Saturday, May 16, 2009

Mengenang percakapan dengan Pelukis Agung Malaysia

Dalam sembang atau percakapan aku dengan kebanyakan para seniman pelukis – yang telah menjadi dan masih dalam latihan di institusi seni, khususnya Uitm – mereka kerap berbicara tentang ‘fundamental of art.’ Dan aku teringat tiga tahun dulu, pertemuanku dengan seorang display artist sebuah hotel ternama ibu kota. Dia pelukis lulusan Uitm, belum aku mendengar tentang pamerannya atau melihat lukisan-lukisan karyanya. Tapi aku pasti, ditangan kesenimanannya, gedung hotel ternama itu berjaya dinampakkan indah dan menawan. Dia, aku anggap kenalan, tapi mungkin dia beranggapan sebaliknya – marah-marah tentang betapa susahnya – perit, getir, pencarian, pengajian - untuk menjadi seniman pelukis. Menurut kenalan ini, hanya bakat + latihan guru seni yang mursyid + ilmu institusi seni sajalah yang boleh melahirkan pelukis. Kenalan ini, terus menghamburkan kata-kata ibarat tembakan –mungkin dia menembak aku agaknya- tentang betapa perlunya untuk tahu apa itu fundamental of art. Biarpun kenalan ini tidak memberitahu aku dari mana datangnya susur galur konsep fundamental of art ini.

Setelah aku amat-amati dan mendalami percakapannya yang penuh ammarah itu, baru aku tahu kepandaian melukis potret dan anatomi tubuh secara realis adalah asas kesenian wajib setiap orang yang mahu menjadi pelukis. Makanya, seseorang itu bukanlah pelukis kalau dia tidak menguasai kepandaian melukis potret dan anatomi tubuh - kepandaian Renaissance Itali. Walaupun akhirnya, seorang Pablo Picasso – hasil pengaruh rupa topeng-topeng Afrika – hanya melukis bentuk-bentuk tidak realistik yang dinamakannya kubisme. Tetapi menurut teman ini, Picasso adalah pelukis agung, kerana biarpun lukisan kubismenya berbentuk begitu, dia telah terbukti memiliki bakat dan telahpun menjalani latihan melukis potret dan anatomi tubuh. Hal yang sama juga diulangi kenalan ini, bila aku menyebut tentang Jackson Pollock dan lukisan ekpressionisme abstraknya itu.Aku tahu, Pollock lulusan sekolah seni Art Students League of New York. Jadi menurut kenalan ini, biarpun hasil karya seseorang pelukis itu berbentuk minimalist dengan katakanlah hanya satu titik hitam di tengah kanvas yang besar, ia tetap diiktiraf sebagai karya seni agung. Ini kerana, pelukis minimalist sebegini telah menjalani proses panjang latihan, pengajian, pembelajaran, bergelumang dengan berbagai bahan hinggalah akhirnya dia bertemu dengan bentuk minimalistnya itu.

Pelik, tidak, tidak, kata kenalan itu, para pelukis seni awam di Pasar Seni (Central Market, Kuala Lumpur) pula tidak dianggap sebagai pelukis sebenar oleh kenalan ini, meskipun mereka – para pelukis seni awam ini – mahir dalam melukis potret dan anatomi tubuh. Dia melihat para pelukis di CM hanya melukis untuk 'harga' selera, kehendak dan permintaan orang ramai. Maka kenalan ini tidak menganggap mereka sebagai pelukis sebenar. Yang tidak dinyatakan kenalan ini ialah biarpun mereka para pelukis di CM menguasai teknik, kemahiran dan ilmu melukis potret dan anatomi tubuh, tetapi disebabkan mereka bukan pelukis kelahiran institusi seni, makanya mereka belum cukup kejadiannya sebagai pelukis lagi.

Tapi, kenalan ini bercakap tentang fundamental of art dalam kefahaman salasilah sejarah pengetahuan seni moden Eropah dan Amerika Syarikat. Kenalan ini, melihat hukum asas lukisan terdiri daripada prosedur dan sifat-sifat fizikal bahan-bahan untuk melukis – yang akhirnya menunjukkan betapa pentingnya CARA daripada hasil lukisan tersebut. Mungkin sebab itulah ribuan graduan seni yang telah dilahirkan institusi, tidak mengeluarkan apa-apa hasil pengeluaran. Kerana hasil menuntut ilmu cara pengeluaran lukisan selama bertahun-tahun telah menjadikan mereka pelukis agung - tubuh dan diri mereka menjadi lukisan yang hidup.

Untuk aku, fundamental of art itu terserah pada asas rujukan, pintu atau tingkap masuk (entry point) terhadap pengeluaran benda (atau bukan benda) 'seni' itu. Dalam zaman revolusi maklumat dan ilmu pengetahuan ini, kita semua dapat melihat rencam keragaman serta kecamuk kepelbagaian atau selirat perbezaan - puluhan, ratusan malah ribuan – tetingkap atau pintu untuk masuk ke jurusan penciptaan/ pengeluaran bentuk kesenian apapun. Kita juga tahu, MAKNA tidak lagi dapat dikuasai/dikawal/dimonopoli taksiran serta takrifannya oleh sesiapapun jua – termasuklah Sampah Seni.

10 comments:

  1. Hey Mat,

    Dulu mu bagitau aku 'semua orang adalah pelukis'! Ingat lagi tak?

    Shah

    ReplyDelete
  2. untuk aku ya.semua org adalah pelukis.tapi utk para pelukis profesional ini tidak semua org adalah pelukis. di titik inilah pertentangan kenyataan aku dengan kenalan pelukis Agung ini.

    ReplyDelete
  3. ha ha ha...

    itu adalah pertentangan exclusivity and inclusivity barangkali.

    Mereka ingin menjadi 'elitis' tapi kau mungkin tak! Mereka ingin memonopoli makna tapi kau nak membebaskan makna!

    ReplyDelete
  4. Sebenarnya nilai 'seni' itu mempunyai hubungan yang sangat kuat dengan corak pemikiran serta kualiti yang wujud dalam susuk tubuh seseorang. contohnya pak samad sendiri- bukan keluaran mana-mana institusi seni, namun pemikiran serta daya kefahaman beliau tentang seni rupa yang mencakupi luar dari lingkaran fine art semata itu sudah cukup meletakkan dia sebagai artist yang tinggi. Ramai juga artist keluaran institusi yang keluar sebagai hampas kering tanpa santan yang berlemak dan berkrim. Kasihan.

    ReplyDelete
  5. persoalannya kenapa institusi seni dengan segala kemudahannya tidak dapat menumbuhkan, malah dalam banyak kes membunuh bakat dan semangat para graduan seni ini - yang mahir dengan CARA dan cukup mengenal BAHAN serta Bentuk2 pengeluarannya?

    kenapa ramai graduan seni halus gagal menjadi 'artist' dan akhirnya bekerja sebagai guru, atau lebih teruk lagi buruh di 7 11 atau Tesco?

    ReplyDelete
  6. salam...
    "kenapa ramai graduan seni halus gagal menjadi 'artist' dan akhirnya bekerja sebagai guru, atau lebih teruk lagi buruh di 7 11 atau Tesco?"

    barangkali mereka merasakan mereka tidak "layak" menjadi "artis"...merasakan dari segi hasil pemgeluarannya kurang bermutu...'ada juga yang terbantut pengeluaran dek kata-kata.

    ReplyDelete
  7. errr mungkin graduan seni-seni itu belum jumpa ego sendiri, masih berendah hati,

    sebelum bertukar menjadi Pelukis Agung Malaysia? satu hari nanti?

    ReplyDelete
  8. bukankah..masa selama bertahun2 belajar di institusi pengajian seni..sepatutnya telah memeprsiapkan mereka dgn keyakinan yg tinggi?

    misalnya, di Institut Seni Indonesia (ISI)Jogjakarta - para pensyarah dan mahasiswanya dapat berpameran bersama di galeri2 sekitar Jogja/ Indonesia. Para pensyarah mendedahkan mahasiswanya, malah dapat pula mereka bersaing bersama2 di luar ISI.

    kenapa misalnya di sini, ada kes2, para pelajar dihalang pensyarah mereka untuk ikut terlibat berpameran di galeri komersil yang melibatkan para pensyarah tersebut juga?

    ReplyDelete
  9. Menjadi pelukis itu adalah pilihan, bakat dan passion. Sapalah kenalan dahsyat ko tu Mat? Apa bezanya pelukis yang kononnya profesional dan hebat dengan yang kat CM kalau NIAT awal berkarya untuk dijual juga?????

    ReplyDelete
  10. Betul mat..jika di ISI para pensyarah dan mahasiswanya dapat berpameran bersama2, jika di sini, mungkin ego seorang pensyarah itu sendiri. Jika dilihat sudut bersaing itu, hasil karya mahasiswa yang dilihat bagus sepatutnya memberi kepuasan kepada seorang pengajar, bukannya rasa tergugat. manusia tetap manusia mat, ego tu tidak mengenal status atau pangkat. Ini bukan terjadi pada seni fine art, malah pada seni visual yang lain juga.

    ReplyDelete