Showing posts with label politik sampah. Show all posts
Showing posts with label politik sampah. Show all posts

Sunday, June 21, 2009

aku+politik=sampah

dua puluh satu haribulan 6 tahun dua ribu sembilan, jalan ke hadapan masih kabur tak diketahui apa. dalam sunyi atas kertas membaca janji dan harapan, semuanya cantik molek, tetapi untuk memilih perlu dinilai amalannya. aku suka parti dalam ertikata pesta, keramaian, kenduri kendara beraya sakan, bahagia jalan bersama, berarak bergembira, tetapi aku tak suka parti politik. aku tak ada parti politik. aku tak berminat dgn politik dgn niat semata-mata hanya utk mendpt undi, menang pilihanraya - dan politik berhenti di atas kerusi kuasa. kita semua kena tahu apa yg diamal buat dgn jawatan kerusi kuasa itu.

politik itu ttg bagaimana kejadian aturan cara-cara hidup bermasyarakat itu disusun - apakah dgn memberi hak-hak asasi manusia dan kemerdekaan sejati; atau dgn merampas hak-hak rakyat jelata yg diperintah, menindas mereka dan memonopolikan kebenaran, memilikpunyakan HAK KE ATAS NYAWA rakyatnya ke pusat pemerintahan di tangan PENGUASA!

aku tak pernah menyokong seorg manusia bernama Anwar Ibrahim hanya kerana dia Anwar Ibrahim, yg dinilai amalan dan pengalamannya. tetapi aku menyokong dan bersimpati pd Anwar Ibrahim kerana walaupun dia dulu TPM, tapi akhirnya pusat Kekuasaan tetap juga merampas hak-hak asasnya sbg manusia, berulang2 kali, dan mungkin tidak lama lagi akan terjadi lagi; bayangkan pula nasib jutaan manusia di tanah air ini, yg bukan pernah jd TPM, yg pendapatan penghasilan hidupnya lebih rendah? org setinggi itu pun kena, org serendah kita dah mmg terhina. nasib org2 tak berkuasa spt aku, engkau, mereka dan kita semua.

spt yg pernah terjadi kpd dua bekas perdana menteri, Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman, mati sebagai ahli jawatankuasa penaja Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (HAKAM), yang menunggu selama 10 tahun utk didaftarkan sbg pertubuhan, berjuang di luar Pusat Kekuasaan Umno, biarpun suatu waktu PERNAH berada memerintah di sana, dgn sifat2 yg sama juga, akhirnya ditindas oleh sifat2, perkakas, alat2 dan cara yg sama dalam diri org lain pula.

samalah juga, aku membenci Dr.Mahathir, bukanlah kerana dia seorg MAMAK, darah keturunan India. Mamak dan darah keturunan India - tidak bermakna apa2 dalam menilai harkat kemanusiannya. Firaun, dibenci bukan kerana dia org Mesir tapi kerana sifat2 kezalimannya. kemuliaan dan kehinaan seseorg itu bukan pd keturunannya, kalau seorg peranakan Harry Lee Kuan Yew itu kejam bukan sbb dia seorg Cina. kekejaman tidak sama dgn keturunan.

jadi bila kita berckp ttg hak2 yg dirampas ini, sebenarnya kita semua merasainya. kita boleh seiring dgn Pakatan Rakyat, kerana gagasan molek Ketuanan Rakyat - mengangkat apa yg dialami dan diimpikan rakyat, keadilan dan hak-hak asas politik, ekonomi, sosial dan budaya. tapi kalau moleknya hanya pd manifesto, para pengundi akan terpaksa memikir dgn lebih dalam lagi. mujur kita ada parti pemerintah yg mengamalkan pemerintahan NEGARA POLIS alah Bodoh Nasional. sikap kukubesi dan kebodohan kerajaan cuba membudayakan kebodohan dalam masyarakat yg makin kurang kedunguannya, makin cerdik, makin bijak, makin banyak maklumat, ilmu dan pengetahuan tempatan dan sejagat (bhs Ing. global dan local, tak tahu pulak glokal tu apa?) akan senantiasa memberi talian hayat buat Pakatan Rakyat atau parti-parti bukan Umno-BN utk hidup bersama rakyat. kerana pilihan akhirnya dipusatkan kpd kuasa parti2 politik dan kerajaan.

simpati dokongan akhirnya akan disuakan buat golongan tertindas - bukan penindas, golongan yg lemah bukan yg kuat, tidak sokong kpd golongan berKUASA dan berpengaruh!

jadi parti2 dlm Pakatan, jgnlah sekali2 beramal utk menindas org lain. kerana semua org tahu, dah naik jelak meluat dgn kesetanan gerombolan umno, 52 tahun dah tak larat dah. tapi org belum tahu lg dgn kesetanan pemegang2 jawatan dlm Pakatan? kalau ada dlm Pakatan. tapi mustahil juga kalau dikatakan tak ada.

dulu, Pas meninggalkan Barisan Alternatif, terbarai sekejap cita2 reformasi. kehangatan tahun 1998-99 tinggal bara pd tahun 2004, tak padam cuma terpendam, org menjd ragu2, tak tentu arah, rinsa runsing mcm lekit mlengas peluh dan bahang cuaca yg panas. kemudian lepas Anwar Ibrahim dr penjara, entah macam mana bersatu balik parti2 yg dulu Barisan ALternatif. pilihanraya 2008, tak ada lawan 3-4 penjuru. satu lawan satu. masih terasa hangat semangat mac08, apakah Pakatan Rakyat juga akan mengalami nasib yg sama?

krisis2 sebegini mematangkan kefahaman aku ttg politik dan mungkin juga semua kita, org2 di luar lingkaran KUASA dan PENGARUH politik parti2 politik.

di tanah air ini, di mana2 di dunia juga, manusia, hak2 dan kepentingannya bukan hanya WUJUD di dalam parti2 politik sahaja. di tanah air ini, di mana2 jua di dunia hari ini, bukan hanya ada wujud sejenis organisasi kuasa bernama parti politik dan kerajaan semata-mata, WUJUD juga alam (termasuk hidupan tumbuhan, galian batu-batuan, haiwan, bintang2, komet, gunung berapi, laut, hutan, manusia dan jutaan cambah buah fikirannya) yg cukup luas, rumit, saling bertentangan, saling bergantungan, bermusuh bersaing memangsa atau hidup berkongsi bersama dalam berencam keragaman, kepelbagaian dan dlm masa yg sama cantum penyatuan. benar, kita belum pernah dapat WUJUD utk memilikpunyakan KETENTUAN.

tapi aku mengerti kemaafan itu lebih mulia dari dendam. biarpun disiksa, ditindas, dimusuhi, ditekan,disekat,dirampas hak-haknya, jika PAS memaafkan UMNO, itu lebih mulia dari PAS membunuh UMNO atas dosa2 masa lalunya pd PAS. kerana Pas tidak mengulang perlakuan yg ditentangnya selama ini. bagaimana pula dgn mereka yg mahu membunuh UMNO dan tidak dpt memaafkan kesalahan, kezaliman Umno atas dasar keadilan bukan dendam, mahu melihat keadilan dilaksanakan?

apakah dgn tidak menghukum bunuh kewujudan UMNO itu, PAS kena pulak menghukum haram, menghancurkan yg lain-lain, yg tidak disukai UMNO. kerana UMNO boleh jadi hanya suka pd PAS, tidak pada yg lain-lain yg bukan PAS - terlalu panjang senarainya. atau PAS bersma UMNO dan bersama dgn yg lain-lain juga - macam mana, apa akan jadi?

tidak, aku bukan KEBENARAN, apa engkau mahu mengaku diri sbg KEBENARAN?



Thursday, June 4, 2009

Tiananmen

hari ini 4 Jun, kita mengenang jiwa2 yg terkorban di Dataran Tiananmen:
tapi kita juga perlu berjujur, di mana-mana berontak perjuangan anak muda mahasiswa selalu dibalas dgn kekejaman NEGARA. seperti juga pembunuhan beramai-ramai mahasiswa Universiti Kent State, Ohio, USA pada 4 Mei 1970, yg membantah perang dan penjajahan Amerika Syarikat (A.S). demonstrasi ini khususnya sebagai tindak balas kenyataan Presiden Nixon, yang mahu menceroboh Kemboja. Tentera A.S -Ohio National Guard menembak sebanyak 67 kali dalam masa 13 saat, membunuh empat org mahasiswa dan mencederakan sembilan yg lain, seorg menderita lumpuh:

Wednesday, May 13, 2009

13 Mei dan Cina


Mengapa orang-orang Melayu (terutamanya orang-orang Umno) terlalu sensitif, prejudis dan bencikan orang-orang Cina (rakyat Malaysia)? Sejak bila prejudis dan kebencian ini benar2 timbul serta menajam? Sejauh mana benar ada benci di hati setiap rakyat Malaysia berbilang kaum?

Kisah berbunuh-bunuh antara kaum memang telah tertulis dalam sejarah hitam perjalanan rupa bangsa yang bernama Malaysia ini. Tetapi amat sukar untuk mengelakkan pengaruh penjajah Inggeris dalam melaga-lagakan keharmonian rakyat berbilang kaum ditanah air ini yang memiliki sejarah panjang. Sejarah yang wujud lebih awal sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 lagi.

Menurut hikayat Sejarah Melayu, karangan penulis istana abad ke 17, Tun Seri Lanang,di zaman Kesultanan Melayu Melaka, Parameswara meminta bantuan China untuk melindungi dari serangan Siam. Diceriterakan juga, pada zaman dinasti Ming, Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po, puteri Maharaja Yongle. Sebuah bukit di Melaka diberi nama Bukit Cina oleh Sultan Mansur dan kekal ada sehingga ke hari ini.

Kemudian, pada zaman separuh penjajahan –atau pendudukan tidak langsung – Inggeris di negara China, tertulis amaran di pintu masuk taman-taman riadah di kawasan milikan Inggeris di Shanghai, "No Dogs Or Chinese Allowed." Anjing dan orang-orang Cina tidak dibenarkan masuk. Sikap rasisme kulit putih penjajah Inggeris inilah yang kuat mempengaruhi pemikiran Umno hari ini. Lawaknya, orang-orang Melayu mana boleh menjadi budak skinhead di England.

Dalam sejarah moden Malaysia, ada dua peristiwa besar yang menjadi api membakar serta batu yang melaga-lagakan kebencian antara kaum Melayu dan Cina. Namun demikian, tulisan ini cuba melihat faktor keuntungan politik akibat peristiwa ngeri pergaduhan antara kaum ini.

Pertama, peristiwa pendudukan Jepun. Latar Perang China-Jepun dan kesannya ke atas rakyat tempatan berketurunan Cina perlu diambil kira. Pada tahun1945, dalam masa lebih kurang dua minggu tentera Jepun menyerah kalah itu terjadi huru hara di Malaya. Ia suatu keadaan yang amat diperlukan penjajah Inggeris dan juga tentera Jepun. Tentera Jepun mahu memusnahkan kemudahan, pelaburan dan hartanah Malaya, agar Inggeris kembali dengan kesulitan. Manakala Inggeris memerlukan suasana huru-hara itu untuk kembali berkuasa. Apatah lagi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) waktu itu, Lai Tek merupakan seorang agen perisik Inggeris. PKM semasa pendudukan Jepun berpakat dengan pasukan Force 136 Inggeris dalam MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army) melancarkan perang gerliya anti Fasis Jepun di Malaya. Maka boleh dikatakan peristiwa kejadian berbunuhan antara kaum Melayu dan Cina yang terjadi pada waktu dicetuskan pengaruh provokasi strategik Inggeris untuk kembali berkuasa menjajah Malaya selepas perang dunia kedua. Siapa yang mendapat untung daripada peristiwa ini? Orang Cina yang dibunuh? Orang Melayu yang terbunuh? Atau rumah-rumah kampung Cina/Melayu yang terbakar? Pastilah pihak yang paling beruntung sekali daripada malapetaka huru hara dan persengketaan antara kaum ini adalah penjajah Inggeris yang berjaya kembali ke Malaya dalam Pentadbiran Tentera British.

Kedua, peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini berlatarbelakangkan pemenjaraan hampir kesemua para pemimpin –termasuk ahli parlimen, Adun, ahli PBT – dan aktivis peringkat pertengahan dari kalangan Barisan Sosialis (gabungan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh). Pada Pilihanraya Terakhir Majlis-majlis Tempatan Malaya 1964, Barisan Sosialis menyapu bersih hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan. Kesannya, setelah itu tiada lagi pilihanraya majlis tempatan. Maka datuk bandar atau Yang dipertua majlis tidak lagi dipilih, tapi dilantik. Oleh kerana hampir kesemua pemimpin Barisan Sosialis (BS) dipenjara tanpa bicara dibawah ISA, maka BS memboikot pilihanraya umum 1969. Perikatan (gabungan Umno, MIC, MCA) kalah pilihanraya. Majoriti dua pertiga pecah. Selangor gugur ke tangan DAP, biarpun DAP baru muncul menetas sebagai parti pembangkang pada waktu itu sebagai telur yang ditinggalkan PAP Singapura setelah keluar dari Malaysia. DAP menjadi juara setelah BS memboikot pilihanraya umum 1964. Dalam latar inilah tercetusnya 13 Mei 1969. Siapakah yang rugi atas peristiwa berdarah 13 Mei ini, siapa pula yang untung? Apakah rakyat Malaysia, yang berketurunan Melayu merasa amat beruntung? Apakah rakyat Malaysia berketurunan Cina yang untung? Apakah Barisan Sosialis yang untung? Apakah DAP yang untung? Atau parti-parti United Malay National Organization (Umno), MCA, MIC dalam gabungan Perikatan yang mencuri nama Barisan daripada Barisan Sosialis dan bertukar nama kepada Barisan Nasional?

13 Mei adalah pelajaran sejarah betapa persengketaan, berbunuhan, bergaduhan antara sesama rakyat yang berbeza kaum atau agama tidak akan memberi keuntungan kepada rakyat itu sendiri. 13 Mei menguntungkan Umno, MIC, MCA untuk terus merompak Malaysia sehingga ke hari ini dengan nama kunun Barisan Nasional.

Kini, tidak ada ruang untuk kebencian antara kaum. 13 Mei tidak boleh berulang sekali lagi. Buktinya Umno, amat menyayangi orang-orang Cina. Gunung tanah tinggi Genting diberi kepada Lim Goh Tong. Bukit dan gua batu kapur Padang Rengas diberi kepada YTL Francis Yeoh. Pulau Pangkor Laut diberi kepada Vincent Tan. Pas juga menyayangi orang-orang Cina. Di Perak, tak lama dulu Nizar memberikan geran tanah kepada para penduduk perkampungan nelayan di Kuala Sepetang, yang telah duduk di situ sejak era Gee Hin-Hai San, 4 ke 5 generasi yang lalu. Kalau adapun ruang kebencian mungkin antara kelas ekonomi orang2 seperti Vincent Tan, Goh Tong, Francis Yeoh dengan orang2 Cina nelayan di Kuala Sepetang itu juga.


p/s Imej CCD Google dari filem Bruce Lee, "Fist of Fury"

Monday, May 11, 2009

Negara



Negara yang baik itu adalah sebuah negara yang demokratik, menghormati hak asasi manusia, tidak rasuah dan merompak, sebaliknya mengagihkan kekayaan dengan adil, aman sejahtera menolak kezaliman, kekejaman dan perilaku kekerasan terhadap rakyatnya sendiri.

Sebuah republik belum tentu dapat menjanjikan keadilan. Seperti juga sebuah kesultanan itu juga belum tentu dapat menjanjikan hak-hak asasi manusia yang secukupnya. Yang ada cuma dua bentuk kaedah menyusun atur cara-cara hidup bermasyarakat. Memerintah dengan kejam, kuku besi, zalim dan autokratik. Ataupun memerintah dengan adil, saksama, cinta damai, sejahtera dan demokratik.

Kesultanan berparlimen seperti di Inggeris berubah, berkembang dan menjadi demokratik. Di Inggeris, Parti Buruh atau Parti Konservatif, boleh selang-seli memerintah atas undian pilihan rakyat. Manakala sebuah Republik Islam Sudan pula menjadi autokratik, melanggar hak-hak asasi manusia. Misalnya ada penahanan tanpa bicara, atau kehakiman tidak adil, sama juga yang pernah terjadi di republik Soviet, atau di Amerika Syarikat juga (yang ngaku juara demokrasi dunia).

Buat aku negara hanyalah tulang-tulang rangka besi konkrit, kota, sempadan, kuasa senjata –undang-undang, penjara,polis, tentera – mengawal segala perkakas, alat-alat pengeluaran hasil manusia. Jadi negara itu perkakas untuk apa atau untuk siapa?

“Mereka sudah di pertengahan jalan ke arah negara republik, adakah kita mahu merelakannya?” Begitu tajam hasutan Awang Selamat di Mingguan Malaysia. Kita tahu tujuan kata dalam ayat-ayat sampah propaganda.


Imej CCD Google

Friday, May 8, 2009

Art Brut



Pembebasan Rakyat (PeRak) berdepan dengan sandiwara kuasa yang ganas. Brutal!
gambarCCD Mkini.

Thursday, May 7, 2009

PERAK:Pembebasan Rakyat

Aku di Ipoh sejak pagi tadi. Sampai dengan keretapi subuh.

Bermain kejar2, "polis sentri one two jaga, polis mati pencuri kaya." Pohon Ipoh, getahnya beracun. Hari ini demokrasi telah mati. Yg ada hanyalah demo KERASi. Hari tu dua MB, kini dua Speaker pula. Berkali kali Zambri kemuka usul tak percaya, berkali-kali juga ususl ditolak Speaker Siakumar. Lebih 50 orang telah ditahan, kebanyakannya disebabkan memakai baju hitam.

Mulai hari ini, Perak bukan hanya logam. Perak adalah Pembebasan Rakyat dari penindasan yang terang dan nyata - jangan buat2 tak nampak!

Wednesday, May 6, 2009

7 mei hari hitam di perak





Perak, 7 mei 2009. gelap hanya hitam. keretakan di mana-mana arang hangus atau ribut langit mendung tak berbintang, dan bulan kehilangan cahaya. malam tadi 14 orang lagi ditahan kerana kebersamaan pada tahanan.

Solidariti Tahanan2 Politik, mlm ini di Dataran Merdeka



SS mendapat maklumat 8 Malam ini (6 mei 2009) akan diadakan acara membakar lilin. Tindakan ini sebagai membantah penangkapan 7 0rang aktivis politik dan menunjukkan rasa kebersamaan (solidariti) kita terhadap perjuangan mereka.

Mereka yang ditahan:

1. Wong Chin Huat, penggiat BERSIH, tadi malam direman dibawah Akta Hasutan
2. 5 orang dari Kumpulan Solidariti Anak Muda Malaysia, pimpinan Cikgu Badrul, disebabkan seni tampak pertunjukan - performance art sambutan dan Kek Hari jadi Altantuya jam 11 pagi tadi. Belum tahu atas Akta apa.
3. Terbaru Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, ditahan ketika sedang makan di restoran. Belum tahu Akta apa diguna untuk penahanannya.

Bawa lilin ke Dataran Merdeka,KL pd. 8 malam ini. Cahaya untuk para pejuang.

Memang benar, membakar lilin hanyalah tindakan keseharian yang biasa. Dalam konteks seni politik sampah, membakar lilin solidariti boleh menjadi performance art dan dalam masa yang sama menjadi suatu tindakan seni politik jalanan.

Apa2, Siapa2, Mana2, Bila2 boleh menjadi SENI SAMPAH!!!!Untuk kefahaman lanjut tentang seni sampah atau performance art boleh rujuk laman seni maju UBU.com.

Tuesday, May 5, 2009

Jurucakap BERSIH ditangkap



Jurucakap Bersih, Wong Chin Huat ditahan polis pada malam ini, di rumahnya, dibawah Akta Hasutan.

Sunday, May 3, 2009