Tuesday, May 19, 2009

Bebas Pohon Neem, Kachip Fathimah Dikachip


Kita di Malaysia perlu belajar dari India. Kita perlu selamatkan Tongkat Ali dan Kachip Fathimah dari secara senyap dirampas ke tangan kapitalis antarabangsa atas nama liberalisasi dan globalisasi. Ada satu kes lama di India. Ini kisah benar bukan main-main, perjuangan petani India merebut hak paten ke atas pohon neem. Selama lebih 2,000 tahun pokok neem digunakan sebagai pengawal semulajadi pertanian daripada serangan makhluk perosak. Sekonyong-konyongnya, kompeni Amerika, dengan perkakas penjajahan bentuk barunya - hak paten, merampas hak ke atas pokok neem. Pokok ni hak siapa?

Perkakas ini bernama U.S. Patent and Trademark Office (PTO), dibawah Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (A.S) beribu pejabat di Alexandria, Virginia. Saban tahun, PTO mengeluarkan lebih daripada 150, 000 lesen cap - kosong kelentong- paten. Setakat Februari 2008, PTO telah menganugerahkan hampir 8 juta 'hak' paten kepada kompeni2 dan orang perseorangan di seluruh dunia. Maksudnya, hampir lapan juta keluaran/hasil/nikmat bahan, tumbuhan, alam, haiwan dan lain-lain lagi telah dikuasai PTO yang berfungsi sebagai pelindung kompeni2 dan orang perseorangan yang menguasai hasil manfaat keluaran alam di seluruh dunia.

PTO sebenarnya tidak ada hak, kuasa atau keabsahan undang-undang untuk merampas hak pengeluaran hasil sumber alam. Yang ada hanyalah senjata pembunuh manusia –nuklear, kimia, biologi, hirdogen yang bersembunyi dibalik kertas dolar dan kompeni-kompeni kapitalisnya. Dalam kes pohon neem tak ada apa yang diciptakan oleh pengimport neem A.S, Robert Larson. Namun hanya konon seolah-olah mereka menemukan sesuatu - yang telah ada. Mereka sebenarnya tidak menemukan apa-apa. Yang ditemukan hanyalah fikiran jahat haloba ketamakan mereka sendiri. Dengan mengekstrak pohon neem dan konon menemukan bahan aktif yang dapat berfungsi sebagai kawalan makluk perosak ke atas tumbuhan pertanian, maka Larson mempatenkan bahan aktif yang diberi nama "Margosan-O" pada tahun 1985. Tiga tahun kemudian dia menjual hak paten ekstrak neem yang dinamakan "Margosan-O" itu kepada syarikat multi-nasional A.S, W.R Grace and Company. Sejak tahun 1985 itu, berdozen-dozen paten dikeluarkan untuk kompeni-kompeni Jepun dan Amerika terhadap hak ke atas berbagai ekstrak pohon neem.

Grace kemudiannya menawarkan kepada beberapa pengeluar India untuk membeli konon teknologi ciptaannya-benih neem. Ataupun Grace mengugut agar semua pengeluaran hasil keluaran berkaitan neem dihentikan dan hanya dibenarkan mengeluarkan bahan mentah untuk kompeninya saja. Benak punya akal, beli biji benih daripada Grace. Kalau tak nak beli, tak boleh keluarkan hasil dari pohon neem. Hanya boleh keluarkan bahan mentah untuk Grace saja. Grace berjaya juga menipu kompeni Margo Ltd dalam ‘usahasama’ (kapitalis tempatan+antarabangsa) untuk memproses benih neem bagi tujuan eksport.

Namun demikian, selain Margo Ltd yang menjadi pembelot, seluruh India tidak berminat untuk memberhentikan pengeluaran hasil produk neem. Perubatan India, sebahagian besarnya bergantung kepada sistem perubatan tradisional yang memanfaatkan lebih 7500 spesis tumbuh-tumbuhan yang tersebar luas dalam industri kecil dan sederhana di desa. Industri ini menyediakan 70% sumber pendapatan untuk penghidupan mereka. Mujur kerajaan India agak demokratik - dalam masa yang sama sangat rumit, berbanding Malaysia, biarpun kemiskinan dan rasuah cukup berleluasa sekali di sana. Dibawah Undang-undang India, produk/ hasil/ keluaran pertanian dan perubatan TIDAK BOLEH DIPATENKAN!

Selama lebih 2,000 tahun, neem digunakan sebagai pengawal semulajadi bukan kimia terhadap makhluk perosak dan perubatan di India. Telah terlalu banyak proses rumit dibangunkan selama ribuan tahun yang dicuba uji kaji untuk penggunaan dengan tujuan dan fungsi yang khusus. Pertubuhan tempatan India “Boikot Barangan Asing” menggalakkan pengeluaran barangan pengawal makhluk perosak semulajadi, perubatan dan kosmetik tempatan. Ia membanjiri pasaran India. Oleh kerana manfaat neeem telah menjadi kegunaan umum, maka Lembaga Pusat Serangga Perosak India tidak mendaftarkan produk berasaskan neem dibawah Akta Serangga 1968.

Kesombongan dan kerakusan kapitalis Grace untuk menutup pasaran tempatan mengundang bantahan para saintis, petani dan aktivis tempatan. Para saintis India berhujah bahawa hak paten Grace tidak sah. Grace mendakwa menciptakan bahan kimia semulajadi – yang sebenarnya hanya ditemukan dan diberikan nama. Saintis India bertegas yang penemuan bahan aktif kimia anti-makhluk perosak itu bukanlah penciptaan melainkan perkembangan proses masyarakat tradisional India. Dr. V. Sharma daripada Institut Penyelidikan Malaria mengulas, “kita telah menemukan unsur tindakan menangkis serangga dalam minyak neem. Tidak timbul soalan sesiapapun di India atau di luar mendakwa berhak ke atas aspek minyak neem ini. Saya suka kalau penemuan ini digunakan seluas yang mungkin bagi menghalang kerosakan dari haiwan perosak, juga pencegahan penyakit yang berpunca dari haiwan tersebut.

Akhirnya hak paten Grace dirabak buangkan, terbatal dan dilanyak bilamana 200 pertubuhan dari 35 buah negara memfailkan tindakan undang-undang ke atas PTO Amerika Syarikat.

Pada tahun 1994, para petani India melancarkan demonstrasi besar-besaran membantah Perjanjian tentang Cukai dan Tarif. Di Delhi, 200, 000 petani berhimpun mendesak butir-butir rangka perjanjian diterjemahkan ke dalam semua bahasa-bahasa di India. Pada bulan Mac 1994 pula, Dewan Rakyat Parlimen India memaksa kerajaan untuk tidak bersetuju SELAMA-LAMANYA terhadap cadangan undang-undang paten bagi menjadikan Akta Paten India selari dengan kehendak serakah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (World Trade Organization-WTO).

Menjelang Oktober 1994, seramai setengah juta rakyat India berhimpun di Banglore membawa dahan neem. Mereka menyuarakan rintihan atas kerakusan kompeni multi-nasional – kapitalis dunia yang menjajah (konon liberalisasi) Dunia Ketiga berasaskan pengalaman mereka.

Dalam Persidangan Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu di Beijing, 118 kumpulan dari 27 negara menandatangani pengisytiharan mendesak, “pemberhentian mempaten terhadap kesemua unsur kehidupan, melarang membarang dagangkan kesemua unsur alam yang kami dakapi dengan penuh kesucian.”

Benar, akhirnya para petani India dan rakyatnya berjaya menikmati manfaat pohon neem yang dirampas haknya sekejap oleh kompeni Grace. Tetapi ia atas perjuangan cekal, berani dan pengorbanan yang tinggi. Hari ini kapitalis antarabangsa mahu mengubah hukum alam yang semulajadinya menjadi sumber makanan dan perubatan manusia dalam rangkaian kehidupannya. Kapitalis antara bangsa mahu mempatenkan makanan di seluruh dunia. Namun banyak lagi perjuangan yang belum berjaya seperti hak paten beras Basmati di India, ataupun perjuangan ke atas Kachip Fathimah yang belum bermula. Ingat lagi, belum lupa:

"Holista Biotech Sdn Bhd, a Bionexus-status company, is working with PepsiCo, a leading global beverage giant, to develop a drink using Malaysian herb, kacip fatimah or labisia pumila with prospects for sale in Asia, the US and Europe.
Holista Biotech had in 2007 filed two patents on the herb's ability to protect the liver and improve the body's immune system.
"

p/s tulisan ini hanyalah olahan SS dari CCD Internet.

Sumber:

6 comments:

  1. Kita kat Malaysia ini nanti, pada satu hari nanti, akan terpaksa membeli daripada kompeni monopoli global benih kecip fatimah dan tomgkat ali untuk ditanam.

    Ini pernah berlaku di India. Kompeni monopoli global AS telah mempaten beras 'basmati'yang telah beribu tahun ditanam di India. Para petani tidak boleh lagi mengeluarkan padi basmati tanpa izin kompeni AS itu.

    Protes besar, petani dengan sokongan seluruh rakyat India menolak paksaan monopoli global ini.

    Mereka berjaya membungkam usaha jahat dan rakus kompeni global itu.

    Malaysia, alamak kerajaan yang bekerjasama dan lelong khazanah alam semulajadi kita.

    Akhirnya nanti kita kena beli dari kompeni monopoli global AS hasil2 sumber alam kita sendiri.

    Itulah sistem baru yang ditaja oleh rejim baru Malaysia - sistem ekonomi glokal 1Malaysia?

    ReplyDelete
  2. neem dalam bahasa Melayu dipanggil daun mambu atau nambu...selalu digunakan untuk sapu pada kulit bila kena demam campak.

    kita kena ada team yg buat pemantauan aktiviti kapitalis bangsat dah ni

    ReplyDelete
  3. "Dibawah Undang-undang India, produk/ hasil/ keluaran pertanian dan perubatan TIDAK BOLEH DIPATENKAN!"

    JADI KENA DESAK KERAJAAN AGAR PRODUK KELUARAN PERTANIAN DAN PERUBATAN TIDAK BOLEH DIPATENKAN!

    ReplyDelete
  4. mat, pokok pinang lagu mane?
    (ayaq akaq pinang dia, hah ha!)

    ReplyDelete
  5. he..he...akaq pinang belum periksa lagi

    ReplyDelete