Wednesday, October 20, 2010

Chegu Bard melawan diktator!!!

"Kesadaran adalah matahari
Kesabaran adalah bumi.
Keberanian menjadi cakrawala
Dan perjuangan
adalah pelaksanaan kata-kata."

- Petikan pidato kebudayaan Rendra di TIM, 10 November 1997.



Aku bukanlah ahli mana-mana parti politik. Orang seperti aku bak kata temanku dulu Arwah Syukri adalah free individual yang 'liar' tak boleh terikat dikawal dengan disiplin mana-mana organisasi. Mungkin benar, pernyataan arwah, yang sepanjang hayat mudanya berbakti untuk gerakan pro demokrasi, khususnya sebagai aktivis Food Not Bomb, penulis blog dan wartawan di akhbar Suara Keadilan. Namun tulisan ini bukanlah untuk bernostalgia tentang kenangan arwah Syukri (Al-Fatihah buatnya).

Makanya aku tidak memilih untuk bergerak bersama parti politik. Namun itu tidaklah bermakna aku tidak punya sikap dan kesedaran politik. Sementara memiliki sikap dan kesedaran politik bukanlah pula bermakna hidupku sepenuhnya aku habiskan untuk kegiatan berpolitik. Aku ada banyak lagi kegiatan-kegiatan lain dalam hidup yang dalam keadaan-keadaan tertentu, mungkin lebih baik aku utamakan daripada kerja-kerja politik. Apatah lagi dalam perkembangan semasa pra dan pasca Mac 2008 dengan kemunculan ramai sekali para penggiat politik masyarakat madani (civil society), Pakatan dan NGO, hak asasi manusia, peguam, media, seni budaya dan anak muda, yang komited terhadap perjuangan gerakan reformasi politik, ekonomi, sosial dan budaya di Malaysia. Maksudnya sebahagian besar masyarakat telah mencapai tahap kesedaran politik yang matang dan progresif.

Sekarang sedang berlangsung pemilihan dalam Parti Keadilan Rakyat. Pemilihan langsung kepimpinan parti ini mengukir sejarah kerana ianya julung-julung sekali dilakukan dalam sejarah politik tanah air. PKR berjaya menjadi JUARA. Ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Mengkritik membina akan menjayakan lagi PKR. Sebaliknya mereka yang mencerca hina, (akan termasuk dalam golongan orang macam aku, cuma aku di lantai yang lain), akan menjadi GAGAL dan SAMPAH!

Maksudnya PKR telah mencuba sedaya upaya untuk membudayakan pendemokrasian suara akar umbi. PKR tidak menunggu sistem politik negara berubah untuk melakukan agenda reformasinya. Gerakan Reformasi semenjak September 1998, telah melaksanakan reformasi demokrasi dalam keadaan sistem negara yang rasuah, korup, tidak adil dan tidak demokratik. Ianya amat berani dan cukup menduga kesabaran iman perjuangan.

Perlu diingat, meskipun pihak yang memerintah telah banyak kali berubah sejak negara Merdeka, sebelum dan selepas pembentukan Malaysia. Maksudnya sekarang ini pemerintahnya merupakan pasukan Bik Mama dan bukan lagi tingkat 4 anak menantu Dolah atau Tun Melayu Tipu yang menipu orang Melayu, namun keadaan negara masih lagi jauh dari demokrasi. Pihak yang memerintah dan orang paling atasnya telah bertukar tetapi partinya masih lagi sama. Kerana lebih 50 tahun, parti politik pemerintahnya Be End (Perikatan, di tengah jalan terputus, tapi belum habis, bersambung menjadi Be End, ke akhir penamat jalannya Be End). Tapi selagi hanya satu parti yang memerintah dengan angkuh masih mengrikrarkan kesombongan berbunyi dulu, kini dan selamanya, selagi itulah rakyat belum mendapat hak-haknya dan selagi itu belum wujud lagi demokrasi sepenuhnya di Malaysia, sebuah negara dalam angin peralihan.

Sebenarnya tujuan aku menulis catatan ini hanyalah untuk menyatakan sokonganku, jikalau dapat membantu kepada Cikgu Badrul Hisham Shaha­rin yang bertanding jawatan ketua pemuda PKR. Aku hanya orang luar parti yang menyibuk-nyibuk urusan dalaman parti reformasi itu. Aku melihat Cikgu Badrul merupakan pemuda yang paling sesuai - setakat ini, dan jika dibandingkan dengan pencabarnya - untuk memimpin Angkatan Muda PKR.

Keberaniannya teruji. Peribadinya boleh lar dipuji. Ilmu, pengetahuan dan pengalamannya juga luas, dari Rembau hinggalah ke kota Gwangju, Korea Selatan. Aku bukanlah sahabat karibnya, bukan juga orang yang rapat dengannya, tetapi aku menyokongnya, sejak aku melihat bekas guru sekolah yang dipecat kerana kegiatan politiknya itu memimpin siri perhimpunan laporan polis berkenaan rasuah Umno lagi. Kemudiannya melalui Sekretariat Anak Muda Mahasiswa Malaysia, yang merupakan inisiatif Cikgu Badrul, kami sekumpulan seniman dan para aktivis politik, pada awal tahun 2008 bersama-sama menghantar bantal ke pejabat PM Pak Lah sebagai bantahan sifatnya yang sering mengantuk itu. (klik http://www.nytimes.com/)

Ini juga pertama kali aku mendengar idea PKR akan mengadakan pemilihan langsung akar umbi untuk jawatan dalam parti. "Pemilihan langsung ini amat penting untuk perjuangan demokrasi, inilah reformasi yang kita mahukan," ya dari mulut Cikgu Badrul ke kuping telingaku, sudah lama ia tersemat dalam ingatanku. Kini aku menulisnya kembali, waktu kata-kata itu sedang dilaksanakan PKR sekarang.

Garis politiknya pula cukup aku hormati; dia mengangkat hak-hak kuasa rakyat seperti tindakan menulis surat bantahan, menghantar memorandum, berpiket, demonstrasi dan mogok, seiringan dengan kuasa politik parlimen. Cikgu Badrul membawa gagasan baru demokrasi penyertaan awam. Bahawasanya rakyat jelata berhak melaksanakan kuasanya bukan hanya sekali dalam sepenggal pilihanraya umum, yang tarikhnya tidak diketahui awam. Cikgu Badrul mendidik aku, dan aku percaya ramai orang lain juga bahawa kuasa rakyat dapat ditunjukkan dengan membuat bantahan, berpiket, berdemonstrasi dan mogok, disamping pilihanraya.

Ternyata pada hari ini, ramai juga orang yang belum lagi mengerti makna kuasa rakyat, apabila mentakrifkan demokrasi hanya terhad sebatas kuasa undi semata. Mungkin akibat zaman Pak Lah yang suka tidur, kini ramai juga yang tertidur dibuai mimpi demokrasi. Bangun, sedarlah bangunan 100 tingkat hendak dibangunkannya, harta tanah air negara tergadai begitu saja. Dr. Mahathir baru memberikan amarannya, tentang tiada salahnya menjadi diktator dan kediktatorannya yang zalim, dengan mengambil contoh kejayaan ekonomi China. Lupakah kita pada Salvador Allende, digulingkan kudeta tentera Jenderal Agusto Pinochet dan CIA, di Chille, pada 11 September 1973? Allende, presiden yang dipilih secara demokratik dengan undi rakyatnya, digulingkan dengan kekuatan tentera bersenjata. Yang lainnya cuma sejarah berdarah puluhan tahun pemerintahan kuku besi rejim diktator Pinochet. Atau lupakah kita pada pemenjaraan tanpa bicara, pembunuhan, rasuah dan kemusnahan akibat pemerintahan jenis kediktatoran itu? Kewujudan kita sebagai manusia bukanlah untuk diukur pada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sehinggakan segala tindak kediktatoran yang kejam itu boleh kita padamkan semudahnya dan menjadi mulia hanya kerana ia mendatangkan kekayaan kepada segelintir kecil pendokong diktator itu sahaja.

Mengambil kira keadaan politik dalaman parti PKR dan arah haluan politik negara pasca pilihanraya umum mendatang, ditambah dengan kemungkinan 99.9% pemenjaraan Anwar Ibrahim akibat kes sodomi 2, maka amat perlu Angkatan Muda PKR untuk dipimpin oleh seorang yang punya wibawa sekeras, sekemas dan setegas Cikgu Badrul. Sementara pencabarnya, Syamsul Iskandar seharusnya telah pergi ke peringkat Naib Presiden, yang lebih bersesuaian dengan imej dirinya. Apakan daya, Syamsul ber'patah balik'.

Manakala Cikgu Badrul pula membawa romantisisme Che Guevara, dengan singkatannya Chegu Bard. Ini sekaligus merapatkan dirinya dengan anak-anak muda yang juga sukakan Che Guevara. Cikgu Badrul semakin dekat dan akan tambah akrab bersama anak muda, sesuai kedudukan politiknya nanti, jika dia dapat menang jawatan Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat.

Keadaan dalam Pakatan, terutamanya PKR dalam jangka waktu kemenangan Pakatan Rakyat menjelang, semasa dan selepas Pilihanraya Umum Mac 2008, Anwar Ibrahim di Permatang Pauh pada Ogos 2008 telah menyaksikan secara tiba-tiba berbondong-bondong kemasukan ahli-ahli baru yang 'mendakwa' membawa kemenangan kepada parti itu. Mereka ini, termasuklah ramai 'rakan-rakan' Anwar yang telah meninggalkan perjuangannya bersama Anwar, sewaktu Anwar ke penjara dulu. Dalam jangka waktu setelah Mac 08 dan Ogos 08 itu, mereka ini kembali masuk menyerap ke dalam parti kerana tertarik dengan projek 16 September yang belum lagi menjadi kenyataan itu. PKR pula dengan senang dan baik hati mengalu-alukan golongan "kacang lupakan kulit" ini, malah ramai pula yang diberi kedudukan dan jawatan penting dalam parti. Terima kasih Anwar Ibrahim untuk itu. Pada perkiraan orang-orang ini tentulah gedung harta kekayaan di Putrajaya telah nampak seperti di depan mata. Namun perhitungan kira-kira politik golongan opurtunis 'gunting dalam lipatan' ini tersasar. Pak Lah letak jawatan berundur dan Najib naik berkuasa serta 16 September semakin jauh dari sasaran.

PKR dikatakan sedang berdepan dengan satu krisis kepimpinan pada pemilihan kali ini, begitulah yang cuba dipropagandakan. Biarpun krisis ini bukanlah konflik benar yang besar, tetapi media mega milik parti pemerintah akan cuba membentuk pandangan kununnya PKR sedang berkrisis. Para opurtunis penangguk di air keruh ini, akan keluar meninggalkan parti. Meskipun begitu, mereka ini hanyalah golongan kecil dalam parti, dengan bantuan media mega milik pemerintah, persepsi pendapat dan pandangan umum dapat dibentuk. Gelombang rekaan keluar parti dan menghentam PKR (Pakatan) ini akan lebih banyak lagi, semasa pilihanraya umum mendatang, agaknya.

Tetapi ujian paling besar sekali akan datang setelah pilihanraya umum ataupun setelah Anwar Ibrahim ke penjara. Pada waktu itu akan tumbuh subur banyak "enau di dalam belukar - PKR dan Pakatan - melepaskan pucuk masing-masing." Suka atau tidak, mahu atau tidak mahu, apapun yang terjadi kita mesti mengharunginya.

Kita telah maju kehadapan melaluinya sepanjang 12 tahun yang berlalu ini, kita tidak akan mampu untuk berpatah balik. Kita perlu jalan terus. Ya selagi ada 'kita' dan aku itu adalah kita-kita semua ini juga. Tak ada yang kekal selamanya. Siapapun Dr. Mahathir, Lee Kuan Yew, Pinochet, Mugabe, Suharto, Hun Sen, Marcos, Nero, Firaun. Mati itu pasti, ramai yang berbahagia atau menderita sambil melalui takdirnya. Perubahan itu adalah hukum keabadian - tetap dan kekal. Makanya, anak muda sepertiku memerlukan kepimpinan orang sesabar, sesedar dan seberani Cikgu Badrul untuk mengibarkan panji-panji perjuangan yang telah dilaungkan bersama bertahun-tahun lamanya. Tanpa ragu Cikgu Badrul telah, sedang dan diharapkan akan berterusan melaksanakan makna dari kata keramat R-E-F-O-R-M-A-S-I !!!

1 comment:

  1. perjuangan tidak kenal erti penat dan putus asa.ujian dan cabaran sentiasa mendatang.bila kaki melangkah ke dunia politik bersedialah mental,fizikal.ikhlaskan diri bkn krn pangkat dan kuasa tapi perjuangan menegakkan keadilan, kebenaran,menentang kezaliman.bila matlamat sebenar tersasar maka tunggulah akibatnya.....

    ReplyDelete