Saturday, June 6, 2009

Paranoya Warna*

Kadangkala warna adalah bahasa. Seperti kata-kata yang membawa beragam rencam makna. Tetapi makna yang sebenarnya tetaplah pada mata para pembaca yang menaksir kefahaman pesanannya. Tidak berapa lama dahulu, menjelang pilihanraya 1999, kita dapat melihat bagaimana logo Petronas ditukar dengan tergesa-gesa. Ini dibuat hanya kerana logo lama Petronas itu dianggap menyerupai lambang parti Pas dengan bentuk bulat putih di tengah dan berlatar belakangkan hijau. Sekarang ini cap dagang Petronas berupa bulatan hijau sepenuhnya, bergelang putih dan mengekalkan warna latar belakangnya.

Isu logo Petronas waktu itu mula ditimbulkan pada Perhimpunan Agung gerombolan United Malay National Organization (Umno) tahun 1999. Wakil gerombolan Umno Pahang, Senator Abdul Aziz Abdul Rahman, menyatakan ketakutan bayang-bayang hodoh partinya sendiri. Katanya, “penggunaan logo syarikat itu di sebuah stesen minyak di Temerloh menyerupai lambang Pas.”

Berikutan itu, Petronas mengarahkan anak syarikatnya, Petronas Dagangan Berhad, meminda tanda pamer di lebih 200 stesennya. Arahan ini dibuat atas persetujuan bersama perdana menteri pada waktu itu, Dr Mahathir Mohamad, Timbalannya, Dollah Badawi dan menteri kewangan merangkap orang kaya gerombolan, Daim Zainuddin.

Kemudian, kalau kita masih ingat dan belum lupakan perubahan perlahan-lahan warna merah putih dijadikan warna teksi. Ia bermula dengan 200 permit teksi kepunyaan menteri pengangkutan era Napsiah Omar. Sekarang teksi hanya berwarna merah dan putih – konon warna gerombolan Umno. Biarpun merah putih adalah warna warisan tamadun serantau sejak Langkasuka, Srivijaya.

Berbagai rentetan peristiwa perjuangan dan penentangan rakyat dilambangkan pada pilihan warna warninya. Misalnya, pada November 2007, Gabungan Untuk Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) berjaya menganjurkan perhimpunan ratusan ribu rakyat dengan satu warna tema-kuning. Maka hari-hari menjelang perhimpunan diselubungi rasa paranoya (kemungkinan perasaan dalam bahaya) dan fobia (ketakutan melampau) pada warna. Paranoya dan fobia ini datang dari ketua polis negara, Musa Hasan sendiri. Dia menegaskan, “sesiapa yang memakai kemeja kuning akan ditangkap.”

Manakala kalau kita bercakap tentang gerakan Hindraf, rakyat Malaysia berketurunan India, beragama Hindu, kita tidak akan dapat lari daripada penggunaan warna kuning oren. Selain dianggap sebagai warna suci masyarakat Hindu, ia menjadi simbol penyatuan gerakan Hindraf. Namun dalam banyak perhimpunan awam dan bantahan, polis menangkap mereka yang berketurunan India dan berbaju oren. Lawaknya, ada juga yang bukan terdiri daripada penyokong dan ahli Hindraf. Dengan alasan, “oren adalah warna Hindraf.”

Umum kiranya amat sedar akan isu bantahan terhadap dasar bebal Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Hasil permuafakatan tokoh-tokoh budayawan, sasterawan tersohor tanah air seperti Dr. Fuad Hasan, A. Samad Said, Profesor Abdullah, Baha Zain, Ainon Muhammad, Profesor Nik Safiah Karim dan ramai lagi maka lahirlah Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP). GMP pula memilih warna putih sebagai warna tema perhimpunan ribuan rakyat jelata pada 7 Mac lalu itu. Maka terdengarlah laporan, ramai yang terkandas atau ditahan dalam sekatan jalan raya, hanya gara-gara memakai baju berwarna putih. Lucunya ada seorang teman yang berbaju putih ditahan polis dalam sekatan jalanraya. Teman itu kemudiannya dihalang untuk masuk ke kawasan dalam bandar Kuala Lumpur. Teman yang tidakpun mengetahui tentang isu bantahan GMP itu, tiba-tiba menjadi tahu dan timbul simpatinya untuk membantah PPSMI.

Bilamana gerombolan Umno telah terlalu banyak berbuat salah pada rakyat jelata, maka warnapun menjadi kecurigaan mereka. Syak wasangka buruk ditambah perasaan fobia dan paranoya melampau menyebabkan gerombolan dan perkakas polisnya cukup sensitif pada warna. Hinggalah gerombolan jatuh ke tahap kesakitan jiwa yang hebat, kedengkian, fobia dan paranoya pada warna-warna pilihan rakyat. Maka bukan saja, gerombolan dan perkakasnya memburu dan membenci para penggerak, penggiat sebarang gerakan hak-hak rakyat, malahan mereka telah terjelepuk jatuh ke jurang kegilaan, hinggakan sanggup juga memburu dan membenci warna.

Kegilaan fobia gerombolan pada warna tidak pernah pudar begitu sahaja. Kerana memang bukan mudah membuang rasa takut, apatah lagi Bebal Nasional dengan tanggungan beban dosa cukup berat kesalahan mereka pada rakyat. Rasuah berleluasa, keganasan perkakas gerombolan Umno seperti polis, kehakiman tidak adil, pilihanraya penipuan, perampasan tanah, penswastaan dan senarai panjang penindasan selama 50 tahun.

Malam 5 Mei yang dulu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menahan reman jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat selama tiga hari bagi siasatan dibawah Akta Hasutan. Chin Huat ditangkap kira-kira jam 8 malam di rumahnya, Taman Seri Sentosa, Kuala Lumpur. Laman berita Malaysiakini.com melaporkan, pensyarah kajian media di sebuah universiti tempatan itu kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan. Chin Huat disoal siasat sebelum dipindahkan ke suatu tempat yang tidak diketahui sejurus selepas tengah malam 5 Mei itu. Menurut pengarah jabatan polis itu, Koh Hong Sun, “ Wong yang ditahan di bawah akta tersebut kerana menulis rencana berkaitan kempen "1Black Malaysia".

Tindakan polis itu berkaitan dengan kempen berbaju hitam pada 7 Mei 2009, hari DUN Perak mula bersidang. Warna hitam dipilih sebagai tanda membantah persidangan DUN Perak yang disifatkan sebagai "tidak mengikut perlembagaan." Sekali lagi, ketua polis negara yang bakal pencen tidak lama lagi, Musa Hitam mengeluarkan amaran larangan terhadap warna hitam. Keras suara Musa bertegas,”para penyokong parti politik diingatkan supaya tidak menimbulkan suasana tegang dengan berkumpul beramai-ramai serta memakai baju berwarna hitam ketika berlangsungnya persidangan Dewan Undangan Negeri Perak.”

Nampaknya, selain merampas hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara, berhimpun dan berpersatuan yang dijamin perlembagaan, gerombolan Umno turut gugup serta bertindak bebal cuba mengharamkan pelangi warna warni pilihan rakyat. Keindahan dan lambang semangat daripada warna-warni ini menjadi hantu gelap yang siap menakut-nakutkan gerombolan Bebal Nasional. Gerombolan tidak dapat diselamatkan lagi, mereka sudah kehilangan warna! Yang ditakutkan sebenarnya bukanlah warna, tapi lambang yg dibawa oleh warna itu. Seperti Pas yg dinafikan logo bulan sabit dan bintang warna putih dengan latar hijau.

+pertama kali terbit di Suara Keadilan, Mei 2009 lalu.


2 comments: