Thursday, April 30, 2009

Seorang Perempuan Muda telah menjadi sampah seni


-Ulasan karya dalam lingkungan seni sampah dan sampah seni.Bersempena pelancaran buku Akulah Perempuan Muda itu, sajak-sajak karya Shaira Amira yang akan berlangsung. Teks akan dipersembahkan SS seiring dengan persembahan gitar oleh BLack dan Meor (main bedal ajer aku, tak konpempun lagi...)





(i)

Engkaulah Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira. Kau memang pemberani yang mengasyikkan. Iya benar

seorang pria harus...

seorang pria

harus tanpa kongkongan

tanpa ikatan pacaran

pintar bermain sabda

untuk bebas kemana-mana

seorang pria

harus dibiar untuk dikejar

memaknakan “tidak”

dalam caturan rasa

desakan sang hawa

seorang perempuan

misalnya aku

harus membatu

dalam peleburan jiwa

cubaan seorang pria

dari halaman 62, buku kau yang mengundang cemburu aku, bahasa Nusantara yang luas, jelas tersebar dari hujung Asia ke ribuan gugusan pulau-pulau Tenggaranya. Sejarah memisahkan sebutan bahasa. Budaya memungkinkan segalanya. Tapi kuasa politik dan ekonomi harta memaksa perbezaan, dan kesetaraan menyatukan segalanya pada sebutan dan lafaz kini sebuah Indonesia! Tapi di mana-manapun negara hanyalah eksperimen kuasa senjata pada manusia.

(ii)

Engkaulah Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira. Kau memang berahi syahdu yang meragukan aku, ghairah yang meralitkan sempit sesak dada paru-paruku bersarang candu, tar dan nikotin. Betul.

Segalanya betul apa yang kau sebut. Tekakku panas, leher terjerut dan kata-kataku larut sebati bersama alkohol atau karut balut aku melalut dalam lautan sundal dan akulah sundal itu yang bebal menerimanya tenggelam jauh ke dasar lubang hitam. Iya benar apa yang kausebut, yang masih kudengar suara-suara lolongan lrt yang punya sungainya sendiri, gerak perlahan arus komuter di landasan besi atau lencongan roaller coaster monorel dan terusannya. Kita diangkut kenderaan ke dalam tugu-tugu batu, gua-gua kaca bercahaya. Iklan-iklan melaknat mata dan hati yang mencatat dengan sebutan iman pada tuhan kertas. Kegersangan kota kering menjilat dan sunyi dari cicip murai, - gila ke apa aku ni, bercakap macam gini? - Tegak mencanak banggunan mencakar langit terlalu tinggi khayalnya, benar Satu atau perihal yang pertamanya, Kita tak mengenal

1

kita tak mengenal

saling tak tahu

tapi di sini kita tidur

atas ranjang sama

tak peduli semua

tentang teriak-teriak akal

lebih peduli hal

elusan rasa

bibir.liur.desah.nafas

cungap.erang.rangkul.sentuh

mungkin saja semua menghilang

nanti lewat jatuh tetes air pagi

(iii)

Engkaulah Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira. Engkau, kalau aku pakai topi, aku angkat topi, tahu? Kau cukup tahu.

jam 3 pagi aku di depan skrin komputer yang telah menjadi seolah tivi. Yang kuperhati dan kulihat – cahaya, warna dan lambang-lambang mengerawang berpusing berkembang biak. Ketak ketuk papan huruf-huruf dan angka-angka, kata-kataku yang celaka. Ia tivi dari saluran program-program yang kupilih dari selirat wayar atau jolokan suara-suara atau blog dan sebemban laman web atau sesuatu yang sewaktu dengannya. Aku hanya kunun drama angan-angan dan khayal sandiwara. Mamai semabal goyang mabuk, mabuk, bersama kawan-kawan kita lalok mabuk sambil membicarakan revolusi yang tertulis dibotol anggur. Manis, kita duduk dan berbahagia sebenarnya. Dalam kotak atau ruang. Kayu, batu, paku? Aku tak tahu. Dari halaman tujuh ada:

4 dinding

peluh merembes

nafas mendesah

tekak menggersang

malam mengerang

maksudnya...apa?

ertinya...di mana?

dan pada ranjang ini

kita berdekah dan menangis

berhentam dan memujuk

bercakar lalu berpeluk

hangat dada ke dada

bukan lagi cinta semata

(iv)

Engkaulah Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira.

Engkau yang memukau dengan kerdip, dengan kerlip, dengan api dari mimpi, nyanyian burung-burung malam, suara-suara parak yang menyalak. Malam kita, gelap dalam terang. Kita dikotakan dalam reka kotak batu-batu. Mesin-mesin dan jentera, letrik mengebas luas sempadan mencacakkan tembok-tembok. Tembolok yang kenyang itu, usus perutnya dijerut apa? Kelaparan tenaga, kota guna dan guna dan pengguna diguna-gunakan belanja, beli dari diskaun. Pemandangan diurusniagakan dan matapun dijajah mata-mata. Cerah malam kita, masih lagi lelap dalam kelam. Engkau sinar lintas bunyi cinta pada alam, bulan dan bintang gugur berserakan; ke hadapan bintang jatuh

ke hadapan bintang jatuh

kutadahkan tanganku

jemariku kempunan tetes apinya

tetapi bintang itu tidak mengijinkan aku

mencapainya

menunggukan bintang jatuh

aku berbaring atas basah bumi

merenggut hitam rumput

lalu kulempar rasa itu sepuasnya

pada hijab malam berserak sejuta bintang

bulan memandangkan isi penuhnya

tapi, malam ini yang kauremas bukan

jemariku

hangat nafasmu bukan di kupingku

dan saat itu kusedar tiada satupun bintang

yang akan jatuh

kita ke bulan

ke bulan sayang

aku mahu ke bulan

mahu melepasi batasan

memecahkan mimpi-mimpi jadi kenyataan

dan bila kita di balik bulan

kita ketawa, hanya kita saja berduaan

melakar kasih kita rayu-rayuan

dengan hanya bintang yang menyaksikan

kerana aku bidadarimu sayang..

maka ingin saja aku terbang

menebarkan sayap putih dalam pekat

malam

ingin saja aku bawa kau ke bulan

untuk kita berkasih dan bercinta

(v)

Engkaulah Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira. Kau cukup hebat dan tinggi. Terlalu besar biayanya.

Terlalu kabur nilainya. Dan aku hanya mampu membacanya, atau melihatnya dari jauh kerana aku tahu, aku tidak mampu untuk pergi sejauh itu. Tahapku hanya tujuh lautan Seven Seas, wiski haram enam ringgit sebotol. Atau anggur merah rasa fanta dalam keretapi malam berlabuh jauh. Aku pencandu berpangkat rendah. Aku perindu bangsat yang murah. Kokain, mimpi Amerika telah datang ke tanah Malaysia. Kokain, rasuah membuka pintu-pintu kuasa. Kokain bukan untukku. Berikan aku palem raja cemplung, lapen, lihing atau tapai. Kokain, kau kain, kau kain, kau kain – kain batik, kain pelikat – kau kain kokain:

kokain

isi dirimu dengan ekstasi

yang mengalir

deras tapi membedil

dalam setiap ceruk terlarang

tubuhmu

ayo! tongkatkan kakimu

dan menarilah tarian kupukupu

gelap.sedih.misterius

tinggalkan segala lara kalbu

menarilah...menarilah...

jika kau keisengan

bundar mata hitamnya

waktu kau meneguk ekstasi

dan bernyanyi syair duniawi

telankan lagi, tarikan lagi.

hingga kau jatuh ke ribanya

Di halaman tiga puluh enam.

(vi)

Engkaulah Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira. Kau memang feminis agaknya, bagus untuk kemanusiaan saksama.

Aku benci patriarki ketuanan laki-laki,

diktator jantan atau apa-apapun, termasuklah juga menolak pemerintahan rakyat perempuan. Kita merdeka sama-samalah menikmati penjara. Tapi aku cakap bolehlah, amalan belum cukup hebat nak jadi malaikat, atau anarcho taraf tinggi, apatah lagi nak jadi sosialis komunis. Tapi rasanya tak salah aku bermimpi merasa syok sendiri. Kasihan anjing yang luka ke dalam gua tidur bersama. Tidurlah dengan luka yang membusuk mereput kering tulang-tulang hampa, taring berdaging hancur, debu kering atau dapat juga menjadi seperti bom atom letupan maha gila, yang melenyapkan bayang-bayang kita. Secepatnya musnah dan dibangun bina lagi. Secepatnya hak menjadi penipuan. Kebenaran hancur dan akan tumbuh lagi. Kering.segar. menghijau. Kehilangan nyawa dan akal – kata-kata tetap ada tertinggal sebagai kenang-kenangan. Mansuh hukum bunuh. Tali gantung kerusi letrik atau tembakan peluru dari senapang menembus ke dada dan kepala. Hanya gambar yang kutatap dari layar kaca, wajah-wajah maya kelemayar, digitalisasi berbuih menjejeh, basah mencair dan membonyer. Hmmmm.Hanyir bau indah sampah.membukit sisa-sisa kita, kotor plastik dan kukuh ketegapan buangannya hampir kekal – beruntunglah kalau aku menjadi plastik degil tegar atau lebih beruntung kalau aku menjadi sampah yang dapat dikitar semula ke halaman sembilan belas 19orang perempuan muda:

disampahkan...lagi

sudah bangun

tersandung lagi.

sudah menghirup segar angin

tapi kepalaku didorong dalam air.

merasa dilahirkan

lalu dikambus dalam tanah hiduphidup.

hati menyembuh terbalut kabut putih

lalu dicarik dibakar digilis.

sekali lagi.sekali lagi.sekali lagi.

lagi.

lagi.

lagi

aku disampahkan lagi.

Engkaulah, Perempuan Muda itu, Shaira (syair)Amira, kau tahu aku sampah seni dan kena ingat aku tahu seni sampah, dipakai-pakai dibuang jangan, diguna lagi dikitar semula – berkali-kali hayat berubah. Aku berharap kau suka untuk menjadi sampah. Maka jadilah engkau Perempuan Muda itu, Shaira (syair) Amira sebagai sampah – sampah yang selalu setia untuk disampahkan lagi.


Masih lagi di bulan April, 2009, PJ.

4 comments:

  1. ini benar2 sampah...sial yg menerakus ,,serdak serdak hijau mampat dicarik carik juga akhirnya lalu trhirup bau palat dari lingkaran asap yg menaikkn syahwat bila rahmat harun sudah mempunyai blog sendri

    ReplyDelete
  2. rahmat tersadung dan tersungkurkah lagi? keh keh keh..

    ReplyDelete