BERNYANYILAH DARI HATINURANI
Malam ini saya rasa seniman coba mengimbangi kuasawan. Kita lebih melakukannya dengan kata-kata berbeda dengan kuasawan yang selalu melakukannya melalui dana.
Kata-kata selalunya “mengkhayalkan” sementara dana “memungkinkan”. Biar apapun peranannya, malam ini, peranan seniman mungkin lebih untuk sekedar “menyedarkan.” Terlalu ramai kuasawan yang terlupa, khususnya kuasawan yang sedang benar-benar berkuasa.
Tema utama kita tampaknya ialah “Dari Rakyat ke Rakyat”. Tapi, sebenarnya kita ingin berdialog dengan pemimpin—kita bercakap saja sesama sendiri, sesama rakyat.
Sebenarnya, kita menyanyi.
Dipercayai atau tidak sebuah lagu biasanya sebuah suara batin—suara dari batin—kejujuran dari batin. Dan malam ini, kejujuran dari batin coba menghantar reslitas masakini melalui lagu atau melodi yang lama terganggu. Ia penuh dengan rintih dan jerit; bisik dan raong. Tapi, isinya berlegar seputar ketidakadilan yang sedang berterusan—kepincangan masalalu (Fatehah Memali) dan ketimpangan masakini (Ikut Suka Aku—ISA).
Lagu-lagu sebondong ini terkadang tidak begitu melodius—lirik lebih nyaring daripada musik. Tapi, itulah kehidupan sebenar—real dan kasar—realitas yang sentiasa tidak melodius; yang melodius selalunya adalah khayalan.
Sebanyak 10 lagu terhimpun dalam album pedih ini, tapi kelahirannya memang petanda jujur bahawa masih terus ada duri siksa dalam masyarakat kita. Seniman membantah kepincangan ini.
Tentu saja akan ada setengah kuasawan yang menganggap bahawa album ini adalah serpihan propaganda. Benar juga—ia propaganda, tapi suara yang tulen. Ada propaganda melalui cogankata yang mendadak—cogankata (tahu-tahulah sendiri) yang sangat nyaring (atau memang dinyaringkan) kerana semua media utama (yang citak, yang letronik)—patuh (terkadang melampau) menjeritkan propaganda itu.
Ada bedanya antara propaganda institusi gergasi dengan propaganda jerit insan kecil. Yang pertama sangat berazam diguruhkan; yang kedua sekedar berharap suaranya terdengar.
Di sinilah terletaknya album “Dari Rakyat ke Rakyat” oleh Meor Yusof Azidin (pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron). Lagu-lagu dalam album ini adalah pesanan jujur (atau setingginya jeritan jujur) dari batin seniman yang sedang terdera—tersiksa oleh realitas hidup yang mendendangkan suara-suara bombas yang terlalu berat sebelah. Dan ingat, “pelampau” memang perlu diwaraskan. Keras yang buas perlu dilembuti tangan yang berhemah.
Lagu “Ikut Suka Aku—ISA” ini memang dengan mudah diselar sebagai propaganda politik kontemporer; sebaliknya, ia sebenarnya adalah jeritan masakini yang memang masih terus mendera.
Begitu juga lagu “Fatehah Memali” mudah diselar sebagai propaganda berhasrat. Padahal ia adalah jeritan semula masalalu yang tertimbus—atau ditimbus oleh kuasa lalu yang sangat gamam. Pemangsaan tidak pernah tidur nyenak; ia terpaksa bangun mewaraskan pemangsaannya. Makanya, lagu “Fatehah Memali” membangunkan yang tidur supaya dapat sama-sama mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.
Sangat lama, malah sedang terus, kita didesak percaya bahawa insan Memali “gila”, kerajaannya yang waras ketika tercetusnya peristiwa. Jentera propaganda Kerajaan terlalu menekan dan menghukum ketika itu. Tapi, sekarang ini, generasi mudanya mula berupaya melahirkan iklim baru—yang salah wajar diperiksa. Mereka mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.
Memangpun pada malam ini secara berdikit dan jujur, generasi muda ini ingin meluhurkan semula perjuangan. Masakini bukan lagi sepenuhnya hak generasi lalu; masakini adalah lebih hak generasi kini.
Sokonglah “Dari Rakyat ke Rakyat.” Bernyanyilah dari hatinurani; bukan dari keangkuhan diri.—A. SAMAD SAID.
17 Oktober 2009.
catatan SS:
-Fatehah Memali dalam teks ini merujuk kepada lagu Syuhada Memali, lirik Amin Iskandar.
-Dari Rakyat Ke Rakyat merujuk kepada album Dari Rakyat Untuk Rakyat
Salam dan tahniah Pak Samad.
ReplyDeleteSASTERAWAN RAKYAT SEJATI
Tahniah atas penerbitan Album Dari Rakyat Untuk Rakyat.
Ini baru betul SENI UNTUK MASYARAKAT
Berkaca mata hitam
ReplyDeleteMendendang lagu Ehsan
Dari Kalbu sang Insan
Si Pemuzik jalanan
Dengan seribu impian
Berpandukan naluri
Setajam mentari
walau dunia gelap gelita
namun terang cahaya hatinya
saya akan copy and paste di blog saya..saya menghayati ucapannya malam itu...cuma sekadar mengingati tentang makna di sebalik DRUR...bicara rakyat untuk pemimpin...
ReplyDeletesaya juga amat tertarik dengan peristiwa memali dan ingin sama menghidupkannya terus dan memastikan ada pembelaan dan keadilan tertegak..
sayang di saat itu aku tak dapat duduk di samping mu kawan
ReplyDeleteterkadang tangan yang ada kanan dan kiri ini ingin terus berbuat kebaikan tapi terkadang tetap saja terbabas di lencongan... Nak sahaja generasi muda kini terus cintakan seni penulisan dan seni pemahaman tapi kiranya keputusan kertas Bahasa Melayu 37% macam mana ini? Sibuk dengan cerita-cerita baharu artis yang menjerumus mereka ke lembah cinta diusia muda... Tak boleh terima rasanya keadaan baru ini... Adakah diri tak ikuti perkembangan zaman atau masih berangan di zaman 80an :) Tahniah untuk karya penuh emosi ini...
ReplyDeleteseni untuk masyarakat...sudah lama slogan ini tiada didendangkan dicorong2 generasi masa kini...sudah tiba, seni itu digunapakai untuk aksi yang mendatangkan jutaan penyesalan di lubuk2 hati para insan yang hatinya dahagakan fitrah kejadian asalnya...seni bukan mainan onani manusia yang berfantasi...tapi seni itu punya aura merungkai misteri yang sudah ditimbus sedalam-dalamnya...yang sudah dibakar sehangus-hangusnya...seni adalah realiti yang pernah wujud dalam satu lembah misteri yang tiada sapa pun pernah peduli kecuali bagi sesiapa yang mahu memahami...
ReplyDeletesekiranya ISA dimansuhkan, adakah akta baru perlu diwujudkan untuk menjaga keselamatan dalam negara?
ReplyDelete