Thursday, October 29, 2009

DUN Perak: Kenyataan Amnesty

AMNESTY INTERNATIONAL MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR – 28 OCTOBER 2009
HENTIKAN PENGGUNAAN INJUNKSI UMUM BAGI MENEKAN HAK RAKYAT

Amnesty International Malaysia amat prihatin dengan penggunaan injuksi umum yang diperolehi oleh pihak polis untuk persidangan 28 Oktober Dewan Undangan Negeri Perak. Kami khuatir mengenai kekerapan penggunaan perintah injunksi ke atas orang awam kerana ia adalah arbitrari dan membenarkan penyalahgunaan kuasa tangkap dan tahan, kerana perintah mahkamah ini membenarkan penangkapan dan penahanan orang awam di dalam sesuatu kawasan tanpa kehadiran proses yang wajar dan pemeriksaan fakta.

Amnesty International Malaysia mengetahui bahawa ini bukan kali pertama polis memperoleh perintah mahkamah sebegini. Ia sudah menjadi amalan polis untuk memudahkan tindakan keras besar-besaran menentang perhimpunan aman dan untuk membuat penangkapan menyeluruh secara arbitrari. Injunksi terhadap semua rakyat Malaysia ini merupakan satu ejekan yang ditujukan kepada sistem keadilan kita. Ini adalah kerana permohonan sebegini dipinta dan diberikan hanya berdasarkan prasangka dan permohonan dari satu pihak dan menghalang hak pihak yang lain ke atas perbicaraan yang adil di dalam mahkamah terbuka dan dari menjawab dakwaan dan alasan polis.

Amnesty berpendapat bahawa perintah mahkamah itu diperolehi semata-mata untuk menumpas dan menundukkan kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman. Permohonan ini memberi kuasa arbitrari kepada polis untuk menahan rakyat yang mempraktikkan hak asasi mereka berdasarkan Perlembagaan Negara. Perintah mahkamah itu juga memberi polis kuasa tidak terhad dan membolehkan penyalahgunaan kuasa tersebut. Perintah tersebut akan mendedahkan rakyat kepada risiko penangkapan, penahanan rambang, penyiksaan atau layanan atau tindakan yang zalim, dan pendakwaan selektif. Kami berpendapat bahawa perintah mahkamah ini menundukkan kebebasan asasi perhimpunan dan pergerakan yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Amnesty International Malaysia ingin mengingatkan polis Malaysia tentang kewajipan statutori mereka untuk melindungi kepentingan dan hak asasi rakyat. Artikel 5, Kod Etika Pegawai Penguatkuasa Undang- Undang Bangsa- Bangsa Bersatu menjelaskan: ‘Tiada sebarang pegawai penguatkuasa undang-undang boleh melakukan, menghasut atau membiarkan apa- apa tindakan aniaya atau zalim, sifat tidak berperikemanusiaan atau penghinaan atau hukuman, dan juga tiada pegawai penguatkuasa yang boleh melaksanakan perintah pegawai atasan atau mengisytiharkan keadaan luar biasa seperti ancaman ke atas keselamatan negara, ketidakstabilan politik dalam negeri atau apa- apa darurat awam sebagai alasan untuk penganiayaan atau apa-apa kezaliman, sifat tidak berperikemanusiaan atau penghinaan atau hukuman.’

Amnesty International Malaysia berpendapat bahawa amalan polis di Malaysia mesti mematuhi dan mengikuti tahap kepatuhan yang tinggi dalam pengamalan hak asasi. Semua amalan dan perlaksanaan perintah perlu dengan jelas mencerminkan dan menunjukkan kepatuhan kepada hak asasi. Orang awam perlu diberikan perkhidmatan yang professional, bertanggungjawab dan berdasarkan hak asasi. Kami meminta pihak polis Malaysia untuk menghormati hak asasi rakyat Malaysia dan menghentikan amalan mendapatkan perintah mahkamah unilateral untuk bertindak keras terhadap perhimpunan aman di Malaysia.

K. Shan , Penyelaras Kempen
--
Nora Murat
Executive DirectorAmnesty International MalaysiaTel: 603 7955 2680Fax: 603 7955 2682www.aimalaysia.org

dalam jurang

sementara ini, aku terjerumus ke dalam jurang. sebenarnya tidaklah begitu dalam. tapi yang namanya jurang itu, pastilah perlu usaha untuk naik ke tebing. dan aku memilihnya untuk naik memanjat perlahan-perlahan. tak ada lif di jurang ini.
sementara ini aku hidup dalam jurang digital, terputus sambungan ke dunia luas internet.
dan aku sangat sukakan pengalaman2 sebegini, untuk aku selalu diingatkan akan hakikat kesementaraan.

ss: sabtu ini Al Fatehah Memali, akan ditayangkan dalam siri akhir jelajah freedom film fest, anjuran komas di holiday inn, jb, sesiapa ada kelapangan silalah datang. aku belum pasti dapat hadir atau tidak kerana poket yg kekeringan, dan aku baru belajar berjimat cermat - bukan kedekut.

Tuesday, October 27, 2009

pecah rumah mimpi

semalam rumahku dimasuki pencuri (sebenarnya belum lagi mencuri, agak tak wajar memanggilnya pencuri). baru menonjol kepalanya di tingkap dapur yg berjaya dipotong grill besi atau dicabutnya. yg mampu kulakukan hanyalah menyergah, hoii. dia lari, menyelinap di celah pagar yg telah robek dan tak jauh kudengar bunyi enjin motorsikal dihidupkan, dia berlalu pergi dan kalau sempat, mungkin akan datang lagi.

rumah ini, hanya ada mimpi, tiap tidurku bermimpi. siapa dia yg dtg itu? dari mana dia? punya rumahkah dia? apa yg mendorongnya sanggup berbuat kerja2 nekad begitu? kenapa?

aku hanya menjangka, dia hidup dalam lingkaran ganas kemiskinan atau ketagihan yang tidak tertahan-tahan, hidupnya di antara rumah-rumah mimpi - yg dipecah masuk, mendapat untung tak seberapa, pecah lagi, tertangkap, di lokap, di penjara, di pusat, keluar dan cuba lagi memecahkan rumah-rumah mimpi.
sampai bila?
semua orang, ingin bermimpi bahagia.

SS: takziah buat keluarga tragedi perkhemahan 1Malaysia, jambatan digantung ketamakan rasuah, inilah jadinya.

Tuesday, October 20, 2009

SS no.19:Hari Hartal 08: Al Fatehah Shamsiah Fakeh


(gambar oleh aminiskandar.com)

Jam sembilan pagi hari hartal 20 Oktober
tapi ini tahun 2008 – enam puluh satu tahun kemudian
dia menghembuskan
nafasnya yang penghabisan,meninggalkan
sejarah besar
dan khalayak yang kecil
memberi hormatpada tamat
jalan hidupnya;di kuburan
pokok nangka
rumpun pandan dan pohon kelapa,berkumpul
dua tiga orang anak-anaknya,menangis
dua tiga orang cucu-cucunya,sedikit sahabat-handai
sedikit keluargadua tiga kerat pemimpin
dan sedikit peminat
bersedih-sedihan mengalirkan air mata.
sedikit musuhnya Bernama RTM-tiba-tiba membawa berita tanpa tipu setelah hayatnya tiada-setelah helah bertahun-tahun dia dihitamkan tanpa putih,
paling kurang menjadi kelabu pun tak ada
dan parti telah lama membuangnya.

benar ini bandar
ada urusan dan alasan ada mesyuarat dan persidangan ada kerja dan kesibukan ada janji dan pertemuan ada parti berseronok dan parti politik apalah pentingnya jenazah tanpa nyawa“kita ambil hikmahnya belajar sejarahnya, itu yang utama.”ah, kuburan tanda kematian pengkebumian itu ritual agama
adat resam dan budaya.

aku memang dah tak ada kerja lain
bolehlah menyibuk-nyibukkan diri,
kalau tidakpun
aku hanya
melepak dan berkhayal dan bermimpi dan bercakap dan membebel
tentang revolusi yang tak pernah jadi-jadi.

"awan gelap bergumpal hodoh" keruh langit
meratapi
pemergian seorang tokoh,
benar juga ini bukan pesta keramaian
tidak perlu berdedai-dedai
manusia seperti keldai
berbaris
memberi tabik hormat,tidak perlu dipaksa semua ini,dia bukan jenderal atau menteri atau longgokan bangkai-bangkai di makam-makam mahal atau artifak awetan dalam muzium penuh prestij, ada kelas dan tinggi martabat itu.

dingin selepas asar waktu arab kasar hujan berat dan angin kuat kencang bertiup lembut tanah basah kampung malaysia raya mengambus jasadnya di sana mata air sungai besi begitulah keras hatinya seperti waja keluli.

Kesedihanpun mengalir dalam hatiku seorang laki-laki yang lemah tak berdaya berdepan dengan sejarah dan cerita gagahnya aku hanya berkata-kata, bercakap, menjerit terlolong terhoyong-hayang meneguk alkohol, memegang botol-botol kecewa sambil melukis atau menulis-nulis puisi cinta dan benci.

Kau tahu, suatu waktu dia cukup garang bersuara melaungkan revolusi merdeka ibu pertiwi seorang perempuan penuh api di dada jiwa yang luas, fikiran yang cerdas otakku semakin kerdil dibuatnya aku hanya bersemangat buas, tapi melihat matanya aku menjadi terlalu ringan seperti kapasdan buta kerana warnaku cukup pekat merahnya tapi hanya pada buku dan gaya dan cap dan jenama dan stail dan fesyen belaka.

berat senjata dan cita-cita di tangannya – tangan seorang perempuanyang menggoncang penjajahan dan dunia ketuanan laki-laki di tanganku hanya keringat gementar kesejukan kederatku selalu tak larat merdekaku hanya khayal semata dan dia serikandi benar-benar memegang janji sebuah revolusi merdeka dengan darah!“pengorbanan, berkorban, terkorban”dan dia adalah korban, dalam perjalanan sejarah yang panjang dalam perang melawan penindasan dalam darurat dan khianat dalam berontak meniti zaman pergolakan.

dia benar-benar
menyintai tanah air
seorang kawan
seorang komrad
seorang pemberani
seorang gerilyawati
seorang sosialis
seorang komunis
seorang pemimpin
seorang pemikir
seorang penulis
seorang pensyarah
seorang buruh kilang besi
seorang kekasih
seorang isteri
seorang emak
seorang nenek
dan tindakan-tindakan telah bergerak
amal dan pengalaman
telah mengoyak-ngoyakkan teori
kulit luruh menampakkan isinya.

Tapi aku cuma bermimpi
dan dia benar-benar nyata
bukan khayal membina syurga di bumi.
aku lelaki kehilangan upaya
hanya rupa seolah wira
ber t-shirt kan che guevara
dan wajah-wajah gagah
engels, marx, lenin, stalin, trotsky, castro
atau lei feng atau ak gopalan – AKG,
iya yang kutatap masih juga tegap tubuh-tubuh laki-laki.
di tanganku panji-panji
berbenderakan tukul dan sabit dan kukuh genggaman tangan
buruh dan petani
memetik bintang-bintang
keindahan ayat-ayat cerita orang lain
sengsara dan bahagia oktober 1917
sengsara dan bahagia rakyat di Kuba
sengsara dan bahagia di Selatan Amerika
aku menjadi pengkhayal rupanya
mendambakan romantika kejayaan revolusi yang jauh
lalu menghirup teh tarik kow kurang manis
di restoran mydin bangsaT utama
bersama kawan-kawan
roti canai mencecah kari
bersembang dan berbual panjang tentang itu dan ini
menunggu datangnya mati.

peduli apa aku
pada deng xio peng
atau mao tse tung
pada merah
revolusi budaya
tapi aku peduli
padanya
Shamsiah Fakeh
dan AWAS revolusi tanah Melayu, iya revolusi yang gagal itu
kerana
dia berjaya
menyalakan
api dalam diriku
untuk belajar menjadi seorang laki-laki berani
bukan berani menjadi hamba atau tuan
tapi tidak takut mengangkat saksama sesama manusia
salutku pada nya
seorang perempuan revolusioner sejati.

20 Oktober 2008 aku tak hadir di sekolah revolusi. dari kuchai lama ke tanah perkuburan kg. malaysia raya, sungai besi, kl.

Sunday, October 18, 2009

Teks ucapan Pak Samad Said meluncurkan album Meor



BERNYANYILAH DARI HATINURANI

Malam ini saya rasa seniman coba mengimbangi kuasawan. Kita lebih melakukannya dengan kata-kata berbeda dengan kuasawan yang selalu melakukannya melalui dana.

Kata-kata selalunya “mengkhayalkan” sementara dana “memungkinkan”. Biar apapun peranannya, malam ini, peranan seniman mungkin lebih untuk sekedar “menyedarkan.” Terlalu ramai kuasawan yang terlupa, khususnya kuasawan yang sedang benar-benar berkuasa.

Tema utama kita tampaknya ialah “Dari Rakyat ke Rakyat”. Tapi, sebenarnya kita ingin berdialog dengan pemimpin—kita bercakap saja sesama sendiri, sesama rakyat.
Sebenarnya, kita menyanyi.

Dipercayai atau tidak sebuah lagu biasanya sebuah suara batin—suara dari batin—kejujuran dari batin. Dan malam ini, kejujuran dari batin coba menghantar reslitas masakini melalui lagu atau melodi yang lama terganggu. Ia penuh dengan rintih dan jerit; bisik dan raong. Tapi, isinya berlegar seputar ketidakadilan yang sedang berterusan—kepincangan masalalu (Fatehah Memali) dan ketimpangan masakini (Ikut Suka Aku—ISA).

Lagu-lagu sebondong ini terkadang tidak begitu melodius—lirik lebih nyaring daripada musik. Tapi, itulah kehidupan sebenar—real dan kasar—realitas yang sentiasa tidak melodius; yang melodius selalunya adalah khayalan.
Sebanyak 10 lagu terhimpun dalam album pedih ini, tapi kelahirannya memang petanda jujur bahawa masih terus ada duri siksa dalam masyarakat kita. Seniman membantah kepincangan ini.

Tentu saja akan ada setengah kuasawan yang menganggap bahawa album ini adalah serpihan propaganda. Benar juga—ia propaganda, tapi suara yang tulen. Ada propaganda melalui cogankata yang mendadak—cogankata (tahu-tahulah sendiri) yang sangat nyaring (atau memang dinyaringkan) kerana semua media utama (yang citak, yang letronik)—patuh (terkadang melampau) menjeritkan propaganda itu.
Ada bedanya antara propaganda institusi gergasi dengan propaganda jerit insan kecil. Yang pertama sangat berazam diguruhkan; yang kedua sekedar berharap suaranya terdengar.

Di sinilah terletaknya album “Dari Rakyat ke Rakyat” oleh Meor Yusof Azidin (pada tempat-tempat tertentu disokong Black dan Rahmat Haron). Lagu-lagu dalam album ini adalah pesanan jujur (atau setingginya jeritan jujur) dari batin seniman yang sedang terdera—tersiksa oleh realitas hidup yang mendendangkan suara-suara bombas yang terlalu berat sebelah. Dan ingat, “pelampau” memang perlu diwaraskan. Keras yang buas perlu dilembuti tangan yang berhemah.

Lagu “Ikut Suka Aku—ISA” ini memang dengan mudah diselar sebagai propaganda politik kontemporer; sebaliknya, ia sebenarnya adalah jeritan masakini yang memang masih terus mendera.

Begitu juga lagu “Fatehah Memali” mudah diselar sebagai propaganda berhasrat. Padahal ia adalah jeritan semula masalalu yang tertimbus—atau ditimbus oleh kuasa lalu yang sangat gamam. Pemangsaan tidak pernah tidur nyenak; ia terpaksa bangun mewaraskan pemangsaannya. Makanya, lagu “Fatehah Memali” membangunkan yang tidur supaya dapat sama-sama mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Sangat lama, malah sedang terus, kita didesak percaya bahawa insan Memali “gila”, kerajaannya yang waras ketika tercetusnya peristiwa. Jentera propaganda Kerajaan terlalu menekan dan menghukum ketika itu. Tapi, sekarang ini, generasi mudanya mula berupaya melahirkan iklim baru—yang salah wajar diperiksa. Mereka mencari kejernihan, bukan meneruskan kekeruhan.

Memangpun pada malam ini secara berdikit dan jujur, generasi muda ini ingin meluhurkan semula perjuangan. Masakini bukan lagi sepenuhnya hak generasi lalu; masakini adalah lebih hak generasi kini.

Sokonglah “Dari Rakyat ke Rakyat.” Bernyanyilah dari hatinurani; bukan dari keangkuhan diri.—A. SAMAD SAID.

17 Oktober 2009.

catatan SS:
-Fatehah Memali dalam teks ini merujuk kepada lagu Syuhada Memali, lirik Amin Iskandar.
-Dari Rakyat Ke Rakyat merujuk kepada album Dari Rakyat Untuk Rakyat

Wednesday, October 14, 2009

SS no 18: Kucing, tikus dan tupai

celaru, aku baru tahu
bangkai-bangkai tikus
itu kau hadiahkan
di hadapan pintuku
dan tadi
selesai lebat hujan pagi
dalam lembab cuaca
dari kaca tingkap aku mengendap
sepasang tupai dan anak kecilnya
jatuh di atas tanah
dan kau datang menyerang
ibu dan bapa tupai itu pantas meloncat pergi
melompat meninggalkan merah anak tupai kecil
mata pejam yg belum terbuka melihat.
alam bukan mainanku, bila kucing menerkam bayi kecil tupai itu
aku menatap, segera kututupkan tingkap.

Mansuh Hukum Bunuh: Hak Untuk Hidup!

9 oktober lalu, merupakan Hari Menentang Hukuman Bunuh Sedunia, memandangkan aku agak lama tidak on9, maka hari ini barulah dapat aku letakkan kenyataan media Amnesty International:

Sempena Hari Menentang Hukuman Bunuh Sedunia, Amnesty International Malaysia menyeru kerajaan Malaysia untuk mengisytiharkan Penangguhan (Moratorium) ke atas semua hukuman bunuh seperti yang ternyata dalam Resolusi A/RES/62/149 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2007.
Pada 2007, Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu telah meluluskan resolusi penangguhan hukuman bunuh. Resolusi ini menyeru Negara yang masih mengekalkan hukuman bunuh untuk menangguhkan dengan rasmi semua perlaksanaan hukuman dengan niat akan memansuhkannya pada masa hadapan dan menyediakan perlindungan bagi menjamin keselamatan hak-hak mereka yang berdepan dengan hukuman bunuh dan secara progresifnya mengurangkan penggunaan hukuman bunuh terhadap kesalahan yang boleh dikenakan.
Amnesty International Malaysia (AIM) berpendapat bahawa keputusan yang disokong oleh Setiausaha Agung PBB dan diakui oleh badan tertinggi politik PBB yang mempunyai keanggotaan sejagat ini, sebagai satu perakuan jelas terhadap pemansuhan hukuman bunuh untuk dunia.
Maklumat terbaru kami menunjukkan sebanyak 139 negara telah memansuhkan hukuman bunuh samada melalui perundangan atau amalan, dan angka ini terus meningkat. Negara yang tidak melaksanakan hukuman dalam masa 10 tahun dan adalah dipercayai mempunyai polisi atau amalan untuk tidak melaksanakan hukuman bunuh, adalah dianggap sebagai pemansuh. Statistiks menunjukkan bahawa dunia sedang menuju ke arah pemansuhan dan ini dapat dilihat di semua pelusuk dunia.
AIM menegaskan bahawa adalah penting bagi Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menurut seruan dunia ini dan menunjukkan komitmen kepada hak untuk hidup yang terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Sedunia (DHAS) dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
DHAS mengakui hak individu terhadap nyawa dan menyatakan ‘Tiada sesiapa boleh dikenakan perlakuan atau hukuman yang zalim, aib dan tidak berperikemanusiaan’ Hukuman bunuh mencabul hak ini.
DHAS sebagai asas kebebasan, keadilan dan hak, mengumumkan bahawa hak ke atas nyawa adalah tunggak utama kewujudan insan. Hak ini bukan suatu keistimewaan yang boleh ditarik atau diberi oleh kerajaan. Walauapapun alasan yang diberi oleh kerajaan untuk membunuh tahanan dan cara pembunuhan, AIM menegaskan bahawa hukuman bunuh tidak boleh diasingkan dari isu hak asasi manusia.



Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan – Kebebasan Diri, dengan jelasnya menyatakan bahawa ‘Tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya’. Ia dengan jelasnya mengakui dan menetapkan hak ke atas nyawa sebagai hak asasi rakyat Malaysia walaupun Perkara ini perlu menurut batasan ayat yang terturut yang tidak menurut semangat dan niat sebenar Perlembagaan. AIM berpendapat bahawa niat sebenar Artikel 5(1) perlu dihormati dan hak ke atas nyawa tidak boleh ditundukkan oleh apa-apa batasan.
Hukuman bunuh adalah hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan mengaibkan. Ia mencabul hak untuk hidup. Hukuman ini tidak lagi mempunyai tempat dalam sistem pengadilan Malaysia.
Menurut kajian terbaru mengenai hubungan diantara hukuman bunuh dan kadar jenayah pembunuhan yang dikendalikan oleh PBB pada 1988 dan diperbaharui pada 1996 dan 2002, ‘..kajian telah gagal memberi bukti saintifik bahawa hukuman bunuh memberi kesan mencegah jenayah yang lebih besar berbanding dengan penjara seumur hidup’ Bukti yang ada tidak memberikan sokongan positif bagi andaian yang menyokong hukuman bunuh.
Sempena Hari Menentang Hukuman Bunuh Sedunia, Amnesty International Malaysia menyeru kerajaan Malaysia untuk:
1. Mengisytiharkan penangguhan rasmi ke atas semua perlaksanaan hukuman bunuh dan menyemak semua undang-undang yang mengenakan hukuman bunuh dengan niat untuk mengurangkan secara progresif penggunaan hukuman bunuh di Malaysia menurut Penangguhan Hukuman Bunuh 2007; dan
2. Meminda Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dengan meminda klausa batasan ‘kecuali mengikut undang-undang’ dan memberikan komitmen yang tegas dan utuh kepada hak untuk hidup di Malaysia.

K.Shan
Campaign Coordinator

Tuesday, October 6, 2009

bingung bengong, aku kalut

"El Poeta es el géiser de su propio Ser"
(penyair adalah mata air panas dirinya sendiri)
-Mario Santiago Papasquiaro:

"Fear life, but don't die; you're alone, everybody's alone."

(takut hidup, tapi jangan mati; kau sendirian, semua orang sendiri.)
-Jack Kerouac

Sunday, October 4, 2009

Tahniah Kayuh!

Kayuh, arahan Sook Hwa yang menceritakan tentang bantahan berbasikal Jaringan Rakyat Tertindas (klik Jerit), memenangi Freedom Film Festival (FFF).

seperti yg aku tulis kemarin, tak ada masalahnya Al Fatehah Memali menang atau kalah, yang penting ia telahpun disurahkan. sekarang aku kira menjadi tanggungjawab kita semua, khususnya para pejuang hak asasi manusia untuk mengangkat isu yg dipendam diamkan 24tahun lamanya.

mengambil kira isu2:
-keganasan negara bersenjata terhadap rakyatnya
-I.S.A dan penahanan tanpa bicara (arbitrary detention)
-penangkapan dan penahanan yg melanggar undang2

untuk permulaan rasanya teramat wajar untuk NGO2 hak asasi manusia di Malaysia membentuk suatu pasukan pencari fakta, bagi menggali semula tragedi ngeri Memali.
apa macam?

Saturday, October 3, 2009

FFF: Menang atau kalah, aku tak kisah, yang penting surahnya

Al Fatehah Memali, sebuah dokumentari hanyalah catatan rakaman gambar bergerak, bunyi, suara, lagu dan nyanyian tentang peristiwa ngeri pembunuhan beramai-ramai, yg berlaku 24 tahun lalu. ia hanya dapat menjadi kenyataan setelah NGO Komas memberikan dana berjumlah RM5ribu, bagi membiayai projek ini. juga tidak dilupakan usaha bantuan dokongan kederat tenaga, luangan masa, sumbangan sumber kesemua kawan2, kenalan, senarai panjang orang perseorangan serta yg paling penting warga Memali itu sendiri.

Al Fatehah Memali, malam nanti akan dipertandingkan dalam Freedom Film Fest, di Central Market. Ia bakal dipertandingkan dengan 'filem'2 dokumentari lainnya, Kayuh, arahan Sook Hwa dan No Silver Lining: The Perak Crisis, arahan The S-Ploited (Sherry dan Sherra). Kayuh menceritakan tentang bantahan berbasikal Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), manakala No Silver Lining pula mengkisahkan krisis disebalik rampasan kuasa di Perak.

adat pertandingan, ada yg menang dan ada yg kalah, tapi itu bukanlah persoalan pokoknya.

yang paling penting, isu Memali kini mula diperbincangkan lagi - khususnya dikalangan khalayak berbahasa Inggeris, bukan Melayu - yg ditipu dan percaya propaganda kerajaan, bahawa warga Memali wajar diperlakukan sedemikian rupa, diperhina maruahnya atas alasan pelampau agama yg menggugat keselamatan negara, tanpa bukti dan perbicaraan yg adil; khusus juga bagi generasi muda yg tidak pernah tahu atau tidak ambil tahu tentang tragedi Memali.

seminggu ini, media2 blog, NST, The Sun, The Star,Klue.Com telah membuat liputan berkenaan Al-Fatehah Memali.

tadi siang aku telah menghadiri acara pembukaan Freedom Film Fest. aku telah disapa beberapa org kenalan dengan ayat2 yg aku tidak ingat secara tepatnya apa, tetapi membawa maksud kununnya aku ni selebriti - hanggok kau!

terima kasih atas penghargaan tersebut. tetapi ianya masih lagi bukan pokok persoalan, barangkali sekadar daunan atau hal-hal ranting sahaja.

perkara pokok yg paling penting lagi adalah keadilan untuk warga Memali, akta zalim warisan penjajah I.S.A, keberanian As-Syahid Ustaz Ibrahim Libya serta para syuhada Memali melawan penahanan tanpa bicara dengan korban darah mereka.

bertahun-tahun lamanya isu Memali dipendamkan, malah kes saman keluarga syuhada pula diselesaikan di luar mahkamah, bertahun-tahun lamanya juga isu Memali hanya dilihat sebagai isu agama.

sudah tiba masanya Memali menjadi perjuangan hak asasi manusia. kerajaan Malaysia perlu memohon maaf secara terbuka atas kesalahan jenayah masa lalunya. jika kerajaan boleh mengakui kesilapannya dalam peristiwa pemecatan ketua hakim negara, Salleh Abas - kenapa tidak Memali?

maruah adalah bahagian penting hak asasi manusia,
bahawa manusia dilahirkan bebas merdeka, setara dan bermaruah!

kembalikan maruah warga Memali!
tubuhkan Suruhanjaya Pemulihan dan Kebenaran tentang Peristiwa Memali (klik sini)!

tafakur dan Al Fatehah untuk Memali.

SS: Al-Fatehah Memali akan aku muat naikkan ke dalam You Tube dan blog, setelah tamat tayangan FFF, sepanjang bulan Oktober ini. tentang DVD atau CD, itu tergantung ongkosnya nanti.

Thursday, October 1, 2009

Di Tanah Za'ba Ini: Puisi Khas Pak Samad Said utk Bagan Pinang

Di tanah Za’ba ini badut tak wajar jadi Aduna;
peludah bahasa dan pemboros dana tak wajar juga.
Di kamar Za’ba ini Lembaga kata qalbu Ibunda—
murni daripada sebarang cercaan Akta Bahasa.

Di pentas Za’ba ini budi hiasan batin yang jujur,
menghantar getar pepatah pusaka memoyang terluhur.
Di dewan Za’ba ini pendetalah wira utamanya.
Bukan penghirup kuasa, bukan juga penggogok harta.

9—13, Sept., 2009. A. SAMAD SAID.

catatan SampahSeni:
Negeri Sembilan adalah tanah kelahiran tokoh bahasa Za'ba, makanya ia cukup bersesuaian dengan pertarungan kuasa pada pilihanraya Bagan Pinang. Kita boleh perhatikan, ke mana adatnya orang Nogori, jika Za'ba nya tidak dihargai. mungkin haloba ekonomi harta dan rakus politik kuasa telah lama membenam Za'ba, untuk nanti ditemui kembali generasi mendatang sebagai adat yang telah mati.

puisi ini juga bakal dilagukan Meor Yusuf Aziddin yang bakal menyambut kelahiran album barunya D.R.U.R (Dari Rakyat Untuk Rakyat-klik sini).

pasti juga pilihanraya kecil Bagan Pinang ini akan lebih menarik, menjadi pesta demokrasi, bukan hanya kemeriahan kegiatan undi politik dan ekonomi niaga, tetapi kenyaringan suara-suara budaya, seni dan sastera menyanggah kesombongan kuasa.