Thursday, November 18, 2010

Berbicara dengan dia-siri cerpen Dr. Nasir Hashim

Aku keseorangan. Dihimpit oleh kegelapan yang memusuhi ku. Persis menunding bahawa aku mencerobohi medan jajahannya itu. Namun aku dan segala makhluk di tepian unggunan api ini, menyangkal dakwaannya itu. Kerana semua bebas memilih tempat. Lagi pun, aku sudah pun menghimpunkan dahan-dahan dan ranting-ranting kering bersebelahan khemah ku ini. Bersedia menangkis serangan yang menggelap dan mendinginkan malam. Amatlah malang, apabila serangga-serangga merempuh unggunan api ini. Memikirkan hari sudah pun siang.

Sang Api pula tidak memilih kasih. Membaham semua termasuklah segala dahan dan ranting kering yang disajikan kepadanya. Maka api pun menjulang tinggi, menjilat udara dingin, dengan cahayanya yang melebarkan lagi gelanggang khemah ku yang sekangkang kera ini. Namun Sang Kegelapan terus cemburu dan memburu. Ingin merampas kembali jajahan asalnya. Gigih melahap apa jua cahaya yang melepasi ruang khemah ku ini.

Aku berundur sejenak. Cuba mengelak terkaman bahang api. Berjaya memisah-misahkan gumpalan bara dari induknya. Namun bara yang merah kelabu ini meletup-letup, tanda protes. Serpihannya terpelanting jauh dan terus menyala. Bak deruan aneka bunga-bunga api yang memburu bumi. Aku terpukau dengan kerenah percikan api-api kenit ini, bagaikan kunang-kunang berdansa pada malam hari. Dapatlah aku membayangkan betapa meriahnya Hari Raya, semasa di kampung, nun jauh di hujung Utara.

Demi kesinambungan hidup (survival), aku membekalkan diri dengan tiga botol air bergas, roti satu bantal, tuna dalam tin, tiga biji telor rebus, pembuka tin, biskut kering, lampu picit, tali, beberapa bungkus kacang goreng, spray nyamuk dan satu termos kopi panas. Lagi ape ye ? Oh ya !!. Aku bawak selimut, tikar, khemah pinjam, belerang, dan plaster band-aid. Wah !! Macam nak berpesta aje. Macam nak bertapa sebulan suntuk. Begitulah persiapan ku.

Kedudukan khemah ku tidaklah sejauh mana dan tidaklah berpuluh-puluh kilometer jauh ke pendalaman rimba ini. Cuma jauh sedikit dari jalan raya. Cuba kau bayangkan. Betapa seronoknya, jika aku kelentong habis-habisan tentang kegigihan ku berkhemah jauh di ceruk hutan belantara ini. Tentang kelincahan ku menghadapi binatang-binatang buas, dengan berbagai-bagai pasangan mata yang bersinar gemerlapan. Tentang ketabahan hati ku berselisih dengan kejadian yang pelek dan aneh. Dan bagaimana aku menangani keadaan senyap-sunyi mutlak yang bingitkan telinga dan melalikan otak. Mereka pasti kagum dengan kewibawaan ku itu. Semoga kelentung ku ini dianugerahkan dengan status legenda. Aku tersenyum sumbang. Tersengih panjang.

Ceritanya begini. Aku ditawarkan RM200 ringgit jika aku berani bermalam dalam hutan simpan ini. Mereka di ofis berlumba-lumba menawarkan diri, sebagai saksi-saksi ketika aku menyusuri hutan rimba ini. Hati kecil ku sudah berkata-kata, perihal satu komplot besar yang ingin melumpuhkan ego ku dan mematahkan semangat ku. Dari kaca mata orang luar, kumpulan ini (termasuklah aku !!) seharusnya disumbat aje ke dalam wad-wad sakit jiwa kerana bengap sangat mencadangkan satu projek gila-babi yang mampu memudaratkan atau membawa maut pada peserta-pesertanya. Ada menakutkan aku dengan peristiwa-peristiwa ngeri dan menasihati aku supaya menandatangani surat wasiat. Ada pula yang percaya penuh bahawasanya aku akan berjaya. Sebenarnya, aku tidak pasti sama ada mereka ini bersama aku atau pun hendak perkenakan aku. Baguslah tu. Semua sudah gila.

Namun begitu, aku tidak ada pilihan. Kalaulah aku berpaling tadah dan membatalkan cabaran ini pada saat-saat yang terakhir, maka sudah tentu aku menjadi bahan cemuhan sepanjang hayat. Sebatang ranting hidup telah pun dipacakkan di pinggir jalan dan tuala tangan menjadi benderanya. Mudah mengesan dan mengangkut aku pada keesokan hari nanti. Itu pun kalau aku masih hidup lagi.

Aku sedar mereka jaki sangat dengan aku. Kerana aku gah mendabik dada, mengisytiharkan pada seluruh dunia bahawasanya aku tidak gentar pada hantu jembalang, perkara-perkara karut dan penghuni-penghuni hutan rimba. Nak kata bodoh ... memanglah bodoh. Nak kata takut, tidaklah begitu kerana aku pernah memasuki hutan belukar semasa sekolah rendah dulu. Ha ..ha ... ha !!! Mampuslah aku.

Jam tangan mengisyaratkan 9:30 malam. Aku jentik-jentik permukaannya. Dalam perhitungan aku, jam ini terlalu lambat. Agaknya, kesejukan malam membuat spring-springnya menjadi lembap dan tidak bermaya. Sepatutnya, sudah melepasi 12 malam dan sudah mula mengintai-intai ketibaan subuh. Begitulah tanggapan ku yang ikhlas itu.

Aku menyambut cabaran ini bukanlah ingin mengipaskan lagi ego ku dan bukanlah kerana gilakan wang yang berjumlah RM 200 itu. Sebaliknya aku memang ada tujuan lain. Satu strategi yang lebih murni lagi. Iaitu aku benar-benar ingin mencari ketenangan diri di dalam hutan belantara ini.

Aku menerima nasihat kawan di sebelah rumah. Dia mengesyorkan, ketenangan akan meresapi diri sekiranya aku duduk bersendirian dan bertafakur pada tempat yang gelap. Dengan cara ini dapatlah aku mengupas sejarah hidup ku dan mencedok ilham serta pedoman darinya. Aku terima bulat-bulat logik kawan di sebelah rumah.

Mereka di ofis akan ketawakan aku sekiranya aku meluahkan alasan ini, hasrat ini. Tetap beranggapan bahawa aku adalah insan happy-go-lucky, loyar buruk, mudah meremehkan keadaan, ego besar tempayan dan tidak mempunyai masalah peribadi. Maka itulah, aku terus berfoya-foya dan merahsiakan tujuan asal ku itu.

Derauan anak sungai di kaki bukit ini menenangkan diri ku. Aku sudah sembahyang dan mengulangi bacaan Surah Yasin. Sengaja membaca kuat-kuat supaya semangat ku tidak luntur. Aku mengulangi Surah Al-Fatihah sebanyak seratus kali. Sekarang aku sudah bersedia, untuk bertafakur hingga menyambut fajar. Ingin sangat menjelajahi sejarah hidup ku ini.

Aku berjaya menziarahi zaman belia ku. Malangnya sekali, otak ku, benak ku ini, semakin liar, lelan dan melilau panjang. Semangat tafakur yang ku belai manja itu semakin rapuh. Berani membelakangkan aku. Sudah melayang jauh, meredah ofis, rumah, pasar raya, singgah ke kedai makan dan entah ke mana lagi. Kembali ke hutan, menjenguk diri ku yang malang ini dan lesap lagi. Aku merayu padanya supaya kembali ke pangkal jalan. Balik ke pangkuan ku ini. Tidak berjaya. Begitulah. Tak ada disiplin langsung. Melilau ke sana sini. Ikut suka emak bapak dia aje. Nampaknya hasrat ku mencedok ilham dan ingin menjadi orang yang baik-baik tidak kesampaian. Aku keliru dan bersedih.

‘ Assallamu’aliakum. ‘

Wah ... ape pulak tu !!! Badan ku tersentak. Degupan jantung ku terhenti seketika. Suara lembut bergema membelah kesunyian dan kedinginan malam. Pada orang yang lemah semangat dan longgar lutut, ranting yang patah atau bunyi-bunyi liar sudah mencukupi untuk lari lintang-pukang hingga kaki tak jejak tanah atau sampai tak cukup tanah. Lagi pun aku memang tidak mengundang sesiapa pun ke sini. Jangan harap kawan-kawan ofis nak melawat ku di sini. Aku cuba bertenang, sungguh pun bulu roma sudah menegak tajam. Seram sejuk dibuatnya. Aku terpaku sudah. Tak sempat nak menyambut salam. Maka aku toleh perlahan-lahan ala slow-motion.

Seorang tua tersenyum pada ku. Berketayap putih melepak. Tinggi orangnya. Sudah beruban dan rambutnya disanggulkan ke belakang. Janggutnya panjang dan lebat. Wajahnya bersih dan mudah menenangkan sesiapa saja yang menghampirinya. Berpakaian baju gelap ala sifu kungfu. Aku disambar keharuman yang semerbak wangi. Seperti adunan bunga-bunga duniawi yang dikhususkan untuk orang-orang yang terpilih dan teristimewa saje. Aku menghidu wangian ini sepuas-puas hati. Aku tidak gentar. Tidak pulak takut. Hairan aje. Makin gundah gulana kerana tidak mampu merumuskan keadaan.

‘ Maaf cucu ku .... Atuk mengganggu.... ‘

Suara lembut melafazkan kata-kata. Cuba membatalkan kegelisahan ku ini. Dia tunduk dan menghulurkan tangannya. Aku berjaya bangun, mencorakkan senyuman pasrah lalu menyambut tangannya yang sesejuk salju itu. Mungkin kedinginan malam membuatnya begitu. Dia berpaut pada tongkat kayu yang berukiran kasar. Aku menjemputnya ke unggunan api ku yang tak seperti ini. Dia tidak membantah lantas bersila di atas tikar plastik, berdepan dengan ku. Tongkat dipangku. Aku mempelawanya secawan kopi panas dan timbunan biskut kering. Dia menolak secara baik dengan alasan dia baru habis makan. Aku cuba menenangkan diri dengan meneguk kopi dan meratah biskut-biskut yang telah ku hidangkan itu. Dia memerhatikan saja telatah ku seolah-olah sudah lama mengenali diri ku ini. Aku makan dan minum bagi pihaknya. Buruk siku !!

‘ .... Sebenarnya cucu ... Atuk nampak api, dari jauh tadi. Ingatkan ada api liar. Atuk nak padamkanlah. Takut-takut terbakar hangus satu hutan nanti. Matilah semua makhluk Allah di dalamnya. ‘

Aku membalas senyuman. Masih scanning tetamu ku ini. Siapa sebenarnya orang tua ini. Timbul dengan mengejut dan tidak membawa bekalan. Tidak sesiapa pun menemaninya. Soalnya, apa yang dia buat di sini. Tempat jin bertendang ini. Apatah lagi, pada malam-malam buta yang sejuk membeku seperti ini. Kehadiran ku, aku sudah tahu, kerana aku memang gila. Aku nak tanya dia nanti. Dia adalah tetamu aku. Pada perkiraan ku, dia sudah tua dan tidak akan membahayakan sesiapa pun. Namun begitu, aku tertarik dengan rupa orang tua ini. Seiras wajah aku. Ada lesung pipit di pipi kiri dan tahi lalat di tepi hidung. Mungkin kesemuanya ini wujud secara kebetulan aje. Cuma, aku terlalu rugged dan selekeh baginya. Dan pada ku, dia ni terlalu bersih, sopan dan sudah tua. Dua manusia yang sungguh berbeza.

Cucu, boleh Atuk tumpang tanya ....cucu ni, buat apa di sini ?’

Pulak !! Dia tanya dulu. Itu adalah soalan ku. Soalan cepu emas ku. Jawapan pada soalan ini akan menentukan pendirian ku terhadapnya. Aku menggelabah, mencari jawapan. Terpaksa memberi jawapan.

‘Nak cari ilham .... Tok. ‘

Aku menjawab secara selamba aje. Mudah-mudahan dia tak melepaskan senyuman sinis atau kata-kata yang melecehkan aku. Aku tidak berseloka dan tidak pulak berdusta. Tersengih macam kerang busuk. Nak jawab macam mana lagi !! Hendak katakan aku ketagihan wang sebanyak RM 200, terlalu murah; nak katakan aku melayan ego, terasa malu. Tiada alasan yang lebih kukuh dan lebih afdal selain dari mencari ilham.

‘ Kenapa cucu tak baca buku saja. Kan senang. Tak payahlah nak masuk hutan ... tak susah-payah berdepan dengan binatang-binatang garang, tak kena sengat dan entah apa lagi. ’

Soalan yang sukar nak ku jawab. Ada logiknya. Aku tak mempunyai alasan yang kukuh untuk membentes komennya yang lantang dan berterus terang itu. Kerana kehadiran ku adalah di atas nasihat kawan sebelah rumah.

‘ Maaf Atuk, nama saya Mohammad. Kawan panggil Mamat. Kita dah pun berjumpa, tapi saya tak tahu nama penuh Atuk. ‘

Aku tukar tajuk, lalu menghulurkan tangan ku. Dia menyambut dengan kedua-dua belah tangannya. Tangannya masih sejuk. Maklum sajalah dicengkam sisa-sisa malam yang sungguh dingin ini. Nasib baik ada unggun api untuk menghangatkan badan.

‘ Nama Atuk, Ahmad. Orang panggil Tok Mat aje. Kampung Atuk di seberang sungai (menunjuk arah dengan tongkatnya). Baru habis melawat kampung di sebelah sana (menunjuk ke arah belakang ku).’

Setahu aku, tidak ada kampung di depan atau belakang ku. Ini kawasan hutan simpan. Tidak dibenarkan apa jua jenis perkampungan di dalam hutan ini. Kalaulah benar begitu, susahlah aku nanti. Kerana ramai akan lalu lalang khemah ku ini. Sudah pasti ilham-ilham yang ingin berjinak dengan aku, akan cabut lari. Walau bagaimana pun aku berasa tenang dengan kehadirannya itu. Tidak tahu mengapa. Wajahnya tidak bengis. Bahasanya lembut dan teratur. Membawa ketenangan pada diri ku ini. Bermesra dengan Tok Mat tidaklah susah. Kejujurannya terserlah apabila tersenyum. Maka ku curahkan keluhan yang terpendam di kalbu.

Tok Mat mendengar. Tekun mendengar. Mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia meraba-raba kocek bajunya dan mengeluarkan cerut kontot yang sudah separuh hisap. Menjentik-jentik bekas yang terbakar, menyiat secebis darinya lalu memasukkan ke dalam mulut !!!. Mengunyah dan menyunyutnya macam gula-gula Hacks. Giginya sudah jarang. Jarang-jarang nampak. Aku mulalah mencari ranting yang berbara api supaya mudah dia menghisap cerut lebihannya itu. Aku terkejut beruk apabila dia memasukkan cerutnya itu ke dalam kocek asal. Aku buat derk aje ... buat tak perasan aje. Tidak ingin mendedahkan kejahilan ku. Mungkin rasanya macam sentil tembakau yang dinyunyut oleh nenek-nenek tua di kampung ku, nun di hujung Utara.

‘ Maaf cucu ku ... Atuk percaya fikiran cucu sudah tidak menentu. Ada kena-mengena dengan jiwa cucu yang senantiasa gelisah. ’

Soalnya, ape kena mengena dengan jiwa ku. Macam memasuki dunia misteri atau mistik aje. Walhal keluhan ku ini bersabit dengan nasib ku yang malang.

‘ ..... Atuk percaya cucu terikut-ikut sangat dengan kehendak hati, kehendak duniawi. Makin ketepikan hidup yang sopan. Tidak pula pasrah dalam kesyukuran. Hidup cucu masih samar-samar lagi. Nampaknya cucu tidak membelai roh mu itu .... Jiwa cucu itu memerlukan layanan mu .... sentuhan mu. Tetap liar. Tidak bertuan dan tak bersatu dengan jasad mu. ‘

Wah !! Bahasanya teratur dan padat. Tok Mat berterus terang dan aku terus-terusan keliru. Langsung tak faham sepatah haram. Rangkaian bahasanya menjurus ke alam mistik. Atuk sedar dilema ku itu, lalu menyambung lagi.

‘ ...... kalaulah seseorang itu ghairah sangat mengejar gaji yang lebih dan nak cepat kaya, maka dia akan melakukan apa-apa saja. Sanggup menonjolkan diri, berjinak-jinak dengan fitnah, mengampu bos. Sanggup korbankan prinsip hidup dan ketepikan hak orang lain. ’

Aku semakin gelisah kerana Atuk ini menceritakan tingkah laku ku yang lalu. Aku tidak cerita pun perkara ini. Mungkin juga ceritanya itu secara kebetulan aje. Dia juga menyebut tentang putus kasih. Pendek kata dia sedang menegur hidup ku yang melilau panjang itu.

‘ Hidup samar-samar .... macam mana tu, Tok. Saya tahu ape yang saya mahu dan ape saya nak buat. ‘

Aku memetik ungkapannya tadi kerana tegurannya itu berkisar kepada ayat-ayat ini. Aku ingin mempertahankan diri. Ingin memberitahu bahawasanya aku masih menguasai keadaan. Masih in control. Tok Mat mengambil masa untuk menjawab. Terlalu berjaga-jaga. Ataupun tengah mengatur bahasa yang sesuai bagi ku.

‘ Cucu masih tidak mengenali diri sendiri. Sebab itulah hidup cucu terumbang-ambing, tidak ada pegangan, tidak ada hala tuju. ’

Aku berfikir panjang. Mustahil aku tak mengenali diri sendiri. Tiap-tiap hari aku membelek muka ku di depan cermin panjang. Muka itu jugak. Wajah ku tak berubah, tak lari jauh kecuali style rambut dan jerawat di sana sini.

‘ Maksud Atuk. ‘

‘ Maksud Atuk .... sekiranya cucu mengenali seluruh ufuk dunia ini dan pada diri sendiri, iaitu sifat zahir dan batinnya, maka sudah tentu cucu dapat menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa kehidupan cucu ini. Maka itulah hidup cucu seperti lalang yang terikat pada rentak tiupan bayu. Tiup ke kiri, ke kirilah cucu berbuai. Bila bayu tiup ke kanan, cucu lari ke kanan. Cucu sendiri tidak jelas. Ada kalanya kita kena lawan arus ... menentang arus. Itu pun kalau cucu sudah ada pendirian hidup. ’

‘ Pendirian hidup ? Agaknya itulah yang cucu mencari-cari selama ini. Sebab itulah nak bertapa dalam hutan ini. Nak cari ilham. ’

Aku mengisytiharkan niat ku. Nawaitu ku. Tok Mat sudah tersenyum lebar. Membelek-belek tongkatnya dan menghidupkan api dengan menolak serpihan bara ke tengah unggun. Aku malu alah. Makin gelisah. Cuba melawan senyumannya dengan senyuman resah. Atuk batuk satu dua round, tunduk dan tersenyum lebar. Meludahkan lagi air cerut yang makin bertakung di dalam mulutnya. Atuk sedar aku mencari sesuatu yang tidak ada. Mungkin juga pada dirinya orang bertapa bukanlah satu atau dua malam, tapi berbulan-tahun lamanya. Aku cuba mengandaikan senyumannya itu. Mungkin bukan itu yang difikirkannya. Bukan itu tumpuannya.

‘ Sedarlah cucu ku. Pada mereka yang beriman, setiap yang berlaku di dunia dan langit ini menjadi kiasan atau iktibar yang menegur dan mengajar kita tentang liku-liku kehidupan. Sedarlah cucu ku, kita ini wujud di antara langit dan bumi. ‘

Itu aku tahu. Semua orang tahu. Sudah lama aku tahu. Apa kaitannya dengan pendirian hidup. Cerita orang tua ini berbunga-bungalah. Macam teka-teki yang digantung tak bertali. Mungkin fikiran ku yang cetek. Mungkin juga dia ingat aku orang sastera moden, mudah faham lenggok bahasa yang berbunga-bunga itu. Aku terpegun, cuba menghayati kehadiran langit dan bumi. Terkelip-kelip mata ku ibarat cicak termakan kapur. Habis begitu aje. Tetap kabur. Aku menunggu penjelasannya.

‘ ... maka sudah terjalin dalam diri kita ini, sifat langit dan bumi. Sifat langit (dia mendongak ke atas) adalah cahaya dan kebaikan. Sifat bumi (menunduk ke bawah) adalah gelap dan kejahatan. Kita kekal di tengah-tengah. Tetap tersepit, di antara kedua-dua dunia ini. Macam alam barzakh. Macam .... macam roti sandwic (dia tersenyum dan memandang pada ku dan aku turut tersenyum). Maka itulah kita ini mempunyai sifat-sifat yang baik dan juga yang jahat. Iaitu sifat Malaikat dan Syaitan. Kita kena pilih....’

‘Pastilah saya pilih Malaikat .... Tok !!! ‘

Aku menyampuk. Sudah tersengih lebar. Berbangga dengan diri ku ini. Merasakan, Atuk sendiri tidak boleh menafikan hasrat suci ku itu. Masa kan aku hendak jadi Syaitan. Aku hendak yang baik-baik aje !! Amin.

‘ Tidak semudah itu cucu ku (Atuk menegur aku). Manusia ini memang lalai, gelojoh dan bodoh. Apabila Allah menawarkan rahsiaNya kepada seluruh alam, semua makhluk Tuhan menolaknya kerana tidak sanggup memikul bebanan, tanggung jawab terhadap amanat itu. Tapi manusia dan jin yang gelojoh ini sanggup menerimanya. Diri Allah mempunyai segala sifat kebalikan atau sifat yang bertentangan bagi mentadbir dan mengimbangkan alam sejagat ini. Di atas penghormatan terhadap kesanggupan manusialah, maka Allah menganugerahkan sifat kebalikan, atau sifat yang bertentangan itu kepada diri manusia dan jin supaya dia boleh membuat pilihan yang wajar. Dia akan diuji sepanjang hayat. Malangnya, manusia gigih memilih kejahatan dan kehancuran. ’

‘ Senang aje Tok. Kita hapuskan segala kejahatan yang ada pada diri kita. Beres. ‘

Aku memuji kepintaran ku itu. Sudah jumpa jalan pintas. Menunggu persetujuan Atuk tentang logik ku itu. Pasti Atuk setuju !!

‘ Bukan semudah itu cucu ku (Atuk membangkang). Kita sudah pun di anugerahkan atau diistimewakan dengan dua sifat yang bertentangan atau bercanggah di dalam diri kita ini. Seperti sifat baik-buruk; sayang-benci; suka-duka; dan sebagainya. Malahan alam ini ditadbirkan dengan mengambil kira sifat-sifat kebalikan ini. Kedua-duanya saling memerlukan ... dalam semua jenis hubungan dan juga tindakan. Saling mengenali. Kalaulah di buang satu di antaranya, kita bukan manusia lagi. Kita sudah menjadi Malaikat atau pun Syaitan. Tugas kita di dunia ini adalah untuk mengimbangkan sifat-sifat ini supaya yang baik dapat mengimbangkan yang jahat agar hidup kita sentiasa berharmoni, adil dan saksama. Menjadi khalifah dunia yang membimbing ke jalan yang benar. ’

Wah !! Tok Mat ni bercakap macam orang intelek kelulusan universiti aje. Mana dia dapat ilmu ini. Logiknya ada. Penuh misteri. Penuh kejujuran. Aku tak berani nak tanya tentang sifat-sifat jin yang setaraf dengan manusia. Takut keliru habis. Tidak mahu terbenam dalam kekeliruan dan terjebak dalam dunia mistik. Namun tetap merasakan diri ku ini sedang mengikuti kuliah yang merangkumi segala aspek agama, logika, kepimpinan, etika kehidupan, falsafah hidup dan hala tuju.

‘ Setahu saya, apabila kita hendak membuat keputusan kita terpaksa pilih satu dari segala kemungkinan. Bukankah begitu Tok. ’

Tok Mat mengangguk-angguk. Aku mula seronok. Akhirnya orang tua ini bersetuju dengan aku.

‘ Benar ... benar kita kena pilih, kena buat keputusan. Tapi kalaulah kita terus tidak fikirkan tentang sifat-sifat yang bercanggah dengannya, maka sudah tentu tindakan kita itu tidak sempurna, seperti berjalan tempang. Kita mempunyai dua kaki yang berupaya dan sihat. Namun kita lebih selesa berjalan tempang. Mengapa begitu. ’

‘ Kalau benda yang tak bagus kenapa kita kena ikut. Kan peningkan kepala aje. ’

‘ Bukan soal bagus tak bagus, ikut tak ikut .... cucu ku. Setiap sesuatu itu mempunyai sifat kebaikan dan keburukannya. Ianya berbentuk relatif. Tidak mutlak. Benda yang manis menjadi pahit apabila melampaui batas kemanisannya. Penindasan dan kekejaman melahirkan penentangan. Sebenarnya cucu ku, kejahatan itu adalah sejenis kebaikan yang sudah menyimpang jauh dari asalnya .... dari kebenaran. Maka itu perimbangan dalam segala hubungan amatlah penting. Lagi pun, (Tok Mat menarik nafas panjang) sifat-sifat yang bercanggah dalam diri kita ini adalah seperti hubungan seorang Penunggang Kuda atau Joki dengan seekor kuda liar. Joki itu melambangkan kebaikan. Walhal kuda itu melambangkan kejahatan, liar, ganas, angkuh dan bertindak sesuka hatinya. Si Joki ingin pergi ke tempat tertentu. Dia tidak berdaya dan akan mengambil masa yang lama jika berjalan kaki ke destinasinya. Si kuda pula bertenaga dan tidak mempunyai hala tuju. Soalnya, bagaimanakah Si Joki ini dapat menjinakkan kuda liar ini dan menggembleng tenaganya supaya kedua-duanya sampai ke destinasi tersebut. Pendek kata tujuan atau pendirian kita bukanlah saja “ini” ataupun “itu” tetapi bersama, iaitu “ini dan juga itu”, mengikut keadaan, ruang dan masa. Maka sifat negatif telah di jadikan positif. Justeru itu sifat kebaikan haruslah mengatasi sifat kejahatan. Sedarlah cucu ku, selain daripada dunia fizikal ini, kita juga didedah dan dilengkapkan dengan simbol-simbol atau kiasan kehidupan.‘

Aku sudah pasti. Sudah confirm. Tok Mat ini adalah bekas pensyarah atau intelek kelulusan tinggi. Aku percaya dia melepaskan segala-galanya kerana ingin hidup sederhana dan berharmoni dengan alam. Cita-citanya sudah tercapai. Bagaimana pula dengan hasrat ku ini ?

‘ Tok Mat dulu kerja ape.’

Aku cuba mencungkil sejarah hidupnya. Hendak mengolah biodatanya. Dia tersenyum saja.

‘ Sebenarnya tidak ada beza di antara Atuk dengan cucu. Atuk adalah cucu dan cucu adalah Atuk. Cucu akan sampai ke tahap yang diharapkan itu. Dan pengalaman menjadi guru mu. Insyallah. ’

Dia tidak menyambung lagi. Tidak menjawab soalan ku. Hanya tersenyum saja. Aku termenung seketika. Cuba menghayati kata-katanya yang sungguh pelek itu. Mungkin aku perlukan masa untuk menghadamkannya.

‘ ... ingat tak. Kalaulah kita kaji segala di ufuk dunia dan pada diri kita ini, maka kita benar-benar menghargai erti tindakan, pengalaman, kebenaran dan keadilan. Pada jiwa-jiwa yang bersih, inti sari pada kebenaran ini adalah seperti kita mengenali diri Allah termasuklah sebahagian dari rahsiaNya. Sifat ego, mementingkan diri, ketagihan kuasa dan gila pangkat tidak wujud lagi di dalam hati sanubari sekiranya kita terus berjuang menegakkan kebenaran dan membela hak mereka yang teraniaya. Sebenarnya cucu ku, Ar-Rahman dalam Bismillah ....... itu ditujukan kepada segala hubungan makhluk sejagat dan haruslah dilayani dengan penuh kasih sayang, tidak kira haiwan, tumbuhan, gunung-ganang, serangga, masyarakat, warna, kaum, agama dan tempat asal. Dan Ar-Rahim pula adalah untuk mereka yang sudah pun mengenali diri, beriman, berjuang menegakkan keadilan dan senantiasa dirahmati dengan hidayat. ‘

Aku terpegun sepi, memikirkan nasib ku ini. Bertuahnya aku dapat berbicara dengan Tok Mat yang penuh ilmu, misteri dan mistik. Aku ingin berguru dengannya.

‘ Tok Mat, makanlah juadah saya yang tak seperti ini. Lama kita berbual tapi Tok Mat masih tak menjamah makanan dan minuman. Tak adillah. Rasalah Tok Mat .... Tok Mat.’

Aku bersendirian. Tok Mat tidak ada di sini. Ghaib sudah. Datang begitu dan pergi pun begitu. Suaranya berkumandang ‘ Innalillahi Wainna Illa Hiraji’un (aku datang dari Allah dan aku kembali kepada Allah).’ Bergema, tenggelam timbul menembusi dedaun dan pepohon yang menebal dan menggelap ini. Aku menyeru namanya lagi. Namun panggilan ku tidak berbalas. Wangian bunga mula beredar mencari tuannya. Sisa sepeninggalannya adalah bauan air cerut di sekitar unggunan api yang semakin malap ini. Aku kehilangan seorang guru. Tidak pula merasa takut. Tetap tenang dalam kerinduan.

Aku sedar, aku masih terpaku di atas tikar sembahyang. Makanan dan minuman belum berhidang lagi. Belum diusik lagi. Masih tersimpul ketat dalam kelongsong dan beg-beg plastik. Bara api makin mengecil dan berselaput dengan abu yang kelabu merah. Jam di tangan, sudah pun 5:00 pagi. Hutan rimba semakin riuh kerana penghuni-penghuninya ingin menyambut ketibaan fajar. Aku cuba bertenang. Cuba mengulang tayang pengalaman ku bersama Tok Mat. Banyak perkara terlepas begitu saja kerana aku belum faham dan tak cukup pengalaman lagi. Kalaulah aku ada perakam suara, kan ku ulanginya bicara ini sepanjang masa. Begitulah penghargaan ku pada Tok Mat. Aku mengambil air sembahyang. Tetap terkilan.

Tok Mat pernah berkata, aku adalah dia dan dia adalah aku. Apakah maksud Tok Mat itu ? Adakah Tok Mat ini, roh ku yang menegur jiwa ku ini. Atau seorang wali Allah yang datang untuk menegur dan membimbing aku. Ataupun kesemuanya ini adalah gugusan ilham atau pengajaran yang berakar umbi dari ranjau-ranjau yang pernah menusuk kehidupan ku ini. Kalaulah begitu, hasrat ku mencari ilham sudah pun tercapai.

Kawan-kawan ku pasti mempersendakan peristiwa ini. Maka ku lunakkan penemuan ini, perbicaraan ini, hingga aku benar-benar mengenali siapa diri ku ini dan memahami tugas ku di dalam alam yang pancaroba ini. Amin.

Nasir

31 Oktober 2010

http://parti-sosialis.org

No comments:

Post a Comment