Thursday, October 23, 2014

patriotisme dan politik hijau

http://www.malaysiakini.com/columns/278144
Tanah air – begitulah gagasan asas kita bernegara. Kata tanah air dalam bahasa Inggeris merujuk kepada country yang bermaksud sebuah nasion berkerajaan sendiri, yang menduduki suatu wilayah khusus.

Konsep tanah air cukup menggambarkan pemerian orang-orang Melayu kuno terhadap tata cara bernegara yang sangat dekat – malah memelihara, menyayangi dan bercinta - dengan alamnya.

Kata patriotisme pula bermaksud mencintai tanah air. Mencintai tanah air bermaksud mencintai asas segala penghidupannya iaitu alam sekitar, kerana tanpa tanah air (alam sekitar) tidak wujudlah negara itu.

"Kami menetapkan sasaran untuk memastikan agar 50 peratus daripada hutan kekal Malaysia terpelihara untuk melindungi bio-kepelbagaian negara yang begitu penting," begitu kata PM Najib Razak pada sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia tahun lalu.




Menjanjikan penjagaan hutan sehingga lima puluh peratus bukanlah sikap yang patriotik. Ditambah pula dengan tahap kemusnahan hutan kita yang melampau. Hutan Malaysia tergolong hujan hujan tertua di dunia – melebihi Amazon dan Kongo – berusia sekitar 130 juta tahun.

Di Sarawak, sepanjang pemerintahan Taib Mahmud selama 30 tahun, ia menyisakan hutan Sarawak menjadi cuma lima peratus sahaja. Bayangkan lima peratus yang tersisa itu mahu dibaham separuh daripadanya. Menjadikan hutannya nanti tinggal kurang lebih 2.5 peratus.

Hutan amat penting sebagai paru-paru dunia. Pohon-pohon dan tumbuhan melepaskan oksigen untuk kita hidup dan menyedut gas karbon dioksida yang kita lepaskan.


Saya ulangi hutan teramat penting, lebih-lebih lagi di saat kita berhadapan dengan kesan serta risiko pemanasan global – akibat ketamakan manusia dalam mengkonsumsi bahan bakar yang melepaskan karbon dioksida. Kita tidak boleh lagi kehilangan hutan yang tersisa ini.
Analisa kelas

Sebetulnya, saya melihat hubungan kemasyarakatan berdasarkan analisa kelas (darjat dan martabat kuasa serta harta). Saya tidak suka mentakrifkan manusia menurut kategori kaum, agama atau kepercayaan. Orang ‘baik’ dan orang ‘jahat’ ada di mana-mana.

Tetapi, apabila ada pihak-pihak munafik – golongan perosak alam – yang menganggap diri mereka mulia, mempersoalkan kecintaan golongan bukan Islam terhadap tanah air, saya menjadi mual.

Tambahan pula golongan ‘bukan Islam’ yang dituding itu telah membuktikan komitmen kecintaan mereka terhadap tanah air, contohnya seputar isu-isu politik hijau.

Politik hijau – kesedaran berkenaan kesan perhubungan manusia dan alam sekitar – boleh dikatakan masih menghijau di Malaysia.

Isu-isu berkenaan penghapusan hutan; pembalakan dan pembinaan empangan besar; kehilangan penghidupan buat warga pribumi Orang Asal; kemusnahan ekosistem tumbuhan dan haiwan; seterusnya pemanasan global – soal kelangsungan peradaban manusia – secara umumnya tidak mendapat tempat dalam perbincangan masyarakat, khususnya di kalangan masyarakat ‘Melayu Islam’.

Sebaliknya, masyarakat bukan ‘Melayu Islam’ cukup giat dan gigih atau lebih terkehadapan dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan alam sekitar. Hal ini dapat kita lihat dalam gerakan Himpunan Hijau, kumpulan anti-Lynas misalnya atau gerakan-gerakan anti penghapusan hutan atau gerakan anti-nuklear atau bantahan terhadap pencemaran atau gerakan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

Meskipun dalam kes minum bir di Oktoberfest, ramai orang ‘Melayu Islam’ menuduh para pemimpin Pakatan bukan Islam, khususnya para pemimpin DAP sebagai golongan pembuat kerosakan – tetapi ia kalau adapun hanyalah kerosakan moral yang relatif sifatnya.

Orang-orang yang ditakrifkan Perlembagaan sebagai ‘Melayu Islam’ mesti mengakui mereka ketinggalan dalam berjuang untuk alam sekitar ini, tidak terkecuali diri saya juga.

Bukan suara ulama

Suara golongan agamawan agak sunyi dalam hal ini. Kalau adapun, lama dahulu sewaktu Muktamar PAS 2013, Abang Mat Sabu berucap:

"Kita lihat siapa yang ke depan dalam isu seperti Lynas dan Bukit Merah. Sepatutnya PAS yang menjuarai isu tersebut kerana menjaga alam dari dirosakkan merupakan kewajipan dalam Islam."

Sayangnya suara Abang Mat bukanlah suara ulama. Barangkali, atas sebab itu kekeramatan kalimat Abang Mat dinilai rendah, ia tidak sampai ke tahap menjadi fatwa. Hasilnya umat ‘Melayu Islam’ tidak ambil peduli.

Lebih teruk lagi terdapat golongan ‘Melayu Islam’ yang bersekongkol dengan golongan ‘bukan Islam’ dalam membuat kerosakan terhadap alam sekitar.

Di sinilah analisa kelas ekonomi dan politik sebagai pembeza darjat dan pemisah martabat manusia amat berguna untuk kita pakai.

Dalam pada itu, DAP yang majoritinya bukan Islam, sangat terkehadapan dalam pembelaan dan kecintaan mereka terhadap alam sekitar di Malaysia.

Sebagai rekod, DAP merupakan parti politik pertama yang membuat pendirian tegas berhubung masalah jerebu.

Ahli Parlimen Teo Nie Ching telah mendesak usul khas di parlimen supaya tindakan diambil terhadap para pemilik ladang yang melakukan pembakaran terbuka.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pula dengan pantas bertemu Duta Besar Indonesia menyampaikan amaran keras.

Kita perlu belajar daripada pengalaman empangan Bakun, yang mana kontrak pembinaannya diberikan kepada saudagar balak.

Hilang hutan sebesar S'pura

Saya masih ingat lagi kejadian bekalan elektrik terputus di seluruh Malaysia pada tahun 1996. Digembar-gemburkan Malaysia punya masalah bekalan tenaga elektrik. Lantaran itu, dicadangkan pembinaan empangan Bakun.

Kita ditipu, apabila kononnya empangan Bakun bakal menyelesaikan masalah tenaga elektrik di Malaysia, termasuk keperluan semenanjung dengan kononnya kabel bawah laut terpanjang di dunia.

Malaysia boleh. Hasilnya, empangan Bakun gagal membekalkan elektrik ke semenanjung. Bukan itu sahaja, sebagaimana yang dilaporkan, empangan Bakun juga gagal memenuhi permintaan tenaga bagi wilayah koridor industri di Sarawak.

Empangan Bakun telah menyebabkan kita kehilangan hutan hujan tertua di dunia, seluas Pulau Singapura itu. Bio-kepelbagaian musnah kerana kerakusan, ingin cepat kaya dengan menebang balak.

Empangan Bakun telah menyebabkan lebih sepuluh ribu orang asal dipaksa pindahkan dari tanah adat mereka. Jikalau ini bukan kezaliman, apa lagi namanya.

Makanya saya tidak akan percaya apabila hari ini dikatakan pembinaan loji nuklear bakal menyelesaikan masalah masa hadapan tenaga elektrik di Malaysia.

Saya tidak boleh memaksa dan tidak punya daya untuk menguatkuasakan apa yang saya sampaikan ini. Renungkanlah siri keruntuhan binaan di Malaysia, yang terbaru struktur jejantas di Johor. Saya ulangi tidak ada jaminannya loji nuklear yang akan dibina itu tidak runtuh dan bocor!
 

Monday, September 29, 2014

nuklear nak masuk parlimen: lawan tetap lawan

http://www.malaysiakini.com/columns/276016

Lama saya tidak menulis di ruangan kolum Malaysiakini ini. Kali terakhir saya menulis pada 17 Mac lalu.Malah ada juga yang bertanya apa gerangannya saya berdiam diri: Ketandusan ideakah? Sudah jadi kayakah saya dengan menjual lukisan? Sudah dibayar penguasakah hingga senyap membisu? Telah kecewa dengan perjuangankah?

Sebenarnya, menjadi adat kehidupan seniman “outsider” untuk hidupnya gagal daripada segi kewangan – meski saya tidaklah segagal Vincent Van Gogh.

Roda hidup, putarannya naik dan turun. Lantaran itu saya terputus sambungan Internet, terjerumus ke jurang dalam digital, dan tidak dapat berada dalam talian 24 jam sehari.

Apabila kurang membaca berita-berita semasa, kurang jugalah ulasan yang hendak saya tuliskan. Meski tidak terlalu mengikuti perkembangan berita selama hampir enam bulan ini, saya merasa lega kerana saya sebenarnya tidak banyak ketinggalan.

Cerita-cerita basi kerenah ahli-ahli politik yang menipu rakyat masih sama: berita kepimpinan PAS yang berkecamuk, berita MB Selangor dan PKR, berita penindasan rejim BN terhadap hak-hak demokrasi seperti penggunaan Akta Hasutan.

Saya sebetulnya bosan dengan kerenah kepimpinan Pakatan Rakyat, khususnya PKR dan PAS, yang saya fikir gagal menyedarkan rakyat berkenaan isu yang paling kritikal di Malaysia hari ini, iaitu pembinaan loji nuklear.

Setakat ini belum ada pendirian rasmi kepimpinan Pakatan Rakyat berkenaan rancangan kerajaan BN membina loji nuklear.

Benar saya ada terbacakenyataan Saudara Lim Guan Eng (kiri) yang menyatakan loji nuklear tidak akan dibina di Pulau Pinang, dan rancangan parti pemerintah membina loji nuklear bakal membahayakan kesihatan rakyat.

Saya masih menunggu-nunggu adakah MB Selangor yang baru, Azmin Ali akan membuat kenyataan serupa Ketua Menteri Pulau Pinang?

Benar juga, saya ada membaca kenyataan atau perbahasan di Dewan Negara dari senator PKR yang sangat saya hormati, Dr Syed Husin Ali yang membantah pembinaan loji nuklear.

Mimpi ngeri bulan depan

Tetapi ini semua tidak mencukupi. Terlalu banyak penyimpangan – lencongan – yang membawa kepada pengalihan perhatian rakyat daripada penumpuan terhadap isu nuklear, seperti isu-isu politik Islam, isu kaum dan agama, isu keretakan kepimpinan Pakatan.

Kita telah tiada masa dan kesuntukan cara, begitulah peluang bergerak dipersia-siakan kepimpinan politik.

Jika dibandingkan sisa kilang Lynas dengan tahi lo ji nuklear, radiasi loji nuklear lebih berbahaya.

Kenapa tiada langkah proaktif kepimpinan PR ataupun NGO alam sekitar menggerakkan kesedaran rakyat berhubung rancangan pembinaan loji nuklear ini – meskipun telah didedahkan semenjak pertemuan PM Najib dan Presiden Obama di Bali pada November 2011 lagi?

Kenapa isu nuklear tidak menjadi agenda manifesto Pakatan untuk pilihan raya lalu, dan kenapa sehingga kini – jika adapun penentangan kelihatan seperti melepaskan batuk di tangga?

Malahan pilihan raya kecil Teluk Intan gagal menjadi medan referendum pembinaan loji nuklear – ini kerana negeri Perak, di kawasan pesisir pantainya, merupakan salah satu tapak berpotensi pembinaan loji nuklear tersebut.

Ada aktivis politik yang memberitahu saya, isu pembinaan loji nuklear terlalu sukar difahami orang ramai. Saya tidak mengerti, apakah yang sukar sangat difahami daripada pengalaman ngeri malapetaka nuklear di Chernobyl dan Fukushima?

Ada pula aktivis politik ‘kiri’ yang tidak melayan pertanyaan saya berhubung rancangan pembinaan loji nuklear di Malaysia, dengan memberi jawapan sambil-lewa, “persoalan nuklear hanyalah isu, yang kita kehendaki perubahan sistem.”

Saya tersenyum pahit seorang manusia progresif kiri gagal memahami malapetaka nuklear sebagai masalah sistem.

Persoalan pembinaan loji nuklear merupakan persoalan wujudiah, kelangsungan sebuah penghidupan manusia dan alamnya di bumi Malaysia, malah di Asia Tenggara. Di Malaysia, soalan peperiksaan boleh bocor, apa jaminan loji nuklear tidak bocor? Stadium yang baru dibina runtuh, tanpa pertanggungjawaban.

Saya mendapat khabar ngeri, bulan hadapan ketika sidang Parlimen, suatu rang undang-undang berkaitan pembinaan loji nuklear akan diluluskan.

Kerana penyampainya bernama Rahmat...

Saya kagum dengan kehebatan lobi industri nuklear di Malaysia.

Tidak sampai sebulan lagi undang-undang yang mengabsahkan pembinaan loji nuklear akan diluluskan, tetapi hampir tiada langsung penentangan dilakukan.

Jikalau hari ini, yang dilawan adalah loji nuklear, maka selepas kelulusan parlimen dunia ketiga kita, yang akan dilawan adalah undang-undang Malaysia.

Setelah itu, apabila kontrak telah ditandatangani dengan kontraktor luar negara, maka penentangannya akan lebih sukar lagi. Jikalau berjaya sekalipun, negara Malaysia perlu membayar ganti rugi pampasan kepada kontraktor-kontraktor nuklear ini.

Untuk catitan rekod buat generasi mendatang – yang dibebankan tanggungjawab menjaga tahi beracun nuklear, sepanjang 100,000 tahun lagi – juga risiko malapetaka nuklear seperti di Chernobyl dan Fukushima – saya telah pun mencuba sesuai dengan keupayaan saya untuk menyedarkan masyarakat masa kini, tetapi tidak ramai yang peduli.

Enam bulan yang lalu, saya telahpun menulis dua tulisan berhubung rancangan pembinaan loji nuklear ini: “Selamat datang nukleardan “Pengurusan tahi nuklear.

Saya cuba memahami soalan-soalan yang saya tanyakan tadi tentang mengapa tidak ramai yang peduli berkenaan isu pembinaan loji nuklear ini.

Barangkali juga kerana penyampai khabarnya ialah saya yang bernama Rahmat Haron, seorang orang luar politik, seniman miskin yang dianggap tidak siuman, dipandang hina-dina, manusia tiada moral, pegangan agamanya bersimpang-siur dan sampah masyarakat yang terbuang – malah di kalangan komuniti pinggiran.

Tetapi menjadi tragedi sebuah nasion, jika yang tergila-gila bersuara dalam isu nuklear ini hanya orang-orang yang seumpama saya.

Ke mana perginya suara keramat orang-orang mulia dalam masyarakat; Yang Maha Agung Raja-raja dan bangsawan, para cendekiawan, ahli fikir, ulama, para pemimpin politik, intelektual, ahli akademik, aktivis mahasiswa, aktivis masyarakat madani, aktivis seni, punk rocker, para penulis dan seniman?

Mungkin, isu loji nuklear ini dapat membawa kita, orang-orang biasa kelas bawahan ke suatu era pasca politik politikus – yang mana kepimpinan politik tidak boleh lagi diharap untuk menyelesaikan masalah, apatah lagi mewakili isu dan kepentingan yang paling mendesak dalam masyarakat.

Ia hanya sekadar harapan saya. Mengharapkan yang terbaik itu penyakit jiwa yang berat, jika tiada ikhtiar yang dibuat. Maka, bertindaklah!

Tuesday, March 18, 2014

Mkini: Pengurusan tahi nuklear

http://www.malaysiakini.com/columns/257361

[Sebelum saya menyampaikan isi tulisan kali ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan simpati terutamanya kepada ahli keluarga, teman-teman dekat para penumpang dan kakitangan pesawat MH370. Hanya doa yang mampu saya kirimkan.]

Baik, pada 11 Mac yang lalu, genaplah tiga tahun malapetaka nuklear di Fukushima, Jepun. Ia juga ulang tahun bencana alam gempa bumi dan tsunami.

Gempa bumi tersebut berskala 9.0 skala richter yang kemudiannya bertukar menjadi ombak ganas tsunami yang mengorbankan kira-kira 18,000 orang mangsa.

Tsunami itulah yang mencetuskan kemalangan di loji nuklear Fukushima. Menurut laporan Al Jazeera, meskipun tidak ada yang meninggal dunia sebagai kesan langsung kebocoran loji nuklear di Fukushima, kira-kira 1,650 orang penduduk di kawasan tersebut meninggal dunia akibat tekanan jiwa dan masalah-masalah lain selepas kejadian kebocoran loji nuklear tersebut.

Malapetaka nuklear Fukushima menunjukkan kepada kita bahawa reaktor nuklear sangat-sangat berbahaya. Ia membawa bahana terhadap alam sekitar, kesihatan para penduduk dan juga ekonomi negara.

Di Fukushima beban kos kewangan akibat kebocoran loji nuklearnya terpaksa ditanggung pihak awam (orang ramai). Syarikat yang mereka bentuk, membina dan mengoperasikan loji tersebut lepas tangan dengan senang hati.

Kehidupan ratusan ribu manusia terjejas teruk akibat malapetaka nuklear Fukushima. Khususnya 160,000 orang yang meninggalkan tanah dan kediaman mereka kerana pencemaran radioaktif dan terus hidup dalam ketidaktentuan.



Menurut laporan NGO alam sekitar Greenpeace, 160,000 orang ini
hidup terawang-awang tanpa pampasan yang adil, saksama dan tepat pada masanya. Mereka diberikan harapan palsu bahawa suatu hari nanti mereka akan dapat pulang ke rumah dan tanah masing-masing.

Jerman tutup 2022

Anehnya kerajaan Jepun bersungguh-sungguh mahu memulakan semula operasi loji-loji nuklearnya.

Meskipun ia bertentangan dengan hasrat rakyat Jepun, namun tindakan kerajaan Jepun itu menunjukkan pengalaman malapetaka Fukushima tidak mengajar apa-apa.

Baru-baru ini ribuan warga Jepun telah turun ke jalan raya membantah rancangan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe untuk memulakan semula program nuklear mereka.

Sebenarnya, tidak ada satupun dari 436 loji reaktor nuklear di seluruh dunia yang kebal daripada kesilapan manusia, bencana alam mahupun kejadian-kejadian yang boleh mencetuskan kecelakaan.

Bayangkan jika ada kapal terbang yang dirampas pengganas lalu merempuh loji nuklear. Justeru itu jutaan manusia yang hidup dan tinggal berdekatan dengan loji nuklear terdedah kepada risiko kemudaratan.

Ya, Jerman, sebuah negara maju dan industri paling besar di dunia yang terkenal dengan kecekapan serta ketepatannya itu mahu menutup operasi loji-loji nuklearnya.

Canselornya, Angela Merkel mengumumkanpenutupan kesemua loji-lojinya menjelang tahun 2022.

Aneh sungguh, kerajaan Malaysia sedang merancang mahu membina loji-loji nuklear di sini.

Menurut World Nuclear Association, pada bulan Jun 2009 kerajaan Malaysia telah memutuskan secara rasminya untuk mengambil kira tenaga nuklear bagi menjana elektrik negara.

'Fikir Nuklear, Fikir Hijau'

Pada awal tahun 2010 pula, kerajaan Malaysia telah memperuntukkan belanjawan sebanyak RM7 bilion bagi membina loji nuklear dan pada bulan Mei tahun yang sama, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah ditugaskan untuk mencari tapak bersesuaian bagi membina loji nuklear. Ia agar unit pertama loji nuklear dapat beroperasi menjelang tahun 2021.

Dilaporkan tapak-tapak yang sesuai itu terletak di satu tempat di Kedah, dua di Perak, dua di Johor dan dua di Terengganu.

Seterusnya pada bulan 11 Januari 2011, tertubuhlah MalaysiaNuclear Power Corporation (MNPC).

Penubuhan MNPC ini di bawah Program Transformasi Ekonomi. MNPC ditugaskan untuk menjadi pelopor yang mengatur rancangan pembinaan loji nuklear dalam jangka waktu selama 12 tahun.

Tahun 2014 ini dianggap sangat penting sehingga disebut point of no return kerana kontrak akan dianugerahkan kepada kontraktor-kontraktor antarabangsa bagi membina loji nuklear.

Jikalau kontrak sudah dianugerahkan, maka sangat susah untuk ditarik balik.

Seterusnya, Tenaga Nasional Berhad juga sedang giat berkempen “Fikir Nuklear, Fikir Hijau. Sebetulnya, slogan kempen ini tidak benar. Teknologi nuklear bukanlah teknologi hijau.

Pada November 2000, persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai perubahan cuaca dunia di The Hague, Belanda telah mengenal pasti tenaga nuklear sebagai kotor, berbahaya dan teknologi yang tidak diperlukan.

Selanjutnya, Sidang Pembangunan Mapan PBB turut enggan memberi label nuklear sebagai teknologi mapan pada April 2001.

Surat pemenang Nobel

Menjelang ulang tahun ke 25 tragedi Chernobyl, di Ukraine, juga 6 minggu selepas malapetaka Fukushima di Jepun, seramai sembilan orang pemenang Hadiah Nobel menulis surat mendesak para pemimpin dunia agar melabur dalam bentuk-bentuk tenaga yang boleh diperbaharui.

Mereka telah menghantar surat terbuka kepada 31 orang ketua kerajaan, yang mana negaranya sedang melabur dengan banyaknya dalam pengeluaran tenaga nuklear, atau sedang mempertimbangkan untuk melabur dalam tenaga nuklear.

Para pemenang Hadiah Nobel ini menegaskan:

“Terdapat lebih 400 loji nuklear di seluruh dunia – banyak loji tersebut berada di tempat yang berisiko tinggi bencana alam atau pergolakan politik. Loji-loji ini hanya menyediakan kurang daripada 7 peratus bekalan tenaga dunia. Selaku para pemimpin dunia, anda boleh bekerjasama untuk menggantikan jumlah tenaga kecil ini dengan sumber tenaga yang sedia ada, sangat selamat dan murah ke arah masa depan bebas karbon serta bebas nuklear.”

Surat tersebut bertarikh 26 April 2011. Antara yang menandatangani surat tersebut ialah pemenang Hadiah Nobel Ketua Biskop Desmond Tutu, Afrika Selatan (1986), Presiden Jose Ramos Horta, Timor Timur (1996) dan Wangari Maathai, Kenya (2004).

Tahun demi tahun, loji demi loji, pastilah tahinya yang beracun itu akan menimbun banyaknya kerana ia tidak boleh dikitar semula.

Sisa atau tahi nuklear saja kekal selama ratusan ribu tahun. Adakah ini yang mahu kita wariskan kepada generasi mendatang? Pengurusan tahi nuklear?

Dalam keadaan rasuah, pecah amanah, penyelewengan kuasa, tanpa ketelusan dan sifar pertanggungjawaban yang berleluasa, bolehkah Malaysia menguruskan loji nuklear?


RAHMAT HARON seorang seniman outsider.
 

Saturday, March 15, 2014

SS No. 35: sajak aman, selamat datang nuklear

Selamat datang wahai Nuklear, daya daripada zarah yang terbelah, engkau  berbahaya, tenaga gagah bergaya, kesan berantai tenaga perkasa meraksasa. Telah kau buktikan kekuatan kuasamu, kecilnya dua butir bom atom Little Boy dan Fatman

gugur
melenyapkan Nagasaki dan Hiroshima


sekelip mata kota dan kehidupannya bertukar jadi padang jarak padang tekukur, hangus kemusnahan maha besar,  debu-debu kehancuran tinggal bayang-bayang kengerian perang.

Betapa  hebatnya engkau wahai Nuklear, dalam aman, teknolojimu adalah denyut nadi penghidupan kami paling terkini, tenagamu menjana elektrik menggerakkan industri, membuka pasar berjual beli,
segala yang mekanikal dan teknikal, jentera moden, mesin-mesin dan perkakas letronik,
kenderaan mengangkut kami, roda berputaran, berlegar dagangan saham, bertukar-tukar barangan, di alam nyata hubungan desa dan kota, di alam maya talian digital, di udara pesawat berterbangan, di laut berselirat wayar dan kabel, engkaulah sumber makna dan tanpamu wahai Nuklear, akan berakhirlah pergerakan, tamatlah pernafasan, habislah peradaban.

Tamadun elektrik ini dahagakan daya tenagamu wahai Nuklear, Malaysia harus terus bergerak maju dan maju, jauh meninggalkan hulu dan akar permasalahannya – rakus keinginan memberahikan, serakah kemahuan cuma tamak  manusia berkehendak untuk terus guna dan guna dan jual dan beli dan belanja dan pakai dan buang, lalu hidup mesti diteruskan, meski pun menimbun sampah yang  kita tinggalkan, sebagai warisan masa depan, bekalan beban buat digalas generasi mendatang,
tahi mu Nuklear berbau malang,
siapa menghidunya terkenalah radiasi, terdedahlah badan pada ancaman keracunan, ya tahi mu degil tak dapat dikitar semula ratusan ribu tahun, betapa benarlah engkau gagah, tahimu tak mudah dapat dimusnah.

Makanya kini  engkau datang ke sini,
ya, sembah dan salam kami hulurkan,
selamat datang ke tanah tropika rimba belantara yang subur dan segar ini
tanah yang siap dikangkang, tersipu-sipu sudi untuk dicemarkan.

Kami tunduk akan kuasamu wahai Nuklear, kami perlu pada tenagamu untuk terus hidup, engkau pancang peradaban terkini, tamadun eletrik ini dan segala alatannya mesti terus bergerak, lampu perlu terus menyala, peti suara mesti terus berbunyi, skrin yang kelihatan dan papan kekunci yang ditaipkan, urusniaga wajib berlanjutan, pantas dan laju memecut meninggalkan masa silam zaman purba, kuno dan primitif, waktu yang berlalu tak terkejarkan.
Wahai Nuklear, menjagamu  ternyata susah, engkau terlalu perasa, senang tersentuh , sensitif yang amat dan  daripada halus zarah yang terbelah itu, engkau punya sejarah yang parah,
seperti drama Greek hidup adalah tragedi – dan Nuklear engkau bawakan peristiwa ngeri dari Chernobyl, kebocoran radiasi halus sinaranmu – secepatnya sel dan darah membiak berubah menjadi barah, membunuh sehinggakan daging-daging luruh, kanser dan leukemia merajalela dan kecacatanpun tercipta pada bayi-bayi yang lahir herot tak berdosa, berkepala besar bermata buta, bertangan kudung, berkaki untut, mutasi yang terjadi, mereka bukan fantasi komik X-Men, mutasi yang menjadikan manusia gagah – watak-watak super hero berbahagia – angan-angan belaka.

Kanak-kanak Chernobyl adalah ego keangkuhan sains, muslihat kesombongan akal, terkadang pengetahuan dapat mengundang bencana, lantaran itu benarlah kesangsian bahawa  hidup manusia bukan untuk kesempurnaan, seumpama pegangan falsafah lama – hidup ini kehampaan, 
wahai Nuklear engkau memberi kami erti akan apa itu sunyi,
senyap seketika kekosongan menyepi,

fikiranku melayang pada kenangan tanah dan pulau yang bukan milik aku – owh betapa tidak ada yang kekal dalam hidup melainkan perubahan, keindahan itu hanyalah fana belaka.

Meski kenangan tergamit pada biru air di Kuala Muda, atau pesisir pantai Lumut dan Pangkor yang sejarah, ke belantara Belum dan Lembah Lenggong  yang purba, berleka di tasik Temenggor, dan jikalau fikiranku seekor ikan, ia akan merenangi barat daya selat Melaka, bermain di lumpur paya bakaunya, menguak ke tanjung-tanjung di Pontian, sebelum menyelam melihat kerang-kerang di lekuk teluk pasir pantai Pengerang, jauh renangan fikiranku menerawang ke gelora ombak Laut China Selatan, Terengganu pantai nan cantik, hutan nan kaya, pastilah aku sedar kenyataannya,
nikmat tatapan mata, disimpan dalam ingatan dan tidak sekali-kali untuk dipunyakan, apatah lagi buat diriku pendatang  di dunia sementara.
Aku sedar martabat harta, aku fakir mengharap  belas ehsan daripada fikiran-fikiranku yang kacau – mana tidaknya, setelah Chernobyl kecelakaan terjadi lagi di Fukushima , lojimu Nuklear bocor dihempas Tsunami dan kini radiasinya menghancurkan harapan  ratusan ribu jiwa yang tidak akan dapat kembali ke negerinya,
makanya saat terfikir akan engkau , aku terkenangkan Fukushima, kehijauannya pasti jadi milik cemar radiasimu untuk hampir selama-lamanya.
Dan barah dan leukemia dan mutasi menjadi cerita biasa – basi – Fukushima ulangan Chernobyl – aku pernah membaca kiasan Budiman yang bertanya tentang kesengsaraan, bukankah hidup manusia itu tidak terhindar daripada kesakitan dan kematian, siapa yang dapat menongkat keabadian?
Jepun yang robotik, Jepun yang cekap gagal mengawalmu wahai Nuklear,
aku mendengar khabar Jerman yang maju industri juga telah menghantar ucapan selamat tinggal padamu,
 Aneh sungguh cinta, di bawah Menara Eiffel, kota Paris, Perancis sedang asyik mencumbuimu.

Dengan penuh kerendahan hati – kehinaan diri yang abdi – aku hargai kedatanganmu ke sini,
kepadamu wahai Nuklear  dengan linangan air mata terpaksa kuucapkan
selamat datang ke dunia ketiga;
-          selamat datang wahai Nuklear ke tanah yang stadiumnya baru dibina, kemudian semudahnya runtuh-rantah,
inilah angkara rasuah dan pecah amanah;
-          selamat datang wahai Nuklear ke tanah yang mana jambatan gantungnya, biarpun baru sahaja siap, namun tiba-tiba roboh, lantas  meragut nyawa anak-anak di perkhemahan cuti sekolah, mereka lemas di bawa deras arus sungai;

-          selamat datang wahai Nuklear ke tanah para doktor dan jururawat ditimpa kemalangan di bilik kecemasan hospitalnya sendiri, akibat siling-siling yang runtuh, mutiara kata pendeta dari gua bijaksana  berbisik ke telinga, wujud yang baharu itu memang tidak tetap sifatnya.

Selamat datang wahai Nuklear,tidak ada yang kekal hidup di bumi, dunia akan berakhir, kiamat itu janji, penamatnya malapetaka di tangan manusia sendiri
 dan kini aku benar-benar menerima semua ini
 adalah ketentuan Ilahi,
suratan takdir untuk aku belajar apa itu daya, dayamu Nuklear daripada zarah yang halus terbelah menjadi tenaga maha besar meraksasa – kuasa perkasa yang menghidup dan mematikan – tenaga yang tak terhingga!
Aku bermenung dalam keterbatasan, kehendak firaun dan yang maha esa takkanlah sama rodatnya,
aku merenung ketakutan, memeluk keraguan, nuklear dan tuhan takkanlah setara kudratnya,
aku berdoa sambil menelan pahit kegagalan, suatu perjuangan yang belum dimulakan,
dan kepada kalian yang sedang mengusahakan,

dengan  kesaksian semangat kuucapkan juga selamat datang. AMAN (Anak Manusia Anti Nuklear)

Wednesday, March 5, 2014

Pramoedya Ananta Toer: Pengarang Berjiwa Sejarah dan Nasion Impiannya


Undangan, silakan datang ke majlis ilmu yang sangat berharga ini. Kita bertuah dapat mendengar syarahan kesusasteraan daripada tokoh sarjana kajian budaya dan sejarah sosial yang cukup saya hormati, Sumit Mandal.
berkenaan Sumit, boleh rujuk pautan:
http://www.ukm.edu.my/ikmas/bm/cv/sumit.htm
http://iaaw.hu-berlin.de/southeastasia/history/staff/current/mandal