Showing posts with label PBB. Show all posts
Showing posts with label PBB. Show all posts

Thursday, May 21, 2009

HUKUMAN BUNUH DAN PENCEGAHAN JENAYAH


Mansuh Hukum Bunuh 3:

Pada tahun 1996, Presiden Nelson Mandela berkata:

bukanlah kerana hukuman bunuh dihapuskan maka jenayah meningkat ke tahap yang melampau. Malah jika hukuman bunuh kembali berkuat kuasa,kadar jenayah tetap akan begitu juga. Apa yang diperlukan, pihak keselamatan mestilah menjalankan tugas mereka dan kita pula perlu giat memastikan pasukan keselamatan memiliki keupayaan untuk berkhidmat, membawa keamanan kepada masyarakat. Inilah isunya. Bukannya hukuman bunuh.”

Tidak ada bukti kajian saintifik yang mendokong hukuman bunuh mencegah jenayah dengan lebih berkesan berbanding bentuk-bentuk hukuman lainnya. Tinjaun terbaru yang dijalankan untuk PBB pada tahun 1988 serta dikemaskini pada tahun 1996 dan 2002 merumuskan kesimpulan: “…penyelidikan telah gagal untuk menyediakan bukti saintifik bahawa pelaksanaan hukuman bunuh mempunyai kesan pencegahan jenayah yang lebih besar berbanding dengan penjara seumur hidup. Amat sukar dibuktikan, biarpun untuk masa mendatang. Bukti-bukti keseluruhan masih tidak memberikan sebarang dokongan positif terhadap andaian jenayah dapat dicegah dengan pelaksanaan hukuman bunuh.

Pencegahan terbaik untuk jenayah-jenayah ganas bergantung pada jaminan penangkapan dan penghukuman. Pernyataan ini, disokong berbagai kajian penyelidikan. Manakala itu dengan jelas ditegaskan Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan:

Kita menipu diri sendiri, jika kita percaya hukuman bunuh…secara perbandingannya terhadap beberapa orang yang dibunuh saban tahun…akan menyediakan penyelesaian terhadap kadar jenayah yang tinggi dan melampau…Pencegahan paling baik terhadap jenayah bergantung pada seberapa besar kemungkinan pesalah yang akan ditangkap, disabit kesalahan dan dihukum. Inilah kekurangan dalam sistem keadilan kita.”

Seringkali politikus menggunakan hukuman bunuh sebagai alat bermanfaat untuk berucap mengenai jenayah dan membuatkan orang ramai berasa selamat. Namun realitinya, hukuman bunuh tidak memberi kesan dan ia menyimpang daripada keperluan untuk menyelesaikan punca jenayah dan menyediakan penawar yang mujarab.

MANSUH HUKUM BUNUH: DUNIA TELAH MEMUTUSKAN


[Siri tulisan (Mansuh Hukum Bunuh 1-5) ini merupakan terjemahan SS daripada risalah kempen anti hukuman bunuh drpd Amnesty International, sebuah badan bebas yang berkempen untuk isu-isu hak asasi manusia sedunia. Tulisan ini diperturunkan di sini sebagai memperpanjang maklumat tulisan Isham Rais SAYA TIDAK MAHU JADI TUHAN di tukar tiub.]


Mansuh Hukum Bunuh 1:

Pada Disember 2007, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) – badan induk yang merangkumi kesemua negara-negara anggota PBB telah meluluskan ketetapan, mendesak dilakukan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh dan pelaksanaan hukuman mati.

KETETAPAN INI MENDESAK NEGARA-NEGARA YANG MASIH MENGEKALKAN HUKUMAN BUNUH UNTUK:

-MENUBUHKAN PENANGGUHAN RASMI (MORATORIUM) TERHADAP KESEMUA PELAKSANAAN HUKUMAN MATI DENGAN PANDANGAN AKAN MEMANSUHKAN HUKUMAN BUNUH PADA MASA MENDATANG.

-MENYEDIAKAN PELINDUNGAN BAGI MENJAMIN KESELAMATAN HAK-HAK MEREKA YANG BERDEPAN DENGAN HUKUMAN BUNUH DAN SECARA PROGRESIFNYA MENGURANGKAN PENGGUNAAN HUKUMAN BUNUH TERHADAP JUMLAH KESALAHAN YANG BOLEH DIKENAKAN.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Louise Arbour mengutuk Hukuman Bunuh “…sebagai sekatan yang tidak mempunyai tempatnya dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menghargai hak asasi manusia dan menentang pencabulan hak seseorang itu.

Ketetapan ini yang diangkat badan tertinggi politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan keanggotaan sejagat, merupakan perakuan jelas terhadap perkembangan pesat antarabangsa ke arah pemansuhan hukuman bunuh di seluruh dunia. Ia ketetapan yang ditandatangani sokongan Setiausaha Agung PBB. Biarpun ketetapan ini tidak mengikat kepatuhan perundangan setiap negara, ia membawa tanggungjawab moral dan politik yang besar. Ini kerana ianya diangkat badan utama PBB yang melibatkan kesemua anggota PBB.

Hukuman bunuh menghalalkan tindakan keganasan negara yang tidak pula boleh ditarik balik. Hukuman bunuh bersifat diskriminasi dan selalu disalahgunakan terhadap rakyat miskin, kumpulan minoriti dan berbagai anggota kelompok etnik, kaum dan agama. Hukuman bunuh biasanya dikenakan setelah melalui perbicaraan yang tidak adil. Namun biarpun perbicaraan menurut piawaian keadilan antarabangsa, risiko membunuh orang yang tidak bersalah tidak sepenuhnya dapat dihapuskan. Hukuman bunuh tidak dapat dielakkan lagi akan meragut nyawa mangsa yang tidak bersalah, seperti yang terus menerus berlaku hari ini.



BENAR-BENAR KE ARAH PERUBAHAN SEJAGAT



Saya percaya nyawa amat bernilai dan mesti dilindungi serta dihormati, dan kesemua manusia punya hak untuk hidup bermartabat. Perundangan dunia mengesahkan nilai-nilai ini. Saya amat menyedari hala tuju yang berkembang dalam perundangan antarabangsa dan amalan peraturan negara-negara ke arah menghapuskan hukuman bunuh”…Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon pada 2007

Terdapat 90 buah negara yang telah memansuhkan hukuman bunuh untuk semua kesalahan jenayah. Terdapat 40 buah negara pula yang memansuhkan hukum bunuh untuk jenayah-jenayah tertentu ataupun sejak 10 tahun yang lalu belum melaksanakan hukuman bunuh terhadap pesalah, dipercayai kerana dasar kerajaannya, biarpun mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati.

- Pada tahun 2006, hanya 25 buah negara melaksanakan hukuman bunuh dan 91% hukuman bunuh itu dijalankan hanya di 6 negara: China, Iran, Iraq, Pakistan, Sudan dan Amerika Syarikat.

- Di Asia Tengah, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Turkmenistan telah memansuhkan hukuman bunuh atau melaksanakan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh.

- Eropah cukup jelas menjadi kawasan bebas hukuman bunuh, dengan satu-satunya pengecualian di Belarus.

- Di Afrika, hanya 6 daripada 53 buah negara di rantau itu yang diketahui melaksanakan hukuman bunuh pada tahun 2006.

- 14 buah negara di benua Afrika telah memansuhkan hukuman bunuh dan 17 buah negara lagi sedang menurut jejak pemansuhan tersebut.

- Dengan pemansuhan hukuman bunuh di Filipina pada bulan Jun 2006, rantau Asia Pasifik kini memiliki 25 buah negara yang telah menggugurkan undang-undang hukuman mati dan menghapuskan amalan tersebut.

- Benua Amerika (Utara, Tengah dan Selatan) menyaksikan hampir tiadanya pelaksanaan hukuman bunuh. Sejak tahun 2003, hanya Amerika Syarikat sahaja yang terus menghukum bunuh manusia secara berterusan. Di Amerika Tengah dan Selatan, hanya Belize, Guatemala dan Guyana sahaja yang mengancam untuk melaksanakan hukuman bunuh.

p/s-imej CCD google, ilustrasi Anthony Gonzalez