Showing posts with label amnesty international. Show all posts
Showing posts with label amnesty international. Show all posts

Thursday, October 29, 2009

DUN Perak: Kenyataan Amnesty

AMNESTY INTERNATIONAL MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR – 28 OCTOBER 2009
HENTIKAN PENGGUNAAN INJUNKSI UMUM BAGI MENEKAN HAK RAKYAT

Amnesty International Malaysia amat prihatin dengan penggunaan injuksi umum yang diperolehi oleh pihak polis untuk persidangan 28 Oktober Dewan Undangan Negeri Perak. Kami khuatir mengenai kekerapan penggunaan perintah injunksi ke atas orang awam kerana ia adalah arbitrari dan membenarkan penyalahgunaan kuasa tangkap dan tahan, kerana perintah mahkamah ini membenarkan penangkapan dan penahanan orang awam di dalam sesuatu kawasan tanpa kehadiran proses yang wajar dan pemeriksaan fakta.

Amnesty International Malaysia mengetahui bahawa ini bukan kali pertama polis memperoleh perintah mahkamah sebegini. Ia sudah menjadi amalan polis untuk memudahkan tindakan keras besar-besaran menentang perhimpunan aman dan untuk membuat penangkapan menyeluruh secara arbitrari. Injunksi terhadap semua rakyat Malaysia ini merupakan satu ejekan yang ditujukan kepada sistem keadilan kita. Ini adalah kerana permohonan sebegini dipinta dan diberikan hanya berdasarkan prasangka dan permohonan dari satu pihak dan menghalang hak pihak yang lain ke atas perbicaraan yang adil di dalam mahkamah terbuka dan dari menjawab dakwaan dan alasan polis.

Amnesty berpendapat bahawa perintah mahkamah itu diperolehi semata-mata untuk menumpas dan menundukkan kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman. Permohonan ini memberi kuasa arbitrari kepada polis untuk menahan rakyat yang mempraktikkan hak asasi mereka berdasarkan Perlembagaan Negara. Perintah mahkamah itu juga memberi polis kuasa tidak terhad dan membolehkan penyalahgunaan kuasa tersebut. Perintah tersebut akan mendedahkan rakyat kepada risiko penangkapan, penahanan rambang, penyiksaan atau layanan atau tindakan yang zalim, dan pendakwaan selektif. Kami berpendapat bahawa perintah mahkamah ini menundukkan kebebasan asasi perhimpunan dan pergerakan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Amnesty International Malaysia ingin mengingatkan polis Malaysia tentang kewajipan statutori mereka untuk melindungi kepentingan dan hak asasi rakyat. Artikel 5, Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Undang- Undang Bangsa- Bangsa Bersatu menjelaskan: ‘Tiada sebarang pegawai penguatkuasa undang-undang boleh melakukan, menghasut atau membiarkan apa- apa tindakan aniaya atau zalim, sifat tidak berperikemanusiaan atau penghinaan atau hukuman, dan juga tiada pegawai penguatkuasa yang boleh melaksanakan perintah pegawai atasan atau mengisytiharkan keadaan luar biasa seperti ancaman ke atas keselamatan negara, ketidakstabilan politik dalam negeri atau apa- apa darurat awam sebagai alasan untuk penganiayaan atau apa-apa kezaliman, sifat tidak berperikemanusiaan atau penghinaan atau hukuman.’

Amnesty International Malaysia berpendapat bahawa amalan polis di Malaysia mesti mematuhi dan mengikuti tahap kepatuhan yang tinggi dalam pengamalan hak asasi. Semua amalan dan perlaksanaan perintah perlu dengan jelas mencerminkan dan menunjukkan kepatuhan kepada hak asasi. Orang awam perlu diberikan perkhidmatan yang professional, bertanggungjawab dan berdasarkan hak asasi. Kami meminta pihak polis Malaysia untuk menghormati hak asasi rakyat Malaysia dan menghentikan amalan mendapatkan perintah mahkamah unilateral untuk bertindak keras terhadap perhimpunan aman di Malaysia.

K. Shan , Penyelaras Kempen
--
Nora Murat
Executive DirectorAmnesty International MalaysiaTel: 603 7955 2680Fax: 603 7955 2682www.aimalaysia.org

Wednesday, October 14, 2009

Mansuh Hukum Bunuh: Hak Untuk Hidup!

9 oktober lalu, merupakan Hari Menentang Hukuman Bunuh Sedunia, memandangkan aku agak lama tidak on9, maka hari ini barulah dapat aku letakkan kenyataan media Amnesty International:

Sempena Hari Menentang Hukuman Bunuh Sedunia, Amnesty International Malaysia menyeru kerajaan Malaysia untuk mengisytiharkan Penangguhan (Moratorium) ke atas semua hukuman bunuh seperti yang ternyata dalam Resolusi A/RES/62/149 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2007.
Pada 2007, Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan resolusi penangguhan hukuman bunuh. Resolusi ini menyeru Negara yang masih mengekalkan hukuman bunuh untuk menangguhkan dengan rasmi semua perlaksanaan hukuman dengan niat akan memansuhkannya pada masa hadapan dan menyediakan perlindungan bagi menjamin keselamatan hak-hak mereka yang berdepan dengan hukuman bunuh dan secara progresifnya mengurangkan penggunaan hukuman bunuh terhadap kesalahan yang boleh dikenakan.
Amnesty International Malaysia (AIM) berpendapat bahawa keputusan yang disokong oleh Setiausaha Agung PBB dan diakui oleh badan tertinggi politik PBB yang mempunyai keanggotaan sejagat ini, sebagai satu perakuan jelas terhadap pemansuhan hukuman bunuh untuk dunia.
Maklumat terbaru kami menunjukkan sebanyak 139 negara telah memansuhkan hukuman bunuh samada melalui perundangan atau amalan, dan angka ini terus meningkat. Negara yang tidak melaksanakan hukuman dalam masa 10 tahun dan adalah dipercayai mempunyai polisi atau amalan untuk tidak melaksanakan hukuman bunuh, adalah dianggap sebagai pemansuh. Statistiks menunjukkan bahawa dunia sedang menuju ke arah pemansuhan dan ini dapat dilihat di semua pelusuk dunia.
AIM menegaskan bahawa adalah penting bagi Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menurut seruan dunia ini dan menunjukkan komitmen kepada hak untuk hidup yang terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Sedunia (DHAS) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
DHAS mengakui hak individu terhadap nyawa dan menyatakan ‘Tiada sesiapa boleh dikenakan perlakuan atau hukuman yang zalim, aib dan tidak berperikemanusiaan’ Hukuman bunuh mencabul hak ini.
DHAS sebagai asas kebebasan, keadilan dan hak, mengumumkan bahawa hak ke atas nyawa adalah tunggak utama kewujudan insan. Hak ini bukan suatu keistimewaan yang boleh ditarik atau diberi oleh kerajaan. Walauapapun alasan yang diberi oleh kerajaan untuk membunuh tahanan dan cara pembunuhan, AIM menegaskan bahawa hukuman bunuh tidak boleh diasingkan dari isu hak asasi manusia.



Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan – Kebebasan Diri, dengan jelasnya menyatakan bahawa ‘Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya’. Ia dengan jelasnya mengakui dan menetapkan hak ke atas nyawa sebagai hak asasi rakyat Malaysia walaupun Perkara ini perlu menurut batasan ayat yang terturut yang tidak menurut semangat dan niat sebenar Perlembagaan. AIM berpendapat bahawa niat sebenar Artikel 5(1) perlu dihormati dan hak ke atas nyawa tidak boleh ditundukkan oleh apa-apa batasan.
Hukuman bunuh adalah hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan mengaibkan. Ia mencabul hak untuk hidup. Hukuman ini tidak lagi mempunyai tempat dalam sistem pengadilan Malaysia.
Menurut kajian terbaru mengenai hubungan diantara hukuman bunuh dan kadar jenayah pembunuhan yang dikendalikan oleh PBB pada 1988 dan diperbaharui pada 1996 dan 2002, ‘..kajian telah gagal memberi bukti saintifik bahawa hukuman bunuh memberi kesan mencegah jenayah yang lebih besar berbanding dengan penjara seumur hidup’ Bukti yang ada tidak memberikan sokongan positif bagi andaian yang menyokong hukuman bunuh.
Sempena Hari Menentang Hukuman Bunuh Sedunia, Amnesty International Malaysia menyeru kerajaan Malaysia untuk:
1. Mengisytiharkan penangguhan rasmi ke atas semua perlaksanaan hukuman bunuh dan menyemak semua undang-undang yang mengenakan hukuman bunuh dengan niat untuk mengurangkan secara progresif penggunaan hukuman bunuh di Malaysia menurut Penangguhan Hukuman Bunuh 2007; dan
2. Meminda Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dengan meminda klausa batasan ‘kecuali mengikut undang-undang’ dan memberikan komitmen yang tegas dan utuh kepada hak untuk hidup di Malaysia.

K.Shan
Campaign Coordinator

Thursday, May 21, 2009

HENTIKAN HUKUMAN BUNUH: DUNIA TELAH MEMUTUSKAN

Mansuh hukum bunuh 5:


Perhimpunan Agung PBB telah mengambil langkah penting bagi melindungi mereka yang berdepan dengan hukuman bunuh. Perhimpunan Agung PBB cukup tekal dalam meluluskan ketetapan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap pelaksanaan hukuman bunuh dan mula memperakui matlamat memansuhkan hukuman bunuh. Ketetapan Perhimpunan Agung PBB yang menyeru dilaksanakan penangguhan rasmi terhadap hukuman bunuh merupakan langkah penting ke arah terhapusnya hukuman bunuh di dunia.




Amnesty International mendesak Kerajaan Malaysia sebagai anggota Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk:
- Bertindak serta-merta menubuhkan moratorium terhadap semua perintah pelaksanaan hukuman bunuh. Sebagai langkah pertama pemansuhan hukuman bunuh, semua keputusan hukuman bunuh hendaklah ditukar menjadi hukuman penjara seumur hidup;
- Menyemak semula semua undang-undang yang memperuntukkan hukuman bunuh. Ianya dibuat dengan pandangan untuk secara progresifnya mengurangkan penggunaan hukuman bunuh dalam pelbagai perundangan negara; dan
- Mengesahkan serta memperakui hak untuk hidup dan menyatakan pemansuhan hukuman bunuh adalah amat penting sebagai pelindungan hak asasi manusia.
Untuk memansuhkan hukuman bunuh memerlukan kepimpinan politik yang berani. Kepimpinan yang mengamalkan pembelaan hak asasi manusia. Syarat-syarat penghormatan hak asasi manusia perlu memasukkan pemansuhan hukuman bunuh. Tidak munasabah untuk kerajaan menghormati hak asasi manusia dan dalam masa yang sama mengekalkan pelaksanaan hukuman bunuh.

APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN
1.Bacalah laporan AI dan bahan-bahan berkenaan dengan hukuman bunuh di www.amnesty.org
2.Tulis surat kepada Perdana Menteri bagi mendesak dilaksanakan Ketetapan PBB tentang Penangguhan Rasmi (moratorium) Hukuman Bunuh tanpa berlengah lagi.
YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri
Jabatan Perdana Menteri Malaysia,
Banggunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA, Malaysia.
Tel: +60 3 8888 6000 Faks: +60 3 8888 3444

3.Ikut terlibat dalam forum dan perbincangan berkenaan hukuman bunuh yang dianjurkan berbagai NGO dan masyarakat sivil.
4.Membantu menyebarkan risalah dan maklumat kepada ahli keluarga anda, teman dan sahabat handai.
5.Sertai Amnesty International dan bantulah kami mendidik orang ramai berkenaan hukuman bunuh.
6.Tulis surat pengarang ataupun tulisan pendapat kepada pihak media dengan mengutamakan perihal moratorium sejagat PBB dan tulislah penghujahan anda untuk pemansuhan hukuman bunuh di Malaysia.

Amnesty International Malaysia
A-3-3A, 8 Avenue, Jalan Sungai Jernih 8/1,
Seksyen 8, 46050, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Tel: 03-79552680
Faks:03-79552682
Emel: aimalaysia@aimalaysia.org
Laman web: http://www.aimalaysia.org

MANSUH HUKUM BUNUH: DUNIA TELAH MEMUTUSKAN


[Siri tulisan (Mansuh Hukum Bunuh 1-5) ini merupakan terjemahan SS daripada risalah kempen anti hukuman bunuh drpd Amnesty International, sebuah badan bebas yang berkempen untuk isu-isu hak asasi manusia sedunia. Tulisan ini diperturunkan di sini sebagai memperpanjang maklumat tulisan Isham Rais SAYA TIDAK MAHU JADI TUHAN di tukar tiub.]


Mansuh Hukum Bunuh 1:

Pada Disember 2007, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) – badan induk yang merangkumi kesemua negara-negara anggota PBB telah meluluskan ketetapan, mendesak dilakukan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh dan pelaksanaan hukuman mati.

KETETAPAN INI MENDESAK NEGARA-NEGARA YANG MASIH MENGEKALKAN HUKUMAN BUNUH UNTUK:

-MENUBUHKAN PENANGGUHAN RASMI (MORATORIUM) TERHADAP KESEMUA PELAKSANAAN HUKUMAN MATI DENGAN PANDANGAN AKAN MEMANSUHKAN HUKUMAN BUNUH PADA MASA MENDATANG.

-MENYEDIAKAN PELINDUNGAN BAGI MENJAMIN KESELAMATAN HAK-HAK MEREKA YANG BERDEPAN DENGAN HUKUMAN BUNUH DAN SECARA PROGRESIFNYA MENGURANGKAN PENGGUNAAN HUKUMAN BUNUH TERHADAP JUMLAH KESALAHAN YANG BOLEH DIKENAKAN.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Louise Arbour mengutuk Hukuman Bunuh “…sebagai sekatan yang tidak mempunyai tempatnya dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menghargai hak asasi manusia dan menentang pencabulan hak seseorang itu.

Ketetapan ini yang diangkat badan tertinggi politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan keanggotaan sejagat, merupakan perakuan jelas terhadap perkembangan pesat antarabangsa ke arah pemansuhan hukuman bunuh di seluruh dunia. Ia ketetapan yang ditandatangani sokongan Setiausaha Agung PBB. Biarpun ketetapan ini tidak mengikat kepatuhan perundangan setiap negara, ia membawa tanggungjawab moral dan politik yang besar. Ini kerana ianya diangkat badan utama PBB yang melibatkan kesemua anggota PBB.

Hukuman bunuh menghalalkan tindakan keganasan negara yang tidak pula boleh ditarik balik. Hukuman bunuh bersifat diskriminasi dan selalu disalahgunakan terhadap rakyat miskin, kumpulan minoriti dan berbagai anggota kelompok etnik, kaum dan agama. Hukuman bunuh biasanya dikenakan setelah melalui perbicaraan yang tidak adil. Namun biarpun perbicaraan menurut piawaian keadilan antarabangsa, risiko membunuh orang yang tidak bersalah tidak sepenuhnya dapat dihapuskan. Hukuman bunuh tidak dapat dielakkan lagi akan meragut nyawa mangsa yang tidak bersalah, seperti yang terus menerus berlaku hari ini.



BENAR-BENAR KE ARAH PERUBAHAN SEJAGAT



Saya percaya nyawa amat bernilai dan mesti dilindungi serta dihormati, dan kesemua manusia punya hak untuk hidup bermartabat. Perundangan dunia mengesahkan nilai-nilai ini. Saya amat menyedari hala tuju yang berkembang dalam perundangan antarabangsa dan amalan peraturan negara-negara ke arah menghapuskan hukuman bunuh”…Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon pada 2007

Terdapat 90 buah negara yang telah memansuhkan hukuman bunuh untuk semua kesalahan jenayah. Terdapat 40 buah negara pula yang memansuhkan hukum bunuh untuk jenayah-jenayah tertentu ataupun sejak 10 tahun yang lalu belum melaksanakan hukuman bunuh terhadap pesalah, dipercayai kerana dasar kerajaannya, biarpun mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati.

- Pada tahun 2006, hanya 25 buah negara melaksanakan hukuman bunuh dan 91% hukuman bunuh itu dijalankan hanya di 6 negara: China, Iran, Iraq, Pakistan, Sudan dan Amerika Syarikat.

- Di Asia Tengah, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Turkmenistan telah memansuhkan hukuman bunuh atau melaksanakan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh.

- Eropah cukup jelas menjadi kawasan bebas hukuman bunuh, dengan satu-satunya pengecualian di Belarus.

- Di Afrika, hanya 6 daripada 53 buah negara di rantau itu yang diketahui melaksanakan hukuman bunuh pada tahun 2006.

- 14 buah negara di benua Afrika telah memansuhkan hukuman bunuh dan 17 buah negara lagi sedang menurut jejak pemansuhan tersebut.

- Dengan pemansuhan hukuman bunuh di Filipina pada bulan Jun 2006, rantau Asia Pasifik kini memiliki 25 buah negara yang telah menggugurkan undang-undang hukuman mati dan menghapuskan amalan tersebut.

- Benua Amerika (Utara, Tengah dan Selatan) menyaksikan hampir tiadanya pelaksanaan hukuman bunuh. Sejak tahun 2003, hanya Amerika Syarikat sahaja yang terus menghukum bunuh manusia secara berterusan. Di Amerika Tengah dan Selatan, hanya Belize, Guatemala dan Guyana sahaja yang mengancam untuk melaksanakan hukuman bunuh.

p/s-imej CCD google, ilustrasi Anthony Gonzalez