Tulis Camus, “dewa-dewa menyumpah
Sisyphus, tanpa kenal penat lelah menolak batu besar ke puncak gunung.”- Berganjak sedikit geraknya ke atas, bergolek semula berguling meluru ia ke bawah.
(i)
Engkau ada tugas
-amanah, khalifah suci mengimarah bumi
Engkau ada matlamat
-pemimpin cekap dan mesra, wawasan berbudi
Engkau ada visi dan misi
-sopan berfungsi, teguh merancang, mapan melaksana,
Engkau ada tujuan
-membawa kesejahteraan dan kemakmuran
Engkau ada sebab musabab
-mencapai pelan kejayaan dan kebahagiaan.
Engkau ada terlalu banyak dalih menceceh, berbuih air liur menjejeh
Engkau ada terlalu banyak alasan, lidah berdalil berjela-jela membedil.
(ii)
penawar – sakit – ubat dan vaksin – merawat – doktor menyembuh
peluru –ditembak – atom dan nuklear – meledak – tentera membunuh
Damai membuka – rasa –gembira diteroka – membina angan-angan – naik membangun kota
Perang merusuh – jiwa – tertutup pintu bahagia – meruntuh cita cinta– jatuh berderai hancur tugu-tugu batu.
(iii)
Hanya hasrat,
menggunung tinggi,
kederat yang makin lama makin tak larat memburuh.
Hanya mulut
merongak nyanyuk,
kunyah yang makin lama makin renyah menyebut.
Hanya perut
menghakis usus,
limpa yang makin lama makin penat menapis.
Hanya jantung
melemah diri,
nadi yang makin lama makin perlahan berdegup.
Hanya tubuh
melusuh kukuh,
tegang yang makin lama makin mengendur.
Hanya kedut
Berkerut kulit,
berkerepot rapuh mengecut.
Hanya mayat, di makan ulat dan reput
“Tapi kita ada otak. Ada akal! Tahu! Boleh berfikir.”
Rupa-rupanya kerana akal kita sendiri.
Fikiran yang melupakan “hidup ini hanya memanjangkan kematian.”
(mac-mei 2006)
p/s-imej
CCD google
Teringat satu tulisan goenawan mohammad di caping.
ReplyDeleteAku rindu nak dengar sajak 'Balut Terakhir ke Syurga'..
ReplyDelete