Showing posts with label Lee Kuan Yew. Show all posts
Showing posts with label Lee Kuan Yew. Show all posts

Monday, December 13, 2010

Tentang kabel dari Singapura dan Wikileaks :~)

1.Tentang kabel berkaitan Anwar, Najib, Mahathir dan Khairy:

http://merdekareview.com/bm/news.php?n=11359

-Singapura sebuah negara yang cerdik, pandai dan bijak terutamanya dalam urusan untuk membuat keuntungan sebanyak yang mungkin. Singapura dengan ciri-ciri kerajaannya sekarang, tidak akan semudahnya membenarkan wujudnya asas kepimpinan Malaysia yang cekap berwibawa - 'competent'. Kepimpinan Malaysia yang tegas, amanah, telus, bersih dan demokratik hanya akan menjadi batu penghalang kelangsungan politik Lee Kuan Yew dan PAP dalam isu-isu yang berkaitan dengan Malaysia. misalnya:

- bekalan air dan empangan-empangan air milik Singapura di Malaysia. Isu pembelian harga air dari Malaysia yang tidak masuk akal. Perjanjian tahun 1961, menjual air ke Singapura semurah 3 sen untuk 1000 gelen air dan Singapura menjual air yang diproses mereka kepada Malaysia dengan harga setinggi 50 sen untuk 1000 gelen air 'bersih'.
(rujuk http://beritasemasa.com/kesudahan-isuperjanjian-air-malaysia-singapura)

- perluasan wilayah sempadan perairan. seperti yang pernah terjadi di Pedra Blanca, Singapura (dulu Pulau Batu Puteh). Rumah Api di Pulau Pisang kendalian Maritime and Port Authority of Singapore, yang berdasarkan perjanjian tahun 1900.
(rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Pulau_Pisang_Light)

-Tanah KTMB di Singapura:
http://beritasemasa.com/perjanjian-malaysia-singapura

-Kelangsungan hidup Singapura amat bergantung dengan Malaysia. Kita ambil saja contoh isu air, elemen kehidupan yang amat penting itu. Singapura perlu lebih adil, jujur dan belajar berkerja sama untuk hidup harmoni dengan jirannya Malaysia serta negara lainnya di rantau ini. Tetapi Singapura berdepan dengan masalah rejimnya yang autokratik berpandukan pemerintahan kukubesi yang ekonominya berupa kapitalisme, ketamakan bermatlamatkan keuntungan semaksima mungkin.

-Perlumbaan senjata di rantau Asia Tenggara ini juga telah dimulai oleh Singapura.

2.Tentang Wikileaks:

Rupa-rupanya pengasas Wikileaks Julian Assange pernah melawat Anwar tahun lalu di Malaysia, kemudiannya di tahan polis Cawangan Khas. Hal ini didedahkan oleh wartawan, pemikir dan filusuf Fathi Aris Omar di dalam blognya:
http://patahbalek.blogspot.com/2010/12/wikileaks.html

Wednesday, October 20, 2010

Chegu Bard melawan diktator!!!

"Kesadaran adalah matahari
Kesabaran adalah bumi.
Keberanian menjadi cakrawala
Dan perjuangan
adalah pelaksanaan kata-kata."

- Petikan pidato kebudayaan Rendra di TIM, 10 November 1997.



Aku bukanlah ahli mana-mana parti politik. Orang seperti aku bak kata temanku dulu Arwah Syukri adalah free individual yang 'liar' tak boleh terikat dikawal dengan disiplin mana-mana organisasi. Mungkin benar, pernyataan arwah, yang sepanjang hayat mudanya berbakti untuk gerakan pro demokrasi, khususnya sebagai aktivis Food Not Bomb, penulis blog dan wartawan di akhbar Suara Keadilan. Namun tulisan ini bukanlah untuk bernostalgia tentang kenangan arwah Syukri (Al-Fatihah buatnya).

Makanya aku tidak memilih untuk bergerak bersama parti politik. Namun itu tidaklah bermakna aku tidak punya sikap dan kesedaran politik. Sementara memiliki sikap dan kesedaran politik bukanlah pula bermakna hidupku sepenuhnya aku habiskan untuk kegiatan berpolitik. Aku ada banyak lagi kegiatan-kegiatan lain dalam hidup yang dalam keadaan-keadaan tertentu, mungkin lebih baik aku utamakan daripada kerja-kerja politik. Apatah lagi dalam perkembangan semasa pra dan pasca Mac 2008 dengan kemunculan ramai sekali para penggiat politik masyarakat madani (civil society), Pakatan dan NGO, hak asasi manusia, peguam, media, seni budaya dan anak muda, yang komited terhadap perjuangan gerakan reformasi politik, ekonomi, sosial dan budaya di Malaysia. Maksudnya sebahagian besar masyarakat telah mencapai tahap kesedaran politik yang matang dan progresif.

Sekarang sedang berlangsung pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat. Pemilihan langsung kepimpinan parti ini mengukir sejarah kerana ianya julung-julung sekali dilakukan dalam sejarah politik tanah air. PKR berjaya menjadi JUARA. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Mengkritik membina akan menjayakan lagi PKR. Sebaliknya mereka yang mencerca hina, (akan termasuk dalam golongan orang macam aku, cuma aku di lantai yang lain), akan menjadi GAGAL dan SAMPAH!

Maksudnya PKR telah mencuba sedaya upaya untuk membudayakan pendemokrasian suara akar umbi. PKR tidak menunggu sistem politik negara berubah untuk melakukan agenda reformasinya. Gerakan Reformasi semenjak September 1998, telah melaksanakan reformasi demokrasi dalam keadaan sistem negara yang rasuah, korup, tidak adil dan tidak demokratik. Ianya amat berani dan cukup menduga kesabaran iman perjuangan.

Perlu diingat, meskipun pihak yang memerintah telah banyak kali berubah sejak negara Merdeka, sebelum dan selepas pembentukan Malaysia. Maksudnya sekarang ini pemerintahnya merupakan pasukan Bik Mama dan bukan lagi tingkat 4 anak menantu Dolah atau Tun Melayu Tipu yang menipu orang Melayu, namun keadaan negara masih lagi jauh dari demokrasi. Pihak yang memerintah dan orang paling atasnya telah bertukar tetapi partinya masih lagi sama. Kerana lebih 50 tahun, parti politik pemerintahnya Be End (Perikatan, di tengah jalan terputus, tapi belum habis, bersambung menjadi Be End, ke akhir penamat jalannya Be End). Tapi selagi hanya satu parti yang memerintah dengan angkuh masih mengrikrarkan kesombongan berbunyi dulu, kini dan selamanya, selagi itulah rakyat belum mendapat hak-haknya dan selagi itu belum wujud lagi demokrasi sepenuhnya di Malaysia, sebuah negara dalam angin peralihan.

Sebenarnya tujuan aku menulis catatan ini hanyalah untuk menyatakan sokonganku, jikalau dapat membantu kepada Cikgu Badrul Hisham Shaha­rin yang bertanding jawatan ketua pemuda PKR. Aku hanya orang luar parti yang menyibuk-nyibuk urusan dalaman parti reformasi itu. Aku melihat Cikgu Badrul merupakan pemuda yang paling sesuai - setakat ini, dan jika dibandingkan dengan pencabarnya - untuk memimpin Angkatan Muda PKR.

Keberaniannya teruji. Peribadinya boleh lar dipuji. Ilmu, pengetahuan dan pengalamannya juga luas, dari Rembau hinggalah ke kota Gwangju, Korea Selatan. Aku bukanlah sahabat karibnya, bukan juga orang yang rapat dengannya, tetapi aku menyokongnya, sejak aku melihat bekas guru sekolah yang dipecat kerana kegiatan politiknya itu memimpin siri perhimpunan laporan polis berkenaan rasuah Umno lagi. Kemudiannya melalui Sekretariat Anak Muda Mahasiswa Malaysia, yang merupakan inisiatif Cikgu Badrul, kami sekumpulan seniman dan para aktivis politik, pada awal tahun 2008 bersama-sama menghantar bantal ke pejabat PM Pak Lah sebagai bantahan sifatnya yang sering mengantuk itu. (klik http://www.nytimes.com/)

Ini juga pertama kali aku mendengar idea PKR akan mengadakan pemilihan langsung akar umbi untuk jawatan dalam parti. "Pemilihan langsung ini amat penting untuk perjuangan demokrasi, inilah reformasi yang kita mahukan," ya dari mulut Cikgu Badrul ke kuping telingaku, sudah lama ia tersemat dalam ingatanku. Kini aku menulisnya kembali, waktu kata-kata itu sedang dilaksanakan PKR sekarang.

Garis politiknya pula cukup aku hormati; dia mengangkat hak-hak kuasa rakyat seperti tindakan menulis surat bantahan, menghantar memorandum, berpiket, demonstrasi dan mogok, seiringan dengan kuasa politik parlimen. Cikgu Badrul membawa gagasan baru demokrasi penyertaan awam. Bahawasanya rakyat jelata berhak melaksanakan kuasanya bukan hanya sekali dalam sepenggal pilihanraya umum, yang tarikhnya tidak diketahui awam. Cikgu Badrul mendidik aku, dan aku percaya ramai orang lain juga bahawa kuasa rakyat dapat ditunjukkan dengan membuat bantahan, berpiket, berdemonstrasi dan mogok, disamping pilihanraya.

Ternyata pada hari ini, ramai juga orang yang belum lagi mengerti makna kuasa rakyat, apabila mentakrifkan demokrasi hanya terhad sebatas kuasa undi semata. Mungkin akibat zaman Pak Lah yang suka tidur, kini ramai juga yang tertidur dibuai mimpi demokrasi. Bangun, sedarlah bangunan 100 tingkat hendak dibangunkannya, harta tanah air negara tergadai begitu saja. Dr. Mahathir baru memberikan amarannya, tentang tiada salahnya menjadi diktator dan kediktatorannya yang zalim, dengan mengambil contoh kejayaan ekonomi China. Lupakah kita pada Salvador Allende, digulingkan kudeta tentera Jenderal Agusto Pinochet dan CIA, di Chille, pada 11 September 1973? Allende, presiden yang dipilih secara demokratik dengan undi rakyatnya, digulingkan dengan kekuatan tentera bersenjata. Yang lainnya cuma sejarah berdarah puluhan tahun pemerintahan kuku besi rejim diktator Pinochet. Atau lupakah kita pada pemenjaraan tanpa bicara, pembunuhan, rasuah dan kemusnahan akibat pemerintahan jenis kediktatoran itu? Kewujudan kita sebagai manusia bukanlah untuk diukur pada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sehinggakan segala tindak kediktatoran yang kejam itu boleh kita padamkan semudahnya dan menjadi mulia hanya kerana ia mendatangkan kekayaan kepada segelintir kecil pendokong diktator itu sahaja.

Mengambil kira keadaan politik dalaman parti PKR dan arah haluan politik negara pasca pilihanraya umum mendatang, ditambah dengan kemungkinan 99.9% pemenjaraan Anwar Ibrahim akibat kes sodomi 2, maka amat perlu Angkatan Muda PKR untuk dipimpin oleh seorang yang punya wibawa sekeras, sekemas dan setegas Cikgu Badrul. Sementara pencabarnya, Syamsul Iskandar seharusnya telah pergi ke peringkat Naib Presiden, yang lebih bersesuaian dengan imej dirinya. Apakan daya, Syamsul ber'patah balik'.

Manakala Cikgu Badrul pula membawa romantisisme Che Guevara, dengan singkatannya Chegu Bard. Ini sekaligus merapatkan dirinya dengan anak-anak muda yang juga sukakan Che Guevara. Cikgu Badrul semakin dekat dan akan tambah akrab bersama anak muda, sesuai kedudukan politiknya nanti, jika dia dapat menang jawatan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

Keadaan dalam Pakatan, terutamanya PKR dalam jangka waktu kemenangan Pakatan Rakyat menjelang, semasa dan selepas Pilihanraya Umum Mac 2008, Anwar Ibrahim di Permatang Pauh pada Ogos 2008 telah menyaksikan secara tiba-tiba berbondong-bondong kemasukan ahli-ahli baru yang 'mendakwa' membawa kemenangan kepada parti itu. Mereka ini, termasuklah ramai 'rakan-rakan' Anwar yang telah meninggalkan perjuangannya bersama Anwar, sewaktu Anwar ke penjara dulu. Dalam jangka waktu setelah Mac 08 dan Ogos 08 itu, mereka ini kembali masuk menyerap ke dalam parti kerana tertarik dengan projek 16 September yang belum lagi menjadi kenyataan itu. PKR pula dengan senang dan baik hati mengalu-alukan golongan "kacang lupakan kulit" ini, malah ramai pula yang diberi kedudukan dan jawatan penting dalam parti. Terima kasih Anwar Ibrahim untuk itu. Pada perkiraan orang-orang ini tentulah gedung harta kekayaan di Putrajaya telah nampak seperti di depan mata. Namun perhitungan kira-kira politik golongan opurtunis 'gunting dalam lipatan' ini tersasar. Pak Lah letak jawatan berundur dan Najib naik berkuasa serta 16 September semakin jauh dari sasaran.

PKR dikatakan sedang berdepan dengan satu krisis kepimpinan pada pemilihan kali ini, begitulah yang cuba dipropagandakan. Biarpun krisis ini bukanlah konflik benar yang besar, tetapi media mega milik parti pemerintah akan cuba membentuk pandangan kununnya PKR sedang berkrisis. Para opurtunis penangguk di air keruh ini, akan keluar meninggalkan parti. Meskipun begitu, mereka ini hanyalah golongan kecil dalam parti, dengan bantuan media mega milik pemerintah, persepsi pendapat dan pandangan umum dapat dibentuk. Gelombang rekaan keluar parti dan menghentam PKR (Pakatan) ini akan lebih banyak lagi, semasa pilihanraya umum mendatang, agaknya.

Tetapi ujian paling besar sekali akan datang setelah pilihanraya umum ataupun setelah Anwar Ibrahim ke penjara. Pada waktu itu akan tumbuh subur banyak "enau di dalam belukar - PKR dan Pakatan - melepaskan pucuk masing-masing." Suka atau tidak, mahu atau tidak mahu, apapun yang terjadi kita mesti mengharunginya.

Kita telah maju kehadapan melaluinya sepanjang 12 tahun yang berlalu ini, kita tidak akan mampu untuk berpatah balik. Kita perlu jalan terus. Ya selagi ada 'kita' dan aku itu adalah kita-kita semua ini juga. Tak ada yang kekal selamanya. Siapapun Dr. Mahathir, Lee Kuan Yew, Pinochet, Mugabe, Suharto, Hun Sen, Marcos, Nero, Firaun. Mati itu pasti, ramai yang berbahagia atau menderita sambil melalui takdirnya. Perubahan itu adalah hukum keabadian - tetap dan kekal. Makanya, anak muda sepertiku memerlukan kepimpinan orang sesabar, sesedar dan seberani Cikgu Badrul untuk mengibarkan panji-panji perjuangan yang telah dilaungkan bersama bertahun-tahun lamanya. Tanpa ragu Cikgu Badrul telah, sedang dan diharapkan akan berterusan melaksanakan makna dari kata keramat R-E-F-O-R-M-A-S-I !!!

Monday, June 15, 2009

Tanda Tanya Lawatan 8Hari Lee Kuan Yew????

nampaknya lawatan 8Hari Menteri Mentol Singapura Lee Kuan Yew (LKY) ke Malaysia kali ini agak nampak berbeza. Lee Kuan Yew, bukanlah negarawan. dia - sama seperti Dr. Mahathir - adalah diktator kukubesi yg telah memusnahkan institusi demokrasi; merampas hak asasi manusia; menekan gerakan progresif demokratik.
di tahun2 1960an dan 70an, LKY memenjara ramai para pemimpin Parti Buruh dan Parti Rakyat Singapura, seterusnya melumpuhkan kedua buah parti pembangkang terkuat tersebut. Antara yg ditahan termasuklah bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu, Said Zahari. Pak Said dipenjarakan selama 17 tahun, tanpa bicara.

di semenanjung Malaya pula, pada jangka waktu itu, 1960an ke 1970an, tindakan keras yg sama juga dibuat gerombolan Umno-Perikatan dalam melumpuhkan Barisan Sosialis (gabungan Parti Buruh dan Parti Rakyat Malaya).
. di semenanjung Tanah Melayu (atau disebut Malaya) pula tokoh seperti Dr. Burhanudin Al-Helmy turut ditahan. Dr. Burhanuddin ditahan tanpa bicara pada tahun 1965, dibebaskan setahun kemudian kerana jatuh sakit, dikenakan tahanan dlm rumah dan meninggal dunia akibat kesan pemenjaraan ISA pada 25 Oktober 1969.

LKY juga turut memenjara para aktivis gerakan mahasiswa, wartawan, aktivis kesatuan sekerja. ataupun gerakan NGO/ masyarakat sivil (di tahun 1987, dgn Operasi Spektrum, selari dgn tindakan ISA di Malaysia dgn Operasi Lalangnya). sejak tahun 60 an, 70 an hinggalah ke Operasi Lalang 1987, bila ada operasi tangkapan ISA, ia sering dilakukan dgn terancang dan selari seperti diadakan operasi bersama Malaysia-Singapura. cara bertindak yg selaras juga, bila Malaysia menangkap kunun militan Islam, di Singapura juga berlaku tangkapan yg sama, dlm tempoh waktu yg lebih kurang sama.

persoalannya, kenapa bentuk lawatan LKY kali ini agak nampak seperti di luar tabie kebiasaan amalan diplomatik antarabangsa, ataupun LKY yang berusia 85 tahun itu mahu membuang tabiat? kenapa pula tebiat luar biasa ini dilayan kepimpinan negara?

yang pastinya, lawatan 8Hari LKY ini mendapat restu kepimpinan gerombolan Umno hari ini, Najib, Rosmah, timbalan presiden Umno Muhyiddin Yassin, naib2 presiden Umno - Hishamudin Onn, Zahid Hamidi, Syafie Afdal.

Lawatan 8Hari LKY ini bukan amalan diplomatik biasa, bilamana rejim Najib-Rosmah membenarkan LKY bertemu kepimpinan pembangkang Pas, Tuan Guru Nik Aziz, Ustaz Hadi Awang, Husam Musa: bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. LKY juga melawat ke semua negeri Pakatan Rakyat, kenapa tidak kesemua negeri2 dalam persekutuan Malaysia?

katakanlah kunun Dr. Mahathir pula melawat Singapura, bolehkah kepimpinan PAP Singapura membenarkan apa nama Tun Kunun ini bertemu dgn misalnya Dr. Chee Soo Juan, Setiausaha Agung parti pembangkang Singapore Democratic Party. atau bekas Ahli Parlimen Parti Buruh, Chia Thye Poh - yg ditahan tanpa bicara dibawah ISA selama 32 tahun, katakanlah kunun jika dia masih menetap di Temasik. ataupun jika arwah J.B Jeyaratnam masih hidup lagi, dapatkah Tun Kunun bertemu pemimpin Worker Party (parti pekerja) ini. Jeyaratnam bekas ahli parlimen dr 1981 ke 1986 adan dr1997 ke 2001 pernah disaman bankrupkan LKY, kemudian diharamkan drpd berpolitik.

byk soal dan tanya tak berjawab sebenarnya atas lawatan 8Hari LKY ini. bukan utk membandingkan siapakah yg lebih demokratik antara Malaysia dan Singapura. tetapi dapatkah Najib Razak misalnya waktu melawat negara China, diberikan lampu hijau bertemu dgn pemimpin Fallun Gong, orang seperti bekas profesor madya di Hunan Universiti, Tong Shidong, ataupun dlm lawatan Najib di China, isteri Rosmah Mansor itu dapat bertemu dgn para pemimpin atau tokoh gerakan kemerdekaan Tibet yg menetap di sana?

ataupun kunun jikakalau berlakulah kejadian Najib dan Rosmah melawat Burma. tiba-tiba Rosmah dibenarkan melawat, bertemu runding dgn ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi???

lawatan 8Hari LKY ini, bukan lawatan biasa, ia seperti MISI Pasukan Pencari Fakta (Facts Finding Mission). yang kita telah tahu hubungan Naib Razak dan Lee Kuan Yew, tidak sama dgn hubungan Tun Kunun dan LKY.

yang kita belum tahu lagi, apa yg hendak dicari tahu LKY? atas dasar apa lawatan ini? yang paling penting sekali kita juga ingin tahu apa yg dirundingkan Najib Razak, Rosmah Mansor dan LKY? ada siapa yg tahu ????- bagi tahulah!!!!




Sunday, June 14, 2009

makna lawatan 8hari Lee Kuan Yew

tidak, aku tidak melihat lawatan Lee Kuan Yew (LKY) ke sini dari sudut perkauman Cina dan Melayu. kedaulatan tanah air adalah tentang perpaduan rakyat berbilang kaum, agama, budaya memelihara kemerdekaannya dari penjajahan dan penindasan baik dr dlm atau dr luar.
kita jangan melihat LKY sepertimana yg diinginkan Dr.Mahathir, seorg Cina (yg kaumnya Cina memusuhi Melayu, yg mendiskriminasikan kaum Melayu dlm sistem pentadbiran Singapura), akhirnya LKY menjadi lambang kebencian Melayu pd Cina, pastinya yg untung kekuasaan politik Dr. Mahathir.

LKY samalah seperti pentadbiran negara-senjata-korporat-keparat Amerika Syarikat, yg menjadi momok-hantu-makhluk asing, sasaran ketakutan akan nasib rakyat berbilang kaum Malaysia, untuk itu rakyat perlu menyokong wira dunia ketiga Dr. Mahathir dan partinya gerombolan United Malay National Organization.


di belakang tirai umum atau dlm keadaan rahsia, Tun Kunun itu menyelinap ke bilik hotel perdana menteri Israel, Ariel Sharon, berunding dalam pertemuan yg mengundang kehadiran pemain kriket Israel di Kuala Lumpur, biarpun Malaysia tidak ada hubungan diplomatik dgn negara Zionis itu. atau membayar pelobi Zionis, Jack Abramoff bagi mengatur pertemuan dgn George Bush, waktu dia menjd presiden A.S. ataupun dulu perunding imej wira dunia ketiga anti israel itu ialah Saatchi and Saatchi serta menjadi perunding pengiklanan pilihanraya gerombolan Umno dan BN.

Lee Kuan Yew bukanlah musuh yg perlu kita semua takuti. Singapura, parti PAP dan keberlangsungan kehidupan masyarakat pulau itu amat bergantung harap pada ehsan sumber alam dan manusia semenanjung Malaysia. cuma kita marah bilamana kedaulatan tanah dan air dijual sesuka hati, tanpa ketelusan, dgn belit penipuan poliTIKUS. seperti tanah empangan Linggiu, di KOta TInggi, Johor seluas 25, 000 ekar yg kini sudahpun terlepas ke tangan Singapura. kita marah pd kepura-puraan poliTIKUS!

dilaporkan lawatan LKY 8hari ini, sbg. seorang negarawan???kita tidak akan melupakan mangsa2 kekejaman LKY, kita tidak mahu mengiktiraf diktator kejam ini sbg seorg negarawan. Chia Thye Poh yg dipenjara tanpa bicara selama 32 tahun - lebih lama daripada Nelson Mandela. atau pemenjaraan dan penyiksaan Lim Chin Siong. atau siri2 operasi ISA - operasi Cold Store, operasi Pechah, operasi Spektrum dll. Ho Piao, Tan Jing Quee, Teo Soh Lung, Wong Souk Yee, ribuan musuh2 politik LKY yg telah ditangkap, ditahan tanpa bicara dibawah undang2 warisan penjajah Inggeris - ISA, atau disaman bankrupkan, atau dipendam diam2 dgn ugutan senjata, penjara dan undang2 kejamnya.

ataupun pemenjaraan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, Said Zahari yg dipenjara ISA selama 17 tahun. hairan tak terdgr. bunyi suara soalan para wartawan jaguh2 kebebasan media bertanyakan soalan tentang pemenjaraan Said Zahari -yg BELUM PERNAH DIJWB LKY!- dan para patriot Singapura yg ditindas LKY ini.

di perak, LKY selaku wakil empayar Amerika Syarikat (A.S) memilih bertemu menteri besar pilihan mahkamah berbanding MB Nizar Jamaludin pilihan rakyat - terbukti pd p/raya parlimen Bukit Gantang.

setelah lawatan 'negarawan tunggal' Singapura ini, kita akan masuk ke fajar baru hubungan politik Malaysia-Singapura. kalau dulu di depan mcm kunun berlawan, di belakang mata umum berkawan baik. hari ini, oleh kerana ramai yg telah tahu, maka hubungan intim gerombolan Umno itu tak perlulah disembunyi sorokkan lagi:

p/s barangkali juga lawatan LKY ini utk meninjau-ninjau kemungkinan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan kunun bebas FTA (free trade agreement) dgn A.S, pusingan rundingan selanjutnya bulan Julai ini.

-poliTIKUS=politikus tipu dan rakus

Monday, June 8, 2009

2 kali 5=Mahathir+Lee Kuan Yew

dua-dua sama. 2 kali 5. berkali2 jahatnya
dua-dua guna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) warisan penjajah Inggeris.

dua-dua macam perkauman. dua-dua keturunan peranakan.

dua-dua menindas rakyat berbilang kaum dan agama. seperti Madey memenjarakan ramai org2 Melayu tanpa bicara dibawah ISA, sama Lee Kuan Yew juga memenjarakan ramai org Cina.(siapa lebih kejam?kekejaman ada harkat ker?) dua-dua tak suka rakyat yg melawan.

dua-dua macam benci. madey benci.tapi siapakah lagi yg paling bertanggungjawab kalau bukan perdana menteri?? macam mana boleh jual 25,000 ekar tanah Linggiu, kota tinggi johor.kuan yew benci tapi beli, buat empangan proses air.air dijual dgn harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen dan Malaysia membeli air bersih dari Singapura dengan harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.apa ni?
dua-dua macam perkauman. dua-dua pandai main politik pecah dan perintah.

dua-dua sudah tua.

Tuesday, May 26, 2009

Hidup bersama menolak perkauman (1)*

Kalau kita membaca blog atau media mega gerombolan United Malays National Organization, bolehlah disimpulkan bahawa orang-orang Melayu United Malay National Organization (Umno) membenci orang-orang Cina. Punca kebencian itu, kalau dikaji-kaji kononnya dikatakan berpunca daripada kuasa orang-orang Melayu yang terhakis. Gerombolan Umno mengatakan orang-orang Cina menguasai kekayaan di bumi ini.

Umno bencikan babi kerana ia dimakan orang-orang Cina, dan mengArabkan perkataan babi, menjadi khinzir, bagi menyucikan kekotoran yang menjadi makanan orang-orang Cina ini. Peliknya, orang-orang Inggeris yang sama memakan babi ini, tidak pula dibenci Melayu Umno. Sewaktu semboyan kemerdekaan aliran pakatan PUTERA-AMCJA ditiupkan. Apa kata gerombolan Umno? Kata Dato' Onn Jaafar, “orang-orang Melayu buat jarum pun tak boleh, macam mana hendak merdeka. orang putih boleh buat kapal, kapal terbang....”

Puncanya adalah politik pecah dan perintah penjajah Inggeris yang masih kekal hingga ke hari ini. Umno sering memomok-momokkan Singapura sebagai tanah 'orang-orang Melayu' yang telah tergadai ke tangan Cina - dengan hantu yang bernama Lee Kuan Yew. Siapa yang memberikan Lee Kuan Yew sebuah pulau bernama Singapura, dan baru-baru ini sebuah pulau bernama Batu Puteh? Atau tanah seluas 25,000 ekar yang menjadi Empangan Linggi di Kota Tinggi, Johor. Tanah yang dijual kepada Singapura. Empangan yang memproses air bersih dan selain untuk bekalan ke pulau Temasik, dijual kembali untuk bekalan air negeri Johor, dengan harga semurah 3 sen segelen. Tapak empangan yang dikatakan tempat berpusatnya tamadun Melayu purba, bernama Kota Gelanggi - apakah telah jatuh menjadi milik dinasti diktator Singapura Lee Kuan Yew?

Benar, Lee Kuan Yew seorang rasis Benar rasisme menjadi tunjang pemerintahan parti tunggal PAP Singapura. Tetapi kita tidak boleh mengambil pendekatan perkauman dalam mendekati permasalahan ini. Pendekatan kelas pemerintah menindas dengan rakyat yang ditindas perlulah diambil. Buktinya mangsa kekejaman dan penindasan Lee Kuan Yew dan PAP Singapura tidak mengenal ras, warna kulit, makan babi atau tidak makan babi, Melayu atau Cina.

Kita tahu bekas Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu, Pak Said Zahari, dipenjarakan kerajaan Lee Kuan Yew selama 17 tahun tanpa bicara. Namun demikian, kita juga perlu tahu Chia Thye Poh, seorang Cina juga dipenjarakan Lee Kuan Yew (yang juga seorang Cina). Chia Thye Poh bolehlah dikatakan sebagai pemegang rekod dunia sebagai tahanan politik (memecah rekod Nelson Mandela) tanpa bicara ISA paling lama bukan sahaja di Temasik tetapi di seluruh dunia, dengan rekod pemenjaraan selama 31 tahun! Ingatlah nama-nama ini Lim Chin Siong, Ho Piao, Tan Jing Quee, Francis Khoo, Teo Soh Lung, Wong Souk Yee dan kawan-kawan seperjuangannya yang ditindas diktator Lee Kuan Yew. Terlalu ramai sebenarnya, rakyat Singapura - berbilang kaum dan agama- yang cintakan keadilan, kebenaran, kebebasan, kemerdekaan, kesetaraan menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman diktator - setaraf mahazalim - Lee Kuan Yew!

Mereka yang dipenjara tanpa bicara ini, dibawah ISA oleh diktator Lee Kuan Yew, tidak melihat semenanjung tanah Melayu dan pulau Temasik sebagai dua buah negara yang berbeza. Francis Khoo, seorang pelarian politik, seniman, penyair, intelektual dan ahli akademik misalnya memahami naluri jiwa merdeka suatu bangsa dengan pengalaman baru bebas daripada penjajahan Inggeris, Jepun, Belanda, Portugis. Rakyat suatu bangsa merdeka dengan keragaman budaya, kaum dan agama. Mereka mewakili ingatan perjuangan golongan progresif demokratik tahun-tahun 40 an dalam pakatan Pusat Tenaga Rakyat - Putera All Malayan Council Joint Action. Parti-parti seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Hizbul Muslimin, Parti Komunis Malaya, Rejimen ke 10.

Menariknya, seorang Francis Khoo, kalau dalam hujah perkauman Umno akan hanya disebut sebagai seorang Cina Singapura yang menindas orang-orang Melayu di sana. Perlembagaan Rakyat 1948 tajaan Putera-AMCJA menyebut Melayu sebagai gagasan tanahair merdeka serta bagaimana manusia-manusia di dalamnya dapat hidup bersama, setara, saksama dan adil. Melayu, dalam ertikata Perlembagaan Rakyat bukan kaum, tetapi asas suatu rupa bangsa baru merdeka di tanah Melayu dan pulau Temasik.

Tetapi kalau kita keluar dari kandang perkauman kita akan merasa setara, sebagai suatu bangsa baru merdeka - daripada penjajahan kuasa-kuasa imperialis - bilamana seorang Francis Khoo berkata, "benarkan saya bercakap dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu." Kata-katanya diperkukuhkan sekali lagi dengan penegasan, “bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia dan Singapura.” Francis berkata demikian pada 16 Mei 2009 lalu di Kuala Lumpur, dalam suatu acara pelancaran buku berjudul, Our Thoughts Are Free, buku yang mengandungi puisi dan karangan tentang pemenjaraan dan menjadi pelarian politik Singapura. Dalam sistem pecah dan perintah, kaum, agama, puak, suku tidak dibenarkan bersatu sebagai rakyat sebaliknya digalakkan menjadi seteru. Mudahnya, pemerintahlah yang mengaut untung atas permusuhan ini.

*pertama kali terbit di Suara Keadilan Mei 2009