Showing posts with label Hishamudin Rais. Show all posts
Showing posts with label Hishamudin Rais. Show all posts

Sunday, January 24, 2010

Palestin dan Beautiful Loser: "Jika bangkit melawan gagal, gagal membibit hemah."

"Jika bukit menjadi gunung,

gunung menyuburi rimba,

jika sakit mendorong menung,

menung merangsang dewasa,

lorong hidup banyak cabarnya,

landas hidup banyak tuahnya,

jika rakit menjadi kapal,

kapal meningkat bahtera,

jika bangkit melawan gagal,

gagal membibit hemah,

lorong hidup banyak cabarnya,

landas hidup banyak tuahnya."

(sajak Jika, karya A. Samad Said, dari antologi Rindu Ibu)

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Palestina, sepanjang sejarah perjuangan rakyatnya melawan israel dalam memerdekakan tanah air mereka, belum pernah berdepan dengan pergeseran sesama sendiri, sehebat sekarang ini, hinggakan sanggup berbunuhan. Begitulah kurang lebih penjelasan komrad Salah Al-Salah dari Barisan Pembebasan Rakyat Palestin (klik sini), tadi malam di rumah Gerak Budaya, saat dirinya seorang lelaki seusia 73 tahun, menjelaskan pertentangan semasa antara PLO (Al-Fatah) dan Hamas.

biarpun dirinya sudah bercucu, kini Salah Al-Salah tetap bersemangat berkhidmat dalam jawatankuasa pelarian rakyat Palestin. Salah menjelaskan, ribuan tahun lamanya, rakyat Palestin telah hidup bersama, tak mengira agama, suku, keturunan, bangsa. Malah dalam sejarah percubaan mematahkan perlawanan rakyat Palestin sejak pemerintahan Mandat Inggeris lagi (dengan dasar pecah dan perintahnya)perbezaan - pergeseran - pertentangan sesama barisan rakyat Palestin melawan zionis israel, belum pernah menciptakan keadaan permusuhan sesama rakyat Palestin sehebat ini. Biarpun di zaman Mandat Inggeris lagi, zionis israel telah mencuba memecah belahkan perlawanan rakyat Palestin dengan jahatnya menanamkan bibit permusuhan di antara orang2 kota dan org2 desa atau di antara penganut Kristian dan Islam Palestin. namun ianya tidak pernah berhasil. meskipun benar, di mana-manapun wujud perbezaan cara tindakan, atau pergeseran idea taktik strategi, namun sebelum ini kontradiksi dapat diselesaikan tanpa memecahkan kekuatan perlawanan rakyat Palestin, seperti yang sedang terjadi, Hamas dan Fatah saling berbunuhan.

tapi begitulah perjalanan sejarah manusia yang tidak habis-habis dengan dialektika, pertentangan, baik buruk, hitam putih, yin yang, hubungan-hubungan dua (atau jutaan-bilionan-mega-giga) unsur yang saling berlawanan, menghasilkan unsur-unsur kebaharuan sementara, meneruskan sejarah hinggalah titik tamat kewujudan alam - yang terlalu jauh di luar batas pengetahuan manusia.

ya sejarah manusia dan peradabannya, menurut Karl Marx adalah sejarah perjuangan kelas, tetapi ia juga adalah sejarah pengkhianatan, begitu kata2 cukup lantang Hishamudin Rais bersuara memulakan huraiannya tentang perjuangan rakyat Palestin. Selain tamu jemputan Komrad Salah Al-Salah, forum anjuran MSRI (klik sini)itu juga turut menampilkan Hisham sebagai pembicaranya. Hisham pernah ke Beirut dalam Perang Saudara di Lebanon, pada perjalanan pelariannya di tahun-tahun romantika anak muda revolusioner 1970 an, ikut bersama dengan PLO menentang kekejaman puak Kristian kanan Falangis dan zionis Israel.

mungkin juga lebih tepat dalam menghuraikan sejarah perjuangan perlawanan rakyat tertindas adalah sejarah pengkhianatan. pengkhianatan kepimpinan perjuangan rakyat yang akhirnya mematahkan, melumpuh, menyusahkan atau di titik-titik tertentu menghancurkan satu-satu gerakan rakyat itu.

Kelihatannya komrad Salah Al Salah berkongsi pandangan dengan Hisham, bahawa PLO, Al-Fatah dan Yaser Arafat telah mengkhianati perjuangan rakyat Palestin dengan meletakkan senjata Al-Fatah dan akhirnya menandatangani perjanjian Oslo.

Hisham juga (tak perlulah pulak nak diterangkan siapa mamat ni) memandang persamaan suasana dan keadaan sejarah penindasan dan perlawanan rakyat di Palestin dan Malaysia. Persamaan yang berpunca dari orang2 yang sama juga (pegawai penjajah Inggeris) yang pernah bertugas pada zaman pemerintahan Mandat Inggeris di Palestin, dengan memainkan peranan penting perampasan kemerdekaan tanah air dan manusia Palestin serta pembentukan negara haram Zionis Israel. Pegawai2 Inggeris yang sama ini jugalah yang datang ke Tanah Melayu, merampas hak dan menghancurkan gerakan kemerdekaan rakyat di sini, misalnya Setiausaha Pemerintahan Mandat Inggeris di Palestin, Gerald Templer, yang dikenang Hisham dalam bahasa Inggeris, "that was beautifully assasinated by The Malayan Communist Party."

berbalik kepada soal pengkhianatan kepimpinan gerakan rakyat Palestin, Yunos Ali, (klik sini)seorang aktivis, sarjana sosiologi, pesara ahli akademik, juga seorang bekas gerilyawan skuad komando Al Fatah di Beirut, berkongsi cerita pedih lagi sayu, kisah bagaimana dia pernah diarahkan pimpinan Al Fatah untuk membunuh pejuang Palestin daripada kelompok PFLP. "Fatah is very reppresive," tutur Yunos. Dia enggan mengikut arahan tersebut, dan nyaris dikenakan tindakan Mahkamah Tentera.

Kita perlu memandang perjuangan Palestin sebagai perjuangan membebaskan tanah air daripada perampasan zionis israel untuk kebebasan, hak-hak demokratik dan kemerdekaan warganya. Palestin bukanlah konflik agama atau konflik bangsa Arab dan Yahudi. Buktinya, sepanjang masa sejarah perlawanannya, rejim-rejim tidak demokratik di negara-negara Arab sering menyumbang kepada kehancuran gerakan rakyat Palestin, malah ikut sama dengan zionis israel menindas rakyat Palestin, seperti misal kata Mesir yang enggan membenarkan bantuan makanan sampai ke wilayah Gaza yang terkepung, malah ke tahap hasad dengki menanam besi-besi bagi menutup lorong2 'tikus' bawah tanah menghubungkan Gaza dan Mesir. atau seperti Arab Saudi - dengan bingung kecelaruan menjadi penjaga Kaabah dan juga boneka sekutu Amerika Syarikat - pendukung utama kewujudan zionis israel.

Palestin bukan perang agama Islam dan Yahudi. Palestin adalah makna hak, merdeka kebebasan, dan kemanusiaan dalam pengertiannya yang paling asas, bahawa kita, di manapun, kita sebutkan di Malaysia, di Singapura, di Iraq, Afghanistan, di Burma, di Thailand, di Patani, di Asia, Eropah, Afrika, Amerika Selatan, malah di israel dan Amerika Syarikat sendiri, sesiapapun tak akan tunduk pada kekejaman manusia bersenjata, kedamaian cinta sejahtera kehidupan masa depan bersama adil dan saksama untuk semua adalah cita-cita. tidak salah untuk bercita-cita dan menurut teman jauhku Salabi, salah itu biasa. ha.ha.ha.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

begitulah aku menghabiskan hujung mingguku. tengahari ke petangnya ke acara forum Saya Anak Bangsa Malaysia, awal malam ke forum Palestin, kemudian tengah malam Sabtu sampai ke pagi Ahad berforum pulak bersama poodien, avroco dan nik bin jidan tentang tentang hidup, seni, seks, seksualiti, seksis, seksisme, berahi, politik cinta, paranoya kuasa, penipuan nostalgia sistem hidup masa lalu, kepura-puraan warisan yang telah lama pupus dan hilang; kini ekonomi wang yang menilaikan segala-galanya - ke tahap ekstrem tanpa sedar menjadi berhala baru sembahan manusia moden yang kununnya patuh beragama atau setia berprinsip dalam kira-kira akaun dosa dan pahala, keterpisahan di pinggiran bayang-bayang ke kayangan mimpi-mimpi bersinar bintang-bintang, atau hasrat melihat kedatangan banjir besar memusnahkan segala-galanya yang kunun gah gagah memeras, menenggelamkan serakah ketamakan dan angkuh kesombongan, suatu keanehan nikmat, kegagalan-kegagalan indah (atau secara oxymoron nya - untuk menyedapkan hati sendiri - dapat kita sebut sebagai kehodohan yang cantik).

Thursday, May 21, 2009

MANSUH HUKUM BUNUH: DUNIA TELAH MEMUTUSKAN


[Siri tulisan (Mansuh Hukum Bunuh 1-5) ini merupakan terjemahan SS daripada risalah kempen anti hukuman bunuh drpd Amnesty International, sebuah badan bebas yang berkempen untuk isu-isu hak asasi manusia sedunia. Tulisan ini diperturunkan di sini sebagai memperpanjang maklumat tulisan Isham Rais SAYA TIDAK MAHU JADI TUHAN di tukar tiub.]


Mansuh Hukum Bunuh 1:

Pada Disember 2007, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) – badan induk yang merangkumi kesemua negara-negara anggota PBB telah meluluskan ketetapan, mendesak dilakukan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh dan pelaksanaan hukuman mati.

KETETAPAN INI MENDESAK NEGARA-NEGARA YANG MASIH MENGEKALKAN HUKUMAN BUNUH UNTUK:

-MENUBUHKAN PENANGGUHAN RASMI (MORATORIUM) TERHADAP KESEMUA PELAKSANAAN HUKUMAN MATI DENGAN PANDANGAN AKAN MEMANSUHKAN HUKUMAN BUNUH PADA MASA MENDATANG.

-MENYEDIAKAN PELINDUNGAN BAGI MENJAMIN KESELAMATAN HAK-HAK MEREKA YANG BERDEPAN DENGAN HUKUMAN BUNUH DAN SECARA PROGRESIFNYA MENGURANGKAN PENGGUNAAN HUKUMAN BUNUH TERHADAP JUMLAH KESALAHAN YANG BOLEH DIKENAKAN.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Louise Arbour mengutuk Hukuman Bunuh “…sebagai sekatan yang tidak mempunyai tempatnya dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menghargai hak asasi manusia dan menentang pencabulan hak seseorang itu.

Ketetapan ini yang diangkat badan tertinggi politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan keanggotaan sejagat, merupakan perakuan jelas terhadap perkembangan pesat antarabangsa ke arah pemansuhan hukuman bunuh di seluruh dunia. Ia ketetapan yang ditandatangani sokongan Setiausaha Agung PBB. Biarpun ketetapan ini tidak mengikat kepatuhan perundangan setiap negara, ia membawa tanggungjawab moral dan politik yang besar. Ini kerana ianya diangkat badan utama PBB yang melibatkan kesemua anggota PBB.

Hukuman bunuh menghalalkan tindakan keganasan negara yang tidak pula boleh ditarik balik. Hukuman bunuh bersifat diskriminasi dan selalu disalahgunakan terhadap rakyat miskin, kumpulan minoriti dan berbagai anggota kelompok etnik, kaum dan agama. Hukuman bunuh biasanya dikenakan setelah melalui perbicaraan yang tidak adil. Namun biarpun perbicaraan menurut piawaian keadilan antarabangsa, risiko membunuh orang yang tidak bersalah tidak sepenuhnya dapat dihapuskan. Hukuman bunuh tidak dapat dielakkan lagi akan meragut nyawa mangsa yang tidak bersalah, seperti yang terus menerus berlaku hari ini.



BENAR-BENAR KE ARAH PERUBAHAN SEJAGAT



Saya percaya nyawa amat bernilai dan mesti dilindungi serta dihormati, dan kesemua manusia punya hak untuk hidup bermartabat. Perundangan dunia mengesahkan nilai-nilai ini. Saya amat menyedari hala tuju yang berkembang dalam perundangan antarabangsa dan amalan peraturan negara-negara ke arah menghapuskan hukuman bunuh”…Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon pada 2007

Terdapat 90 buah negara yang telah memansuhkan hukuman bunuh untuk semua kesalahan jenayah. Terdapat 40 buah negara pula yang memansuhkan hukum bunuh untuk jenayah-jenayah tertentu ataupun sejak 10 tahun yang lalu belum melaksanakan hukuman bunuh terhadap pesalah, dipercayai kerana dasar kerajaannya, biarpun mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati.

- Pada tahun 2006, hanya 25 buah negara melaksanakan hukuman bunuh dan 91% hukuman bunuh itu dijalankan hanya di 6 negara: China, Iran, Iraq, Pakistan, Sudan dan Amerika Syarikat.

- Di Asia Tengah, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Turkmenistan telah memansuhkan hukuman bunuh atau melaksanakan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh.

- Eropah cukup jelas menjadi kawasan bebas hukuman bunuh, dengan satu-satunya pengecualian di Belarus.

- Di Afrika, hanya 6 daripada 53 buah negara di rantau itu yang diketahui melaksanakan hukuman bunuh pada tahun 2006.

- 14 buah negara di benua Afrika telah memansuhkan hukuman bunuh dan 17 buah negara lagi sedang menurut jejak pemansuhan tersebut.

- Dengan pemansuhan hukuman bunuh di Filipina pada bulan Jun 2006, rantau Asia Pasifik kini memiliki 25 buah negara yang telah menggugurkan undang-undang hukuman mati dan menghapuskan amalan tersebut.

- Benua Amerika (Utara, Tengah dan Selatan) menyaksikan hampir tiadanya pelaksanaan hukuman bunuh. Sejak tahun 2003, hanya Amerika Syarikat sahaja yang terus menghukum bunuh manusia secara berterusan. Di Amerika Tengah dan Selatan, hanya Belize, Guatemala dan Guyana sahaja yang mengancam untuk melaksanakan hukuman bunuh.

p/s-imej CCD google, ilustrasi Anthony Gonzalez