Thursday, August 27, 2009

Salam revolusi dari KARTI* : projek gagal bawa kemiskinan di Perak


Pada 24hb Ogos 2009 yang lalu, satu protes diketuai oleh Ahli Parlimen Sg Siput, Dr Jeyaklumar telah diadakan di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak. Penduduk sebuah kampung pedalaman di Sg Siput yang dikenali sebagai Kg PPMS (Program Pembangunan Masyarakat Setempat) telah menuntut agar nasib mereka dibela oleh pihak berkuasa kerana menjadi mangsa satu projek yang gagal.

Latar Belakang Isu PPMS

Pendudk PPMS ialah dari golongan masyarakat miskin di Sg Siput yang ditawarkan rumah dan projek ekonomi pada tahun 2006. Seratus buah rumah telah dibina di kawasan Perlop dan dirasmikan oleh bekas Menteri Besar, Dato Seri Tajol Rosli. Namun, selepas hampir tiga tahun berlalu, projek ekonomi yang dijanjikan masih tidak dilaksanakan menyebabkan hampir semua penduduk kampung terpaksa keluar lebih 30km untuk mencari nafkah. Kebanyakan daripada mereka berpendapatan rendah dan hampir 30 peratus daripada gaji mereka terpaksa diagihkan untuk perbelanjaan petrol sahaja.

Ramai yang terpaksa bekerja lebihan masa untuk menampung perbelanjaan keluarga yang lain. Keadaan penduduk bertambah teruk sehingga banyak rumah yang dipotong bekalan elektrik dan air kerana tidak mampu membayar tunggakan yang berlebihan. Pemotongan bekalan air secara beramai-ramai dilakukan oleh pihak LAP pada 17hb Ogos 2009 yang lalu.Cukup zalim. Jatuh ditimba tangga.

Selain itu, perbelanjaan setiap anak murid yang pergi ke sekolah menengah ialah hampir RM80 sebulan dengan menggunakan perkhidmatan van sapu. Namun ketidaktetapan perkhidmatan ini serta ketidakmampuan ramai keluarga untuk menampung kos pengangkutan ini telah menyebabkan ramai pelajar tercicir sekolah dan ramai dalam proses berhenti sekolah.

Situasi Masa Kini

Dr Jeyakumar, ahli Parlimen Sg Siput telah melawat kampung ini beberapa kali dan para penduduk telah mengutarakan masalah ini kepada beliau. Sebagai langkah kecemasan, Beliau telah menyediakan satu bas sekolah secara percuma untuk penduduk disana dengan kos RM 3000 sebulan yang telah dimulakan pada 3hb Ogos 2009 yang lalu. Namun beliau mengadu, beliau tidak mampu meneruskan projek perkhidmatan bas sekolah ini kerana tidak mampu. Beliau hanya boleh menampung kos tersebut untuk tempoh dua bulan sahaja iaitu pada bulan Ogos dan September dan selepas itu hari menuntut dari kerajaan.

Maka terpaksalah tuntutan mereka dibawa kepada pihak MB BN.


Tuntutan Penduduk-Penduduk PPMS

Mereka mahu Menteri Besar Perak supaya :

  • Menyambung balik bekalan air ke rumah-rumah kami dan memansuhkan tunggakan air penduduk PPMS. Kami ingin menuntut subsidi air untuk setiap keluarga kampung ini sehingga masalah ekonomi kami diselesaikan

  • Mengambilalih projek pengangkutan bas sekolah percuma dan menanggung kos tersebut sehingga masalah ekonomi kami diselesaikan

  • Menyediakan satu Jawatankuasa Kerja (Task Force) untuk mengkaji setiap masalah yang wujud pada projek PPMS seperti tunggakan bil elektrik, masalah lalat dan lain-lain.

  • Menyelesaikan masalah ekonomi kami dengan memberikan tanah seperti yang dijanjikan pada tahun 2006 yang lalu.

K Kuasa Rakyat Membuah Hasil

Hasil demonstrasi tersebut, satu mesyuarat antara penduduk, Dr Kumar dan Pengurus Besar LAP telah diadakan pada hari itu juga oleh pihak pejabat MB dan hasil mesyuarat tersebut, pada keesokan harinya, pihak LAP telah memasang semula bekalan air untuk kesemua rumah yang dipotong dan berjanji akan menyedia satu skim subsidi untuk kesemua penduduk sekiranya mendapat pengesyoran daripada pihak kebajikan. Pihak MB juga berjanji akan mengadakan mesyuarat dengan kehadiran penduduk dan Ketua Timbalan Pegawai Daerah Sg Siput, En Azrul Sani dalam masa seminggu ini untuk memcari satu penyelesaian untuk masalah tanah. Dalam satu mesyuarat kecil selepas itu, Dr Kumar memberitahu penduduk kampung bahawa keberanian penduduk datang sendiri menyuarakan hak telah membuahkan hasil dan menyediakan jalan untuk satu penyelesaian yang sekian lama terbantut. Beliau menegaskan hanya melalui kuasa rakyat sahaja kepentingan rakyat akan dilaksanakan.

*Karti, bukan Kartika, seorang anak muda sosialis menulis laporan ini di
http://parti-sosialis.org

1 comment:

  1. penduduk begini yang kita mahu..
    ...dan kerajaan yang cerdik yang kita mahu...

    ReplyDelete