“Santeroooo !!!! ..........(senyap tiga saat) .........Matttt !!!!”
Meja berkocak. Terdengar stapler berlaga dengan cawan, terus jatuh berdentum, berkecai menjilat lantai.
“Woooh ! ...... yeohhhhh.”
Mat Santero menyahut. Terus menghala ke punca suara. Suara bos. Sambil berselisih meja-meja usang di tepian lorong pejabat yang sempit ini, dia menerima tempias suara-suara sumbang ...... mengejeknya.
“...... Memang pekena dengan bos !!”
“....... Aksyen lagi ..... baru tau !!”
“....... Usik lagi anak-anak dara bos !!”
“........ Kau lambat asah pensel bos ke !!”
“....... Mampuslah kau !!”
“....... Cakap banyak lagi !!”
“....... Ha ..ha .....hah, geli hatiku tak terkira. mambooo !!”
Santero relaks aje. Suara-suara yang dilemparkan itu memanglah pedas. Dia tahu kawan-kawan berseloka aje. Semua menerima habuan sindiran apabila dipanggil bos. Ini masa mereka. Masanya akan kunjung tiba jua. Namun semua sudah membudayakan tempelak, loud speaker bos. Buat pekak.. buat derk aje. Masuk telinga kiri ... tapis sikit ... lepaskan ke telinga kanan. Begitulah kalau tidak mahu dilanda tension. Kena tarik nafas panjang panjang dan melalikan diri.
Bos memegang tombol pintu. Rambut tegak macam budak Kipli dalam siri drama Indonesia. Mungkin pasal dia garu kepala. Ada kelemumur, ketumbe atau kutu babi agaknya. Ada sesuatu yang tak kena. Bos terlalu serius. Nampak cemas sikit. Rokok mencebek di pipi kiri. Tali leher tak cukup syarat. Kocek kanan baju pernah tercemar dakwat merah. Rokok spare di telinga kiri dan pensel kontot di telinga kanan. Merenung tajam ke arah ku. Aku rasa aku tak bersalah. Tau-tau sajalah apabila bos panggil dengan nada yang tinggi semacam itu, sudah pasti, ada yang tidak secucuk. Aku sudah pun bersedia dengan perisai yang mampu mematikan pendengaran. Dia melambai macam pegawai trafik. Aku cepatkan langkah. Bisikan yang mencemuhkan masih melantun-lantun di belakang ku. Lengan ku ditarik ke dalam kamar yang kabur dengan asap rokok. Seperti dalam awan kayangan. Aku cuba berseloka, cuba menghiburkan diri sendiri !!
“Duduk”
Seperti budak baik aku pun duduk tertib. Masih tak tahu apa yang dia hendak. Mungkin tak penting. Sengaja aje nak menjerit. Melepaskan geram pada entah siapa. Itulah dia, terlalu sangat menjerit ke sana sini.... dah tak berkesan lagi. Macam harimau mengaum tanpa taring. Dia ni memang orang baik tapi bersemangat gila babi. Bukan sawan babi. Tapi aku pernah dengar dia tempelak sampai menangis wartawan muda. Budak lelaki pulak tu. Hilang machonya. Aku menunggu. Setia menunggu. Aku melihat beberapa kepingan kertas tersumbat dalam tong sampah. Entah karya wartawan mana yang telah dikebumikan tanpa hormat. Mood bos memang tak baik pada hari ini. Bos tarik rokok sparenya yang terselit di celah telinga. Mangkuk di atas meja sudah pun sarat dengan bekas puntung-puntung rokok yang dipelentokan mati, filter-filter rokok dan abuk-abuk rokok. Ada dua tiga sisa kertas gula-gula. Mula mencari pemetik api di celah-celah timbunan kertas-kertas yang bertaburan di atas meja panjang. Meja panjang yang dimamah zaman dan sepeninggalan bekas bara rokok. Menyeluk entah berapa banyak saku jaket-jaketnya. Hampa. Aku tengok aje.
“Ada lighter ?”
Aku menyeluk saku dan menyerahkannya kepada bos. Pemetik api ku ini berjenama Ronson. Bos sudah membelek-beleknya. Mampuslah aku kalau dia pangkah Ronson aku menjadi harta rampasan seumur hidup. Dia melontarkan kembali kepada aku. Aku bersyukur.
“Don (Dolah) tak masuk kerja ... Ada emergency. Dia orang ni bila aku suruh buat kerja ada aje hal. Tak apalah nanti aku siasat. Aku ada assignment untuk kau. Kau kena interview Menteri petang ini.”
“Tapi .. bos. Tak adillah bos. Saya tak tahu menahu pasal ini. Suntuk masa bos. Saya sekarang sedang buat research tentang hasil padi di Sabak Bernam, bos.”
“Batalkan, bekukan semua. Kau nak naik pangkat ke ....tak ? Bukan senang aku nak kasi assignment macam ini pada orang yang aku tak tahu.”
Aku tunduk. Berani dia kata dia tak tahu aku. Mulut celupar !!! Siapa tak mahu naik pangkat. Sah pun belum. Sepatutnya, aku sudah lama disahkan dalam jawatan dan terus dinaikkan pangkat. Kelemahan aku adalah tak pandai bodek, tak pandai main politik dalaman dan kalah kepada wartawan-wartawan senior yang ghairah sangat membolot cerita. Cerita bodoh-bodoh aje sampai ke meja ku. Aku rasa bos tengah kelentong kaw-kaw dan aku pulak mudah termakan umpan naik pangkat. Begitulah hukum alam !!
“Ambil fail ini, fahamkan dan interview bagus-bagus. Aku akan kasi front page coverage. Bawak Joe photographer. Keluar dan buat kerja.”
“Bos ... satu kertas aje dalam fail ini. Tulis tangan pulak tu ...”
Bos melontarkan tenungan yang mampu menghanguskan jasad yang kerdil ini. Aku terkena pengeringnya.
“Wartawan kena bijak. Ambil fail dan buat kerja. Masa tak menunggu sesiapa pun.”
Madah yang aku sudah tahu dan sudah pun basi. Macam budak baik aku pun keluar, meninggalkan kamarnya yang masih diselubungi kabut masam. Aku memang tidak puas hati. Ada tiga empat jam aje untuk mengutip maklumat. Masa nak makan tengah hari lagi. Rasa nak panggil Don. Nak gasak dia. Ingin melepaskan kata-kata kesat kepadanya. Aku membatalkan hasrat ini kerana mungkin dia benar-benar mengalami kesulitan. Tak apalah. Biarlah aku merana seorang diri.
“Assalamualaikum. Nama saya Mohd Shukri, wartawan dari Berita Pelita (menghulurkan name kad). Saya ada appointment dengan Yang Berhormat Menteri,Tan Sri Yaacob. Ini Joe photographer kami.”
Setiausaha menerima kad ku dan scan wajah ku. Ke atas dan ke bawah, macam tak percaya aje. Macam nak telan aku hidup-hidup. Pakaian ku bersih. Ada tali leher. Rambut belah tengah. Ada fail dalam tangan. Ada Parker pen mahal. Senyum selalu. Hah... Apa lagi dia hendak !!.
“Ada appointment ke ? Tunggu saya pastikan.”
Macam tak percaya aje. Dia terus mencapai telefon dan menghubungi entah siapa.
“Terima kasih.”
Ucapan ku tak berjawab. Mungkin dia terlalu sibuk atau pun sudah besar kepala kerana menjadi setiausaha orang besar. Aku berdosa kerana membuat andaian buruk. Aku pun duduk. Membuka buku kecil ku dan menyemak kembali soalan-soalan untuk Menteri. Pening kepala dibuatnya. Isu-isu apa yang harus aku timbulkan. Geng-geng di ofis tak tahu menahu atau malas nak memberitahu kerana sibuk dengan kerja masing-masing. Demi mendapat pertolongan, aku menawarkan makan free. Syarifah saja yang menyambut tawaran ku ini. Gadis genit ini sudah lama menaruh hati pada ku. Aku pun begitu. Kasihan pada ku agaknya. Dia ni kuat membaca. Intelektual sedikit. Biasanya wartawan memang liat nak membaca apa-apa pun kerana sudah beranggapan bahawa usaha membaca menjadi satu phobia, satu bebanan dan dikaitkan langsung dengan tugasan kerja. Tidak seronok lagi. Lebih mudah memuntahkan berita aje. Aku tetap berterima kasih pada Syarifah. Banyak kasi aku lead untuk menangani interview ini. Sanggup mencari maklumat tentang latar belakang Menteri ini dan tugas-tugas hariannya.
Akhbar Berita Pelita ini mengembangkan sayapnya pada seluruh negara. Jualannya sungguh hebat dan dapat menandingi akhbar-akhbar utama. Memang terkenal dengan keberaniannya menyiarkan berita-berita dan ulasan yang kritis. Setahu aku, Ketua Pengarang telah beberapa kali dijemput hadir oleh Kementerian Dalam Negeri dan Polis untuk tunjuk sebab mengapa akhbarnya tidak patut dibatalkan. Namun Ketua Pengarang cekal mempertahankan kedudukan akhbarnya. Semua tahu bahawa akhbar ini mampu menghidupkan dan mematikan kerjaya pemimpin-pemimpin agensi kerajaan atau orang-orang politik. Setengah jam sudah berlalu dan aku menunggu. Macam tunggul tua yang semakin reput. Letih membelek gambar-gambar majalah yang tersandar dan terdampar atas meja tetamu. Meja bulat yang berlilitan emas dan kaki-kakinya berukiran gangsa. Majalah-majalah bawah meja pun aku capai. Bukan Menteri tak tahu tentang wawancara ini. Kalau ikut hati sudah lama aku cabut. Soalnya aku tak tahan berbalas pantun dengan bos di ofis nanti. Satu jam sudah berlalu dan kami letih menunggu. Aku sudah gian rokok. Nyunyut gula Hacks, anugerah dari Joe. Mudah-mudahan kemarahan ku tidak melimpah ruah dan meracuni wawancara nanti. Lagi pun aku tidak mahu berdendam. Tak baik berdendam. Joe sudah lama gelisah. Boring habis. Ambik gambar pejabat Menterilah. Gambar akulah. Gambar secretarylah. Gambar sendirilah. Biar ajelah asalkan dia bahagia. Tak suka boleh delete. No problem.
“Encik Shukri, maaf kerana lama menunggu. Saya PA Menteri (dia mengeluarkan kadnya dan aku tidak menawarkan kad ku). YB Menteri Tan Sri terpaksa melayani tetamu luar negara. Baru habis. Sila ... “
Kami ikut buntutnya. Pusing ke sana. Pusing ke sini. Masuk pintu sini. Keluar pintu sana. Begitulah apabila pejabat terlalu besar dan jawatan pun terlalu tinggi. Pintu diketuk, dibuka dan salam diberi. Derusan angin aircon menerpa muka. Aku memang tak suka pada angin sejuk yang membeku.... Aku diusung ke kerusi berdepan dengan YB Menteri. Joe duduk di belakang ku. Sudah mula bangun memetik kameranya. Menteri masih menulis sesuatu lalu menghulurkan kepada PA. PA tunduk, berbisik sesuatu dan keluar. Aku berdepan dengan Menteri yang aku kenali dari akhbar-akhbar dan TV. Dia menulis sesuatu. Akhirnya dia mendongak seolah-olah baru sedar tentang kewujudan kami. Dia menerima kehadiran ku dengan senyuman paksa yang tak berseri. Mustahil dia tidak tahu tentang wawancara ini. Aku menghulurkan tangan dan tangannya pulak sedingin salju yang membeku. Pada ku apabila tangan seseorang itu sejuk dan tidak mahu grip semasa berjabat tangan maka orang itu memang tak ikhlas. Sudah mempunyai agenda yang mementingkan diri sendiri. Tanggapan ku ini berasaskan kepada pengalaman. Teori bodoh ku ini belum lagi memungkiri janji.
Namun dia kelihatan gelisah. Tidak apologize terhadap kelewatan yang menelan satu jam itu. Aku liat hendak menerima alasan PA. Apa boleh buat. Menteri lebih besar daripada aku. Aku di ibaratkan kancil yang berdepan dengan gajah. Mungkin perasaannya terganggu. Dia tahu wawancara ini mampu melonjakkan kedudukan politiknya ke tahap yang tertinggi, tapi boleh juga mengebumikan kerjayanya. Kalaulah wawancara ini sepenting itu kenapakah dia sanggup melewat-lewatkan wawancara ini. Kelewatannya menyebabkan hati ku terbuku dan bersikap serong terhadapnya. Mungkin dia bertekad menempuhi wawancara ini kerana inginkan publisiti yang menjanjikan manfaat yang luar biasa. Dia langsung tidak tahu bahawa aku adalah wartawan ‘bidan terjun’, stringer dan belum matang dalam dunia diplomasi dan kewartawanan. Baguslah. Bolehlah aku berlagak sedikit. Mungkin juga dia sengaja menimbulkan sikap acuh tak acuh ini sebagai satu strategi perang saraf untuk mengisytiharkan bahawa dia menguasai keadaan (in-control of situation) dan ingin mengingatkan aku bahawasanya ruang yang aku jejaki ini adalah medan jajahannya. Oleh itu aku patut akur. Sebenarnya keadaan ini berjaya memukau dan menakutkan aku. Aku pulak pandai sembunyikan perasaan. Muka selamba aje kerana mahir dalam mainan pakau poker.
Menteri sibuk mencari sesuatu. Membuka beberapa pintu almari kecil di tepi mejanya dan akhirnya mengeluarkan sebatang paip bengkok yang berukiran indah bersama beg tembakaunya. Terdapat dua buah paip terpamer indah di atas meja almari besar. Diketuk-ketuk paipnya itu. Lalu menyumbatkan tembakau ke dalamnya. Padatkan dengan jari telunjuknya lalu menyalakannya dengan lighter berukiran mas. Pasti orang ternama dari negara asing yang menghadiahkannya. Dia menghisap paipnya. Aku mampu perhatikan aje. Asap paip yang berkepulan itu kadangkala, menggelapkan sebahagian mukanya. Berjaya menyedut tiga empat kali dan bara paip pun mati. Dinyalakan lagi. Tidak berjaya. Akhirnya dia mengeluarkan alat pembersih paip dan cucuk timbunan tembakau dengan besi tajam agar oksigen sampai ke dasar paip. Begitulah usahanya untuk memberi nyawa pada paipnya yang mahal itu. Nyala-padam .... nyala-padam .... nyala-padam. Aku sekadar menyaksikan drama orang yang nak tunjuk pandai tapi gagal menghisap paipnya. Sebenarnya menghisap paip itu merupakan satu seni dan akan mengambil masa yang lama bagi memahirkannya. Silap langkah terkancing gigi dan terbakar lidah. Aku pula boleh kekalkan hisapan paip dengan sekali petikan api aje. Dapur paip tak panas dan tembakau habis digunakan. Bukan menunjuk-nunjuk tapi terpaksa pertahankan hakikat !!! Aku sudah seronok, syok sendiri kerana dia tidak sehebat aku. Ha ha hah !!
“Susahlah nak hisap paip baru ni. Periuknya tak ada kerak lagi. Pasal itulah tak tangkap api.”
Dia memberi alasan, membelek-belek paip baharunya lalu mengeluh panjang. Aku mengangguk saja. Aku percaya hasrat mempamerkan dirinya sebagai seorang yang sofistikated, seorang yang bertamadun dan bertakhta dalam pejabat yang serba lengkap ini tidaklah kesampaian. Aku pernah menghisap paip semasa belajar di luar negara. Sekarang sudah tidak berapa minat lagi kerana ramai menyangka hanya bos-bos dan orang berpangkat tinggi aje yang layak menghisap paip. Maka aku pun tidak kekalkan amalan ini kerana tidak mahu dituduh berlagak macam bos. Aku menghisap paip di rumah aje..
“Saya dengar dari kawan-kawan, menghisap paip baru memanglah susah. Mereka cadangkan supaya campurkan tembakau dengan susu pekat, condensed milk, lalu melekatkannya di sekeliling dapur paip. Yang terbakar dan menjadi kerak nanti adalah tembakau dan susu pekat. Hisap menjadi lebih senang bila sudah ada kerak dapur paip dan tidak pula membakar kayu asalnya. “
“Baguslah idea tu. Jadi tak .... Menyala tak. Mati tak”
“Memang jadi ... Yang Berhormat Menteri. Kerana saya pernah menghisap paip semasa di luar negara dulu . Tembakau apa Yang Berhormat Menteri pakai.”
“Brand Blend 11. You guna jenis ape ?”
“Saya pakai Flying Dutchman. Harum, wangi dan tidak berkeping-keping. Malangnya brand ini tidak ada lagi di sini. Saya pun dah tak bersemangat untuk menghisapnya lagi.
Hisap paip memang memberi ketenangan dan mendapat ilham. Tapi bila mula-mula menghisap paip, jam mulut dibuatnya. Lidah terbakar. Tak boleh bukak mulut langsung ..... “
Dia tergelak besar dan aku turut sama. Kerana aku pernah mengalaminya. Wap panas paip membakar lidah. Sekarang Menteri nampak tenang dan aku memulakan wawancara dengan memasang perakam suara di atas mejanya. Dia tidak membantah. Aku meraikan kesibukannya mentadbir dan mengatasi masalah negara. Dia tersenyum lebar dan menganggukkan kepalanya tanda setuju.
“Maklum sajalah hendak melayan kerenah manusia bukanlah senang. Selalu pening kepala dibuatnya.”
“Tahniah Tan Sri !! Saya juga difahamkan YB Menteri berjaya menangani masalah Syarikat Penerbangan yang berkonflik dengan tuntutan pekerja-pekerja airport. Akibat daripada tindakan YB Menteri maka jadual penerbangan tidak terganggu.”
Aku sengaja menggunakan bahasa intelek dan ingin memberi tahu kepadanya bahawa wartawan ini pernah memasuki universiti dan pernah menghisap paip. Bukan sembarangan kutu di pinggiran kota.
“Benar.”
“Bagaimana YB Menteri melakukannya”?
“Demi menjaga kepentingan ekonomi negara, saya terpaksa bertindak drastik. Saya terpaksa menahan pemimpin-pemimpin kesatuan yang bukan saja buat kacau bilau tetapi juga menghasut pekerja-pekerja lain.”
“Apa yang mereka mahu YB Menteri” ?
“Mereka mengugut kalau gaji tak naik maka mereka akan mogok panjang”
“Tapi bukankah pekerja berhak membuat begitu.”
“Tengok tempatlah. Kalau mengancam ekonomi negara, kita terpaksa bertindak.”
“Ekonomi negara ?”
Aku tertanya-tanya. Ingin tahu logik seterusnya.
“Ya. Syarikat Penerbangan ini ....... adalah milikan negara.”
“Bagaimana mereka boleh mengancam ekonomi negara pulak? Saya tak faham.”
Menteri melepaskan pandangan tajam. Ingin memberitahu bahawa aku ni memang tak pandai. Sudah yakin bahawa dia dapat menguasai aku dan makin pasti bahawa wawancara ini akan memihak kepadanya.
“Cuba bayangkan. Kalaulah mereka mintak naik gaji, maka syarikat terpaksalah menaikkan harga tiket. Kalau kita naikkan harga tiket, maka sudah pasti ramai tidak mahu naik kapal terbang ini. Maka syarikat akan rugi besar, pendapatan negara akan hancur dan mereka hilang pekerjaan.”
Menteri mempertahankan pendiriannya. Selesa dengan penjelasannya. Sudah mula menyalakan paipnya. Berhati-hati menyedut supaya tidak nampak sumbang dan baranya dapat bertahan lama. Aku terima penjelasannya. Logiknya sungguh simple. Kenaikan gaji merugikan semua. Soalnya mengapa orang lain masih mempertikaikan tindakkannya. Aku mahu pasang jerat.
“YB Menteri, mengikut statistik yang dipetik dari Berita Bernama, Syarikat Penerbangan ini mengisytiharkan keuntungan yang berlipat ganda bila dibandingkan dengan tahun-tahun yang sudah. Bukan begitu YB Menteri?”
Dia terdiam seketika. Mukanya sudah merah padam. Dia menyusun kedudukan punggungnya. Lemak punggung dah memar agaknya. Membelek paipnya. Cuba bertenang. Menyapunya dengan tuala tangan supaya berkilat lalu memandang kepada aku.
“Statistik mana yang awak guna ?”
Dia menyerang garang. Aku pun keluarkan keratan-keratan akhbar dari beberapa press tempatan tentang angka keuntungan yang dihebohkan di seluruh penjuru negara. Dia mengambil masa membaca kenyataan tersebut. Agaknya, mengambil kesempatan ini untuk mencari penjelasan yang dapat membatalkan kenyataan tersebut. Dia terima hakikat. Aku langsung tak percaya bahawa dia ni tidak tahu menahu tentang angka-angka ini. Sengaja buat tidak tahu.
“Memanglah ada untung. Tapi taklah seperti mana yang disiarkan itu. Sebenarnya keuntungan ini menjadi amat kecil lagi apabila sebahagian darinya ditolak untuk peruntukan membangunkan syarikat pada tahun depan.”
“Saya tidak berapa setuju. Kalaulah mengikut sistem akaun, semua perkiraan keuntungan bersih adalah untuk tahun yang lepas aje. Bajet untuk masa depan adalah perkara yang berasingan dan tidak harus dicampur-adukkan. Saya tidak faham. Selalunya kita selalu membanggakan keuntungan besar, walhal YB Menteri sebaliknya. Kalau saya silap tolong betulkan.”
Menteri semakin gelisah. Cuba menyalakan paipnya. Tak berjaya. Aku kena penendang tajam dari bawah meja. Tepat pada buku lali ku. Joe tidak senang dengan soalan ku. Mungkin dia rasa aku sudah melanggar batasan tatasusila. Dia menganggap bahawa aku tidak menghormati protokol apabila menghadap Menteri. Apa aku peduli. Aku menggosok buku lali yang masih perit itu. Aku buat-buat cari pensel yang terjatuh. Tetap berdendam.
“Kita sengaja tidak isytiharkan strategi kami kepada dunia luar. Rugilah kalau orang lain tahu rahsia kami terlebih dulu. Lagi pun semua maklumat adalah termaktub di bawah Akta Rahsia Negara.”
Aku tak faham. Apa kaitan keuntungan dengan strategi. Dengan rahsia. Akta Rahsia aku tahu. Nampak sangat Menteri cuba lari dari tajuk perbincangan kerana ingin pertahankan syarikat dan bukan kebajikan pekerja-pekerjanya. Aku rasa dia ni kroni syarikat dan pasti mendapat habuan yang istimewa. Sanggup berkorban untuk badan korprat.
“Lagi pun mereka tidak patut berdemonstrasi. Kerana menyusahkan orang.”
“Saya juga difahamkan pekerja-pekerja sudah menghantar memorandum kepada CEO Syarikat dan juga pada YB Menteri sendiri. Tapi tak menerima balasan. Mungkin mereka berdemo kerana tidak ada pilihan lain.”
“Itu tidak betul tu. Mereka tak pernah hantar memo kepada kami. Saya tidak senang dengan fitnah seperti ini ( Menteri sudah marah)”
“Tapi mereka ada surat menunjukkan Pejabat Menteri sendiri sudah pun cop dan mengesahkan penerimaan memo ini.”
“Kau menuduh saya berbohong ke ?”
“Maaf, bukanlah begitu Tan Sri. Saya disuruh mendapatkan penjelasan. Kalau YB Menteri mengatakan mereka berbohong, akan saya rekodkan begitu aje. Tidak lebih dari itu.”
“Jangan ... jangan rekodkan. Nanti orang salah tafsir pulak. Nanti saya tanya PA saya tentang memo ini. Saya akan pecat dia kalau benar-benar dia sudah terima dan tidak serahkan kepada saya.”
Aku yakin Menteri ini sudah mula kelentong lagi. Sudah main sandiwara. Kemarahannya tak ke mana. Kawan-kawan lain pernah menceritakan tentang drama dan sandiwara Menteri-Menteri termasuklah Perdana Menteri. Dia ni selalu sangat tengok jam tangannya. Seolah-olah dia sudah banyak mengorbankan masa untuk wawancara ini dan dia terlalu sibuk. Aku pulak menjadi serba salah. Seolah-olah merampas masa keemasannya.
“Maaf Tan Sri, bagaimana dengan mereka yang kena tangkap di bawah ISA itu.”
“Macam itulah. Biarlah polis siasat dan saya tidak mahu membuat komen kerana sub-judice nanti. Nanti mahkamah dakwa saya pulak. ”
“Tidak boleh berunding ke ?”
“Apa nak dirundingkan. Semua mahu naik gaji.”
“Apa salahnya?”
“Salah tu tidaklah. Tapi ini merugikan Syarikat. Pekerja patut berterima kasih kerana dapat gaji.”
“Tapi kalau gaji tak setimpal ... ?“
Joe pula sudah batuk lempang-lempung. Aku melihat ke arahnya. Dia membeliakkan matanya. Aku juga balas dengan membesarkan mata sepet ku.
“Joe, u tak bawak ubat batuk atau gula Hacks ke ?”
Aku menegurnya. Sudah hot dengan dia. Sudah iri hati. Sibuk nak sekat aku. Mungkin dia nak selamatkan aku. Aku memohon maaf kepada Menteri kerana memintas percakapannya. Menteri tidak berkata apa-apa dan terus bertanya.
“Setimpal macam mana ?”
“Sudah lima tahun tidak naik gaji. Walhal harga barangan sudah meninggi langit. Krisis ekonomi sudah semakin teruk. Isu yang terpenting sekali adalah, pada tahun sebelum ini Syarikat Penerbangan mendapat keuntungan yang besar dan luar biasa. Apa salahnya kalau mereka menumpang ‘durian runtuh’ ini. ”
Dia pun bangun. Ingin menamatkan wawancara ini. Sambil menyusun fail. Hendak memberi kata putus.
“Kalau kita naik gaji pun .... tak guna. Kerana mereka tetap malas.”
“Kalau mereka malas macam mana dapat keuntungan besar ? Nampaknya YB Menteri tidak mahu memihak kepada golongan pekerja.”
“Tidak begitu (meninggikan suaranya). Kalaulah gaji dinaikkan maka kita mestilah paksa mereka kerja lebih kuat, setimpal dengan kenaikan gaji itu.”
“Pada pandangan pemimpin-pemimpin Kesatuan, gaji yang dinaikkan itu adalah pampasan untuk mengambil kira penindasan yang sekian lama dilakukan terhadap golongan pekerja-pekerja dengan pemberian gaji yang amat rendah. Sudahlah tidak ada gaji minima. Andainya ditawarkan gaji baru ini maka ini adalah tebusan atau pampasan terhadap penindasan yang sudah bertahun-tahun lamanya.”
“Kau ni orang union ke, orang Sosialis ke?”
“Tidak Tan Sri. Pernah interview beberapa pemimpin Kesatuan Sekerja termasuklah pemimpin Sosialis. “
Aku berbohong sunat. Tumpang tuah orang lain. Menteri tak mahu melanjutkan percakapannya lagi. Interview sudah tamat. Dia terus memakai kot dan mengiringi aku keluar. Joe masih memetik kamera. Aku mengucapkan terima kasih. Fikiran Menteri sudah melayang jauh. Mungkin memikirkan mesyuarat selepas ini atau tidak puas hati dengan cara mana aku melaksanakan wawancara ini. Joe masih menggeleng-gelengkan kepalanya dan tahu aku akan dimangsakan oleh orang besar ini. Kemungkinan besar Menteri ini akan mengadu kepada Ketua Pengarang Berita Pelita dengan berbagai-bagai ugutan. Demi mengekalkan penerbitan akhbar maka bos terpaksa memihak kepada Menteri dan mengorbankan aku. Mudah-mudahan tidak begitu. Kalaulah dia berpaling tadah dan menyingkir aku maka aku akan mengadu pada Pejabat Buruh walaupun aku tahu pejabat ini tidak mempunyai taring. Bila keadaan makin terasak, aku akan melepaskan jawatan ku ini. Rezeki di tangan Tuhan dan aku akan mulakan hidup baru dengan usaha baru dan semangat baru. Tetap bangga kerana dapat menyusahkan Menteri. Mungkin juga wawancara tidak akan disiarkan. Wallahualam.
Nasir
No comments:
Post a Comment