Saturday, May 30, 2009

Hidup bersama menolak perkauman (2)

Fenomena Hindraf merupakan manifestasi pemberontakan masyarakat miskin tertindas -yang tidak hanya dialami rakyat Hindu berketurunan India, di Malaysia pada hari ini. seperti reformasi 1998, fenomena bantahan hindraf di bulan novermber itu ternampak pancaran euphorianya - pergerakan yang tiba-tiba meledak, hampir spontan sifatnya, harapannya tidaklah surut. Manifestasi ini, disebalik marak semangat berontak dan keberanian yang perlu dihormati, ia hadir dalam bentuk yang agak 'kacau' dan penuh amarah. Hindraf misalnya tidak boleh hanya melihat permasalahan kemiskinan hanya masalah yang dihadapi oleh orang-orang berketurunan India Hindu semata-mata.

Ataupun Uthayakumar hanya setaraf Samy Vellu yang hanya mahu kununnya mewakili kepentingan masyarakat India sahaja. Uthayakumar, dengan beban tanggungjawabnya apatah lagi setelah bergelar bekas tahanan ISA, perlulah misalnya menjadi wira seperti S.A Ganapathy. Ganapathy merupakan pemimpin kaum pekerja berbilang kaum dan agama - merentas politik perkauman, menggalas politik kelas penindas dan kelas tertindas - dalam kesatuan sekerja Pan Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU) tahun 40 an. Ganapathy berjuang untuk hak pekerja dan kemerdekaan tanah air dengan tindakan bersama-sama dengan 'kaum' buruh Tanah Melayu dan Singapura pada waktu itu. Mereka bermogok menentang penjajahan Inggeris.

Tabik buat para pejuang kemerdekaan. Ganapathy kemudiannya dibunuh dengan hukuman gantung sampai mati oleh penjajah Inggeris. Dia mengikut jejak para pahlawan sejati tanah air, dengan susur galur yang berencam ragam perlawanannya. Pahlawan Tanah Melayu serta Pulau Temasik seperti Datuk Sagor, Datuk Maharajalela, Si Puntum, Pandak Indut, Sultan Abdullah (ini benar2 Daulat), Datuk Bahaman, Mat Kilau, Datuk Naning, Tok Janggut dan ribuan perwira yang gugur tak tercatat namanya untuk memerdekakan ibu pertiwi dari penjajahan Inggeris.

Benar sejarah hasrat untuk merdeka di tanah air ini tidak seratus peratus monopoli gerakan radikal komunis. tidak salah juga kita mengenang orang seperti ,Dato' Abdul Rahman Andak pejuang bahasa ibunda tanah Melayu yang di'pencen'kan Gabernor Anderson, kemudiannya di'buang' ke England, dan mati dalam 'pelarian'. ataupun peranan 'kapitalis Melayu pertama' Ngah Ibrahim. atau perjuangan golongan sasterawan seni budaya dalam gerakan ASAS 50. sedihnya orang2 seperti inipun cuba untuk dilupa lupuskan perjuangan mereka.

Iya, sayu belantara dan desa Gunong Semanggol, Perak. Di Madrasah Maahad El Ehya’ Al Shariff. pemenjaraan Ustaz Abu Bakar Al Baqir serta perjuangan Hizbul Muslimin dalam menentang penjajahan Inggeris.

Berbalik ke permasalahan Hindraf dan kaum India di Malaysia hari ini bukan masalah orang-orang Melayu menindas orang India. Masalahnya adalah sistem pemerintahan kerajaan yang rasuah, pecah amanah, korup dan menindas rakyatnya. Misalnya, Samy Velu dan MIC sebenarnya tidak memperjuangkan kehidupan kaum india, melainkan kroni mereka. Atau misalnya N.P Narayanan yang tidak memperjuangkan nasib, hak, dan maruah hidup kaum pekerja di estet dan ladang-ladang. Sebaliknya mengkhianati perjuangan pekerja ladang dan berkhidmat atas kepentingan kapitalis besar. N.P Narayanan merupakan bekas pimpinan National Union of Plantation Workers (NUPW). Atau keadaannya parti PPP yang kunun cuba menjadi hero masyarakat India, yang sekarang ini longlai tersadai dalam perlumbaan menjadi 'raja' PPP.

Begitu juga bila kita melihat seorang Chin Peng. Kita perlu membandingkan dirinya - yang dikutuk hina serang keji oleh Umno - dengan tauke-tauke kapitalis cukong lintah darat yang dipuja puji ampu bodek gerombolan Umno kerana kertas duitnya. Cukong seperti TAN SRI Lim Goh Tong (yang mendapat gunung tanah tinggi Genting) atau TAN SRI Vincent Tan (dengan Pulau Pangkor Laut, miliknya) atau bukit-bukit batu kapur (dimilik niaga untung dikaut TAN SRI DATO' (Dr)Francis Yeoh Sock Ping). Contohnya Chin Peng dilaporkan boleh membaca Jawi, sering membaca akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman - tidak pasti dia masih membacanya lagi kerana penerbitan akhbar ini telah dilupuskan gerombolan United Malay National Organization. Boleh ke tan sri-tan sri atau tan sri dato' dr -IKON hartawan DEB- ini membaca Jawi?

Jika misalnya, setelah Perjanjian Damai Kerajaan Malaysia-PKM, Rashid Maidin dapat merasa pernah pulang dan bertemu Perdana Menteri waktu itu, Dr. Mahathir Mohamad. Atau Pemimpin Rejimen Ke 10, Parti Komunis Malaya (PKM) Abdullah C.D dapat pulang ke tanah air, biarpun sebentar dan dapat pula makan malam khas DiRaja bersama Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Perak. Atau seorang Shamsiah Fakeh merasa kembali hidup di tanah air kelahirannya, dan meninggal dikebumikan di sini. Apa salahnya seorang Chin Peng, anak kelahiran Setiawan, negeri Perak pulang ke tanah airnya? Benar, ada sejarah yang gelap dan kabur di belakang kita semua. Tapi ke hadapan boleh saja harapannya cerah cahaya, jika semua kita mahu bersama mengambil yang jernih, membuang yang keruh.

Iya, semua orang-orang gerombolan Umno yang kununnya patriotik telah bersuara dan akan terus melalak garang. Berkata Chin Peng bertanggungjawab atas jenayah kekerasan terhadap tanah air, terutamanya orang-orang Melayu di sini. kenapa tidak terdengar suara mereka mendesak pertanggungjawaban jenayah kekejaman penjajahan kuasa imperialis selama ratusan tahun sejak dari Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris lagi.

Tapi kita kena melihat pada waktu tersebut sebenarnya berlaku perang saudara di tanah ini. Perang yang kalau menurut Penasihat Ekonomi kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Profesor Jomo Kwame Sundaram, ”perang yang tidak disytiharkan Inggeris kerana mahu terus mengaut untung atas tuntutan insurans,” atas rugi kemusnahan ladang-ladang getah atau lombong bijih milik empayar Great Britain di tanah ini dahulu.

Membaca tulisan RPK pula, membawa kita kepada fakta tentang dokongan negara China atas perjuangan Parti Komunis Malaya. dan dulu kesultanan Melayu Melaka, kemudian kerajaan Malaya, bertukar jadi kerajaan Malaysia hinggalah ke saat pimpinan Najib kini masih menjalin hubungan diplomatik mengiktiraf kekuatan politik ekonomi ketenteraan negara China. Najib disebalik retorik anti Chin Peng anti rakyat Malaysia berketurunan Cina, tunduk pergi mengadap sembah pemimpin tertinggi negara China, Hu Jintao (meski bukan lagi Maharaja dinasti). apakah pergi membayar ufti atau bunga emas atau mahu menjual harga diri maruah ibunda Malaysia yang sakit derita ini?

kenapa pula misalnya ingatan tentang kekejaman tentera pendudukan Jepun dalam perang dunia kedua, tidak diteruskan setelah selesai perang dunia ke 2 - kini ramai yang telah lupa. malah Dr. Mahathir menyeru 'Dasar Pandang Ke Timur' agar mencontohi negara matahari terbit. Madey cuba membawa kita ke sisi baru Jepun selepas perang dunia. sisi santun, maju, industrial, rajin berusaha. bukan sisi ganas, kasar, zalim, pedang memancung kepala. hinggalah sekarang ini -secara senyap dan terbuka- melenyapkan ingatan kekejaman tentera Jepun. kerana kertas yen, Jepun disayangi. atau Eropah disanjungi kerana euronya. dan pastilah rakan niaga Malaysia paling besar, imperialis Amerika Syarikat. kita tunggulah nanti kesannya bila Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan -kunun-bebas (FTA) dengan Amerika.

Dalam konteks keadaan politik hari ini, perlu kita jenguk keadaan selepas perang dunia kedua. waktu itu telah terjadi perang rakyat dunia ketiga melawan kuasa-kuasa penjajah Inggeris, Belanda, Perancis, Sepanyol, Amerika Syarikat - perang yang difahami sebagai perang pembebasan nasional bangsa-bangsa yang terjajah selama ratusan tahun.

Jadi bilamana Parti Komunis Malaya, misalnya membunuh perkakas penjajah Inggeris seperti Pesuruhjaya Polis Henry Gurney, ia termasuk dalam garis besar kemenangan perang antara rakyat dunia ketiga yang terjajah menentang kuasa besar dunia kaya yang menjajah.

Henry Gurney yang pernah bertugas sebagai Setiausaha Negara British di Palestin (1946–1948). Tahun 1946. Inilah tahun mulanya sejarah Israel wujud dengan merampas tanah rakyat Palestin. Zionisme yang didukung kuasa empayar penjajah Inggeris. Peranan besar Henry Gurney dalam merampas tanah Palestin menerima imbuhan besar pingat Ratu Inggeris, Knight Commander (KCMG) of the Order of St Michael and St George.

Benar perang suatu yang ganas. Kedua belah pihak berbunuhan. kedua belah pihak menderita sebenarnya. kedua belah pihak cukup berat berdendam kesumat.sampai bila sesama saudara setanah air perlu jadi seteru bermusuhan.kenapa pula Inggeris yang menjajah menjarah membunuh memeras alam dan manusia tanah ini tidak pula dimusuhi habis-habisan. sekarang telah tahun 2009.

Persoalannya untuk apa? Ini yang penting sekali untuk kita semua jawab. Apakah mati untuk memerdekakan tanah air? Atau mati mempertahankan Pentadbiran Tentera British di semenanjung tanah Melayu dan pulau Singapura pada waktu itu? Mati untuk meneruskan penjajahan tanah air yang terjajah selama ratusan tahun di bawah Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris lagi?

Anak dan isteri Henry Gurney tidak dibunuh dalam serang hendap PKM ke atas rombongan sombong ’tuan’ penjajah orang putih berkereta Rolls Royce di bukit ’Fraser’ pada 6 Oktober 1951 itu. Tahun 1951, di kala rakyat tanah jajahan Inggeris di sini hanyalah berbasikal, bersampan, naik bas, keretapi. dapat pula Henry Gurney merasa diri sebagai TUAN menaiki kereta mewah Rolls Royce. oh, itu duit keuntungan hasil perampasan, pemerasan sumber alam dan manusia di Tanah Melayu dan Singapura.

Benar ini semua hanya sejarah lama. Benar telah termeterai Perjanjian Damai Haadyai 1989. Benar kita ingin jernih ke depan, menjaga alam hidup bersama dalam hemah keadilan setara kesatuan rakyat murba. kehidupan damai murni jauh dari penindasan. udara bebas kemerdekaan dari rasuah, undang2 warisan penjajah Inggeris, pecah amanah, salah guna kuasa. aman jujur bahagia sejahtera.

benar juga PKM tidaklah sepenuhnya benar mutlak betul muktamad - bukankah kita dapat berbeza pendapat untuk mentakrif dan mentafsir sejarah. misalnya dalam kes Parti Rakyat Singapura dan kehancuran gerakan kiri demokratik di sana. Pemenjaraan ratusan pimpinan dan aktivis Barisan Sosialis - Parti Rakyat Singapura dan Parti Buruh oleh diktator Lee Kuan Yew. buku Meniti Lautan Gelora, tulisan kenang-kenangan bekas ketua pengarang akhbar Utusan Melayu, Pak Said Zahari mengungkap kunun kerjasama atau kesefahaman 'taktikal' dan 'strategi' antara PKM dan diktator Singapura, Lee Kuan Yew.

Benar Henry Gurney diangkat sebagai wira atau
kunun mangsa 'kekejaman' dan 'keganasan' komunis, malah namanya diangkat menjadi Sekolah Henry Gurney di Melaka, pekan Gurney di Perak, nama jalan Gurney di Melaka, Seremban, Kuala Lumpur, SIngapura. Padang Kota, di Pulau Pinang pula menjadi Gurney Drive. kalau tindakan komunis itu kejam, maka Henry Gurney seribu kali lebih kejam -di Palestin, melandas negara Israel- benar juga kalaulah kekejaman punya harkat dan darjatnya?

Sebagai anak semua bangsa, di bumi hidup sementara ini, kita jangan lupa peranan Henry Gurney dalam perampasan tanah Palestin dan penubuhan negara Israel. Bukankah apa nama Umno kununnya wira dunia ketiga anti Israel?

p/s - gambar Ustaz Abu Bakar Al Baqir diambil dari http://zabidin13.wordpress.com

Tuesday, May 26, 2009

Hidup bersama menolak perkauman (1)*

Kalau kita membaca blog atau media mega gerombolan United Malays National Organization, bolehlah disimpulkan bahawa orang-orang Melayu United Malay National Organization (Umno) membenci orang-orang Cina. Punca kebencian itu, kalau dikaji-kaji kononnya dikatakan berpunca daripada kuasa orang-orang Melayu yang terhakis. Gerombolan Umno mengatakan orang-orang Cina menguasai kekayaan di bumi ini.

Umno bencikan babi kerana ia dimakan orang-orang Cina, dan mengArabkan perkataan babi, menjadi khinzir, bagi menyucikan kekotoran yang menjadi makanan orang-orang Cina ini. Peliknya, orang-orang Inggeris yang sama memakan babi ini, tidak pula dibenci Melayu Umno. Sewaktu semboyan kemerdekaan aliran pakatan PUTERA-AMCJA ditiupkan. Apa kata gerombolan Umno? Kata Dato' Onn Jaafar, “orang-orang Melayu buat jarum pun tak boleh, macam mana hendak merdeka. orang putih boleh buat kapal, kapal terbang....”

Puncanya adalah politik pecah dan perintah penjajah Inggeris yang masih kekal hingga ke hari ini. Umno sering memomok-momokkan Singapura sebagai tanah 'orang-orang Melayu' yang telah tergadai ke tangan Cina - dengan hantu yang bernama Lee Kuan Yew. Siapa yang memberikan Lee Kuan Yew sebuah pulau bernama Singapura, dan baru-baru ini sebuah pulau bernama Batu Puteh? Atau tanah seluas 25,000 ekar yang menjadi Empangan Linggi di Kota Tinggi, Johor. Tanah yang dijual kepada Singapura. Empangan yang memproses air bersih dan selain untuk bekalan ke pulau Temasik, dijual kembali untuk bekalan air negeri Johor, dengan harga semurah 3 sen segelen. Tapak empangan yang dikatakan tempat berpusatnya tamadun Melayu purba, bernama Kota Gelanggi - apakah telah jatuh menjadi milik dinasti diktator Singapura Lee Kuan Yew?

Benar, Lee Kuan Yew seorang rasis Benar rasisme menjadi tunjang pemerintahan parti tunggal PAP Singapura. Tetapi kita tidak boleh mengambil pendekatan perkauman dalam mendekati permasalahan ini. Pendekatan kelas pemerintah menindas dengan rakyat yang ditindas perlulah diambil. Buktinya mangsa kekejaman dan penindasan Lee Kuan Yew dan PAP Singapura tidak mengenal ras, warna kulit, makan babi atau tidak makan babi, Melayu atau Cina.

Kita tahu bekas Ketua Pengarang akhbar Utusan Melayu, Pak Said Zahari, dipenjarakan kerajaan Lee Kuan Yew selama 17 tahun tanpa bicara. Namun demikian, kita juga perlu tahu Chia Thye Poh, seorang Cina juga dipenjarakan Lee Kuan Yew (yang juga seorang Cina). Chia Thye Poh bolehlah dikatakan sebagai pemegang rekod dunia sebagai tahanan politik (memecah rekod Nelson Mandela) tanpa bicara ISA paling lama bukan sahaja di Temasik tetapi di seluruh dunia, dengan rekod pemenjaraan selama 31 tahun! Ingatlah nama-nama ini Lim Chin Siong, Ho Piao, Tan Jing Quee, Francis Khoo, Teo Soh Lung, Wong Souk Yee dan kawan-kawan seperjuangannya yang ditindas diktator Lee Kuan Yew. Terlalu ramai sebenarnya, rakyat Singapura - berbilang kaum dan agama- yang cintakan keadilan, kebenaran, kebebasan, kemerdekaan, kesetaraan menjadi mangsa kerakusan dan kekejaman diktator - setaraf mahazalim - Lee Kuan Yew!

Mereka yang dipenjara tanpa bicara ini, dibawah ISA oleh diktator Lee Kuan Yew, tidak melihat semenanjung tanah Melayu dan pulau Temasik sebagai dua buah negara yang berbeza. Francis Khoo, seorang pelarian politik, seniman, penyair, intelektual dan ahli akademik misalnya memahami naluri jiwa merdeka suatu bangsa dengan pengalaman baru bebas daripada penjajahan Inggeris, Jepun, Belanda, Portugis. Rakyat suatu bangsa merdeka dengan keragaman budaya, kaum dan agama. Mereka mewakili ingatan perjuangan golongan progresif demokratik tahun-tahun 40 an dalam pakatan Pusat Tenaga Rakyat - Putera All Malayan Council Joint Action. Parti-parti seperti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya, Angkatan Pemuda Insaf (Api), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Hizbul Muslimin, Parti Komunis Malaya, Rejimen ke 10.

Menariknya, seorang Francis Khoo, kalau dalam hujah perkauman Umno akan hanya disebut sebagai seorang Cina Singapura yang menindas orang-orang Melayu di sana. Perlembagaan Rakyat 1948 tajaan Putera-AMCJA menyebut Melayu sebagai gagasan tanahair merdeka serta bagaimana manusia-manusia di dalamnya dapat hidup bersama, setara, saksama dan adil. Melayu, dalam ertikata Perlembagaan Rakyat bukan kaum, tetapi asas suatu rupa bangsa baru merdeka di tanah Melayu dan pulau Temasik.

Tetapi kalau kita keluar dari kandang perkauman kita akan merasa setara, sebagai suatu bangsa baru merdeka - daripada penjajahan kuasa-kuasa imperialis - bilamana seorang Francis Khoo berkata, "benarkan saya bercakap dalam bahasa ibunda, iaitu bahasa Melayu." Kata-katanya diperkukuhkan sekali lagi dengan penegasan, “bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia dan Singapura.” Francis berkata demikian pada 16 Mei 2009 lalu di Kuala Lumpur, dalam suatu acara pelancaran buku berjudul, Our Thoughts Are Free, buku yang mengandungi puisi dan karangan tentang pemenjaraan dan menjadi pelarian politik Singapura. Dalam sistem pecah dan perintah, kaum, agama, puak, suku tidak dibenarkan bersatu sebagai rakyat sebaliknya digalakkan menjadi seteru. Mudahnya, pemerintahlah yang mengaut untung atas permusuhan ini.

*pertama kali terbit di Suara Keadilan Mei 2009

Henry Gurney Tokoh Agung PKPIM

Syabas kepada Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) kerana mengaku kunun pandai sejarah. Tetapi yang aku nampak, kenyataan PKPIM ini akan lebih menjelaskan lagi betapa bodoh dan bebalnya kelompok ini pada sejarah tanah air.

kalau nak belajar sejarah, janganlah pada teks buku sejarah sekolah, Tok Janggut yang dibunuh gantung Inggerispun, suatu waktu dalam kurikulum sekolah Inggeris disebut sebagai 'pemberontak' atau 'pengancam keselamatan.'

PKPIM dan aku tak hidup pd zaman Perang Saudara Malaya.

Tapi takkanlah PKPIM menghina Chin Peng dgn begitu hina sekali. "Apakah boleh penjenayah sebegini dimaafkan atas dasar kemanusiaan?" kata Khairul Anwar, kunun pemimpin PKPIM. janganlah sampai menghina begitu sekali. zaman dah berlalu. kerajaan Malaysia, parti Komunis Malaya dan kerajaan Thailand telahpun menandatangani perjanjian DAMAI pada tahun 1989.

Sepatutnya PKPIM wajib menghina dan mendesak apa2 saja nama Henry Gurney di tanah air merdeka ini untuk dilupus atau dihantar balik ke England. apatah lagi setelah 50 tahun Malaysia merdeka (dulu Malaya, ntah macam mana nama Tanah Melayu tiba-tiba hilang). PKPIM ni berani ker misalnya nak mengiystiharkan Henry Gurney sebagai penjenayah?

Henry Gurney telah dibunuh dlm serangan hendap Parti Komunis Malaya, di Fraser Hill pada Oktober 1951. isteri dan anak-anaknya tidak pula dibunuh komunis. PKPIM jangan marah dan membela Henry Gurney. sebabnya kunun PKPIM ini membela ISLAM. membela PALESTIN.menentang ISRAEL.

jadi PKPIM kenalah tahu, Henry Gurney ini adalah barua Empayar Inggeris. Henry Gurney ini bertugas sebagai Setiausaha Negara Jajahan Empayar Inggeris di Palestin dari tahun 1946-1948. sebelum Henry Gurney ni datang Palestin, tak ada lagi Israel. sebelum dia blah bertugas ke Malaya pada tahun 1948, dia telah melandaskan kewujudan negara Zionis Israel. kalau apa nama Khairul Anuwar PKPIM ni betul-betul pandai sejarah dia tak berckp mcm ni.

p/s nak tanya PKPIM yang ngaku pandai sejarah, 100 tahun Polis DiRaja Malaysia tu, apakah termasuk berkhidmat dibawah Henry Gurney?

Monday, May 25, 2009

SS No.9: sejarah miskin

Dari rumah ‘hanya’ melihat sejarah miskin

Tahun 2001, lebih 800 juta orang menderita kelaparan

Julai, tahun 2008, lebih 900 juta orang menderita kelaparan

(sumber: Pertubuhan Makanan dan Pertanian, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu)


Miskin derita kurus kebulur sakit kurang zat bertambah parah

Di rumah, sedap aku mengunyah makan dan enak menagak minum

Inilah dunia kita dunia sampah dan jutaan mereka yang rebah


Yang kaya sekaya-kaya tak terkira bertimbun-timbun rasuah

Nikmat bayaran nyawa kederat buruh kehilangan bau harum

Miskin derita kurus kebulur sakit kurang zat bertambah parah


Parlimen bank, sidang ketagihan wang dan kuasa adalah dadah

harta senjata memenjara, sujud taat manusia mencium

Inilah dunia kita dunia sampah dan jutaan mereka yang rebah


Di sini ramai mati kenyang, tak ada sempadan mentah kedarah

membaca berita tak terdengar mereka kelaparan mengaum

miskin derita kurus kebulur sakit kurang zat bertambah parah


aku resah tapi lelah tak larat, mengalir air mata marah

ke mana hati pergi melihat banjir tangis, sengsara merudum

Inilah dunia kita dunia sampah dan jutaan mereka yang rebah


Wabak penyakit perang, penjajah menjarah tanah

Tak akan selesai hanya dengan mengundi pilihanraya umum

Miskin derita kurus kebulur sakit kurang zat bertambah parah

Inilah dunia kita dunia sampah dan jutaan mereka yang rebah

Saturday, May 23, 2009

Perak:kehakiman sebal: poster Mob's Crib

Poster oleh Mob's Crib: Still Have Faith in Judiciary?


Performans Talqin Ameno


Inilah namanya bertindak balas. Bereaksi atas keadaan yang mendesak penciptaan suatu bentuk kejadian seni. Gambar performance art ini diambil atas ikhsan Malaysiakini. Diberitakan akibat tidak puas hati dengan isu tanah, penduduk setempat didakwa telah "mentalkinkan mayat Umno" di Semporna, kawasan parlimen naib presiden parti itu Mohd Shafie Apdal.

Siapa menggadai segala-galanya di tanahair ini? Kalau bukan United Malays National Organization yang mengakui dirinya kunun pembela Melayu. Siapa menjual tanah seluas 25,000 ekar, tanah Empangan Linggiu di Kota Tinggi, Johor kepada Singapura? Empangan yang memproses air bersih dan selain untuk bekalan ke pulau Temasik, diJUAL KEMBALI untuk bekalan air negeri Johor, dengan harga semurah 3 SEN SEGELEN.

Tapak empangan yang dikatakan tempat berpusatnya tamadun Melayu purba, bernama Kota Gelanggi - apakah telah jatuh menjadi milik dinasti diktator Singapura Lee Kuan Yew?

WAHAI UNITED MALAYS NATIONAL ORGANIZATION! DI MANAKAH TANAH DAN AIR KAMI? PADA SIAPA KAU JUAL?

Thursday, May 21, 2009

HENTIKAN HUKUMAN BUNUH: DUNIA TELAH MEMUTUSKAN

Mansuh hukum bunuh 5:


Perhimpunan Agung PBB telah mengambil langkah penting bagi melindungi mereka yang berdepan dengan hukuman bunuh. Perhimpunan Agung PBB cukup tekal dalam meluluskan ketetapan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap pelaksanaan hukuman bunuh dan mula memperakui matlamat memansuhkan hukuman bunuh. Ketetapan Perhimpunan Agung PBB yang menyeru dilaksanakan penangguhan rasmi terhadap hukuman bunuh merupakan langkah penting ke arah terhapusnya hukuman bunuh di dunia.




Amnesty International mendesak Kerajaan Malaysia sebagai anggota Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk:
- Bertindak serta-merta menubuhkan moratorium terhadap semua perintah pelaksanaan hukuman bunuh. Sebagai langkah pertama pemansuhan hukuman bunuh, semua keputusan hukuman bunuh hendaklah ditukar menjadi hukuman penjara seumur hidup;
- Menyemak semula semua undang-undang yang memperuntukkan hukuman bunuh. Ianya dibuat dengan pandangan untuk secara progresifnya mengurangkan penggunaan hukuman bunuh dalam pelbagai perundangan negara; dan
- Mengesahkan serta memperakui hak untuk hidup dan menyatakan pemansuhan hukuman bunuh adalah amat penting sebagai pelindungan hak asasi manusia.
Untuk memansuhkan hukuman bunuh memerlukan kepimpinan politik yang berani. Kepimpinan yang mengamalkan pembelaan hak asasi manusia. Syarat-syarat penghormatan hak asasi manusia perlu memasukkan pemansuhan hukuman bunuh. Tidak munasabah untuk kerajaan menghormati hak asasi manusia dan dalam masa yang sama mengekalkan pelaksanaan hukuman bunuh.

APA YANG ANDA BOLEH LAKUKAN
1.Bacalah laporan AI dan bahan-bahan berkenaan dengan hukuman bunuh di www.amnesty.org
2.Tulis surat kepada Perdana Menteri bagi mendesak dilaksanakan Ketetapan PBB tentang Penangguhan Rasmi (moratorium) Hukuman Bunuh tanpa berlengah lagi.
YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak
Perdana Menteri
Jabatan Perdana Menteri Malaysia,
Banggunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA, Malaysia.
Tel: +60 3 8888 6000 Faks: +60 3 8888 3444

3.Ikut terlibat dalam forum dan perbincangan berkenaan hukuman bunuh yang dianjurkan berbagai NGO dan masyarakat sivil.
4.Membantu menyebarkan risalah dan maklumat kepada ahli keluarga anda, teman dan sahabat handai.
5.Sertai Amnesty International dan bantulah kami mendidik orang ramai berkenaan hukuman bunuh.
6.Tulis surat pengarang ataupun tulisan pendapat kepada pihak media dengan mengutamakan perihal moratorium sejagat PBB dan tulislah penghujahan anda untuk pemansuhan hukuman bunuh di Malaysia.

Amnesty International Malaysia
A-3-3A, 8 Avenue, Jalan Sungai Jernih 8/1,
Seksyen 8, 46050, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Tel: 03-79552680
Faks:03-79552682
Emel: aimalaysia@aimalaysia.org
Laman web: http://www.aimalaysia.org

HUKUM BUNUH, HUKUMAN KEJAM


Mansuh Hukum Bunuh 4:

Sekarang bayangkan kalau dia TIDAK BERSALAH!

Setiap pelaksanaan hukuman bunuh adalah ganas. Ia menghilangkan peri kemanusiaan setiap mereka yang terlibat dan memperlekeh nilai nyawa manusia. Tidak ada kewajaran yang waras, bila mana negara boleh membunuh.

Hukuman bunuh merupakan bentuk aneh hukuman yang kejam: selain kekejaman hukuman itu sendiri, ia juga melibatkan kekejaman untuk terpaksa menunggu datangnya kematian – selalunya bertahun-tahun – sambil merenung tibanya detik pelaksanaan hukuman mati.

Di Kuwait, warganegara Sri Lanka, Rowan Kuwara dihukum bunuh pada November 2006. Awalnya, dia diisytiharkan mati selepas digantung. Sanjaya Rowan Kumara kemudiannya dibawa ke rumah mayat. Kakitangan perubatan di situ mendapati tubuhnya masih bergerak. Menurut laporan akhbar, pemeriksaan perubatan selanjutnya mengesan degupan jantung yang lemah. Dia diumumkan mati setelah lima jam selesai hukuman gantung.

Di Iran, rejaman batu merupakan hukuman yang diperuntukan terhadap pesalah zina. Biarpun dilaporkan terdapat perintah penangguhan rasmi hukuman dari Ketua Hakim pada tahun 2002, namun Ja’far Kiani direjam sampai mati di sebuah desa berhampiran Takestan, wilayah Qazvin pada 5 Julai 2007 atas kesalahan berzina.

Jurucakap kehakiman kemudiannya, mengesahkan hukuman rejam telah dilaksanakan. Hukum rejam itu sendiri bertujuan mendatangkan penyeksaan maksima – saiz batu yang dipilih secara berhati-hati bagi mengakibatkan kematian yang perlahan dan menyakitkan.

Di Amerika Syarikat, Angel Diaz dihukum bunuh dengan suntikan maut pada Disember 2006. Selepas suntikan pertama, Diaz masih bergerak, mengeliat dan menggelitik cuba untuk melafazkan sesuatu. Dos kedua suntikan diberikan. Ia mengambil masa selama 34 minit lagi sebelum dia diisytiharkan mati. Terdapat keprihatinan seputar peri kemanusiaan hukuman bunuh dengan suntikan maut. Kini banyak negeri-negeri di Amerika Syarikat yang menangguhkan pelaksanaan hukuman bunuh bagi membenarkan hal ini disemak semula.

Di Malaysia, Akta Dadah Berbahaya membolehkan hukuman bunuh mandatori bagi kesalahan mengedar beberapa jenis dadah. Seseorang yang didapati memiliki sekurang-kurangnya 15 gram heroin, 1000 gram candu atau 200 gram ganja adalah dianggap sebagai pengedar dadah, kecuali dibuktikan sebaliknya.

Beban pembuktian terletak pada tertuduh untuk membuktikan dia tidak bersalah dan bukannya pada negara untuk membuktikan yang dia bersalah. Perihal ini bertentangan dengan prinsip hukum asas perundangan Malaysia dan undang-undang antarabangsa yang mensyaratkan si tertuduh berhak untuk mengandaikan dirinya tidak bersalah sehinggalah mahkamah membuktikan kesalahannya.

KENAPA HUKUMAN BUNUH PERLU DILUPUSKAN?

-Hukuman bunuh tidak boleh ditarik kembali dan memakan korban yang tidak bersalah. Mereka tidak boleh dihidupkan semula.

-Hukuman bunuh bersifat diskriminasi dan selalu digunakan secara tidak setimpal dengan kesalahan terhadap orang miskin, kumpulan agama, etnik, kaum atau kelompok minoriti.

-Seringkali terjadi hukuman bunuh dikenakan selepas perbicaraan yang tidak adil.
-Hukuman bunuh adalah hukuman yang kejam.

-Hukuman bunuh merupakan pencabulan terhadap hak untuk hidup dan hak untuk tidak menerima hukuman kejam, hina dan tidak berperi kemanusiaan.

-Banyak kajian dan penyelidikan menunjukkan hukuman bunuh tidak memiliki kesan terhadap pencegahan jenayah.

Sepanjang abad yang berlalu, menyaksikan undang-undang dan sikap masyarakat terhadap penyeksaan juga telah berubah. Menggunakan putaran skru atau bilik seksaan sebagai kaedah sah penyiasatan dan hukuman telah tidak dapat diterima pakai lagi. Sikap masyarakat terhadap hukuman bunuh juga telah berubah. Kini semakin banyak negara yang memansuhkan hukuman bunuh. Perkakas memancung leher, tali gantung mencekik dan gelung penjerat telah disimpan ke dalam muzium, bersama-sama peralatan penyeksaan zaman gelap, abad pertengahan di Eropah.

HUKUMAN BUNUH DAN PENCEGAHAN JENAYAH


Mansuh Hukum Bunuh 3:

Pada tahun 1996, Presiden Nelson Mandela berkata:

bukanlah kerana hukuman bunuh dihapuskan maka jenayah meningkat ke tahap yang melampau. Malah jika hukuman bunuh kembali berkuat kuasa,kadar jenayah tetap akan begitu juga. Apa yang diperlukan, pihak keselamatan mestilah menjalankan tugas mereka dan kita pula perlu giat memastikan pasukan keselamatan memiliki keupayaan untuk berkhidmat, membawa keamanan kepada masyarakat. Inilah isunya. Bukannya hukuman bunuh.”

Tidak ada bukti kajian saintifik yang mendokong hukuman bunuh mencegah jenayah dengan lebih berkesan berbanding bentuk-bentuk hukuman lainnya. Tinjaun terbaru yang dijalankan untuk PBB pada tahun 1988 serta dikemaskini pada tahun 1996 dan 2002 merumuskan kesimpulan: “…penyelidikan telah gagal untuk menyediakan bukti saintifik bahawa pelaksanaan hukuman bunuh mempunyai kesan pencegahan jenayah yang lebih besar berbanding dengan penjara seumur hidup. Amat sukar dibuktikan, biarpun untuk masa mendatang. Bukti-bukti keseluruhan masih tidak memberikan sebarang dokongan positif terhadap andaian jenayah dapat dicegah dengan pelaksanaan hukuman bunuh.

Pencegahan terbaik untuk jenayah-jenayah ganas bergantung pada jaminan penangkapan dan penghukuman. Pernyataan ini, disokong berbagai kajian penyelidikan. Manakala itu dengan jelas ditegaskan Mahkamah Perlembagaan Afrika Selatan:

Kita menipu diri sendiri, jika kita percaya hukuman bunuh…secara perbandingannya terhadap beberapa orang yang dibunuh saban tahun…akan menyediakan penyelesaian terhadap kadar jenayah yang tinggi dan melampau…Pencegahan paling baik terhadap jenayah bergantung pada seberapa besar kemungkinan pesalah yang akan ditangkap, disabit kesalahan dan dihukum. Inilah kekurangan dalam sistem keadilan kita.”

Seringkali politikus menggunakan hukuman bunuh sebagai alat bermanfaat untuk berucap mengenai jenayah dan membuatkan orang ramai berasa selamat. Namun realitinya, hukuman bunuh tidak memberi kesan dan ia menyimpang daripada keperluan untuk menyelesaikan punca jenayah dan menyediakan penawar yang mujarab.

MENGHUKUM BUNUH MEREKA YANG TIDAK BERSALAH



Mansuh Hukum Bunuh 2:

Hak untuk hidup diangkat dalam Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948. Ianya amat selari dengan hak untuk menolak layanan atau hukuman kejam, hina dan tidak berperi kemanusiaan.
Perundangan antarabangsa hak asasi manusia melarang hukuman bunuh terhadap pesalah kanak-kanak – mereka yang melakukan jenayah ketika dibawah umur 18 tahun. Ia juga melarang hukuman bunuh terhadap pesakit mental dan sebarang hukuman bunuh yang berlangsung hasil perbicaraan yang tidak adil.
Tahun itu di Iran, dua pesalah kanak-kanak – Mohammad Mousavi dan Sa’id Qanbar Zahi – telah mati dihukum bunuh. Di Arab Saudi, Dhahian Rakan al-Sibai’I telah dipancung kepalanya pada 21 Julai 2007 atas kesalahan membunuh yang didakwa dilakukannya ketika berumur 15 tahun.
Di Iraq, sejak hukuman bunuh dikembalikan berkuatkuasa pada pertengahan 2004, lebih daripada 270 orang telah dijatuhkan hukuman bunuh dan dilaporkan paling kurang 100 hukuman bunuh telah dilaksanakan. [Termasuklah Saddam Hussein dan para penyokongnya.] Perbicaraan yang berlangsung tidakpun mematuhi piawaian keadilan antarabangsa.
Dalam kenyataan bertarikh 15 Januari 2007, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB meluahkan rasa kecewanya atas pelaksanaan hukuman bunuh terhadap Awad Hamad Al-Bandar dan Barzan Ibrahim Al-Hassan di Baghdad. Kenyataan itu menyebut, “penghukuman bunuh selepas perbicaraan dan rayuan undang-undang yang tidak menghormati prinsip-prinsip keadilan yang sewajarnya adalah menyamai pencabulan hak untuk hidup.”
Di China, banyak hukuman bunuh dilaksanakan selepas perbicaraan yang tidak adil. Xu Shuangfu, pemimpin tidak rasmi kumpulan agama Protestan yang bergelar “Three Grades of Servants” telah dihukum bunuh bersama 11 orang yang lain pada November 2006 selepas didapati bersalah membunuh 20 orang ahli kumpulan lain bernama, “Eastern Lightning”.
Xu Shuangfu dilaporkan mendakwa dirinya membuat pengakuan dalam keadaan didera semasa soal siasat polis. Penderaan termasuklah dipukul dengan rantai berat dan tongkat, renjatan elektrik pada jemari kaki dan tangan serta alat kelamin, selain disumbatkan cili pedas, minyak gas dan halia ke dalam hidung. Mahkamah yang mendengar perbicaraan dan mahkamah rayuan tidak membenarkan para peguamnya untuk membawa dakwaan deraan tersebut sebagai hujah pembelaannya.
Di Arab Saudi, selepas perbicaraan tanpa pembelaan wakil guaman, si tertuduh dijatuhkan hukuman bunuh. Misalnya, tiga orang warga asing, Halemma Nissa (Sri Lanka), Naushad (India) dan KMS Bandaranaike (Sri Lanka) dijatuhkan hukuman bunuh kerana dituduh mengambil bahagian dalam rompakan bersenjata yang membunuh seorang perempuan. Sepanjang masa, mereka tidak dibenarkan mendapatkan bantuan guaman dan dipercayai membuat pengakuan dalam keadaan tertekan. Pada Julai 2007, kes mereka dilaporkan dibawa ke mahkamah rayuan, tetapi masih tanpa sebarang bantuan guaman. Rayuan didengar secara rahsia dan mereka ini sedang berhadapan risiko ketentuan hukuman bunuh jika mahkamah rayuan memutuskan untuk berpegang pada keputusan asal.

PERJALANAN PENUH PENCABULAN – DARI PENAHANAN KE PEMBUNUHAN

Setiap kali hukuman bunuh digunakan, terdapat risiko besar bahawa seseorang itu dihukum atas jenayah yang tidak dilakukannya. Ramai banduan dihukum bunuh biarpun terdapat keraguan munasabah yang cukup kuat berhubung kesalahan mereka.
Ramai juga yang dibebaskan selepas semakan semula kes mereka yang menunjukkan sabitan kesalahan terdahulu terhadap mereka adalah tidak benar.
Namun demikian, keputusan hukuman bunuh adalah teramat sukar untuk ditarik balik disebabkan mahkamah rayuan selalunya tidak mengambil kira bukti baru, membataskan penghakiman mereka pada butiran perbicaraan semata-mata.
Bilamana negara membunuh, terdapat risiko kemungkinan mereka yang terhukum mati sebenarnya tidak melakukan jenayah. Masalahnya, mereka terpaksa membayar dengan harga paling mahal, iaitu nyawa mereka sendiri. Dalam banyak kes di seluruh dunia, biarpun keraguan yang kuat seringkali dapat ditunjukkan, namun hukuman bunuh tetap juga dilaksanakan. Banduan yang benar-benar bertuah dibebaskan selepas kes mereka disemak semula.
Mustahil untuk menentukan berapa ramai manusia tidak berdosa yang telah – dan sedang – dihukum bunuh. Ini kerana jarang berlaku semakan semula kehakiman atau penyiasatan berhubung kemungkinan kesilapan selepas hukuman bunuh dijatuhkan.
Pada tahun 1981, Edmary Mpagi ditangkap atas tuduhan merompak dan membunuh di kampung keluarganya di Uganda. Selepas perbicaraan, dia disabitkan kesalahan dan dihukum bunuh. Dia menghabiskan masa selama 18 tahun di penjara Luzira Upper menunggu pelaksanaan hukuman bunuh. Keluarganya melaporkan orang yang didakwa dibunuh Mpagi masih hidup dan mereka berkempen untuk pembebasannya. Pada Julai 2000, setelah 18 tahun menunggu hukuman bunuh, Edmary Mpagi dibebaskan setelah diputuskan Suruhanjaya Presiden.
Di Jepun, Menda Sakae dan tiga orang lagi di hukum bunuh terhadap tuduhan berbeza dalam perbicaaraan berasingan. Mereka dibebaskan dalam tahun 1980 an setelah mahkamah dibuktikan bahawa tuduhan ke atas mereka adalah palsu dan “pengakuan” paksa yang dibuat dalam keadaan mereka disiksa telah digunakan sebagai bukti perbicaraan. Menda Sakae dibebaskan pada tahun 1983, setelah menjalani hukuman 34 tahun penjara dalam penantian menunggu hukuman bunuh. Sepanjang tempoh itu, Sakae telah memohon perbicaraan semula sebanyak enam kali, sebelum rayuannya diterima.
Di Amerika Syarikat, sejak tahun 1973, 124 orang yang menunggu pelaksanaan hukuman bunuh dibebaskan kerana mereka kemudiannya didapati tidak bersalah. Ramai yang nyaris dijatuhi hukuman mati. Ramai juga yang menunggu terlalu lama.

(p/s-gambar CCD google, Mumia Abu Jamal, aktivis hak org2 Amerika berketurunan Afrika yg menunggu di penjara hampir 30 tahun, dan sehingga kini masih menunggu hukuman bunuhnya di Amerika Syarikat)

MANSUH HUKUM BUNUH: DUNIA TELAH MEMUTUSKAN


[Siri tulisan (Mansuh Hukum Bunuh 1-5) ini merupakan terjemahan SS daripada risalah kempen anti hukuman bunuh drpd Amnesty International, sebuah badan bebas yang berkempen untuk isu-isu hak asasi manusia sedunia. Tulisan ini diperturunkan di sini sebagai memperpanjang maklumat tulisan Isham Rais SAYA TIDAK MAHU JADI TUHAN di tukar tiub.]


Mansuh Hukum Bunuh 1:

Pada Disember 2007, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) – badan induk yang merangkumi kesemua negara-negara anggota PBB telah meluluskan ketetapan, mendesak dilakukan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh dan pelaksanaan hukuman mati.

KETETAPAN INI MENDESAK NEGARA-NEGARA YANG MASIH MENGEKALKAN HUKUMAN BUNUH UNTUK:

-MENUBUHKAN PENANGGUHAN RASMI (MORATORIUM) TERHADAP KESEMUA PELAKSANAAN HUKUMAN MATI DENGAN PANDANGAN AKAN MEMANSUHKAN HUKUMAN BUNUH PADA MASA MENDATANG.

-MENYEDIAKAN PELINDUNGAN BAGI MENJAMIN KESELAMATAN HAK-HAK MEREKA YANG BERDEPAN DENGAN HUKUMAN BUNUH DAN SECARA PROGRESIFNYA MENGURANGKAN PENGGUNAAN HUKUMAN BUNUH TERHADAP JUMLAH KESALAHAN YANG BOLEH DIKENAKAN.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia, Louise Arbour mengutuk Hukuman Bunuh “…sebagai sekatan yang tidak mempunyai tempatnya dalam mana-mana masyarakat yang mendakwa menghargai hak asasi manusia dan menentang pencabulan hak seseorang itu.

Ketetapan ini yang diangkat badan tertinggi politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan keanggotaan sejagat, merupakan perakuan jelas terhadap perkembangan pesat antarabangsa ke arah pemansuhan hukuman bunuh di seluruh dunia. Ia ketetapan yang ditandatangani sokongan Setiausaha Agung PBB. Biarpun ketetapan ini tidak mengikat kepatuhan perundangan setiap negara, ia membawa tanggungjawab moral dan politik yang besar. Ini kerana ianya diangkat badan utama PBB yang melibatkan kesemua anggota PBB.

Hukuman bunuh menghalalkan tindakan keganasan negara yang tidak pula boleh ditarik balik. Hukuman bunuh bersifat diskriminasi dan selalu disalahgunakan terhadap rakyat miskin, kumpulan minoriti dan berbagai anggota kelompok etnik, kaum dan agama. Hukuman bunuh biasanya dikenakan setelah melalui perbicaraan yang tidak adil. Namun biarpun perbicaraan menurut piawaian keadilan antarabangsa, risiko membunuh orang yang tidak bersalah tidak sepenuhnya dapat dihapuskan. Hukuman bunuh tidak dapat dielakkan lagi akan meragut nyawa mangsa yang tidak bersalah, seperti yang terus menerus berlaku hari ini.



BENAR-BENAR KE ARAH PERUBAHAN SEJAGAT



Saya percaya nyawa amat bernilai dan mesti dilindungi serta dihormati, dan kesemua manusia punya hak untuk hidup bermartabat. Perundangan dunia mengesahkan nilai-nilai ini. Saya amat menyedari hala tuju yang berkembang dalam perundangan antarabangsa dan amalan peraturan negara-negara ke arah menghapuskan hukuman bunuh”…Setiausaha Agung PBB Ban Ki-Moon pada 2007

Terdapat 90 buah negara yang telah memansuhkan hukuman bunuh untuk semua kesalahan jenayah. Terdapat 40 buah negara pula yang memansuhkan hukum bunuh untuk jenayah-jenayah tertentu ataupun sejak 10 tahun yang lalu belum melaksanakan hukuman bunuh terhadap pesalah, dipercayai kerana dasar kerajaannya, biarpun mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati.

- Pada tahun 2006, hanya 25 buah negara melaksanakan hukuman bunuh dan 91% hukuman bunuh itu dijalankan hanya di 6 negara: China, Iran, Iraq, Pakistan, Sudan dan Amerika Syarikat.

- Di Asia Tengah, Kazakhstan, Kyrgystan, Tajikistan dan Turkmenistan telah memansuhkan hukuman bunuh atau melaksanakan penangguhan rasmi (moratorium) terhadap hukuman bunuh.

- Eropah cukup jelas menjadi kawasan bebas hukuman bunuh, dengan satu-satunya pengecualian di Belarus.

- Di Afrika, hanya 6 daripada 53 buah negara di rantau itu yang diketahui melaksanakan hukuman bunuh pada tahun 2006.

- 14 buah negara di benua Afrika telah memansuhkan hukuman bunuh dan 17 buah negara lagi sedang menurut jejak pemansuhan tersebut.

- Dengan pemansuhan hukuman bunuh di Filipina pada bulan Jun 2006, rantau Asia Pasifik kini memiliki 25 buah negara yang telah menggugurkan undang-undang hukuman mati dan menghapuskan amalan tersebut.

- Benua Amerika (Utara, Tengah dan Selatan) menyaksikan hampir tiadanya pelaksanaan hukuman bunuh. Sejak tahun 2003, hanya Amerika Syarikat sahaja yang terus menghukum bunuh manusia secara berterusan. Di Amerika Tengah dan Selatan, hanya Belize, Guatemala dan Guyana sahaja yang mengancam untuk melaksanakan hukuman bunuh.

p/s-imej CCD google, ilustrasi Anthony Gonzalez

Contempt for rare fART


[ini ada satu laman seni hebat. namanya arterimalaysia. denyut seni budaya malaysia dan asia tenggara dikatakan berdegup di sini. tulisan dibawah ini, asalnya keterangan bertulis yg diminta Simon Sun bagi penulisan esei kuratorialnya untuk pameran yang disertai SS, berjudul 3 young contemporaries 2009.smlm ia diterbitkan diarteri]

Ianya mudah. Gambar-gambar potret dicuri ‘download’ daripada Internet, dicetak dakwat hitam putih tanpa rujukan pada warna. Hanya bentuk dan cahaya. Kemudian cetakan gambar-gambar dikhayalkan di dalam ‘photo shop’ kepala hotak - dimain, dikerat-kerat, ditampal, diletak warna-warna, dipadam, ditambah dan dikurangkan – menjadi suatu gambar yang lain apabila dilukiskan. Kesan pandangan pada gambar potret muncul ke permukaan kanvas – cerita-cerita yang disambung sembangkan dari seorang ke seorang yang lain, dengan lidah, mulut, tangan atau perkakas teknologi; peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian; jenayah penindasan atau kebebasan; ulasan pendapat politik atau propaganda murahan atau kemarahan ataupun taik! Aku peduli apa.

Tidak perlu judul untuk siri-siri lukisan saya. Teks dinampakkan sebagai bahagian daripada rupa lukisan, disamping kesan daripada gambar-gambar kesan foto cetakan yang dilukiskan atas kanvas dengan medium acrylic, ada juga yang dicampur pensil. Tidak perlu kenyataan, terserah mata memandang membaca lukisan. Tidak timbul keinginan untuk menghidangkan pesona – bukan itu cita-citanya! Tidak salah dan dialu-alukan siapapun membuka tafsiran atau memberi takrif, menulis wacana atau kritikan, cercaan atau kutukan. Aku peduli apa.

Namun demikian, perasaan begitu luas dan bebas, merdeka dan mengalir. Aku bukan orang yang tahu inti pati hakikat (substance) – dan aku peduli apa. Kewujudan (existence) aku masih tentang persoalan pokok yang telah, sedang dan akan ditanya jawabkan selama tahun-tahun kehidupan manusia, “apakah itu SENI?

Seniku adalah seni yang kering, kontang dan kegersangan – Art of desperation! Dalam keadaan yang terdesak, seniku adalah seni yang menyenangkan diriku sendiri. Aku suka pada apa yang aku suka – dan ini berubah-ubah pula. Aku peduli apa. Aku memilih-milih bentuk dan rupa yang ingin kunampakkan. Meski aku bukanlah buruh mahir atau pakar dalam hal kesenian yang dilatih, dipandu guru dalam sebuah kurikulum institusi. Aku dilabelkan sebagai “self-taught artist” jadi apa yang diajarkan diriku mestilah suatu yang sangat berbeza atau bertentangan atau berlawanan (bolehkah seiringan?) dengan ajaran estetika, sejarah, falsafah, buku, guru, teknik atau nilai institusi – dan aku peduli apa. Mungkin aku kurang diajar sekolah, tapi “alamraya adalah sekolahku dan setiap unsur itu guru” yang belum habis-habis mendidikku. Setiap saat adalah didikan pelajaran, dan aku terus belajar hingga nanti datang tamat riwayat dan nafas kematian.

Tapi, soalan “apakah itu SENI?” memungkinkan kehadiran dan kewujudan sesiapapun sebagai seorang seniman – dengan atau tanpa pengisytiharan - yang menciptakan kesenian, seindah atau seburuk apapun. Siapapun engkau, dimana-mana, apa-apa dan bila-bilapun tetaplah SENI dalam pengertiannya yang paling asasi. Nampakkanlah apa saja – luahan ekspresionisme atau keobjektifan acuan rasmi yang membentuk atau lakaran atau lukisan atau arca atau seni pasang atau seni tampak atau seni plastik atau modernisme atau tradisional atau pasca kolonialisme atau contemporary atau naïve art atau raw art atau fine art atau insider atau outsider art atau filem atau bunyi atau musik atau lagu atau sastera atau apa-apa sajalah! Aku peduli apa.

Aku peduli apa. Inilah jalannya Art of desperation! Inilah titik masuk ‘entry point’ yang akan membawa berbagai kehadiran, beragam kemungkinan dan berencam kebarangkalian ke ruang pemerintahan (dominion) SENI atau keakraban masyarakat SENI atau ekonomi SENI atau politik SENI atau sebab musabab SENI atau asas kewarasan SENI atau agama SENI atau kegilaan SENI – bagaimana dan apapun yang ingin difahami.


Tuesday, May 19, 2009

Pameran Poster Gerakan Sosial




majalah ZMag bulan Mei, 2009 membawakan perihal pameran Tanda-tanda Perubahan: Budaya Gerakan Sosial tahun 1960an hingga Kini. Dua poster di atas merupakan CCD ZMag.

Bebas Pohon Neem, Kachip Fathimah Dikachip


Kita di Malaysia perlu belajar dari India. Kita perlu selamatkan Tongkat Ali dan Kachip Fathimah dari secara senyap dirampas ke tangan kapitalis antarabangsa atas nama liberalisasi dan globalisasi. Ada satu kes lama di India. Ini kisah benar bukan main-main, perjuangan petani India merebut hak paten ke atas pohon neem. Selama lebih 2,000 tahun pokok neem digunakan sebagai pengawal semulajadi pertanian daripada serangan makhluk perosak. Sekonyong-konyongnya, kompeni Amerika, dengan perkakas penjajahan bentuk barunya - hak paten, merampas hak ke atas pokok neem. Pokok ni hak siapa?

Perkakas ini bernama U.S. Patent and Trademark Office (PTO), dibawah Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat (A.S) beribu pejabat di Alexandria, Virginia. Saban tahun, PTO mengeluarkan lebih daripada 150, 000 lesen cap - kosong kelentong- paten. Setakat Februari 2008, PTO telah menganugerahkan hampir 8 juta 'hak' paten kepada kompeni2 dan orang perseorangan di seluruh dunia. Maksudnya, hampir lapan juta keluaran/hasil/nikmat bahan, tumbuhan, alam, haiwan dan lain-lain lagi telah dikuasai PTO yang berfungsi sebagai pelindung kompeni2 dan orang perseorangan yang menguasai hasil manfaat keluaran alam di seluruh dunia.

PTO sebenarnya tidak ada hak, kuasa atau keabsahan undang-undang untuk merampas hak pengeluaran hasil sumber alam. Yang ada hanyalah senjata pembunuh manusia –nuklear, kimia, biologi, hirdogen yang bersembunyi dibalik kertas dolar dan kompeni-kompeni kapitalisnya. Dalam kes pohon neem tak ada apa yang diciptakan oleh pengimport neem A.S, Robert Larson. Namun hanya konon seolah-olah mereka menemukan sesuatu - yang telah ada. Mereka sebenarnya tidak menemukan apa-apa. Yang ditemukan hanyalah fikiran jahat haloba ketamakan mereka sendiri. Dengan mengekstrak pohon neem dan konon menemukan bahan aktif yang dapat berfungsi sebagai kawalan makluk perosak ke atas tumbuhan pertanian, maka Larson mempatenkan bahan aktif yang diberi nama "Margosan-O" pada tahun 1985. Tiga tahun kemudian dia menjual hak paten ekstrak neem yang dinamakan "Margosan-O" itu kepada syarikat multi-nasional A.S, W.R Grace and Company. Sejak tahun 1985 itu, berdozen-dozen paten dikeluarkan untuk kompeni-kompeni Jepun dan Amerika terhadap hak ke atas berbagai ekstrak pohon neem.

Grace kemudiannya menawarkan kepada beberapa pengeluar India untuk membeli konon teknologi ciptaannya-benih neem. Ataupun Grace mengugut agar semua pengeluaran hasil keluaran berkaitan neem dihentikan dan hanya dibenarkan mengeluarkan bahan mentah untuk kompeninya saja. Benak punya akal, beli biji benih daripada Grace. Kalau tak nak beli, tak boleh keluarkan hasil dari pohon neem. Hanya boleh keluarkan bahan mentah untuk Grace saja. Grace berjaya juga menipu kompeni Margo Ltd dalam ‘usahasama’ (kapitalis tempatan+antarabangsa) untuk memproses benih neem bagi tujuan eksport.

Namun demikian, selain Margo Ltd yang menjadi pembelot, seluruh India tidak berminat untuk memberhentikan pengeluaran hasil produk neem. Perubatan India, sebahagian besarnya bergantung kepada sistem perubatan tradisional yang memanfaatkan lebih 7500 spesis tumbuh-tumbuhan yang tersebar luas dalam industri kecil dan sederhana di desa. Industri ini menyediakan 70% sumber pendapatan untuk penghidupan mereka. Mujur kerajaan India agak demokratik - dalam masa yang sama sangat rumit, berbanding Malaysia, biarpun kemiskinan dan rasuah cukup berleluasa sekali di sana. Dibawah Undang-undang India, produk/ hasil/ keluaran pertanian dan perubatan TIDAK BOLEH DIPATENKAN!

Selama lebih 2,000 tahun, neem digunakan sebagai pengawal semulajadi bukan kimia terhadap makhluk perosak dan perubatan di India. Telah terlalu banyak proses rumit dibangunkan selama ribuan tahun yang dicuba uji kaji untuk penggunaan dengan tujuan dan fungsi yang khusus. Pertubuhan tempatan India “Boikot Barangan Asing” menggalakkan pengeluaran barangan pengawal makhluk perosak semulajadi, perubatan dan kosmetik tempatan. Ia membanjiri pasaran India. Oleh kerana manfaat neeem telah menjadi kegunaan umum, maka Lembaga Pusat Serangga Perosak India tidak mendaftarkan produk berasaskan neem dibawah Akta Serangga 1968.

Kesombongan dan kerakusan kapitalis Grace untuk menutup pasaran tempatan mengundang bantahan para saintis, petani dan aktivis tempatan. Para saintis India berhujah bahawa hak paten Grace tidak sah. Grace mendakwa menciptakan bahan kimia semulajadi – yang sebenarnya hanya ditemukan dan diberikan nama. Saintis India bertegas yang penemuan bahan aktif kimia anti-makhluk perosak itu bukanlah penciptaan melainkan perkembangan proses masyarakat tradisional India. Dr. V. Sharma daripada Institut Penyelidikan Malaria mengulas, “kita telah menemukan unsur tindakan menangkis serangga dalam minyak neem. Tidak timbul soalan sesiapapun di India atau di luar mendakwa berhak ke atas aspek minyak neem ini. Saya suka kalau penemuan ini digunakan seluas yang mungkin bagi menghalang kerosakan dari haiwan perosak, juga pencegahan penyakit yang berpunca dari haiwan tersebut.

Akhirnya hak paten Grace dirabak buangkan, terbatal dan dilanyak bilamana 200 pertubuhan dari 35 buah negara memfailkan tindakan undang-undang ke atas PTO Amerika Syarikat.

Pada tahun 1994, para petani India melancarkan demonstrasi besar-besaran membantah Perjanjian tentang Cukai dan Tarif. Di Delhi, 200, 000 petani berhimpun mendesak butir-butir rangka perjanjian diterjemahkan ke dalam semua bahasa-bahasa di India. Pada bulan Mac 1994 pula, Dewan Rakyat Parlimen India memaksa kerajaan untuk tidak bersetuju SELAMA-LAMANYA terhadap cadangan undang-undang paten bagi menjadikan Akta Paten India selari dengan kehendak serakah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (World Trade Organization-WTO).

Menjelang Oktober 1994, seramai setengah juta rakyat India berhimpun di Banglore membawa dahan neem. Mereka menyuarakan rintihan atas kerakusan kompeni multi-nasional – kapitalis dunia yang menjajah (konon liberalisasi) Dunia Ketiga berasaskan pengalaman mereka.

Dalam Persidangan Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu di Beijing, 118 kumpulan dari 27 negara menandatangani pengisytiharan mendesak, “pemberhentian mempaten terhadap kesemua unsur kehidupan, melarang membarang dagangkan kesemua unsur alam yang kami dakapi dengan penuh kesucian.”

Benar, akhirnya para petani India dan rakyatnya berjaya menikmati manfaat pohon neem yang dirampas haknya sekejap oleh kompeni Grace. Tetapi ia atas perjuangan cekal, berani dan pengorbanan yang tinggi. Hari ini kapitalis antarabangsa mahu mengubah hukum alam yang semulajadinya menjadi sumber makanan dan perubatan manusia dalam rangkaian kehidupannya. Kapitalis antara bangsa mahu mempatenkan makanan di seluruh dunia. Namun banyak lagi perjuangan yang belum berjaya seperti hak paten beras Basmati di India, ataupun perjuangan ke atas Kachip Fathimah yang belum bermula. Ingat lagi, belum lupa:

"Holista Biotech Sdn Bhd, a Bionexus-status company, is working with PepsiCo, a leading global beverage giant, to develop a drink using Malaysian herb, kacip fatimah or labisia pumila with prospects for sale in Asia, the US and Europe.
Holista Biotech had in 2007 filed two patents on the herb's ability to protect the liver and improve the body's immune system.
"

p/s tulisan ini hanyalah olahan SS dari CCD Internet.

Sumber:

Sunday, May 17, 2009

Seni Digital M2Day: Apa Nama



Dalam memblog, antara unsur pentingnya adalah komen/ ulasan. Di blog MalaysiaToday selalu ditemukan karya seni digital mempersenda penguasa. Gambar seni digital di atas merupakan ulasan yang diposkan atas nama mowadoha, 17 Mei, 2009, jam 02:00:04. Ia merupakan maklum balas terhadap berita tentang Dr. M yang menyeru agar media tidak mengamalkan saringan (self-censorship). Dalam berita itu Madey berkata, di zaman Pak Lah atas sekatan saringan media, dia terpaksa memblog.

Saturday, May 16, 2009

Satu lagi performans


terima kasih pada
guru besar haneem kaydeen yang berkata...

mat, ini juga masuk kategori seni perfomans?

http://anilnetto.com/malaysian-politics/who-was-that-taped-man/

untuk SS ini seni tampak performans - dia menampakkan rupanya sebagai arca yang hidup dalam suatu kejadian bantahan yang dirancangnya atas desakan untuk pembubaran DUN Perak, memulihkan demokrasi dengan diadakan pilihanraya. Dari hukum rangka foto, video atau filem ada disebut konsep Mis-en-scene. yang disebut “meezonsen”. Ternampak seorang acra, memasangkan tubuhnya dengan bendera negeri Perak Darul Ridzuan, di mulut tertampal plaster - tersekat, disekat suaranya, di belakang seorang arca tak bernama ini ada papan tanda gambar Sultan dan Sultanah Perak.

ya, tanpa kesedaran perlakuan dirinya adalah kejadian kesenian, dia telahpun melakukan seni performans. agaknya, tanpa kesedaran menjadi seniman dia telah mengeluarkan suatu bentuk kesenian tampak bukan benda atau bukan halus atau bukan seni plastik - prosedur, bahan, cara menjadi objek seni (barangkali boleh jadi foto dan video juga). Untuk para seniman profesional bukankah ini sampah seni - yang hebat sebenarnya - yang klise, alah ini kalau senipun, seni propaganda, berlambak-lambak orang dah buat dah, buat apa tercegat macam orang gila, hah gilalah tu? Tetapi menurut SS, seorang arca hidup tak bernama ini telah melakukan tugas nuraninya. Biarpun mungkin dari segi sejarah seni rasmi, dia akan dianggap bukan yang pertama dan bukan yang terkini. Bagus juga kalau dia melakukan performans ini tanpa niat seni yang sepenuhnya muluk atau tanpa rujukan. Kita telah melihat, menyaksikan, merekod atau cuba membaca seni yang hidup sebenarnya - di waktu berlaku kejadian itu, kita melihat tindak balas sang seniman tak bernama pada lingkungan persekitarannya. Benar, dia bukan benda. Dia seni yang hidup.

tapi sekarang bagus juga Zambry jadi MB sampai pilihanraya ke 13 nanti. barulah.......

Nah kau - seni gerilya - Najib bertandok!


Bagus2. Aku hanya mencatat kembali laporan dari TVAntara yang dipetik blog Kerengge tentang sebuah kedai buku terkenal -menurut sumber SS di kedai buku Borders- di Kuala Lumpur di dakwa mempersendakan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak dengan melekatkan tanduk kertas di songkok dan memutihkan warna pada muka hadapan wajah beliau di buku "Najib Razak: Pendakian Ke Puncak Kuasa" karya Chamil Wariya.
Nampaknya, setelah imajan stensil dengan rujukan Bansky, tersebar luas di Malaysia. Kini seni seperti Bansky mula bergerilya di Malaysia dengan mendobrak wajah Najib di sampul kulit buku tersebut. bijak2.
Dulu,seniman gerilya - tak dikenali - cuma dikenal dengan tandatangan Banksy pernah bergerilya mengubah cd2 Paris Hilton dengan menambah mengubah suai dan meletakkan kembali cd versinya itu ke rak jualan di kedai-kedai rakaman muzik.





Mengenang percakapan dengan Pelukis Agung Malaysia

Dalam sembang atau percakapan aku dengan kebanyakan para seniman pelukis – yang telah menjadi dan masih dalam latihan di institusi seni, khususnya Uitm – mereka kerap berbicara tentang ‘fundamental of art.’ Dan aku teringat tiga tahun dulu, pertemuanku dengan seorang display artist sebuah hotel ternama ibu kota. Dia pelukis lulusan Uitm, belum aku mendengar tentang pamerannya atau melihat lukisan-lukisan karyanya. Tapi aku pasti, ditangan kesenimanannya, gedung hotel ternama itu berjaya dinampakkan indah dan menawan. Dia, aku anggap kenalan, tapi mungkin dia beranggapan sebaliknya – marah-marah tentang betapa susahnya – perit, getir, pencarian, pengajian - untuk menjadi seniman pelukis. Menurut kenalan ini, hanya bakat + latihan guru seni yang mursyid + ilmu institusi seni sajalah yang boleh melahirkan pelukis. Kenalan ini, terus menghamburkan kata-kata ibarat tembakan –mungkin dia menembak aku agaknya- tentang betapa perlunya untuk tahu apa itu fundamental of art. Biarpun kenalan ini tidak memberitahu aku dari mana datangnya susur galur konsep fundamental of art ini.

Setelah aku amat-amati dan mendalami percakapannya yang penuh ammarah itu, baru aku tahu kepandaian melukis potret dan anatomi tubuh secara realis adalah asas kesenian wajib setiap orang yang mahu menjadi pelukis. Makanya, seseorang itu bukanlah pelukis kalau dia tidak menguasai kepandaian melukis potret dan anatomi tubuh - kepandaian Renaissance Itali. Walaupun akhirnya, seorang Pablo Picasso – hasil pengaruh rupa topeng-topeng Afrika – hanya melukis bentuk-bentuk tidak realistik yang dinamakannya kubisme. Tetapi menurut teman ini, Picasso adalah pelukis agung, kerana biarpun lukisan kubismenya berbentuk begitu, dia telah terbukti memiliki bakat dan telahpun menjalani latihan melukis potret dan anatomi tubuh. Hal yang sama juga diulangi kenalan ini, bila aku menyebut tentang Jackson Pollock dan lukisan ekpressionisme abstraknya itu.Aku tahu, Pollock lulusan sekolah seni Art Students League of New York. Jadi menurut kenalan ini, biarpun hasil karya seseorang pelukis itu berbentuk minimalist dengan katakanlah hanya satu titik hitam di tengah kanvas yang besar, ia tetap diiktiraf sebagai karya seni agung. Ini kerana, pelukis minimalist sebegini telah menjalani proses panjang latihan, pengajian, pembelajaran, bergelumang dengan berbagai bahan hinggalah akhirnya dia bertemu dengan bentuk minimalistnya itu.

Pelik, tidak, tidak, kata kenalan itu, para pelukis seni awam di Pasar Seni (Central Market, Kuala Lumpur) pula tidak dianggap sebagai pelukis sebenar oleh kenalan ini, meskipun mereka – para pelukis seni awam ini – mahir dalam melukis potret dan anatomi tubuh. Dia melihat para pelukis di CM hanya melukis untuk 'harga' selera, kehendak dan permintaan orang ramai. Maka kenalan ini tidak menganggap mereka sebagai pelukis sebenar. Yang tidak dinyatakan kenalan ini ialah biarpun mereka para pelukis di CM menguasai teknik, kemahiran dan ilmu melukis potret dan anatomi tubuh, tetapi disebabkan mereka bukan pelukis kelahiran institusi seni, makanya mereka belum cukup kejadiannya sebagai pelukis lagi.

Tapi, kenalan ini bercakap tentang fundamental of art dalam kefahaman salasilah sejarah pengetahuan seni moden Eropah dan Amerika Syarikat. Kenalan ini, melihat hukum asas lukisan terdiri daripada prosedur dan sifat-sifat fizikal bahan-bahan untuk melukis – yang akhirnya menunjukkan betapa pentingnya CARA daripada hasil lukisan tersebut. Mungkin sebab itulah ribuan graduan seni yang telah dilahirkan institusi, tidak mengeluarkan apa-apa hasil pengeluaran. Kerana hasil menuntut ilmu cara pengeluaran lukisan selama bertahun-tahun telah menjadikan mereka pelukis agung - tubuh dan diri mereka menjadi lukisan yang hidup.

Untuk aku, fundamental of art itu terserah pada asas rujukan, pintu atau tingkap masuk (entry point) terhadap pengeluaran benda (atau bukan benda) 'seni' itu. Dalam zaman revolusi maklumat dan ilmu pengetahuan ini, kita semua dapat melihat rencam keragaman serta kecamuk kepelbagaian atau selirat perbezaan - puluhan, ratusan malah ribuan – tetingkap atau pintu untuk masuk ke jurusan penciptaan/ pengeluaran bentuk kesenian apapun. Kita juga tahu, MAKNA tidak lagi dapat dikuasai/dikawal/dimonopoli taksiran serta takrifannya oleh sesiapapun jua – termasuklah Sampah Seni.