Wednesday, May 13, 2009

13 Mei dan Cina


Mengapa orang-orang Melayu (terutamanya orang-orang Umno) terlalu sensitif, prejudis dan bencikan orang-orang Cina (rakyat Malaysia)? Sejak bila prejudis dan kebencian ini benar2 timbul serta menajam? Sejauh mana benar ada benci di hati setiap rakyat Malaysia berbilang kaum?

Kisah berbunuh-bunuh antara kaum memang telah tertulis dalam sejarah hitam perjalanan rupa bangsa yang bernama Malaysia ini. Tetapi amat sukar untuk mengelakkan pengaruh penjajah Inggeris dalam melaga-lagakan keharmonian rakyat berbilang kaum ditanah air ini yang memiliki sejarah panjang. Sejarah yang wujud lebih awal sebelum Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 lagi.

Menurut hikayat Sejarah Melayu, karangan penulis istana abad ke 17, Tun Seri Lanang,di zaman Kesultanan Melayu Melaka, Parameswara meminta bantuan China untuk melindungi dari serangan Siam. Diceriterakan juga, pada zaman dinasti Ming, Sultan Mansur Syah berkahwin dengan Puteri Hang Li Po, puteri Maharaja Yongle. Sebuah bukit di Melaka diberi nama Bukit Cina oleh Sultan Mansur dan kekal ada sehingga ke hari ini.

Kemudian, pada zaman separuh penjajahan –atau pendudukan tidak langsung – Inggeris di negara China, tertulis amaran di pintu masuk taman-taman riadah di kawasan milikan Inggeris di Shanghai, "No Dogs Or Chinese Allowed." Anjing dan orang-orang Cina tidak dibenarkan masuk. Sikap rasisme kulit putih penjajah Inggeris inilah yang kuat mempengaruhi pemikiran Umno hari ini. Lawaknya, orang-orang Melayu mana boleh menjadi budak skinhead di England.

Dalam sejarah moden Malaysia, ada dua peristiwa besar yang menjadi api membakar serta batu yang melaga-lagakan kebencian antara kaum Melayu dan Cina. Namun demikian, tulisan ini cuba melihat faktor keuntungan politik akibat peristiwa ngeri pergaduhan antara kaum ini.

Pertama, peristiwa pendudukan Jepun. Latar Perang China-Jepun dan kesannya ke atas rakyat tempatan berketurunan Cina perlu diambil kira. Pada tahun1945, dalam masa lebih kurang dua minggu tentera Jepun menyerah kalah itu terjadi huru hara di Malaya. Ia suatu keadaan yang amat diperlukan penjajah Inggeris dan juga tentera Jepun. Tentera Jepun mahu memusnahkan kemudahan, pelaburan dan hartanah Malaya, agar Inggeris kembali dengan kesulitan. Manakala Inggeris memerlukan suasana huru-hara itu untuk kembali berkuasa. Apatah lagi Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) waktu itu, Lai Tek merupakan seorang agen perisik Inggeris. PKM semasa pendudukan Jepun berpakat dengan pasukan Force 136 Inggeris dalam MPAJA (Malayan People Anti-Japanese Army) melancarkan perang gerliya anti Fasis Jepun di Malaya. Maka boleh dikatakan peristiwa kejadian berbunuhan antara kaum Melayu dan Cina yang terjadi pada waktu dicetuskan pengaruh provokasi strategik Inggeris untuk kembali berkuasa menjajah Malaya selepas perang dunia kedua. Siapa yang mendapat untung daripada peristiwa ini? Orang Cina yang dibunuh? Orang Melayu yang terbunuh? Atau rumah-rumah kampung Cina/Melayu yang terbakar? Pastilah pihak yang paling beruntung sekali daripada malapetaka huru hara dan persengketaan antara kaum ini adalah penjajah Inggeris yang berjaya kembali ke Malaya dalam Pentadbiran Tentera British.

Kedua, peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa ini berlatarbelakangkan pemenjaraan hampir kesemua para pemimpin –termasuk ahli parlimen, Adun, ahli PBT – dan aktivis peringkat pertengahan dari kalangan Barisan Sosialis (gabungan Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh). Pada Pilihanraya Terakhir Majlis-majlis Tempatan Malaya 1964, Barisan Sosialis menyapu bersih hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan. Kesannya, setelah itu tiada lagi pilihanraya majlis tempatan. Maka datuk bandar atau Yang dipertua majlis tidak lagi dipilih, tapi dilantik. Oleh kerana hampir kesemua pemimpin Barisan Sosialis (BS) dipenjara tanpa bicara dibawah ISA, maka BS memboikot pilihanraya umum 1969. Perikatan (gabungan Umno, MIC, MCA) kalah pilihanraya. Majoriti dua pertiga pecah. Selangor gugur ke tangan DAP, biarpun DAP baru muncul menetas sebagai parti pembangkang pada waktu itu sebagai telur yang ditinggalkan PAP Singapura setelah keluar dari Malaysia. DAP menjadi juara setelah BS memboikot pilihanraya umum 1964. Dalam latar inilah tercetusnya 13 Mei 1969. Siapakah yang rugi atas peristiwa berdarah 13 Mei ini, siapa pula yang untung? Apakah rakyat Malaysia, yang berketurunan Melayu merasa amat beruntung? Apakah rakyat Malaysia berketurunan Cina yang untung? Apakah Barisan Sosialis yang untung? Apakah DAP yang untung? Atau parti-parti United Malay National Organization (Umno), MCA, MIC dalam gabungan Perikatan yang mencuri nama Barisan daripada Barisan Sosialis dan bertukar nama kepada Barisan Nasional?

13 Mei adalah pelajaran sejarah betapa persengketaan, berbunuhan, bergaduhan antara sesama rakyat yang berbeza kaum atau agama tidak akan memberi keuntungan kepada rakyat itu sendiri. 13 Mei menguntungkan Umno, MIC, MCA untuk terus merompak Malaysia sehingga ke hari ini dengan nama kunun Barisan Nasional.

Kini, tidak ada ruang untuk kebencian antara kaum. 13 Mei tidak boleh berulang sekali lagi. Buktinya Umno, amat menyayangi orang-orang Cina. Gunung tanah tinggi Genting diberi kepada Lim Goh Tong. Bukit dan gua batu kapur Padang Rengas diberi kepada YTL Francis Yeoh. Pulau Pangkor Laut diberi kepada Vincent Tan. Pas juga menyayangi orang-orang Cina. Di Perak, tak lama dulu Nizar memberikan geran tanah kepada para penduduk perkampungan nelayan di Kuala Sepetang, yang telah duduk di situ sejak era Gee Hin-Hai San, 4 ke 5 generasi yang lalu. Kalau adapun ruang kebencian mungkin antara kelas ekonomi orang2 seperti Vincent Tan, Goh Tong, Francis Yeoh dengan orang2 Cina nelayan di Kuala Sepetang itu juga.


p/s Imej CCD Google dari filem Bruce Lee, "Fist of Fury"

8 comments:

  1. orang melayu tidak ingat.
    orang cina juga.
    sama-sama lupa.

    ReplyDelete
  2. sejarah indah. kadang2 memang betul2 terjadi, kadang2 direka dan kadang2 dibesar2kan. semuanya untuk menyedapkan cerita. penulis sejarah pun ada yang syok sendiri. dikuasai sentimen diri sendiri dan ada yang 'menutup' terus kebenaran demi memuaskan rasa dalam diri; dendam, marah, benci mahupun kasih dan sayang...

    kita yang hidup di 'zaman' ini, kita tulis sejarah ikut kebenaran hakiki. bukan mengikut hati dan bukan mengikut akal. mata ada dua. mari kita gunakan kedua-duanya. kadang2 mata kiri mahu menoleh sedangkan mata kanan degil mahu berdiam.

    susah... hanya kalau kita kata.

    :)

    love ur writings and love ur locks!

    ReplyDelete
  3. kata Milan Kundera, perjuangan melawan kekerasan itu adalah perjuangan melawan lupa.

    benar...susah kalau hanya kita yang kata...tapi sekadar membayangkan...mengimpikan..apa kata kita itu akhirnya menjadi semua orang...kadang2 cukuplah kalau itu hanya angan2 kita

    ReplyDelete
  4. rahmat haron...tiga, empat malah mungkin lebih sepuluh kali nama ini terpamer didada blog SSP... aku jelik..sakit hati dengan keadaan itu...tidak, aku tidak kenal rahmat haron, dan kerana itu aku jelik, mua dan sakit hati...kerana aku tidak dapat melibatkan diri didalam cecehan dan bebelan rakan-rakan yang lain... aku biarkan dulu ego ini mengambil tempatnya...tapi aku tidak boleh tidak resah...'siapa rahmat haron boi?'.dan seperti jangkaan, tag line memekan aku akan memulakan bicara jawapan dia,'kau, penulisan tak melambangkan penulis tapi rahmat haron ori beb'...cis...rahmat haron lagi...ini tak membantu!nah disinilah duduknya aku selepas jawapan sundal pendek sahabat aku... dan iya, kau adalah origin of species...kau berlaku selayaknya kau tanpa ada penutupan... aku kagum dan semakin mengerti perkataan 'pseudo' yang selalu sinonim kepada diri aku... dan tekad aku ; akan aku lancang sundalkan hidup aku dengan lebih warna-warna realistik... syabas rahmat haron * sambil tangan menunjukkan tanda 'gong xi' *

    ReplyDelete
  5. sampah yg boleh dikitar semulaMay 14, 2009 at 5:31 PM

    sejarah itu rekonstruksi masa lalu..

    wahahahahaha..

    sial.

    hidup bukan seharusnya begini!

    ReplyDelete
  6. aku masih budak,terdidik dengan buku teks sejarah dalam dunia pendidikan. sejarah sentiasa jujur jika tiada pembohongan fakta!! mybe dalam buku teks adalah hanya propaganda yg tersembunyi dan mempunyai objektif tertentu!setelah dewasa ,aku mula ingin mngetahui apa yang berlaku sebenarnya disebalik peristiwa 13mei itu.Namun semuanya kabur..hari ini aku baca sampahseni(rahmat haron),jadi terungkai juga akhirnya persoalan aku selama ini..
    terima kasih,rahmat haron!

    ReplyDelete
  7. hello bro!! wa..salute lu..fakta yg menarik utk di kongsi bersama..bongkar dan terus bongkar..,terjah dan terus terjah sampai ke akar umbi nya ,jangan takut berkata benar.....benar tetap benar ,walau di sembunyikan kebenaran itu...akhirnya ia akan muncul juga..haribaaaaaa handeleeeee

    ReplyDelete