Friday, January 29, 2010

Howard Zinn: saat keretapi sedang bergerak, janganlah tak berpihak

Aku menerima sms dari Poodien (klik sini), Howard Zin, sejarawan Universiti Boston, aktivis politik kiri Amerika Syarikat (A.S) telahpun meninggal dunia pada 27 Januari yang lalu.

Zinn dikenali sebagai antara orang terawal yang menentang perang Vietnam. Dia seorang sejarawan yang sentiasa mencabar status quo. Bukunya, A people history of United States of America melihat sejarah A.S dari sudut kiri. Zinn menganggap Christopher Columbus dan gerombolannya itu telah melakukan genocide (pembunuhan yang melenyapkan suatu bangsa atau kaum). Sejarah A.S menurut Zinn adalah sejarah orang-orang kecil, bukannya sejarah para presidennya dari Andrew Jackson hinggalah ke Franklin Rooseevelt. Zinn melihat sejarah A.S sebagai sejarah perlawanan perhambaan, hak orang asal Red Indian, watak-watak kaum buruh, gerakan hak2 sivil dan politik warga A.S, feminis dan wira2 perlawanan anti perang.

Zinn, seorang Yahudi yang jelas pendirian Anti Israel dan Anti Zionisnya. Sebab itulah kita di Malaysia ini tidak boleh melihat konflik Palestin dan Israel sebagai konflik bangsa Arab dan Yahudi atau perseteruan Islam dan bukan Islam.

Hampir keseluruhan karya2 akademiknya, wawancara, tulisan atau syarahannya (nak tahu lebih lanjut sila google) mengkritik pentabiran A.S sebagai empayar, industri perang Amerika dan dasar imperialisme A.S sejak dari Vietnam, Panama, Granada, Palestin hinggalah ke Afghanistan dan Iraq.

Howard Zinn meninggal dunia dalam usia 87 tahun.

"Even when we don't "win," there is fun and fulfillment in the fact that we have been involved, with other good people, in something worthwhile. We need hope. .....To be hopeful in bad times is not just foolishly romantic. It is based on the fact that human history is a history not only of cruelty but also of compassion, sacrifice, courage, kindness."

(The Optimism of Uncertainty By Howard Zinn, September 2, 2004)

"Meski kita tidak 'menang,' kita masih punya ria kegembiraan dan hasrat yang terkabul, pada hakikatnya kita telah bersama-sama dengan orang2 baik lainnya, melakukan sesuatu yang cukup bermakna. Kita perlukan harapan. Untuk memiliki harapan pada waktu sebegini teruk, bukanlah hanya sekadar romantika tolol. Ia berasaskan fakta sejarah bahawa sejarah manusia bukanlah hanya sejarah kekejaman tetapi juga sejarah belas kasihan, pengorbanan, keberanian dan mulia kebaikan."

[ini kata2 Howard Zinn yang mengingatkan aku pada ungkapan intelektual Indonesia Arief Budiman (sila google), "when you fight, you must have fun, because if u lose at least you have fun." - kalau berjuang mestilah ria bergembira, kerana kalau kalah paling kurang merasa riang ria.]

ss: petikan kata2 dlm bahasa Inggeris diterjemahkan secara sembarangan oleh aku.

Kartun Terbaru Zunar dirampas KDN, sekali lagi





Kenyataan akhbar Zunar:


Polis dan KDN petang tadi (semalam, 28 Januari) merampas buku saya '1 Funny Malaysia' di kedai buku Popular di Penang dan Melaka. Rampasan dibuat di saat buku terbaru "Isu Dalam Kartun" menemui pembaca

**************************************

SAYA dengan ini mengumumkan penerbitan komik "Isu Dalam Kartun (IDK)", sebuah majalah kartun satira yang mengupas isu-isu semasa secara santai.Seperti "Gedung Kartun" dan "Perak Darul Kartun", IDK sarat dengan karya-karya kartun dengan kritikan pedas terhadap isu seperti kes kehilangan enjit jet, penggunaan perkataan Allah, rasuah, GST, tol dan sebagainya.Selain itu, dalam keluaran ini saya dan pasukan kartunis mempersembahkan dua cerita satira utama iaitu "Sumpah di Bumi Komisen" dan "Dari PD ke Mongoria"."Sumpah di Bumi Komisen" adalah sebuah cerita fantasi di negeri antah berantah dibawah pemerintahan Datuk Komis dan isterinya Nek Mah. Datuk Komis dikatakan mempunyai hubungan cinta secara sulit dengan seorang gadis yang berasal dari Ular Batok, Antootuya. Malangnya Antootuya dibunuh di Puncak Segala Alam. Cerita menjadi gawat apabila negeri itu dilawati hantu jelmaan Antootuya. Kartunis Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad) dan Lan (Azlan Isa) berpadu tenaga merelisasikan lukisan cerita yang memenuhi 29 muka surat ini diatas kertas, sementara skrip digarap oleh saya sendiri dan Ronasina (Apandi Ramli) yang bertindak sebagai Editor.Manakala "Dari PD ke Mongoria" juga cerita rekaan mengisahkan bagaimana operasi sulit yang dilakukan oleh pemerintah sebuah negeri, Menteri Kecik untuk menyelamatkan sepasang kekasih yang tertangkap basah di sebuah hotel di selatan tanah air. Ia dilukis oleh kartunis Oly (Olihairi Othman).Kartunis Enot (Zainal Misran) pula mengemukakan tujuh teori dari perspektif beliau sendiri mengenai kehilangan enjit jet dan pihak yang mencurinya. Enot juga meneruskan karyanya bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus. Kartunis Haili (Nor Halim) pula mengkritik pihak yang mempertahankan perkataan Allah dan dalam masa yang sama melakukan korupsi serta salah guna kuasa. Beliau juga mengulas isu isteri pembesar yang membazir jutaan ringgit untuk membeli-belah diluar negara.Hishamuddin Rais meneruskan kisah satira popular "Riwayat Jantan Takubin" sementara Rahmat Haron menyambung nukilan bersiri "Bercakap Dengan Puaka." Pyan Habib menyingkap di sebalik tabir kontroversi majalah Gedung Kartun dalam kolumnya “Racau.” Peguam Puspa Ros memberi informasi kesedaran rakyat tentang hak-hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.



Saya juga suka mengumumkan bahawa "Isu Dalam Kartun" adalah sebuah majalah yang mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (PP16565/12/2010(026185)). IDK mempunyai ketebalan 84 muka surat ermasuk kulit dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah. Cetakan pertama adalah sebanyak 15, 000 naskhah dan akan diedarkan ke seluruh negara.

Ia juga boleh dibeli secara online melalui website cartoonkafe.com atau berhubung terus dengan pejabat saya 03-22744931.

Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada hari Sabtu 30 Januari jam 5 petang di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. Majlis ini terbuka kepada semua.

ZunarPengarah Urusan/Ketua Pengarang
Sepakat Efektif sdn bhd
28 Januari 2010

Thursday, January 28, 2010

SS No 21: Haiii Bro dan lhoh bro

haiii bro,
apa khabar?
haiii bro,
apa cerita?
haiii bro,
apa cerittt?
haiii bro,
apa macam?
haiii bro,
amacam?
haiii bro,
apa bikin?
haiii bro,
apa buat?
haiii bro,
awat?
haiii bro,
apa hal?
haiii bro,
apa ada hal?
haiii bro,
apa benda?
haiii bro,
amende?
haiii bro,
apa ni?

lhoh bro, apa-apa lah....

Sabtu ini - sampah seni di readings@seksan - jemput datang


“Readings” is celebrating its fifth anniversary.
Please help us celebrate!
Date: Saturday 30th January, 2010
Time: 3.30pm
Place: Seksan's, 67, Jalan Tempinis Satu, Lucky Garden, Bangsar (Map)
The readers for this month are:
Bernice Chauly
O Thiam Chin
Kam Raslan
Jo Kukathas
Rahmat Harun
Elaine Foster
Admission free and everyone very welcome. Please pass on the invitation to anyone else you think might be interested.
(For enquiries contact Sharon (klik sini) 017-2644956, sharonbakar@yahoo.com

Sunday, January 24, 2010

Palestin dan Beautiful Loser: "Jika bangkit melawan gagal, gagal membibit hemah."

"Jika bukit menjadi gunung,

gunung menyuburi rimba,

jika sakit mendorong menung,

menung merangsang dewasa,

lorong hidup banyak cabarnya,

landas hidup banyak tuahnya,

jika rakit menjadi kapal,

kapal meningkat bahtera,

jika bangkit melawan gagal,

gagal membibit hemah,

lorong hidup banyak cabarnya,

landas hidup banyak tuahnya."

(sajak Jika, karya A. Samad Said, dari antologi Rindu Ibu)

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Palestina, sepanjang sejarah perjuangan rakyatnya melawan israel dalam memerdekakan tanah air mereka, belum pernah berdepan dengan pergeseran sesama sendiri, sehebat sekarang ini, hinggakan sanggup berbunuhan. Begitulah kurang lebih penjelasan komrad Salah Al-Salah dari Barisan Pembebasan Rakyat Palestin (klik sini), tadi malam di rumah Gerak Budaya, saat dirinya seorang lelaki seusia 73 tahun, menjelaskan pertentangan semasa antara PLO (Al-Fatah) dan Hamas.

biarpun dirinya sudah bercucu, kini Salah Al-Salah tetap bersemangat berkhidmat dalam jawatankuasa pelarian rakyat Palestin. Salah menjelaskan, ribuan tahun lamanya, rakyat Palestin telah hidup bersama, tak mengira agama, suku, keturunan, bangsa. Malah dalam sejarah percubaan mematahkan perlawanan rakyat Palestin sejak pemerintahan Mandat Inggeris lagi (dengan dasar pecah dan perintahnya)perbezaan - pergeseran - pertentangan sesama barisan rakyat Palestin melawan zionis israel, belum pernah menciptakan keadaan permusuhan sesama rakyat Palestin sehebat ini. Biarpun di zaman Mandat Inggeris lagi, zionis israel telah mencuba memecah belahkan perlawanan rakyat Palestin dengan jahatnya menanamkan bibit permusuhan di antara orang2 kota dan org2 desa atau di antara penganut Kristian dan Islam Palestin. namun ianya tidak pernah berhasil. meskipun benar, di mana-manapun wujud perbezaan cara tindakan, atau pergeseran idea taktik strategi, namun sebelum ini kontradiksi dapat diselesaikan tanpa memecahkan kekuatan perlawanan rakyat Palestin, seperti yang sedang terjadi, Hamas dan Fatah saling berbunuhan.

tapi begitulah perjalanan sejarah manusia yang tidak habis-habis dengan dialektika, pertentangan, baik buruk, hitam putih, yin yang, hubungan-hubungan dua (atau jutaan-bilionan-mega-giga) unsur yang saling berlawanan, menghasilkan unsur-unsur kebaharuan sementara, meneruskan sejarah hinggalah titik tamat kewujudan alam - yang terlalu jauh di luar batas pengetahuan manusia.

ya sejarah manusia dan peradabannya, menurut Karl Marx adalah sejarah perjuangan kelas, tetapi ia juga adalah sejarah pengkhianatan, begitu kata2 cukup lantang Hishamudin Rais bersuara memulakan huraiannya tentang perjuangan rakyat Palestin. Selain tamu jemputan Komrad Salah Al-Salah, forum anjuran MSRI (klik sini)itu juga turut menampilkan Hisham sebagai pembicaranya. Hisham pernah ke Beirut dalam Perang Saudara di Lebanon, pada perjalanan pelariannya di tahun-tahun romantika anak muda revolusioner 1970 an, ikut bersama dengan PLO menentang kekejaman puak Kristian kanan Falangis dan zionis Israel.

mungkin juga lebih tepat dalam menghuraikan sejarah perjuangan perlawanan rakyat tertindas adalah sejarah pengkhianatan. pengkhianatan kepimpinan perjuangan rakyat yang akhirnya mematahkan, melumpuh, menyusahkan atau di titik-titik tertentu menghancurkan satu-satu gerakan rakyat itu.

Kelihatannya komrad Salah Al Salah berkongsi pandangan dengan Hisham, bahawa PLO, Al-Fatah dan Yaser Arafat telah mengkhianati perjuangan rakyat Palestin dengan meletakkan senjata Al-Fatah dan akhirnya menandatangani perjanjian Oslo.

Hisham juga (tak perlulah pulak nak diterangkan siapa mamat ni) memandang persamaan suasana dan keadaan sejarah penindasan dan perlawanan rakyat di Palestin dan Malaysia. Persamaan yang berpunca dari orang2 yang sama juga (pegawai penjajah Inggeris) yang pernah bertugas pada zaman pemerintahan Mandat Inggeris di Palestin, dengan memainkan peranan penting perampasan kemerdekaan tanah air dan manusia Palestin serta pembentukan negara haram Zionis Israel. Pegawai2 Inggeris yang sama ini jugalah yang datang ke Tanah Melayu, merampas hak dan menghancurkan gerakan kemerdekaan rakyat di sini, misalnya Setiausaha Pemerintahan Mandat Inggeris di Palestin, Gerald Templer, yang dikenang Hisham dalam bahasa Inggeris, "that was beautifully assasinated by The Malayan Communist Party."

berbalik kepada soal pengkhianatan kepimpinan gerakan rakyat Palestin, Yunos Ali, (klik sini)seorang aktivis, sarjana sosiologi, pesara ahli akademik, juga seorang bekas gerilyawan skuad komando Al Fatah di Beirut, berkongsi cerita pedih lagi sayu, kisah bagaimana dia pernah diarahkan pimpinan Al Fatah untuk membunuh pejuang Palestin daripada kelompok PFLP. "Fatah is very reppresive," tutur Yunos. Dia enggan mengikut arahan tersebut, dan nyaris dikenakan tindakan Mahkamah Tentera.

Kita perlu memandang perjuangan Palestin sebagai perjuangan membebaskan tanah air daripada perampasan zionis israel untuk kebebasan, hak-hak demokratik dan kemerdekaan warganya. Palestin bukanlah konflik agama atau konflik bangsa Arab dan Yahudi. Buktinya, sepanjang masa sejarah perlawanannya, rejim-rejim tidak demokratik di negara-negara Arab sering menyumbang kepada kehancuran gerakan rakyat Palestin, malah ikut sama dengan zionis israel menindas rakyat Palestin, seperti misal kata Mesir yang enggan membenarkan bantuan makanan sampai ke wilayah Gaza yang terkepung, malah ke tahap hasad dengki menanam besi-besi bagi menutup lorong2 'tikus' bawah tanah menghubungkan Gaza dan Mesir. atau seperti Arab Saudi - dengan bingung kecelaruan menjadi penjaga Kaabah dan juga boneka sekutu Amerika Syarikat - pendukung utama kewujudan zionis israel.

Palestin bukan perang agama Islam dan Yahudi. Palestin adalah makna hak, merdeka kebebasan, dan kemanusiaan dalam pengertiannya yang paling asas, bahawa kita, di manapun, kita sebutkan di Malaysia, di Singapura, di Iraq, Afghanistan, di Burma, di Thailand, di Patani, di Asia, Eropah, Afrika, Amerika Selatan, malah di israel dan Amerika Syarikat sendiri, sesiapapun tak akan tunduk pada kekejaman manusia bersenjata, kedamaian cinta sejahtera kehidupan masa depan bersama adil dan saksama untuk semua adalah cita-cita. tidak salah untuk bercita-cita dan menurut teman jauhku Salabi, salah itu biasa. ha.ha.ha.

-----------------------------------------------------------------------------------------------

begitulah aku menghabiskan hujung mingguku. tengahari ke petangnya ke acara forum Saya Anak Bangsa Malaysia, awal malam ke forum Palestin, kemudian tengah malam Sabtu sampai ke pagi Ahad berforum pulak bersama poodien, avroco dan nik bin jidan tentang tentang hidup, seni, seks, seksualiti, seksis, seksisme, berahi, politik cinta, paranoya kuasa, penipuan nostalgia sistem hidup masa lalu, kepura-puraan warisan yang telah lama pupus dan hilang; kini ekonomi wang yang menilaikan segala-galanya - ke tahap ekstrem tanpa sedar menjadi berhala baru sembahan manusia moden yang kununnya patuh beragama atau setia berprinsip dalam kira-kira akaun dosa dan pahala, keterpisahan di pinggiran bayang-bayang ke kayangan mimpi-mimpi bersinar bintang-bintang, atau hasrat melihat kedatangan banjir besar memusnahkan segala-galanya yang kunun gah gagah memeras, menenggelamkan serakah ketamakan dan angkuh kesombongan, suatu keanehan nikmat, kegagalan-kegagalan indah (atau secara oxymoron nya - untuk menyedapkan hati sendiri - dapat kita sebut sebagai kehodohan yang cantik).

ramai sangat ketua, tak ramai anarko


tak sangka semalam aku bertemu blogger binfilem.blogspot.com, tak banyak yg kami bualkan melainkan cerita tabiat men'curi' pemetik api. ha ha ha
suatu laman web yang menarik dengan arkib filem-filem anarkis: http://www.christiebooks.com/ChristieBooksWP/

Friday, January 22, 2010

SENI TANPA PREJUDIS-Majalah seni kontemporer kembali menyentap


setelah dua tahun menanti, bersunyi dan menyepi, kini majalah keluaran seniman kontemporer Malaysia, terbitan Teratak Nuromar, kerjaan kuratis Nurhanim (klik sini) dan abang guard seni Ise (klik sini) serta Parking Project (pereka Yan) kembali lagi. kini Sentap wujud secara halal dengan lesen penerbitan KDN.
sentAp! boleh didapati di ejen-ejen baik hati seperti berikut pada harga RM 15:
Galeri Shop, Balai Seni Lukis NegaraGaleri Shop, Galeri PETRONAS, Galeri Pelita Hati, BangsarGaleri 12, SetapakRA Fine Arts, AmpangSita Jeri, Studio 55, Bangsar
Untuk tempahan melebihi 10 naskhah, sila emel terataknuromar@gmail.com

Jelajah Forum Saya Anak Bangsa Malaysia - Kuala Lumpur



klik http://harismibrahim.wordpress.com/

Thursday, January 21, 2010

SATU BUMI MILIK BERSAMA TANPA DARAH, AIR MATA DAN SENJATA

aku peminat jauh kolektif seni ini. taring padi (tp),jogajakarta. tadi di fesbuk aku diposkan video ini oleh kawan tp - exi . ini lagu mereka (terima kasih saya memberitahu ini lagu marjinal - ha ha ha. aku tak tahu). tentang hidup bersama, manusia bersaudara semuanya;
"saudaraku yang pergi
tak hanya tinggalkan nama
saudaraku yang pergi meninggalkan berjuta makna
saudaraku yang pergi membangunkan seisi dunia
agar mengerti dalamnya makna hidup yang ada
tunjukkan bahawa kita semua bersaudara
luka mereka luka kita semua
tunjukkan, tunjukkan oleh kita
derita yang ada, derita kita jua."

Wednesday, January 20, 2010

the garrison: banjir muntah darah (blood flooding)


"pagan's second coming
coming down the road
we're rooting for some justice, justice that's denied and sold
for when believe in politician lacking kerosene
when it matters, they're nowhere to be seen."

THE GARRISON - "FLOODING BLOOD!" Brand New Released Extended Play from KNOT Records.RM7.00/Euro 3.00/ Sing $4.00(ppd)For more info:


www.myspace.com/garrisonbeat.


www.myspace.com/knotrecords.

Monday, January 18, 2010

Forum GST-cukai yg memiskinkan rakyat-jemput hadir

GST - THE TAX WHICH MAKES THE POOR POORER

1.Ahli Panel/Panelists: YB Tony Pua, MP for Petaling Jaya Utara, DAP National Publicity

2.Secretary.G. Rajasekaran, Setiausaha Agong MTUC

3.Dr. Subramaniam Pillay, Exco Member of Aliran, Associate Professor, Business School, University of Nottingham

4.Dr. Jeyakumar, MP for Sungai Siput, CC Member, Parti Sosialis Malaysia

Tarikh : 20 Januari 2010 (Wednesday/Rabu)
waktu : 8.30mlm
Tempat : Bilik Auditorium , Selangor Chinese Assembly Hall, Jalan Maharajalela, KL

Cukai GST, yang akan diluluskan pada bulan Mac 2010 merupakan satu lagi langkah ‘mesra koperat’ (atau keparat) kerajaan pro-kapitalis Najib Tun Razak, kononnya untuk meningkatkan pendapatan kerajaan. Cukai ini akan memiskinkan lagi 60% rakyat berpendapatan rendah. Tidak adakah cara lain untuk meningkatkan pendapatan kerajaan, seperti menghentikan rasuah dan kebocoran wang rakyat? Tanpa peningkatan gaji, adakah kaum pekerja mampu menanggung satu lagi perbelanjaan?
The GST Tax which is set to be passed in Mac 2010 is yet another of Najib Razak's Government's business friendly pro-capitalist ventures, in the pretext of increasing the revenue of the Government. The Tax will further burden 60% of those from the lower income group.

Anda dijemput ke forum awam ini untuk mendapat tahu dengan lebih lanjut kesan GST terhadap rakyat Malaysia, dan untuk berbincang tindakan yang harus diambil.
You are invited to this public forum to better understand the impact of the GST and discuss what we can do about it.

Masuk Percuma
Free Entrance
Inquiry/Pertanyaan : 019-5638464/0169008202


Dianjurkan :Parti Sosialis Malaysia (PSM) HQ, 22A Jln Vivekananda, Brickfields, 50470 Kuala Lumpur

http://parti-sosialis.org

Sunday, January 17, 2010

SS no.20: Catatan karut si hati herot

(Buatmu ratu adil pemilik hati emas, sang hakim maha agong di mahkamah keadilan, moga kau kurniakan aku penjenayah rentung lagi durjana ini sebuah pengampunan suci)
(i)
Petang, segelas susu panas,
[Harapnya] aku dan engkau,
[Lemas dalam cungap dengus asmara
Ahh, hanya aku seorang diri bermimpi]
roti canai banjir kari.
Kita berbaring, berpeluk dan bergolek di bawah pohon-pohon tua. Tiup angin mendesir dan daun-daun coklat yang gugur, dingin cemas menggigil, meretak kulitnya kayu, takut-takut memanggil rentak gergaji datang merabak retak, menghentak belah dan menebangnya jatuh tersungkur tersembam menyembah kaki, tinggal seram tunggul mereput, tinggal muram sugul senggugut.
Rehat kita di bawah rendang dahan pohon tua, di tebing simen longkang,
sungai Gombak, deras air melambai,
dan damai burung-burung gagak berteriak, masjid India selepas hujan – permai.
Berat kepalaku mamai, tersadai basah dengan resah;
modal menimbun, berkecah dan lecah, tireh membonyer bertambah kental,
ketat, likat, liat dan liar kertas-kertas bercetak nota nilai, duit merabit, wang bergewang, menyabit kepala, mengelar-ngelar leher lapar.
Tandus, kering kegersangan. Haus, dahaga keinginan bersarang dan membiakkan asap tebal dari gagal industri kimia
menyental dan membebal
barang dan orang bergerak
khidmat dan maklumat mengasak
arus kewangan berkhianat
laju menyerang
perusahaanlah yang membelah sempadan
berteman senjata, jentolak dagang menolak denai
meroboh tembok-tembok batu dan ceracak kayu
membodoh imigresen, passport dan visa
mencemuh hasrat dan cita-cita menjadi manusia
Perusahaan kongsi gelap bertopeng terang
samseng menyonglap meragut mengugut dengan saman,
memeras menyundal membedal dengan denda,
membebal merentas kota dan pekan
menghempas pelabuhan dan perhentian
sauh-sauh besi, dan minyak tanah kapal terbang, kontena, pengangkut
· bukan kita yang ditumpang
· bukan engkau yang dijulang
· bukan aku yang ditambang
Perusahaan tajam mencantas badan
merampas peta
pulau Temasik di seberang tambak
selat Tebrau jambatan bengkok pemimpin bongkak
kuala Danga mulut ternganga
sungai Melayu rayu merapu
hikayat lara rakyat murba dibongokkan, nenek bongkok Tanjung Puteri,
bumi tua ini sebal dadanya
saham membaham segalanya dari masa berlari, dari usia bergari, dari belakang tertikam dan dari cucuk jiwa berduri.
Engkau di tengah kota berlumpur hitam, di puncak menara hukum membukit duit, di atas pencawang maju, di dalam gelombang moden, di pusat kitaran roda, di depan gerak jentera, menggelegak minyak hitam, senak tenaga mencanak, menggaung enjin bingit menjerit, nyawa si jantung hati berdenyut di sini.
· aku purba tercicir dijinjit semut, di bawah sakit terduduk, di belakang hulu tertinggal, di kuala disauk terhempuk, di laut dihempas badai, di pantai terbantai teruk,
sebu di ladang tebu, resah di estet getah, menjerit di felda sawit, badi di kampong padi, rentan di sungai ikan, bentan di bukit haiwan,
hanyir di pinggir bandar hamis, tersudut di pekan tertekan,
sebal di hutan tebal
· aku hanya jadi bahan kontan –
jiwa luka disuap ke mulut naga niaga.
Perutku ternganga, melopong kosong
· eeee, bunyinya E, teknologi ngeri, ku tak mengerti pantun apa ini:
Engkau bermimpi engkau berlari
terbangnya tinggi logam dan besi
banyaknya bunyi batu dan IT
budinya badi serinya duri
mahunya hati serunya iri
tanaman padi semadi mati
gali perigi gerudi bumi
tolak bahagi mengira hari
campur dan kali ukuran kaki
bom biologi bank bankrupsi
saiz posisi digital beli
gelombang basi nuklear berloji
cukai industri perang mengisi
bon memaki skala melidi
kerja kronie tabung hierarki
syarikat baki berkarat janji
hutang mencari langgan korupsi
untung bersemi berkarung rugi
sains dan seni, sain cap jari
sakan berjoli sakit terapi
monumen todi minuman gergaji
mesin yang ngeri kilang gergasi
enjin mengundi jenteranya caci
sumpahnya kuli seranah berkunci
alat membuli bermodal tinggi
mabuk berjudi mantul kuantiti
daki kembiri kantul kualiti
berkonspirasi memonopoli
hub pornografi saudagar titi
mendadah dengki perkakasnya benci
lapar berkati tentera tangki
manusia gaji angan-angannya tivi
bukan, bukan bukan-bukan, kita bukan produk fantasi,
diriku
dirimu
diri kita
aku dan engkau punya diri, punya inti, jati dan pati. Iya, tapi aku tak bekerja. Dan engkau punya kerjaya kini. Aku bahalul mantul dan poyo kantul. Engkau tersohor, betul-betul tak tolol.
(ii)
Malam semabal di lembah tengah, seharusnya kita telah lemas
dalam lurah dengus nafas
di celah serakah kencang asmara.
Halal sial menjadah, terjal banal menerjah. Kelamayar, kutahu harapan haramku makin kelam.
Mataku,
matamu,
matakita berdepan,
kejam, cukup cepat kau pejam
sunggoh cepat kau padam
dan aku
aku terpaksa memendam,
menelan rasa kecewa
hitam dan berdarah
aku tertanya-tanya
kenapa perlu engkau mengalih pandang
pada skrin wayang,
pada kejahatan kamera meradang,
fikiranku melayang jauh dari sandiwara filem, jauh dari projector, jauh dari cd, vcd, dvd dan jauh dari layar digital
luluh,
aku menyelam ke dalam keruh Sungai Kelang
dari rasa rinsa runsing merusuh
dari rindu paya tertimbus
dari bimbang bangun mega mall
membungkus limau kasturi dalam karung plastik, mencabut akarnya, mematah-matahkan dahan dan daun-daun hijau lumat, tunas dan pucuk yang hancur. Syurga beli-belah mengunyah halaman kampung, akta telah mengharamkan tanah, membaham rumah, memindahkan tubuh ke dalam sarang kotak-kotak batu dan membenam ruh-ruh lusuh ke dalam lemau hawa dingin “air con”
dan almari ketul-ketul ais
kesegaran disejukbekukan,
menghantar pergi wangi dan setanggi
menguncinya
dalam peti keranda harga,
dalam reban kuburan jual,
dalam kandang bernesan beli,
pasar-pasar berantai beraya dengan seribu pesta gaya.
(iii)
Malam sangap kuntum-kuntum cempaka, melur dan kenanga, seharusnya kita telah menguap lelah setelah senggama panjang siang dan petang,
kejangmu,
kejangku,
kejang kita dalam nafas yang harum.
Kau tahu, saat-saat dulu itu cukup kurindu, kucup cium bibir aku dan engkau, bibir kita mengaum ranum. Maung tengik bau mulutmu berbasuh hancing buruk lidah keringku. Kita sama-sama pahing membusuk.
Raba ramas, kita saling meriba dan meraba dalam ribuan bara kasih, sayang dan cinta. Hangat cumbu matahari pagi, ingatan berkeringat. Berahi yang tak akan kudapat lagi.
Tapi bukan ini, bukan cinta itu sayang,
Tapi bukan ini, bukan bunga itu sayang.
Ini bunga duri warnanya haru-biru dari huru-hara berburu, bunga janji yang dipinjamkan:
Arteleri jantung, patung-patung perang dan mesin perbelanjaan, kira-kira yang menghamburkan debu kuning bakteria, kuman-kuman kering kuasa yang mencakar,
bom satu demi satu gugur – meledak – meleburkan satu demi satu peta, nuklear satu demi satu meletup menghancurkan satu demi satu degup dan telah tak ada lagi yang lari dari cukai. Menyeringai rangka dan tengkorak,
urusniagapun menggigit-gigit tulang-tulang, sengit meneka-neka sumber yang tersisa.
Judi megabank bertaruh, satu demi satu peluru berlumba, bersaing dan bertarung berpandukan pelaburan kilang-kilang teknologi meninggi keuntungan.
Mataku letih dengan tanda harga, broker-broker pengugut rasa ralit merekabentuk belanja, memasang iklan, mengguna gambar dan kata-kata menjalar masuk ke mata, telinga mendengar, hati digaruk-garuk api, keluk tawar dan minta mengetuk-ngetuk kepala, dan aku cepat terlelap dalam gelap terlupa pada mentari petang, disulap silap, disuluh lampu letrik gedung beli-belah.
Silau mataku dengan angau.
Arghh aku tak mampu,
engkau tungau merah nyala,
tak nampak engkau mencuri,
engkau kerambit, buku lima,
tercampak aku mencari,
botol kaca pecah, serpih bersepah
lara marah, luka ku garuk berdarah.
Tak larat kederat menyumbat kehendak.
Hanya khayal sebenarnya.
26 februari 2006 engkau tahu,
“dalam dagingku duri tertanam,
dalam lipatan gunting menikam,”
dalam kocekku hapak, hanya ada gumpalan kertas-kertas tiket wayang yang koyak, buku tiga lima yang renyuk, hanya ada habuk, debu abu dan candu rokok.
(iv)

Petang, segelas susu panas,
akar wali, hempedu bumi,
jadam masih lagi ku idam pahitnya
kacau jiwaku melepaskan engkau lemak manis gula racau - “enau dalam belukar” -
gila larau mengejar cahaya lampu picit dalam terowong yang runtuh.
Biarlah, nak buat macammana kalau engkau nyawanya bateri, sumbing sel kering melenting, mengharung ludah tawa sembur air liur.
Aku sel hidup, tubuh kurus terhoyong-hayang, kering melading goyah berpusing, bertakung air mata dan pekat hijau hingus.
Engkau telahpun tenggelam dalam banjir kilat warna-warna emas,
ubi jaga tongkat ali, tegak mencanak gagah berdiri, mengilai menyalak terbahak-bahak,
nonok dalam tin perak, seronok kau mengangguk,
“puah”,
puas hati kau berak
sambil
“menangguk – bayang-bayang benda – di air yang keruh.”
Roti canai kuah kari, aku tukang cuci, ini kali aku memang mahu sendiri.
Sapu sampah, hanya satu pesanku,
tanggalkanlah rambut palsumu,
tunjukkanlah kepala layu engkau itu, bukankah botak itu indah?
Disember 2005– 15 Mac 2006

Saturday, January 9, 2010

Lagu aman lagu damai, berikan cinta pada sesama



berikan cinta pada sesama. poster cetakan ukiran kayu, karya Kolektif Taring Padi, Jogjakarta.

seharusnya aku ke bukit bintang tengahari tadi. untuk memberikan bunga tanda cinta yang semuanya akan selamat, suatu acara, "Everything gonna be allrite," dan aku gagal. kesiangan, berjaga hingga ke pagi tadi.

jadi hanya kata haruman ranum mekar untuk semua. tak dapat aku memberi kuntuman bunga dari jambangan rimbun dan warna-warna mendamaikan. di manapun, kita sedang menikmati irama bahasa ria yg cukup indah, seperti alunan kata Ubi Lepih dari lagu nyanyinya Meor Yusof Azidin,

"aku si pengembara berkelana di lembah kehidupan meniupkan seruling lagu aman lagu damai

keluarlah kalian turunlah ke padang saujana putuskan belenggu mari bersamaku

nyanyikan alunkan lagu aman lagu damai

bebaskan suara dalam rentak merdeka jiwa

kita bukan orang derhaka bukan pula abdi yang boleh di jual beli

lebarkan sayap sejahtera buangkan nestapa jiwa kita anak manusia menyatu dalam bahasa ria

bahasa ria (10x ha ha ha)

dengarkan tiupan serulingku bersama kita menyapa awan keadilan buang malang lucutkan rawan nyanyikan alunkan lagu aman lagu damai

Lagu Aman Lagu Damai terdapat dalam album Dari Rakyat Untuk Rakyat oleh Meor Yusof Azidin.

Friday, January 8, 2010

Gereja diserang:Astaghfirullah (استغفر الله )

terlalu banyak bangkai busuk, berat dan besar (barangkali aku salah satu daripadanya, tapi untuk kiasan pada makna yg lain). bangkai yg membusuk ini merosakkan hidup bersiasah dan bermasyarakat di tanah air ini. bangkai2 rasuah, pecah amanah dan penyelewengan kuasa. semua org tahu - biarpun media2 milik penguasa menutupnya, cuba mengalihkan pandangan umum. semua org tahu kerana ramai yg merasainya:

-kenaikan harga barang (dgn gaji yg tidak naik2, malah ramai juga yg kehilangan kerja)

-kes-kes penyelewengan duit/harta negara dan tabung awam, spt PKFZ, enjin jet hilang

-perseteruan dan perebutan kuasa/harta di kalangan pimpinan Umno, MCA, MIC dan parti2 BN lainnya.

dan pastilah banyak lagi, semua org sekarang ini boleh menyebut dan memperjelas dgn panjang lebar hal2 ini.

maka, ALLAH pun dipergunakanlah, tapi bukankah ALLAH itu sebaik-baik perancang?

sebuah gereja telahpun terbakar, apakah nanti ada masjid yang terbakar? di mana-manapun aku tetap akan bersedih, jika agama menjadi alat hasrat rakus politikus. di mana-manapun aku akan meratapi kehancuran rumah-rumah ibadat, baik itu masjid atau surau atau kuil atau tokong atau gereja atau gudwara yg diroboh penguasa atau dihancurkan para penganutnya yg bersengketa.

perang antara agama dalam sejarahnya hanya menguntungkan org tengah pihak peniaga senjata. permusuhan antara agama atau antara mazhab2 dlm agama yg sama, kebiasaannya juga terjadi kerana percaturan penguasa atau elit pemerintah yg terdesak - bodoh, jahat, banyak bangkai tak dapat ditutup - lalu cuba mengekalkan kekuasaannya dengan cara mengadu domba rakyat jelata, menjadi batu api membakar dan akhirnya mempertahankan kekuasaan (sementara) mereka atas hangus kesengsaraan org lain. inilah warisan khianat terhadap mandat rakyat; suatu dasar pecah dan perintah yg diamalkan penjajah Inggeris selama ratusan tahun dan difotokopi byk rejim2 dunia hari ini. seperti misalnya sengketa sunni dan syiah di Iraq dan Pakistan? atau Islam dan Kristian di Ambon? siapa untung? org2 Sunni kah yg untung - jawabnya bukan. org2 Syiah kah yg untung - jawabnya bukan. org2 Islam kah yg untung - juga bukan. org2 Kristian kah yg untung - juga bukan.

bertenang dan bersabarlah. berfikirlah dalam-dalam sebelum bertindak. tamak kesombongan harta dan serakah keangkuhan kuasa tidak akan membawa kita semua ke mana-mana. akhirnya, siapakah yang untung???

BERITA:

gereja hangus dibaling bom petrol

http://malaysiakini.com/news/121443

Pakatan: Umno perlu bertanggungjawab atas serangan terhadap gereja

PM arah tingkat keselamatan

Ada apa dengan isu The Herald

Monday, January 4, 2010

...Eksperimen Space Gambus&TAF


album ini terbitan kuratis (kurator artis) Puan Nur Hanim, garapan Zul (pemuzik gambus Dewangga Sakti) dan seniman kontemporer Kamal Sabran. harganya RM 20 (setiap RM5 akan disumbangkan untuk Tabung Amirul Fakir). Amirul Fakir, penyair/penulis dari Ipoh. sekarang dia sedang menderita penyakit barah yg sudah mencecah tahap keempat. Amirul seorang kenalan yang cukup aku hormati, tak sempat utk aku bersahabat baik dengannya.
. . .
maaf aku menggunakan kata kenalan berbanding kawan. kerana sebenarnya tak banyak yang aku ketahui tentang kehidupannya, apatah lagi dia seorang yang suka berahsia. pengalamanku yg tidak mutlak - tidak juga muktamad paling benar - ini memberitahuku bahawa semakin lama, kata kawan dalam hidupku makin kehilangan makna yg aku fahami atau cita-cita/khayal hasratkan, seperti juga kata keluarga, kumpulan, kolektif, komuniti, parti, kerajaan, masyarakat, negara.

tapi aku faham. dunia bukanlah sebuah syurga dengan segala impian indah menjadi kenyataan.kesempurnaan bukanlah hak diriku. aku juga mengerti manusia tak dapat mengawal, menentukan apatah lagi meletakkan - lebih teruk memaksa - impian/khayalan kita kepada diri org lain untuk dilaksanakan. manusia juga dalam kesementaraannya tak akan dapat memilik punyakan apa saja - termasuk Allah (tapi Allah memilik punyakan segalanya). cuma negara dengan kekuasaan senjata/undang2/wang boleh saja cuba memaksa memilikpunyakan apa2 saja.

kerana dalam banyak perkara, hidup ini memang masing2, hinggakan terkadang aku sering merasa seperti orang asing (yg terlalu mementingkan diri sendiri). deja vu semakin mengabur, betapa kununnya aku seakan kenal dan tahu, namun sebenarnya aku tidak tahu. yg aku tahu, aku seorang narsisus kagum melihat bayang2ku sendiri di air, menafi wujudnya org lain, mengangankan aku dan orang lain itu sama, hinggakan terlupa ada sempadan antara diri kita semua.

kadang-kadang secara sedar atau tidak sedar mungkin dlm byk hal aku (atau mungkin korang semua) hanya menipu saja. aku suka untuk menjadi seorang individu, biarpun terlupa (atau buat2 lupa) yg hidup aku setakat ini didanai masyarakat atau aku suka ungkapan inggerisnya, 'sponsored by society'. aku hanya mencuba sebenarnya untuk menjadi individu yg kununnya mengambil tahu, prihatin atau sedar.

begitulah kontradiksi, pertentangan2nya. aku relaks2 saja kerana hidup beginilah. baik buruk, tesis dan anti tesis akan tetap meneruskan kehidupan 'alam' ini. dan aku hanyalah satu titik di antara bilionan nyawa2 manusia (tak termasuk tumbuhan, haiwan, hidupan lain) di dunia. dan usiaku juga hanyalah satu titik halus perjalanan jutaan tahun sejarah alam. jadi memang masalah besar kalau-kalau aku merasa macam bagus atau penting. aku biasa2 ajer.
. . .
berbalik kpd Amirul. sudah agak lama sebenarnya aku meneliti antologi puisi Amirul Fakir yang berjudul Fossil dan kumpulan cerpennya Mea Culpa. cuma aku belum dapat lagi menyiapkan ulasan/tulisan yg aku hasratkan itu. kerana untuk seorang Amirul Fakir, kununnya aku ingin mencatatkan tulisan yg lebih serius, dan kurang bermain-main - atau kalau boleh dapat menghasilkan misalnya suatu ungkapan yg disebut Abg. Syed tentang Amirul Fakir adalah 'seorang kafka timur'.

(Untuk info lanjut mengenai SGE, hubungi Kamal Sabran 016 5533391)