Showing posts with label rumah mimpi. Show all posts
Showing posts with label rumah mimpi. Show all posts

Saturday, May 22, 2010

SS NO 23: Rumah mimpi

(i)
Engkau yang memandangku dengan penuh penghinaan, ingatlah:
-jika aku pengemis,
syiling sen yang kau campakkan ke dalam kole plastikku, dengan nada sedekah pahala itu, tidak akan membuatkan aku kaya dengan harta. begitu juga wang mu yang berkoyan itu tidak akan luak, sebaliknya renungan kejam kunun penuh simpati kira-kira syurga itu, hanya akan menjadikan engkau miskin. dan engkau masih miskin bila masih berdoa untuk jadi kaya. pernah kau mahu bertegur sapa, berbual mesra denganku?
-jika aku penagih,
engkaulah yang menciptakan aku dengan seluruh ketagihanmu pada kimia dan teknologi dan senjata dan harta dan dunia sementara. aku tahu hala diriku, ke lokap, penjara atau pusat-pusat kurungan yang sempit berpesta laba niaga haram rasuah. aku cuma menunggu tiba hari matiku, aku hidup dalam dunia kematian. dan engkau yang hidup berkejaran dalam kesibukan, dari muda menjadi tua untuk akhirnya tahu, dunia bukan untuk kita miliki.
-jika aku pelacur tua,
sundal yang gagal, katakanlah engkau pernah berbaring menyembah di celah kelangkangku. rumah merah, mengajarmu erti nikmat, memberimu berahi menjadikan engkau jantan angkuh berkokok garang, syahwat telah menjadikan engkau sombong, mencanak mencakar awan, untuk akhirnya runtuh, mereput. aku cuma mahu memberitahumu, pakailah kondom pelindung, tak perlu kau wariskan sombong keangkuhanmu.
-jika aku gila,
aku benar-benar merdeka. hukum hakammu tak memberikan apa-apa makna. bahkan kesedihanmu boleh saja menjadi gurau yang paling menyeronokkan. kefahaman kita tidak sama. taik dan sampah, boleh saja menjadi mulia di mataku. seperti engkau hanyalah seketul taik, atau selambak sampah plastik yang tak dapat dikitar semula. aku geli hati melihat engkau terpenjara dalam kemerdekaan pura-puramu itu.

(ii)
Pandanglah mataku, lihatlah ke dalam hatiku - kotor hitam atau putih suci ;
engkau yang berumahkan kayu cengal, bermahligaikan tugu-tugu batu
atau
mahal kondominium berkerlipan cahaya,
atau
engkau yang menyewa selesa, membayar gembira,
aku tidak pernah hairan dengan seluruh kemewahanmu,
kaki lima jalan, sehelai gebar berhabuk
atau
sepasang pakaian lusuh
kota dan malamnya
adalah kamarku yang luas
langit bintang-bintang menjadi bumbung berlampukan rembulan purnama,
mewah atau papa, mimpi tetap akan datang dengan bahagia dan kengeriannya.

BangsaT Utama-Pulau Pinang-Ampang
Oktober 2009

Tuesday, October 27, 2009

pecah rumah mimpi

semalam rumahku dimasuki pencuri (sebenarnya belum lagi mencuri, agak tak wajar memanggilnya pencuri). baru menonjol kepalanya di tingkap dapur yg berjaya dipotong grill besi atau dicabutnya. yg mampu kulakukan hanyalah menyergah, hoii. dia lari, menyelinap di celah pagar yg telah robek dan tak jauh kudengar bunyi enjin motorsikal dihidupkan, dia berlalu pergi dan kalau sempat, mungkin akan datang lagi.

rumah ini, hanya ada mimpi, tiap tidurku bermimpi. siapa dia yg dtg itu? dari mana dia? punya rumahkah dia? apa yg mendorongnya sanggup berbuat kerja2 nekad begitu? kenapa?

aku hanya menjangka, dia hidup dalam lingkaran ganas kemiskinan atau ketagihan yang tidak tertahan-tahan, hidupnya di antara rumah-rumah mimpi - yg dipecah masuk, mendapat untung tak seberapa, pecah lagi, tertangkap, di lokap, di penjara, di pusat, keluar dan cuba lagi memecahkan rumah-rumah mimpi.
sampai bila?
semua orang, ingin bermimpi bahagia.

SS: takziah buat keluarga tragedi perkhemahan 1Malaysia, jambatan digantung ketamakan rasuah, inilah jadinya.