yang mencakar,
bom satu demi satu gugur – meledak – meleburkan satu demi satu peta, nuklear satu demi satu meletup menghancurkan satu demi satu degup dan telah tak ada lagi yang lari dari cukai. Menyeringai rangka dan tengkorak,
urusniagapun menggigit-gigit tulang-tulang, sengit meneka-neka sumber yang tersisa.
Judi megabank bertaruh, satu demi satu peluru berlumba, bersaing dan bertarung berpandukan pelaburan kilang-kilang teknologi meninggi keuntungan.
Mataku letih dengan tanda harga, broker-broker pengugut rasa ralit merekabentuk belanja, memasang iklan, mengguna gambar dan kata-kata menjalar masuk ke mata, telinga mendengar, hati digaruk-garuk api, keluk tawar dan minta mengetuk-ngetuk kepala, dan aku cepat terlelap dalam gelap terlupa pada mentari petang, disulap silap, disuluh lampu letrik gedung beli-belah.
Silau mataku dengan angau.
Arghh aku tak mampu,
engkau tungau merah nyala,
tak nampak engkau mencuri,
engkau kerambit, buku lima,
tercampak aku mencari,
botol kaca pecah, serpih bersepah
lara marah, luka ku garuk berdarah.
Tak larat kederat menyumbat kehendak.
Hanya khayal sebenarnya.
26 februari 2006 engkau tahu,
“dalam dagingku duri tertanam,
dalam lipatan gunting menikam,”
dalam kocekku hapak, hanya ada gumpalan kertas-kertas tiket wayang yang koyak, buku tiga lima yang renyuk, hanya ada habuk, debu abu dan candu rokok.
(iv)

Petang, segelas susu panas,
akar wali, hempedu bumi,
jadam masih lagi ku idam pahitnya
kacau jiwaku melepaskan engkau lemak manis gula racau - “enau dalam belukar” -
gila larau mengejar cahaya lampu picit dalam terowong yang runtuh.
Biarlah, nak buat macammana kalau engkau nyawanya bateri, sumbing sel kering melenting, mengharung ludah tawa sembur air liur.
Aku sel hidup, tubuh kurus terhoyong-hayang, kering melading goyah berpusing, bertakung air mata dan pekat hijau hingus.
Engkau telahpun tenggelam dalam banjir kilat warna-warna emas,
ubi jaga tongkat ali, tegak mencanak gagah berdiri, mengilai menyalak terbahak-bahak,
nonok dalam tin perak, seronok kau mengangguk,
“puah”,
puas hati kau berak
sambil
“menangguk – bayang-bayang benda – di air yang keruh.”
Roti canai kuah kari, aku tukang cuci, ini kali aku memang mahu sendiri.
Sapu sampah, hanya satu pesanku,
tanggalkanlah rambut palsumu,
tunjukkanlah kepala layu engkau itu, bukankah botak itu indah?
Disember 2005– 15 Mac 2006

2 comments:

  1. rahmat sihat ka?lama tak dengar khabar berita..ada masa kita jumpalah...(amir)

    ReplyDelete